SPECIAL ADS

14 Mei 2013

Khalid : Perhebat Program MES, Selesaikan Penstrukturan Semula Industri Air


14 Mei : Alhamdulilah, saya bersyukur kepada Allah SWT akhirnya majlis angkat sumpah telah selamat disempurnakan.

Saya mengambil kesempatan ini untuk menjunjung kasih kepada DYMM Tuanku Sultan, kerana telah memberi perkenan serta menyempurnakan majlis angkat sumpah saya sebagai Menteri Besar Selangor untuk penggal kedua.

Saya mengucapkan terima kasih kepada rakyat selangor yang telah memberi sokongan yang padu kepada saya serta barisan pemimpin Pakatan Rakyat yang lain sehinggakan kami telah diberi kemenangan yang besar sekaligus membolehkan kami mewujudkan kerajaan negeri dengan majoriti mudah dua pertiga. 

Begitu juga semua pimpinan Pakatan Rakyat, saya berterima kasih kerana terus memberi kepercayaan kepada saya untuk memimpin kerajaan Pakatan Rakyat Selangor. Saya amat yakin kerjasama kita bersama boleh menghadapi cabaran kuat yang akan mendatang pada penggal kedua ini.

Tidak lupa kepada pimpinan Parti Keadilan Rakyat, saya ingin merakamkan penghargaan atas sokongan serta keprihatinan mereka terhadap keperluan untuk mewujudkan satu proses pemilihan yang adil terhadap pelantikan Menteri Besar.

Tidak lupa juga kepada semua penjawat awam yang selama ini telah menjalankan tugas dengan professional sehinggakan Pakatan Rakyat berjaya menterjemahkan polisi Merakyatkan Ekonomi Selangor serta Hasil Negeri Untuk Rakyat. Saya percaya kerjasama mereka telah membolehkan kita mendapat kejayaan besar pada pilihanraya baru-baru ini.

Saya juga berterima kasih kepada media tradisional dan arus perdana atas liputan yang telah diberikan. Sebagai kerajaan yang mengamalkan ketelusan dan keterbukaan dalam pentadbirannya, kita menerima kritikan dan persoalan terhadap polisi serta pelaksanaan program kerana ini akan membuat kita berusaha dengan lebih keras lagi.

Tumpuan saya dalam masa terdekat adalah untuk menyambut hasrat Perdana Menteri untuk memulakan proses "national reconciliation" di mana ujian pertama adalah untuk menyelesaikan penstrukturan semula industri perkhidmatan air di Selangor. Saya telah menyediakan surat kepada Perdana Menteri tentang perkara ini dan amat berharap beliau akan memberi tindak balas positif sejajar dengan Akta Industri Perkhidmatan Air atau WSIA. Selangor memberi komitmen bahawa projek Langat 2 akan dirangkumkan bersama proses penstrukturan semula industri air supaya ia tidak dikendali secara berasingan.

Berkenaan isu pelantikan barisan ahli majlis kerajaan negeri (EXCO), proses pemilihan telah pun bermula dan akan diumumkan setelah mendapat perkenan DYMM Tuanku Sultan. 

Terima kasih.

YAB TAN SRI DATO' SERI ABDUL KHALID IBRAHIM 
DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR

Tiada ulasan: