SPECIAL ADS

15 Mei 2013

PRU13 : PR sukar tembusi Felda

Wacana Sinar siri ke-20 : Pasca PRU13

SHAH ALAM 15 Mei :  Walaupun sebelum ini sukar menembusi tembok sokongan peneroka Felda kepada Barisan Nasional (BN), usaha berterusan yang dilakukan Pas selama ini mula menampakkan hasil pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad berkata, walaupun mengalami kesukaran, kini sokongan semakin meningkat dari kumpulan itu.
 
“Salah satu faktor kesukaran ini disebabkan golongan ini tidak mendapat maklumat yang tepat dan secara menyeluruh.
 
“Namun, melalui anak-anak Felda yang terdiri daripada golongan cerdik pandai yang pulang ke kampung halaman dan menyalurkan maklumat tepat kepada ibu bapa mereka sedikit sebanyak boleh membuka (hati) golongan ini,” katanya pada Wacana Sinar Siri ke-20 yang berjudul Pasca PRU13: Ke Mana Haluan Politik Melayu di sini, hari ini.
 
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan pengendali wacana, pensyarah Fakulti Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi Mara, Profesor Madya Dr Shaharuddin Badaruddin tentang usaha Pas memenangi sokongan peneroka Felda yang dilihat kurang berhasil.
 
Mengakui kebenaran perkara itu, Raja Kamarul Bahrin bagaimanapun berkata, masyarakat hari ini sudah sedar tentang kebenaran dan menolak untuk terus bergantung kepada pihak kerajaan.
 
“Yang menyedihkan hari ini, kerajaan seolah-olah sangat suka jika peneroka masih bergantung kepada kerajaan sehingga mereka susah untuk bergerak sendiri.
 
“Kalau pada tahun 1970an hingga 1980an, kita pernah mendengar perkataan berdikari tetapi terminologi itu langsung tidak lagi kedengaran seolah-olah kerajaan tidak ingin orang tertentu terutamanya yang tinggal di luar bandar berdiri di atas kaki sendiri seperti sepatutnya,” katanya lagi.
 
Namun ujar beliau, kini peneroka Felda sudah mula menyedari hakikat ini dan Pas sentiasa komited untuk menyalurkan maklumat sebanyak mungkin.
 
Katanya, melalui orang-orang muda yang menjadi teraju utama, Pas telah masuk ke kawasan-kawasan terpencil untuk memberi penerangan sebagai usaha memecahkan halangan terhadap kebergantungan ini.
 
“Masanya sudah tiba dan kita tidak perlu takut untuk melakukan perubahan,” katanya lagi.

Tiada ulasan: