SPECIAL ADS

13 Mac 2013

MNLF: 'Kami hormati keputusan Sabah sertai Malaysia'


JOHOR BAHRU - Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF) mengiktiraf dan menghormati keputusan rakyat Sabah menyertai Malaysia pada 1963, kata Pengerusinya Muslimin Sema.

Beliau berkata, rakyat Sabah berhak menentukan masa depan mereka dengan menyertai Malaysia 50 tahun lepas dan hak ini tidak boleh dipertikai mana-mana pihak.

"Kami (MNLF) akur dengan kehendak rakyat Sabah untuk menentukan nasib mereka sendiri. Mereka telah membuat keputusan untuk menyertai Malaysia dan kami menghormati keputusan mereka, itulah pendirian kami," katanya dalam temu bual eksklusif dengan Bernama melalui telefon dari Manila hari ini.

Muslimin, yang juga naib datuk bandar Cotabato City di selatan Filipina berkata, dalam kunjungannya ke Sabah pada 1973, beliau melihat sendiri kebahagiaan yang dinikmati rakyat negeri itu setelah menyertai Malaysia.

"Mereka telah membuat keputusan dan kami menerima keputusan mereka itu," kata Muslimin sambil menjelaskan bahawa beliau mempunyai ramai saudara mara di Sabah, yang setia kepada negara mereka, Malaysia, dan menjalani kehidupan dengan penuh sejahtera. - Bernama

Tiada ulasan: