SPECIAL ADS

30 September 2013

Selepas 10 tahun tinggal kerajaan, mengapa Dr Mahathir masih pemimpin Umno paling popular?

01 Okt : Tidak hairanlah mengapa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan ahli korporat terkemuka bertemu dengan mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bagi mendapat pandangan sesuatu dasar serta memperoleh perkenan beliau.
Meskipun sudah meletakkan jawatan genap 10 tahun sebagai Perdana Menteri pada bulan ini, Dr Mahathir masih merupakan pemimpin popular dalam Umno hingga ke hari ini menurut kajian yang dijalankan ke atas penyokong parti Melayu itu.
Merdeka Center menjalankan kajian pelbagai isu berkaitan parti itu termasuk kepercayaan dalam Umno dan sentimen kepada personaliti.
Soalan itu ditanyakan kepada 600 penyokong parti bagi menilai pemimpin parti seperti Najib, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Datuk Seri Mohd Ali Rustam, Tan Sri Isa Samad, Dr Mahathir dan lain-lain.
Dr Mahathir mendapat undian 79% daripada responden yang mengambil bahagian dalam satu kajian yang dijalankan melalui telefon bulan lalu. Najib pula mendapat undian sebanyak 69%, Muhyiddin (54%) dan Ahmad Zahid (58%).
Mantan Perdana Menteri itu masih kekal popular meskipun beliau tidak menjawat apa-apa jawatan dalam Umno setelah menyerahkan jawatan yang disandangnya itu selama 22 tahun kepada Tun Abdullah Ahmad Badawi pada Oktober 2003.
Dengan hasil kajian itu, populariti Dr Mahathir masih mendahului pemimpin Umno masa kini meskipun dituduh dengan pelbagai tohmahan karakter dan kepimpinannya terdahulu. Mengapa?
Jawapannya mudah. Umno dan Barisan Nasional (BN) semasa kepimpinan Dr Mahathir merupakan parti yang kuat dengan penguasaan dua pertiga di Parlimen menjadi kebiasaan dan suara pembangkang tidak selantang sekarang.
Dengan keadaan sedemikian, Umno/BN mampu menghalang segala penentangan terhadap polisinya tidak seperti hari ini yang melihatkan Najib menerima tentangan hampir kesemua inisiatifnya oleh pihak pembangkang setelah Pakatan Rakyat (PR) mendapat 52% undi popular semasa pilihan raya umum ke-13 (PRU13) lalu.
Kekaguman terhadap Dr Mahathir juga adalah ketegasan beliau. Berbeza dengan kritikan dilontarkan kepada Najib yang merupakan seorang pemimpin tidak tegas, selalu mendengar pandangan ramai berbanding mengambil keputusan berani untuk Malaysia.
Berbeza ketika zaman pemerintahan Dr Mahathir, apabila pemimpin itu mahu melaksanakan sesuatu dasar, beliau bertekad melaksanakannya dan tidak peduli dengan pandangan pihak lain.
Tidak hairanlah pendekatan sebegini menyebabkan kerugian besar seperti penjualan syarikat Sistem Penerbangan Malaysia (MAS) kepada Tan Sri Tajudin Ramli dan kegagalan beberapa projek lain seperti Perwaja Steel.
Penyokong Umno mahu pemimpin tegas dalam parti mereka setelah kegagalan Abdullah dan kini terpaksa melayan kerenah Najib.
Akhbar milik Umno dan seangkatan dengannya seperti Utusan Malaysia, Berita Harian dan Harian Metro tidak memberi gambaran sebenar tentang pentadbiran Dr Mahathir.
Laporan mereka selama bertahun-tahun hanyalah mahu mengampu dan berfikiran sempit dengan memfokuskan kejayaan besar beliau sahaja tanpa melaporkan kegagalan atau jalan pintas yang diambil bagi mencapai kejayaan.
Hasilnya, liputan meluas seperti kejayaan mercu tanda Kuala Lumpur, Menara Berkembar Petronas berbanding berbillon ringgit royalti minyak dibazirkan untuk projek yang sia-sia.
Persoalannya, adakah populariti Dr Mahathir membantu Datuk Mukhriz Mahathir memenangi jawatan naib presiden Umno?
Dengan pengaruh yang ada pada Mukhriz, ikon itu mampu memberi ancaman besar kepada penyandang-penyandang jawatan itu, Ahmad Zahid, Hishammuddin dan Datuk Seri Shafie Apdal. 

Salahkan sektor swasta di kala kerajaan sertai TPPA “menghairankan”

Raja Kamarul Bahrin Shah
01 Okt : Kenyataan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar menyalahkan sektor swasta sebagai punca kegagalan Dasar Ekonomi Baru (DEB) dibidas pemimpin pembangkang kerana bercanggah dengan pendirian kerajaan yang mahu menyertai Perjanjian Perdagangan Trans Pasifik (TPPA).
Ahli Parlimen Kuala Terengganu dari PAS Datuk Raja Kamarul Bahrin Raja Shah berkata tindakan Abdul Wahid menyalahkan sektor swasta menghairankan kerana objektif TPPA yang mahu disertai kerajaan adalah untuk mewujudkan pasaran perniagaan lebih luas.
"Agak menghairankan dengan kenyataan beliau dibuat ketika Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang inginkan liberalisasi dalam sektor ekonomi,” kata Raja Kamarul Bahrin apabila dihubungi oleh The Malaysian Insider semalam.
"Menyalahkan sektor swasta pada masa yang sama cuba untuk menyertai perjanjian TPPA bagi mewujudkan pasaran lebih terbuka bukankah mengelirukan?" soal beliau.
Katanya, kerajaan seharusnya memperbaiki kelemahan pentadbiran sistem urus daripada menyalahkan pihak lain.
"Contoh terdekat ialah Talent Corp sepatutnya mengumpul tenaga pakar anak tempatan yang belajar di luar negara, akibat daripada ketidakseimbangan, ramai yang menolak. Ini menunjukkan betapa ketidaktelusan integriti negara," katanya.
Dalam wawancara bersama akhbar The Edge yang disiarkan semalam, Abdul Wahid mempertahankan agenda memperkasakan Bumiputera dengan menyalahkan pihak swasta dan mengatakan ramai pihak tersalah tafsir terhadap program pemerkasaan Bumiputera itu.
Abdul Wahid juga menafikan Perdana Menteri telah berpatah balik daripada Model Ekonomi Baru (MEB) yang diperkenalkannya pada 2010.
"Apa yang saya cuba katakan ialah wujud banyak peluang dalam sektor swasta tetapi malangnya banyak ahli perniagaan Bumiputera dan profesional merasakan mereka tidak diberi peluang yang adil dalam sektor swasta. Sebagai contoh, hanya sebilangan kecil Bumiputera diperingkat pengurusan atasan," katanya.
Raja Kamarul Bahrin turut mengatakan dakwaan Abdul Wahid tidak berasas dan kerajaan seharusnya mengakui kelemahan sendiri.
"Setelah gagal hampir 40 tahun dalam melaksanakan DEB maka timbul pula idea kononnya sektor swasta ini banyak menghadkan peluang kaum bumiputera, alasan tersebut langsung tidak relevan," katanya.
Abdul Wahid dalam wawancara bersama akhbar perniagaan itu turut mengatakan program memperkasakan Bumiputera selari dengan MEB memandangkan kumpulan tersebut masih ketinggalan jika dibandingkan dengan kaum lain.
"Dalam konteks ini, jika kamu lihat kepada situasi Bumiputera, walaupun kita lihat penambahbaikan dalam pendapatan, ekuiti dan hakmilik hartanah sepanjang 40 tahun lebih ini, ia masih di bawah sasaran," katanya.
Menurut bekas Ketua Pegawai Eksekutif Malayan Banking (Maybank) Berhad itu, program pemerkasaan Bumiputera bertujuan untuk memberikan peluang yang seimbang meliputi semua jenis perniagaan.
"Ini bagi memastikan Bumiputera mendapat peluang yang adil.
"Daripada segi peluang kerja, sektor awam menyediakan 11% manakala sektor swasta 89%,” katanya. 

29 September 2013

Mufti gesa ‘memelayukan’ suku kaum Sabah

29 Sep : Pengguna Facebook membantah kenyataan Mufti negeri Sabah yang menggesa kerajaan untuk melakukan penyatuan Islam, suku kaum seperti Kadazan, Murut dan Dusun perlu “diMelayukan” sebagai satu rumpun Melayu.
Sehingga kini, lebih 50 pengguna Facebook telah mencatat reaksi negatif kepada laporan Sinar Harian yang memetik kenyataan Bungsu@Aziz Jaafar yang ingin menyatukan umat Islam di Sabah dengan cara memelayukan bangsa asal.
Beliau memetik bahawa jika Semenanjung Malaysia, orang Melayu terdiri daripada pelbagai suku seperti Jawa, Bugis dan lain-lain semuanya Melayu.
Walaubagaimanapun, pengguna Facebook terutama sekali orang asal Sabah tidak yakin dengan hujahnya.
“Persoalannya sekarang bukan pasal agama Islam tak semestinya Melayu di Malaysia atau Nusantara tetapi sekarag siapa orang Melayudan siapa bukan Melayu. Saya tidak faham definisi Melayu itu sebenarnya. Arab, Pakistan dan orang asli dianggap Melayu?” tanya Ammun Ra.
Pengguna Facebook yang lain pula, J Marsh Agnes, berkata: “Apa pula Kadazan Dusun Murut mahu mengaku Murut?”
Beberapa sindiran digunakan untuk menuduhnya melenyapkan bangsa asal Sabah.
“Bukankah ketuanan Melayu ini hanya di Malaya? Kenapa sampai hendak dibawa ke Sabah?” kata Harrry Nelson J. Seliang.
Raqafluz berkata: “Kadazan tetap Kadazan. Dusun tetap Dusun. Bisaya tetap Bisaya. Melanau tetap Melanau. Dayak tetap Iban dan sebagainya… sampai kiamat.”
Aziz dalam satu kenyataan menegaskan perpaduan nasional mudah tercapai memandangkan majoriti rakyat Sabah menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa komunikasi dan ia memberi kelebihan kepada pemgembangan syiar Islam di negeri itu.
Katanya, sudah sampai masanya umat Islam bersatu tanpa mengira fahaman politik dalam memastikan ketuanan Melayu dan kesucian Islam terpelihara.

'SHOPPING SPREE' Felda di London

'SHOPPING SPREE' Felda di London
29 Sep : Felda secara terang-terangan mengingkari salah satu teras utama Plan Transformasi Ekonomi (ETP) Kerajaan Persekutuan untuk melepas asset bukan teras melalui pelaburan terbarunya sebanyak hampir RM700 juta untuk tujuan perhotelan di dalam negara dan di London.
Felda dan anak syarikat 39-peratusnya Felda Global Venture Holdings (FGV) menimbulkan persoalan sama ada pengingkaran secara terbuka itu adalah berikutan pemilihan parti UMNO lantaran pengambilalihan:
> Hotel empat bintang Grand Borneo di Kota Kinabalu untuk jumlah sekitar RM86 juta
> 25% saham syarikat Iris Corp yang tersenarai di Bursa, pembuat kad pintar dan perkampungan agrikultur untuk jumlah RM110 juta, dan
> Grand Plaza Service Apartments di London, untuk jumlah sebanyak £98 juta (hampir RM497 juta)
Apa kaitan antara operasi dan pemilikan lapan buah hotel di serata Perak, Terengganu, Negeri Sembilan, Sabah dan London; dengan penanaman kelapa sawit? Bagaimana dengan melabur RM700 juta menjalankan perniagaan perhotelan di dalam negara dan di London dapat memberi faedah kepada kehidupan lebih satu juta orang yang tinggal di tanah rancangan Felda di seluruh negara?
Pengerusinya, Isa Samad ada mencadangkan bahawa adalah penting bagi Felda untuk mempelbagaikan portfolio perladangannya, yang kini tertakluk kepada ragam pasaran minyak kelapa sawit mentah antarabangsa. Sementara usaha mempelbagai itu adalah amalan korporat yang biasa dibuat, ia mestilah berkait dengan bisnes terasnya atau mesti berkait dengan pengalaman pengurusan pakar.
Dunia korporat bersepah dengan sampah sarap pelaburan yang tidak rasional dan cuai; dalam bisnes yang syarikat induk tidak mempunyai banyak kepakaran atau ilmu. Felda tidak ada ilmu mengurus hotel. Apa yang membuatkan Felda merasakan ia boleh melakukan tugas yang lebih baik berbanding pengusaha hotel berpengalaman serta mendapatkan kadar pulangan yang lebih baik untuk pelaburan RM700 juta-nya dalam bisnes bukan teras, berbanding melabur dalam perladangan kelapa sawit yang ia memang pakar?
Saranan ETP untuk melepaskan pegangan-pegangan lahir daripada pengalaman saya menguruskan Kerajaan Negeri Pulau Pinang. Ketika kami mula-mula mengambil alih pada 2008, kami sangat terkejut bahawa kerajaan negeri dan anak-anak syarikatnya begitu sarat terlibat dengan aktiviti bukan-teras di mana ia tidak memiliki kepakaran seperti menjalan operasi ladang kelapa sawit, getah, kolam ikan, hotel, kolej malah padang golf. Kesemua usaha yang tidak difikirkan dengan baik ini sedang menjana kerugian ketika itu.
Melalui polisi melepaskan pegangan, dan penyumberan luar melalui pelaksanaan tender terbuka, kesemua kerugian operasi ini ditukar menjadi keuntungan secara tahunan. Namun kerugian operasi ini semua dapat ditukar menjadi keuntungan dengan cepat disebabkan hartanah yang terlibat sudah pun dimiliki oleh kerajaan negeri. Dengan kata lain tidak wujud sebarang perbelanjaan modal.
Dengan perbelanjaan modal sebanyak RM700 juta oleh Felda, adalah tidak mungkin kalau pun Felda menjana keuntungan, keuntungan itu akan menjustifikasi kos pelaburan. Atas sebab ini, pemimpin BN tidak sepatutnya menguruskan dana awam seperti milik peribadi tetapi ia perlu memberi justifikasi demi kepentingan akauntabiliti dan ketelusan, apa sebenarnya faedah kewangan daripada melabur dalam bisnes bukan teras kepada orang ramai.
Oleh: Lim Guan Eng ialah Ketua Menteri Pulau Pinang

Dr Mahathir kongsi petua panjang umur

29 Sep : Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad (gambar) hari ini berkongsi petua untuk panjang umur iaitu dengan makan secara sederhana dan mengamalkan gaya hidup sihat.
Bagaimanapun, negarawan berusia 88 ini mengaku petua itu memang mudah disebut, tetapi sukar untuk dilaksanakan kerana beliau sendiri terpaksa berusaha habis-habisan untuk makan secara sihat.
"Orang selalu bertanya saya bagaimana saya boleh hidup hingga sekarang, jawapannya mudah saja... jangan terlebih makan, jangan makan terlalu banyak.
"Ini sesuatu yang amat sukar bagi saya... tapi saya cuba juga untuk tidak makan terlalu banyak. Saya tidak merokok dan saya tidak minum minuman keras," katanya ketika melancarkan program “Walk-A-Mile” di Tasik Titiwangsa.
Secara berjenaka, Dr Mahathir berkata beliau menghadapi masalah untuk mengawal selera makan "kerana terdapat pelbagai jenis makanan enak di negara yang aman ini".
"Sekiranya anda boleh cuba mengawal cara makan anda, anda akan terus kuat pada usia 88 tahun dan berucap (macam saya)," kata beliau serta disambut dengan ketawa oleh para hadirin.
Mereka termasuk isteri beliau Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, pengerusi Yayasan Jantung Malaysia (YJM) Datuk Dr J.S. Sambhi, presiden YJM Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid dan ketua rantau Malaysia/Singapura Nestle Alois Hofbauer.
Dr Mahathir kemudian menyertai kira-kira 1,500 peserta dalam acara jalan kaki di taman tasik berkenaan, yang merupakan sebahagian daripada kempen kesedaran tentang kesihatan jantung.

DAP tidak mahu jadi klon MCA, Gerakan


29 Sep : DAP bercita-cita untuk menjadi sebuah parti bagi seluruh rakyat Malaysia dan tidak mahu menjadi klon MCA, Gerakan apatah lagi Umno BN, demikian menurut Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Dalam ucapannya di Kongres Khas Kebangsaan DAP 2013, Guan Eng berkata, kemerosotan Umno BN dalam PRU13 lalu adalah petanda jelas bahawa politik berasaskan kaum tidak ada masa depan di Malaysia.

"Kami ingin bersuara bagi pihak semua kaum termasuk Iban dari Sarawak dan Kadazan dari Sabah.

"Kita telah membuktikan di Pulau Pinang dan Selangor bahawa Pakatan Rakyat boleh memelihara orang Cina lebih baik daripada MCA, menjaga orang Melayu lebih baik daripada UMNO, membantu orang India lebih baik daripada MIC," katanya. 

Beliau turut mengajak ahli DAP bersatu padu dan buktikan bahawa mereka dapat lakukan yang lebih baik daripada BN untuk kesemua rakyat Malaysia.

"Tidak kira siapa, yang penting kita adalah rakyat Malaysia. Hidup rakyat! Hidup Malaysia!," katanya mendapat tepukan gemuruh para perwakilan yang memenuhi dewan sebuah hotel di sini hari ini.

Jelasnya, Malaysia boleh menjadi negara yang cemerlang seandainya mereka memperbaharui keyakinan mereka terhadap rakyat.

"Tanpa mengira masalah yang  hadapi, selagi mana kita mengekalkan kepercayaan terhadap kemampuan dan kebijaksanaan rakyat, rakyat akan menemukan penyelesaiannya bagi kita," katanya.

Tambahnya, BN terancam dengan DAP kerana mereka menawarkan Impian Malaysia yang mendorong perdamaian nasional berbanding balas dendam nasional yang ditawarkan BN.

"Kita melaksanakan politik inklusif dan bukan eksklusif, kita mahu kerjasama dan bukan konfrontasi serta rundingan daripada diktat-diktat. 

"Daripada memecah-belahkan rakyat Malaysia dengan fahaman ekstremisme kaum dan agama, kita menyeru ke arah keharmonian kaum dan rasa hormat terhadap kepercayaan masing-masing. Pakatan Rakyat menolak kebencian, keganasan, ancaman, rasuah dan politik wang; yang semuanya merupakan kepakaran BN," katanya.

Justeru katanya, DAP dan Pakatan Rakyat, mesti memperlihatkan kepimpinan alternatif yang lebih baik dan berprinsip, dan menyuarakan asas dasar yang jelas, sekata, inovatif dan berpandangan jauh terutamanya buat pengundi di kerusi-kerusi marjinal. 

"Kita mengajak kesemua rakyat Malaysia untuk turut serta dalam Impian Malaysia - demokrasi berjiwa rakyat menerusi urus tadbir maksima, kerajaan minima yang menumpukan usaha memenangi masa depan dengan pendidikan ke arah perpaduan, integriti dan kecekapan," katanya.

Turut hadir ke kongres ini sebagai jemputan Khas iaitu Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS, Dr Hatta Ramli dan Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar dan Setiausaha Agung, Datuk Saifuddin Nasution Ismail.

28 September 2013

DAP sedia heret ROS ke mahkamah

29 Sep : DAP mengingatkan Pendaftar Pertubuhan (ROS) agar tidak melakukan cubaan bagi menggagalkan pemilihan Jawatankuasa Tertinggi Pusat parti itu yang diadakan hari ini.

Pengerusi Kebangsaan DAP, Karpal Singh berkata sekiranya badan itu cuba mencari jalan menggagalkan pemilihan dan ia dilakukan dengan melanggar undang-undang, pihaknya akan mengheret ROS ke mahkamah.

"Saya bagi amaran kepada ROS, jangan cuba main-main dengan parti ini yang begitu kuat. Saya sudah mula memperhatikan ROS ini sejak Disember lalu dan saya akan terus memerhatikannya. Ini amaran terakhir saya kepada ROS," tegas beliau ketika berucap di Kongres Khas DAP, di sebuah hotel di sini, pagi ini.

Menyifatkan kongres hari ini sebagai satu sejarah kerana diadakan dua kali, Karpal berkata kongres yang mencatatkan kehadiran kira-kira 85 peratus hari ini menunjukkan parti itu sebagai sebuah parti yang kuat.

Pemilihan PRU14

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu turut mengingatkan para perwakilan agar memilih satu jawatankuasa yang kuat bagi persiapan parti itu dan Pakatan Rakyat menghadapi pilihan raya umum ke-14 kelak.

Saranan tersebut, katanya bukan menganggap kepimpinan yang dipilih sebelum ini tidak kuat, sebaliknya memperkuatkan lagi kepimpinan agar DAP bersama Pakatan Rakyat menawan Malaysia pada pru-14.

Karpal dalam masa yang sama turut memuji semangat yang ditunjukkan pimpinan muda dan mahu agar mereka menjadi pelapis yang kuat pada masa akan dating.

“Orang muda ini, anda adalah pelapis untuk menubuhkan kerajaan masa depan. Untuk Malaysia yang lebih baik.

“Apa yang saya lihat, kita jangan putus asa kerana kita ada peluang dalam pilihan raya akan datang. Kita dan Pakatan Rakyat (PR) akan berjuang merebut kuasa dari Barisan Nasional,” katanya.

Pada pemilihan hari ini, semua senarai calon yang bertanding untuk 20 jawatan tertinggi parti kekal seperti mana pemilihan pada Disember 2012 yang lalu.

Bagaimanapun, terdapat 17 orang calon menarik diri dan dua meletak jawatan menjadikan bilangan yang calon yang bakal dipilih perwakilan berjumlah 47 orang berbanding 66 calon tahun lalu.

Pemilihan semula hari ini diadakan berikutan ROS mengumumkan pemilihan sebelum ini tidak sah ekoran terdapat dakwaan kononnya terdapat perwakilan yang tidak diberikan notis untuk menghadiri kongres sebelum ini.

Transformasi dalam pemilihan Umno sejauh mana demokratiknya


28 Sep : Sesuai dengan peralihan kepimpinan Umno dari 'oder lembik' (Pak Lah Badawi) kepada 'oder keras' (Najib Razak), kepimpinan baru sedang bersemangat untuk melakukan transformasi bagi menjamin Umno menjadi sebuah parti yang gah dan berintegriti selama-lamanya.
Maka proses pemilihan pemimpin pun dibuat secara baru. Dalam kaedah baru ini sistem kuota sudah tiada lagi, sesiapa saja boleh bertanding merebut jawatan tertinggi di peringkat presiden, timbalan presiden, ketua pemuda, wanita, puteri atau ahli MT.
Sesiapa sahaja boleh mendaftarkan diri untuk bertanding dengan syarat namanya masih ada dalam buku pendaftaran Umno. Itu sahaja. Jangan hirau apakah seseorang itu layak, aktif ataupun sepanjang masa berkhidmat kepada parti dan ahli di kawasannya atau tidak.
Kalau pun dia berada di negeri lain tetapi kalau namanya sebagai ahli di dalam kawasan di negeri asalnya ada, dia tetap dikira layak untuk bertanding merebut apa-apa jawatan di peringkat bahagian itu.
Begitu juga dengan pengundian, dahulu semua pengundian untuk jawatan tertinggi dilakukan pada hari perhimpunan agung. Mereka yang menjadi perwakilan dari bahagian yang menentukan. Tetapi hari ini pengundian dilakukan diperingkat bahagian dengan melibatkan lebih ramai ahli yang membuat piilihan, sebanyak 140,000 berbanding dahulu sekitar 1,500 orang ahli saja.
Ini pun kalau hendak dikata proses baru ini terbuka dan demokratik, masih boleh dipertikaikan kerana angka yang dibenarkan mengundi itu jauh lebih rendah dari keahlian Umno yang kini sudah mencecah 3.4 juta?
Mungkin di peringkat pusat kaedah baru ini berkesan kerana ia ada peraturan untuk menentukan apakah seseorang itu layak mendaftarkan diri bagi bertanding jawatan peresiden timbalan, naib atau ahli MT. Mereka diperlukan duduk dalam jawatan kuasa bahagian dalam tempoh tertentu. Ertinya pencalonan untuk jawatan itu ada juga syarat dan pemantauannya.
Tetapi di peringkat bahagian syaratnya agak longgar dan semacam terbuka tanpa ada tapisan langsung. Misalnya sesiapa saja boleh daftar diri bertanding apa sahaja asalnya dia menjadi ahli Umno. Tidak ada sebarang syarat tambahan lain untuk calon. Disebabkan terkebukaan ini ia menimbulkan sedikit kecatatan dan menjadikan kaedah pemilihan baru 'lus' bukannya telus.
Ambil dua contoh yang berlaku di Kelantan dan pasti juga berlaku di negeri lain. Ada ahli yang sudah lama meninggalkan bahagian, tidak menjadi ketua peringkat cawangan tetapi boleh bertanding kerana nama mereka adal dalam daftar keahlian. Melucukan lagi di peringkat cawangan sendiri pun mereka kalah hatta untuk jadi perwakilan ke bahagian pun tidak layak tetapi boleh mendaftarkan diri bagi bertanding ketua bahagian.
Dalam kes lain pula calon itu sudah pun mengistyharkan diri keluar parti dan menyertai PAS sebanyak dua kali. Tetapi masih layak mendaftar diri sebagai calon ketua bahagian tanpa bantahan. Di manakah moral dan integriti kaedah itu kalau hal-hal begitu masih dibiarkan. Rasanya semua orang tahu bahawa ahli berkenaan sudah mengistyharkan diri keluar parti. Apakah pengistyharan itu tidak secara automatik ia sudah keluar menjadi ahli Umno? Aneh binti ajaib.
Dalam satu lagu kes seorang calon timbalan sudah didapati bersalah oleh parti kerana melakukan sesuatu yang menjatuhkan maruah parti di dalam pilihan raya tetapi masih dibenarkan bertanding mempertahankan kedudukannya sebagai timbalan ketua bahagian.
Manakala dalam satu kes lain ada calon ketua puteri Umno bahagian di mana cawangan pimpinannya sendiri sudah mati. Tetapi dia masih dibenarkan bertanding jawatan ketua puteri. Seharusnya perkara itu menjadi syarat bagi melayakan mereka mendaftarkan diri bertanding untuk apa-apa jawatan.
Bagaimana mereka ini yang sudah ternyata lemah, cacat dan tidak komited dengan parti dibenarkan bertanding merebut jawatan. Bukankah pemilihan untuk mendapatkan seorang ketua yang berwibawa, integriti dan sebagainya. Kalaulah calon catat atau cemar begitu dibenarkan bertanding ia tidak akan mencapai matlamat diharapkan.
Paling bahaya ialah bagi calon yang berada di luar tiba-tiba balik bertanding. Mereka tidak ada rangkaian di peringkat bahagian. Dalam erti kata lain tidak ada budi dan jasa. Mereka tidak ada aset untuk mendapat sokongan perwakilan. Dalam situasi sebeginilah rasuah politik akan berlaku. Mereka sudah tentu menggunakan wang untuk meraih sokongan.
Seharusnya pemilihan di peringkat bahagian perlu dipantau dan dikenakan syarat tertentu kepada setiap calon. Syarat mungkin tidak begitu sofisikated sangat tetapi cukup menggariskan beberapa peraturan mudah seperti setiap calon yang hendak bertanding di peringkat bahagian mesti melepasi tapisan ringan cawangan terlebih dahulu. Semisalnya mereka hendaklah menjadi ketua cawangan dan cawangan itu pula harus aktif.
Syarat lain boleh ditambah, pastikan mereka berada dalam kawasan atau secara umumnya mendapat sokongan moral sekurang-kurang 1/3 daripada cawangan. Begitu juga mereka yang diragui keahlian atau pun pernah digantung atau melakukan sebotaj kepada parti, dihukum dengan apa-apa bentuk hukuman dan kesalahan hendaklah dihalusi oleh pihak pimpinan negeri.
Tujuan dikenakan syarat sebegini bagi menjamin proses pemilihan berjalan atas aspirasi yang dikehendaki dan ia tidak akan diketawakan orang ramai dan juga pemerhati.
Sekiranya kecacatan dan kecemaran kecil dalam proses pemilihan cara baru ini tidak diperbetulkan, transformasi yang dilakukan Najib Razak yang disifat sebagai berani oleh pemujanya tidak membawa apa-apa erti besar. Pemerhati khasnya bukan saja tidak nampak dimanakan dinamikanya proses itu melainkan ia hanya satu iklan murah semurah iklan sabun di tv hitam putih sahaja.
Mohd. Sayuti Omar - msomelayu.blogspot.com

Indeks rasuah Malaysia merosot bukti transformasi Najib gagal

Zairil Khir Johari
28 Sep : Sikap Kerajaan Umno BN yang tiada kesungguhan politik dalam membantras gejala rasuah menjadi punca kedudukan negara terus merosot dalam senarai indeks negara dunia bebas rasuah.
Ini berikutan amalan pendakwaan terpilih yang hanya mengheret individu kecil, dan golongan atasan sebagai antara faktor gejala rasuah semakin berleluasa.
Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari berkata, ia menunjukkan Program Transformasi Kerajaan (GTP) yang diperkenal Perdana Menteri, Datuk Seri Najb Razak gagal mencapai matlamat.
Bercakap kepada TV Selangor, beliau berkata usaha membendung gejala rasuah boleh dilaksanakan jika kerajaan serius mengenai perkara ini.
“Ini menunjukkan program transformasi yang dibawa Najib semuanya gagal. Ia selaras laporan terdahulu, Global Financial Integrity (GFI) yang mendapati Malaysia sebagai negara kedua untuk pengaliran wang haram.
“Ini menunjukkan rasuah sebagai gejala berleluasa di Malaysia,” katanya.
Mengikut laporan Asia-Pacific Penipuan Laporan Penyiasatan Siri 2013, Malaysia pada tahap rasuah tertinggi dengan 54 peratus. diikuti China dengan 34 peratus.
Mengulas lanjut, Zairil berkata, peruntukan perundangan sedia ada sepatutnya dilaksanakan dengan betul tanpa berat sebelah.
“Membanteras rasuah, sebenarnya senang. Cuma memerlukan kehendak politik. Maksudnya kerajaan perlu melaksanakan semua undang-undang dengan betul dan tidak berat sebelah,” katanya.

Selangor fokus kepada pembangunan akal dan jiwa

Halimah Ali Hijau Tudung Pink 01
28 Sep : (SOAL JAWAB) Kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor melangkah bergaya selepas PRU 13 lalu apabila buat kali kedua terus diberi kepercayaan mengemudi negeri. Berbekal ketelusan yang menjadi prinsip Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, beliau juga sudah pasti dibantu barisan exco berkaliber.
Salah seorangnya, Dr Halimah Ali yang memegang portfolio Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan.
Ketika usianya kini 53 tahun, semangat beliau tetap membara untuk menterjemahkan maksud Surah Saba’, ayat ke-15 sebagai intipati dalam proses “mengehsankan insan” penduduk di negeri paling maju itu.
Berikut temu bual wartawan Harakah, ARIF ATAN dan SAIDAH HAIRAN bersama beliau di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri, Shah Alam, baru-baru ini.
HARAKAH: Cabaran Dr hadapi sewaktu pertama kali memegang jawatan Exco Kerajaan Negeri selepas PRU12 (2008) lalu?
DR HALIMAH ALI: Penggal pertama dulu antara yang terpaksa untuk dilalui ialah saya perlu menganalisa bagaimana keadaan insan di Selangor. Maknanya, saya perlu mendidik insan di Selangor ini supaya kemudiannya dapat mencapai status “Negeri Idaman, Maju, Sejahtera dan Berkebajikan”.
Bagi menjadikan matlamat dalam halatuju rangka tindakan Kerajaan Selangor 2025 itu jadi nyata pastilah memacu pembangunan modal insan menjadi antara teras utama selain pembangunan fizikal. Jadi, fokus kita ialah bagaimana hendak membangunkan akal dan jiwa penduduknya supaya kualiti insan di Selangor memungkinkan tercapainya visi kerajaan negeri.
Itu terjemah daripada apa yang saya ambil daripada Surah Saba’ ayat ke-15 (antaranya bermaksud, “Makanlah olehmu rezeki yang dianugerahkan oleh Tuhanmu dan bersyukurlah kepada-Nya) hingga sampai satu tahap memungkinkan Selangor jadi negeri terbaik dan diampuni Allah. Kita tidak mahu kemajuan fizikal mencakar kemajuan insan sehingga akhirnya terjerumus menuju kemusnahan. Moga Allah jauhkan.
“Kembali menjiwai” itu makna di sebalik nama Darul Ehsan?
Itu sudah pasti. Darul itu maksudnya negeri. Ehsan dalam konteks masyarakat majmuk kita ada orang Islam dan bukan Islam. Ehsan secara asasnya bermaksud cemerlang. Jadi, ini negeri yang serba-serbinya menjanjikan kecemerlangan. Kita tidak mahu sekadar ungkapan tapi kita menyiapkan insan-insan Selangor yang cemerlang barulah negeri ini darul cemerlang.
Oleh itu, model SPIES (Spiritual, Physical, Intelellectual, Emotional, Social) kita jadikan rujukan dalam program pembangunan modal insan di Selangor. Kita mahu laksanakan pembangunan insan yang berjadual dan secara sedar dipandu nilai spiritualnya dari rumah sampai liang lahad.
Rakyat di Selangor jadi insan yang baik hati, spiritualnya kuat dan sentiasa sedar Allah sentiasa melihat. Jadi, dia akan malu buat jahat dengan adanya ehsan. Itu soal rohani atau spiritual.
Daripada segi fizikal pula, kalau di Selangor sekarang sudah ada 5.8 juta penduduk sebab ramai mahu jadi rakyat negeri ini. Jadi, kita mahu rakyat Selangor jadi sihat dan kuat. Dia mampu dari hujung rambut sampai hujung kaki melakukan kebaikan tadi.
Sekarang ini Kementerian Kesihatan uar-uarkan satu pertiga rakyat Malaysia sudah menghidap kencing manis, darah tinggi. Itu nanti sangkut pula dengan sakit buah pinggang, katarak, sakit jantung dan sebagainya. Maksudnya, aspek fizikal kita tidak dilatih membudayakan kesihatan.
Iya. Cara hidup kita hari ini kita seolah-olah menempah deretan penyakit itu 20, 30 tahun akan datang. Akibatnya? Produktiviti jatuh walaupun individu itu baik rohaninya tapi tidak sihat. Susah. Pak imam umur awal 30-an pun sekarang ini ada sakit jantung, strok. Tak mampulah buat kerja pada tahap maksimum.
Selain itu, apa lagi?
Ciri kedua, fizikal juga ialah kita tidak mahu orang ada ilmu tapi tidak beramal dengan ilmu. Tahu hal itu tak baik tapi buat. Sungai Klang contohnya wajar jadi sumber air untuk orang Selangor. Tak perlu sebenarnya Selangor beli air dari Pahang sebab Selangor ada tiga sungai – Sungai Klang, Sungai Langat, Sungai Selangor.
Kenapa kita tidak boleh guna Sungai Klang untuk kegunaan rakyat di Selangor? Sebab pencemaran. Siapa cemarkan? Adakah monyet di hutan? (ketawa). Kita tahu sungai ini ciri fizikal. Buang minyak ke sungai macam baru-baru ini diesel ke Sungai Selangor. Itu tidak bertindak dengan ilmu.
Baik hati kita juga dinilai melalui tindakan fizikal. Niat saja mahu tolong orang tapi tidak, itu kita tidak mahu. Fizikal ini maknanya tangan, kaki dan seluruh pancaindera digunakan sebagai seorang insan. Niat dan arahkan. Baru kita boleh jadi sejahtera. Apa yang hendak dibuat dan apa yang tidak boleh dibuat anggota tubuh kita.
Bagaimana ciri ketiga dalam formula SPIES?
Kalau ikutkan dasar kerajaan sejak merdeka, asas intelek itu ialah membaca, menulis, mengira. Tapi kita tambah fungsi fikir. Baru kita dapat selesaikan banyak masalah. Contohnya, kenapa Melayu selepas 56 tahun merdeka masih dialah juara kemiskinan? Kenapa Terengganu ada minyak tetapi jadi negeri miskin?
Jadi, kita mahu latih rakyat negeri Selangor berfikir secara analitikal dan kritikal supaya boleh memilih dengan bijaksana. Contoh, kita tengok pilihanraya. Itu tugas besar. Kalau pilih salah, tidak analisa orang atau parti yang hendak dipilih maka dia akan terima akibat kerana tak buat pilihan tepat.
Malangnya, selama ini rakyat tidak dilatih berfikir analitikal dan kritikal.
Lagi contoh. Kenapa Melayu, Cina, India masih bergaduh? Ada semangat perkauman sempit. Kenapa? Sekali lagi sebab tidak mampu berfikir. Tiada sikap saling menghormati keperluan orang yang berbeza kaum dan agama.
Bukan maknanya kita mesti liberal. Tidak. Pasal mazhab, syiah. Tidak habis-habis bergaduh pada 20 rakaat atau 8 rakaat. Bergaduh hal yang sunat tetapi yang fardu dan wajib tidak dibuat. Macam mana tu?
Kita gaduh benda kecil sebabnya kita tak mampu berfikir. Akibatnya, tidak mampu selesaikan masalah. Bahkan kita pula yang cipta, tambah lagi masalah. Nak jadi Selangor yang sejahtera mesti rakyatnya mampu berfikir holistik.

Suhakam :PCA tidak selari dengan hak asasi manusia

SUHAKAM (Human Rights Commission of Malaysia) - Kuala Lumpur, Malaysia
28 Sep : Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) memandang serius terhadap cadangan pindaan ke atas Akta Pencegahan Penjenayah (PCA) 1959 yang disifatkannya menafikan hak seseorang untuk perwakilan undang-undang seperti yang terjamin di bawah Perlembagaan Persekutuan dan perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR).
Pengerusi Suhakam, Tan Sri Hasmy Agam berkata, pihaknya rasa bimbangnya ke atas cadangan pindaan yang dibentangkan di Dewan Rakyat untuk bacaan kali pertama pada 25 September 2013.
"Setelah mengkaji Rang Undang-undang tersebut, Suruhanjaya berpendapat bahawa terdapat beberapa peruntukan terutama sekali berkenaan dengan penahanan tanpa bicara dan perwakilan undang-undang, yang tidak selari dengan prinsip asas hak asasi manusia seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan dan Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR)," kata Hasmy dalam kenyataannya.
Menurutnya, Suhakam juga bimbang dengan cadangan Seksyen 7C yang memberi kuasa kepada Lembaga untuk mengeluarkan perintah tahanan terhadap seseorang yang telah melakukan dua atau lebih kesalahan yang serius, sama ada dia telah disabitkan atau tidak, dan semata-mata berdasarkan kecukupan bukti.
"Suruhanjaya berpendapat bahawa peruntukan ini mencabuli hak seseorang kepada perbicaraan yang adil, perlindungan terhadap perbicaraan berulang serta hak untuk kesaksamaan di sisi undang-undang dan hak untuk dipertimbangkan tidak bersalah sehingga terbukti bersalah, seperti yang diperuntukkan di bawah Perkara 7(2) dan Perkara 8(1) dalam Perlembagaan Persekutuan," katanya.
Pihaknya juga melahirkan rasa kecewa ke atas cadangan Seksyen 15A yang menghalang semakan kehakiman ke atas keputusan Lembaga melainkan perkara-perkara yang berkenaan prosedur seterusnya menafikan hak seseorang individu untuk mendapatkan perbicaraan yang adil di mahkamah dengan segala jaminan yang perlu untuk pembelaannya.
Dalam usaha Kerajaan memerangi jenayah, adalah penting untuknya memastikan bahawa undang-undang yang digubal adalah progresif dan tidak mundur, menyedari akan kedudukan Malaysia sebagai ahli kepada Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa yang mengkehendakinya menegakkan piawaian tertinggi dalam mempromosi dan melindungi hak asasi manusia di negara ini.
Oleh itu, katanya, suruhanjaya berpendapat adalah penting untuk Kerajaan menangguhkan pembentangan kali kedua rang undang-undang tersebut dan menjalankan kajian semula ke atas cadangan-cadangan pindaan dengan mengambil kira prinsip-prinsip hak asasi manusia berikut
• Bahawa penahanan tidak boleh dibuat sewenang-wenangnya;
• Bahawa penahanan mestilah berdasarkan sebab dan prosedur yang ditetapkan oleh undang-undang;
• Bahawa maklumat tentang sebab-sebab penahanan mesti diperuntukkan; dan
• Bahawa hak untuk perbicaraan yang adil dan akses kepada perwakilan undang-undang mesti diperuntukkan.
Menurut Hasmy, suruhanjaya berpendapat bahawa selaras dengan matlamat ternyata Kerajaan untuk menggerakkan negara ke arah mencapai status negara maju pada masa akan datang, adalah penting untuk Malaysia menunjukkan pematuhan sepenuhnya dengan norma-norma hak asasi manusia di samping memastikan penglibatan yang bermakna bersama pelbagai pihak berkepentingan di dalam proses kajian semula undang-undang dan perancangan dasar yang mana Kerajaan komited untuk menjalankan.

27 September 2013

Cegahlah jenayah, bukan cabuli hak asasi manusia

28 Sep : SUARAM menolak sebarang penggubalan atau pindaan undang-undang yang mengandungi elemen tahan tanpa bicara. Bermula dengan penggubalan SOSMA yang masih menjadi pertikaian banyak pihak, kini kerajaan sekali lagi mengambil langkah ke belakang apabila memasukkan elemen tahan tanpa bicara dalam pindaan terbaru Akta Pencegahan Jenayah 1959. Keadaan ini menjadikan hak asasi rakyat Malaysia terus diperjudikan oleh Kerajaan. Cadangan pindaan terbaru Akta Pencegahan Jenayah menjadi akta tersebut tidak ubah seperiti gabungan tiga akta drakonian iaitu SOSMA, ISA dan EO.

Menteri berbohong, pindaan dibuat tanpa konsultasi yang menyeluruh

SUARAM mempersoalkan ketulusan Menteri Dalam Negeri dalam menyiapkan draf pindaan Akta Pencegahan Jenayah. Sekiranya benar pihak menteri ingin menghasilkan satu undang-undang yang memberi manfaat kepada semua pihak, maka draf tersebut sepatutnya dibuat dengan mendapatkan pandangan daripada pelbagai pihak. Namun setakat maklumat yang diterima oleh pihak SUARAM, draf tersebut langsung tidak melalui proses konsultasi yang menyeluruh termasuk tidak diperbincangkan dengan Majlis Peguam.  

Perkara ini bercanggah dengan kenyataan beliau yang disiarkan Malaysiakini pada 6 julai lalu sebagai berkata, kerajaan akan mengadakan perbincangan    dengan pelbagai pihak termasuk NGO dan Parti Pembangkang bagi memperkemas sebarang undang-undang baru yang akan diperkenalkan.

SUARAM menyifatkan tindakan membentangkan pindaan Akta Pencegahan Jenayah di parlimen tanpa konsultasi yang menyeluruh merupakan satu pengkhianatan dan pembohongan menteri terhadap rakyat. 

Janji Perdana Menteri hanya tinggal janji

Pada 15 September 2011, semasa mengumumkan pemansuhan ISA dan Ordinan Darurat, Perdana Menteri memberi jaminan tidak akan ada lagi undang-undang yang membenarkan tahanan lanjutan. Perdana Menteri juga memberi jaminan bahawa sebarang undang-undang baru yang akan digubal akan tertakluk sepenuhnya dibawah kuasa mahkamah.

Namun dalam cadangan pindaan terbaru Akta Pencegahan jenayah, terdapat peruntukan yang membenarkan seseorang itu dikenakan tahanan lanjutan sehingga dua tahun. Lebih menyedihkan apabila kuasa untuk mengenakan tahanan lanjutan itu terletak dibawah kuasa sebuah Lembaga Khas dan bukannya Mahkamah.

Walaupun ahli Panel Lembaga Khas itu akan dianggotai oleh Hakim samada dari Mahkamah Persekutuan, Rayuan atau Mahkamah Tinggi, namun seorang Hakim tidak memiliki sebarang kuasa untuk menjatuhkan sebarang hukuman ke atas mana-mana individu diluar mahkamah. Turut menjadi persolan ialah bagaimana proses  lantikan panel Lembaga itu dibuat?. Apakah Lembaga ini akan benar-benar bebas daripada pengaruh eksekutif?

Peguam Negara perlu nyatakan pendirian jelas
SUARAM juga menuntut Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail untuk menyatakan pendirian jelas mengenai pindaan terbaru Akta Pencegahan Jenayah ini. Peguam Negara sebelum ini dengan tegas mengatakan negara kita sudah tidak memerlukan undang-undang tahan tanpa bicara seperti EO dan ISA. Peguam Negara juga seperti yang dilaporkan The Malaysian Insider bertarikh 25 ogos 2013 sebagai berkata, EO tidak akan menyelesaikan masalah jenayah tetapi Polis sudah ketagih untuk menggunakan EO.

Maka SUARAM ingin bertanya pendirian terkini Peguam Negara mengenai hal ini. Jika benar Tan Sri Abdul Gani Patail jujur dalam membela kepentingan hak asasi rakyat, maka beliau perlu menyatakan dengan tegas bahawa tindakan meminda Akta Pencegahan Jenayah merupakan satu kesilapan. 

Cegah jenayah penting, tapi bukan dengan tahan tanpa bicara

SUARAM menyatakan pendirian jelas bahawa SUARAM menyokong sebarang usaha bagi mengekang kejadian jenayah yang semakin meruncing di negara ini. Namun usaha tersebut mestilah dijalankan dengan mematuhi prinsip hak asasi sejagat.  

Polis Diraja Malaysia memiliki rekod yang cemerlang dalam mematahkan kejadian jenayah dan memburu penjenayah tanpa menggunakan undang-undang pencegahan. Sebagai contohnya, dalam tempoh Polis menggerakkan Ops Cantas dan Ops Cantas Khas yang bermula ogos lalu, kadar janyah indeks khususnya jenayah kekerasan telah berjaya diturunkan sehingga 42%. Hal ini menunjukkan pihak Polis berjaya mengendalikan kes-kes jenayah dengan menggunakan undang-undang sedia ada. 

Oleh itu SUARAM ingin mempersoalkan tujuan sebenar yang terselindung di sebalik cadangan pindaan terbaru ini.

Menteri Dalam Negeri tidak boleh menyalahkan rakyat sekiranya rakyat mempersoalkan niat sebenar pindaan Akta Pencegahan Jenayah ini. Hal ini kerana sejarah telah banyak menunjukkan bagaimana ISA dan EO mencabuli hak asasi rakyat sepanjang akta tersebut berkuatkuasa. Pada tahun 1960, Kerajaan menjadikan keganasan komunis sebagai alasan untuk menggubal ISA. Hasilnya, dalam tempoh 30 tahun, lebih 10,000 aktivis politik dan NGO menjadi mangsa akta zalim tersebut.  Bahkan sehingga kini, masih terdapat 7 orang tahanan ISA yang masih belum dibebaskan dari Kem Tahanan Kamunting. 

Kali ini kerajaan menggunakan jenayah sebagai alasan untuk membenarkan penahanan tanpa bicara melalui pindaan Akta Pencegahan Jenayah 1959. Maka sudah pasti ramai pihak akan membimbangi masa depan demokrasi dan hak asasi rakyat Malaysia.

Dr Mahathir baru terjumpa pemimpin yang “smart”

28 Sep : Akta Pencegahan Jenayah (PCA) pula diperkenalkan dan ia nampaknya adalah pengganti kepada ISA yang dimansuhkan. Sesungguhnya ia ISA dengan nama yang berlainan. Ia ibarat menukar nama daripada goreng pisang ke pisang goreng. Pisang goreng dan goreng pisang itu sama saja rasanya.Sanusi Joned yang termasyur dengan kepandaiannya pernah menukar nama goreng pisang kepada nama ringkas, iaitu gorpis. Semuanya sama.
Saya bukan hendak menyokong atau menentang pindaan ini. Tetapi saya lebih cenderung untuk menuduh kerajaan sedang cuba untuk membohongi rakyat kerana itu merupakan janji BN dalam pilihan raya yang lalu. Kadang kala kita bukan marah sangat kepada apa-apa akta yang digubal itu atau apa-apa pindaan kepada apa-apa akta. Yang kita kadang kala marah dan merungut itu ialah kerana tindakan mengelirukan rakyat.
Jika kerajaan mahukan perkara yang sama kenapa dimansuhkan ISA dahulu sedangkan penggantinya itu serupa ISA juga? Sebenarnya kita tahu tidak ramai yang tidak setuju dengan ISA itu dahulu kerana ia wujud untuk mejaga keselamatan rakyat dan negara. Yang menjadi isu ialah ISA itu disalahgunakan oleh kerajaan. Tidak ada apa bahayanya pemimpin pembangkang atau kerajaan suatu ketika dahulu tetapi oleh kerana kepentingan politik peribadi maka kerajaan mengambil langkah untuk menangkap pemimpin politik dalam operasi lalang pada 1988 dahulu.
Ramai pemimpin politik pembangkang menjadi mangsa ISA. ISA itu wujud untuk menghapuskan jenayah yang dilakukan komunis yang berusaha untuk merampas kuasa dengan membuat kacau-bilau. Akta keselamatan dalam negeri itu dipergunakan untuk meyelamatkan atau menyambung usia politik pimpinan yang mula lemah dan tidak disokong rakyat.
Sesungguhnya Umno selamat begitu lama bukannya oleh kerana keindahan dan kebaikan parti itu tetapi oleh kerana tekanan terhadap rakyat melalui akta tersebut. Ia bukan kerana kebaikan kepimpinan parti itu.
Mahathir sendiri dua hari yang lalu meminta Umno memilih pimpinan yang ‘smart’ kerana mengikut beliau Umno sekarang ini dipenuhi oleh mereka yang bodoh dan tidak pandai. Sekarang Mahathir sudah semakin jelas mengakui hakikat yang Umno sudah tidak lagi ada pemimpin yang ‘smart’ seperti yang diperlukan oleh parti. Tetapi oleh kerana terlalu banyak bercakap dan bertindak dengan segala ‘intrigue’ beliau dalam parti lebih dua dekad, akhirnya Umno berada dalam keadaan yang beliau katakan hari ini.
Hanya yang tertinggal sedikit dalam kenyataan Mahathir itu, ialah ayat yang mengakui yang beliaulah yang memulakan budaya mencantas orang yang ‘smart’ dalam Umno itu. Beliau tidak pernah merasa lega dan selesa semasa Umno itu dipenuhi oleh orang ‘smart’ semasa itu, lebih-lebih lagi setelah beliau memegang tampuk kuasa.
Pada hari pertama beliau mendapat kuasa itu pada 1981 dahulu sudah dicantasnya seorang arkitek pembinaan asas ekonomi negara yang banyak jasa kepada negara berserta dengan pengorbanan diri beliau seratus peratus terhadap pembangunan negara. Orang itu tidak lain daripada Tengku Razaleigh Hamzah yang sinonim dengan pembangunan dan pengurusan Petronas, Bank Bumiputra, PNB dan banyak lagi bekas tangan dalam pembinaan negara Malaysia ini.
Mahathir mahu menutup apa jasa TR dengan pimpinan lain kerana beliau hanya mahu semua pihak menumpukan kepada beliau sahaja. Mahathir tidak mahu mengakui dan sesiapa pun tahu bagaimana kepimpinan muda negara seperti TR menjadi seorang yang pertama di luar AS yang terpilih menjadi Pengerusi Bank Dunia.
Dalam masa yang sama TR juga pengerusi kepada IMF, Bank Pembangunan Asia dan Bank Islam Antarabangsa. Keempat-empat jawatan dan tanggungjawab ini dipikul oleh TR dalam masa serentak. Keempat-empat institusi kewangan ini mempunyai fungsi yang berlainan antara satu dengan yang lain.
Di mana letaknya keikhlasan Dr Mahathir yang kini mahukan pemimpin yang muda untuk menerajui pimpinan negara sedangkan beliau terkenal dengan sikap menutup kebaikan dan jasa orang lain yang benar-benar jitu dan di sebaliknya mencari segala kelemahan untuk menafikan kemampuan orang lain.
Bagaimana sekarang Dr Mahathir pula yang bercakap mengatakan pimpinan Umno sekarang semuanya pemimpin bodoh dan wajar mengundurkan diri untuk memberi mereka yang lebih muda untuk tampil kehadapan. Adakah apabila Mukhriz anak bongsu beliau sekarang sedang mencuba nasib bertanding Naib Presiden Umno baru beliau hendak bercakap tentang peranan penting orang muda.
Khairy Jamaludin merupakan anak muda dan beliau merupakan ‘budding leader’ yang kini menjadi perhatian ramai tidak mendapat sokongan Mahathir sedangkan Khairy jauh lebih muda daripada anak bongsunya sendiri? Mahathir is Mahathir. Sekarang apabila anak bongsunya mahu mencelah untuk menjadi Naib Presiden parti, maka Zahid Hamidi sudah menjadi pemimpin tua, Shafie Apdal sudah tua dan Hishamudin pun sudah tua. Bagi beliau pemimpin muda yang layak hanyalah anaknya Mukhriz.
Kita tidak menafikan Mukhriz itu ada sedikit kemampuan tetapi tidak payahlah mengata orang itu tua dan orang ini sudah lanjut usia dan sebagainya. Sekarang ini Mahathir baru mengatakan yang Umno itu dipenuhi dengan pemimpin bodoh. Jika itu benar maka kepimpinan yang beliau anggap bodoh itu adalah pemimpin yang beliau gunakan untuk bertepuk tangan menyokong beliau sendiri. Kalau dahulu berguna kenapa sekarang tidak berguna lagi, semata-mata kerana anak kesayangannya hendak mengambil alih.
Bagi Mahathir, jika anak atau ahli keluarganya berkehendakkan jawatan dalam Umno orang lain mesti ketepi dan berikan laluan mudah untuk anaknya sahaja. Apabila anaknya mahukan jawatan, orang lain mesti berundur dan menganggap pemimpin lain itu sebagai ‘Red Indian’ semata-mata. Orang lain itu diibaratkannya sebagai orang semenda, dipanggil datang di suruh pergi’. Negara ini beliau yang punya.
Setiap pemimpin Umno beliau mangsakan untuk kepentingan beliau. Mahathir berjaya memperbodohkan pimpinan Umno kerana tidak ada seorang pun yang berani meminta Dr Mahathir untuk menutup mulut seperti beliau lakukan kepada ‘predecessors’ beliau apabila mereka (Tunku dan Hussein) mengkritik pentadbiran beliau.
Jika benar barisan pimpinan Umno sekarang adalah barisan yang bodoh, ketahuilah yang membariskan pimpinan bodoh ini adalah beliau sendiri. Kita mesti ingat yang anaknya sendiri itu adalah hasil didikan beliau. Justeru tidak terkejut kita jika anaknya itu adalah daripada kategori yang beliau anggap bodoh itu.
Selagi Umno berada dalam cengkaman pemimpin ini, selagi itulah Umno tidak akan berubah kerana kelemahan yang beliau wujudkan dalam barisan kepimpinan Umno itu sememangnya untuk menjadikan anaknya nampak cerdik, kata perbilangan seorang yang celik di kalangan yang buta.
Puas Dr Mahathir mencari pemimpin yang smart selama ini di mana-mana, rupanya ia berada dalam rumahnya sendiri. Alhamdulillah! 
aspanaliasnet.blogspot.com