SPECIAL ADS

13 Mei 2013

Hentikan Perkauman !!!


KUALA LUMPUR 14 Mei : Dewan Pemuda PAS Malaysia amat kesal dengan kenyataan berbaur perkauman yang dibuat oleh bekas hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd. Noor Abdullah yang mahu kaum Melayu memulakan tindakan agresif untuk berdepan dengan kaum Cina bagi mempertahankan hak mereka dan menyusun kembali masyarakat.

Ketuanya, Nasrudin Hassan berkata, ianya adalah kenyataan provokasi yang boleh membakar semangat perkauman apatah lagi ianya dibuat di ambang ulang tahun insiden 13 Mei yang menjadi titik hitam di dalam sejarah hubungan antara kaum di negara kita.

Katanya, kenyataan sedemikian tidak mencerminkan kelayakan bagi seorang individu yang pernah diangkat oleh masyarakat berbilang kaum di negara kita ini dengan gelaran ‘Yang Arif’.

“Demi kehormatan profesion yang pernah beliau sandang dan jaminan keharmonian masyarakat, kami menuntut Datuk Mohd. Noor segera menarik semula kenyataan beliau dan memohon maaf kepada rakyat Malaysia di atas ketegangan suasana yang timbul dari pandangan beliau itu,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Jelasnya, Dewan Pemuda PAS Malaysia bersetuju dengan pandangan kumpulan-kumpulan think-tank perdana yang menganggap keputusan PRU13 bukanlah satu tsunami politik mana-mana kaum.

Beliau menambah, ianya adalah ketetapan golongan muda dan rakyat yang menetap di bandar dan luar bandar yang di antaranya terdapat perbezaan besar dari aspek pendidikan politik dan akses kepada maklumat.

Oleh itu, ujar beliau mendasarkan apa jua hujah di atas alasan perkauman untuk mentafsirkan keputusan piliharaya ini adalah merupakan pandangan dangkal yang dibuat bagi memenuhi nafsu politik sesetengah pihak yang tidak mahu redha dengan pemilihan rakyat.
“Kami menggesa supaya semua pihak khususnya media pemerintah untuk menghentikan tindakan-tindakan provokasi yang menyalahkan kaum tertentu sebagai justifikasi kepada prestasi buruk BN di dalam PRU13 ini,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Temerloh.

Sebaiknya, gesa Nasrudin semua pihak berperanan memulakan dialog nasional untuk mengenalpasti aspirasi sebenar rakyat yang telah menyatakan pendirian mereka di dalam pilihanraya bersejarah ini.

Tiada ulasan: