SPECIAL ADS

12 Mac 2013

Tawaran PR adalah lebih baik kepada gaji penjawat awam


KUALA LUMPUR 12 Mac : Kenaikan gaji penjawat awam, tentera dan polis hanya bermanfaat jika manifesto Pakatan Rakyat (PR) dilaksanakan, kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.

Sambil menjamin kenaikan tersebut akan dikekalkan dan gaji yang lebih setimpal akan disemak dari masa ke semasa jika PR menang, beliau menyifatkan kenaikan tersebut tidak bermakna jika Barisan Nasional (BN) terus memerintah.

"Kerajaan BN umumkan setiap penjawat awam akan mendapat kenaikan antara RM80 hingga RM320 bergantung kepada gred gaji mereka.

"Tetapi jika selepas BN menang pilihan raya akan datang, harga minyak naik, tarif elektrik dan air naik, tol naik, cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dipaksakan tanpa kajian yang wajar dan boleh dipercayai, pendidikan percuma tidak ada, AES dilaksanakan dan pelbagai bebanan lain dikenakan ke atas rakyat, kenaikan gaji tersebut tidak cukup," kata Mahfuz.

Sehari sebelum pengumuman Datuk Seri Najib itu, Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa mengumumkan PAS telah membuat persetujuan untuk melaksanakan janji yang bakal diberikan oleh Najib itu.

Di samping itu, PAS juga telah menawarkan beberapa perkara untuk kepentingan kakitangan pentadbiran awam.

Menurut Mahfuz (gambar) hari ini, kalau sebelah tangan bagi RM80 tetapi tangan yang sebelah lagi ragut RM800 dari rakyat, ia bukan sahaja tidak cukup, malah tak bermakna.

"Sebab itulah, kenaikan tersebut mesti dilihat dengan kritis oleh rakyat.

"Penjawat awam, tentera dan polis mendapat kenaikan gaji yang tidak bermakna, rakyat lain yang tidak menerima apa-apa kenaikan gaji tentulah lebih teruk dan sengsara dengan kenaikan harga minyak dan pelbagai tekanan ekonomi dan perundangan yang akan dipaksakan ke atas mereka jika BN terus memeerintah," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu.

Mahfuz berkata, jika PR menang dalam pilihan raya akan datang, kenaikan antara RM80 hingga RM320 yang diumumkan oleh kerajaan BN itu bukan sahaja akan diteruskan malah perlaksanaan manifesto PR akan memberikan manfaat yang berbaloi kepada mereka.

"Kenaikan itu akan menghasilkan lebihan wang jika PR menang apabila perlaksanaan manifesto tersebut akan menurunkan harga kereta dan harga minyak, mengenakan caj air dan elektrik yang lebih rendah, menghapuskan tol di lebuhraya, menghapuskan monopoli, menyediakan 150,000 rumah selesa mampu milik melalui Perbadanan Perumahan Negara, menghapuskan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan menyediakan pendidikan percuma, menghapuskan sistem AES dan banyak lagi," katanya.

Jika PR memang, katanya, tidaklah berlaku sebelah tangan bagi RM80 tetapi tangan yang sebelah lagi ragut RM800 dari rakyat.

"Naik kenderaan pergi dan balik kerja pun tak perlu lagi bimbang kena saman akibat sistem AES," katanya sambil bergurau.

Oleh: Abdul Aziz Mustafa

Tiada ulasan: