Komander Musa
Gambar menunjukkan Komander Musa maut ditembak pasukan keselamatan dalam Operasi Daulat.
MANILA - Jabatan Hal Ehwal Luar Filipina (DFA) menggesa Malaysia mengadakan dialog dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi menyelesaikan konflik di Sabah.
Media ABC-CBN News melaporkan, Filipina turut mahu mengadakan perbincangan terhadap dakwaan keganasan dilakukan anggota keselamatan ke atas penduduk Filipina di Sabah.

Jurucakap DFA, Raul Hernandez berkata, pada masa kini, pihaknya sedang melihat bagaimana Malaysia bertindak balas terhadap gesaan PBB dalam menyelesaikan konflik itu.

“Kerajaan masih menunggu laporan dakwaan penderaan dilakukan anggota keselamatan Malaysia terhadap rakyat Filipina dan pengikut Kiram,” katanya.

Menurutnya, sebelum Filipina boleh bertindak ke atas tuduhan itu, kami mahukan dakwaan itu ditandatangani dan disahkan oleh mangsa itu sendiri.

“Kerajaan kini sedang mencari akses kepada tahanan Filipina di Malaysia,” katanya.

Hernandez berkata, kerajaan sedang berusaha mendapatkan akses untuk memindahkan tahanan Filipina yang sedang ditahan di Malaysia bagi mengetahui bantuan yang diperlukan.

“Permohonan telah dilakukan tetapi masih belum mendapat jawapan dari pihak berkuasa Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, sehingga kini kerajaan tidak tahu di mana tahanan Filipina itu ditempatkan.

Sementara itu, tiga wakil dari Jabatan Kebajikan Sosial dan Pembangunan tiba di Lahad Datu untuk membantu pasukan kemanusiaan di Sabah.

Beliau berkata, terdapat 1,464 orang terdiri daripada penduduk Filipina, Indonesia dan juga pekerja tempatan dipindahkan di empat pusat di Lahad Datu.

Dalam perkembangan lain, keluarga Kiram menyanggah kenyataan pasukan keselamatan Malaysia mendakwa “Komander Haji Musa” yang juga bekas komander Moro National Liberation Front (MNLF) terbunuh dalam Operasi Daulat, terbunuh.
Jurucakapnya, Abraham Idjirani memberitahu, beliau telah bercakap dengan Agbimuddin Kiram yang mengesahkan Musa masih hidup.
“Beliau masih hidup dan mereka berkumpul semula pada 1.00 pagi hari ini (semalam). Mereka minum kopi. Laporan berita Malaysia salah,” katanya.

Jurucakap tersebut turut didakwa mempertikaikan angka kematian anggota kumpulan itu dengan mengatakan hanya 23 orang terbunuh setakat ini. - ABC-CBN news