SPECIAL ADS

30 Jun 2015

Industri bekalan air di negeri itu akan dimuktamadkan tidak lama lagi



Kerajaan negeri Selangor memberi jaminan bahawa penstrukturan semula industri bekalan air di negeri itu akan dimuktamadkan tidak lama lagi. 

Menteri Besar Mohamed Azmin Ali berkata hanya ada satu isu yang masih belum diselesaikan antara negeri dan persekutuan selepas perbincangan lanjut dengan Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air minggu lepas. "Saya telah bertemu Menteri (Maximus Ongkili) untuk membincangkan tiga isu. 

Walau bagaimanapun, hanya satu isu tidak dipersetujui oleh kedua-dua pihak. "Saya juga telah bertemu dengan Perdana Menteri (Najib Tun Razak) untuk meminta pandangan beliau mengenai pendekatan untuk mengambil dalam hal ini," katanya kepada pemberita di sini, hari ini. 

Azmin enggan mengulas lanjut mengenai isu itu. Pada 17 Jun, Kerajaan Persekutuan menggesa kerajaan negeri untuk terus bekerja bersama-sama untuk melaksanakan penstrukturan semula dan projek Langat 2 Loji Rawatan Air dan sistem pengedaran seperti yang dipersetujui oleh kepimpinan negeri sebelumnya. 

Menurut Ongkili, jika penstrukturan semula industri air di Selangor masih tidak dapat diselesaikan, Kerajaan Persekutuan boleh mengambil alih kawalan operasi pengagihan bekalan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya, di bawah Seksyen 114 Akta Industri Perkhidmatan Air 2006. 

Dalam perkembangan lain, Azmin berkata mereka kini bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan pada Projek Tebatan 2 untuk mengalihkan air bersih dari utara ke selatan negeri ini. 

Kerja-kerja ini dijangka siap pada September untuk memenuhi permintaan yang tinggi untuk bekalan air di selatan Selangor, di samping mengelakkan catuan air. "Bagi kawasan yang kini mengalami kekurangan air, kami telah mengarahkan Syabas (Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd) untuk terus menyalurkan air kepada pengguna. "Tangki air juga sedang dibina di kawasan yang sering mengalami gangguan bekalan sebagai penyelesaian jangka panjang kepada masalah ini," kata beliau. OK

29 Jun 2015

Ringgit menjunam paras terendah dalam 10 tahun

Hasil carian imej untuk ringgit malaysia
Ringgit jatuh ke paras terendah bagi tempoh 10 tahun hari ini dalam dagangan berhati-hati susulan kebimbangan isu hutang Greece, kata peniaga.
Pada 5 petang, nota tempatan itu diniagakan pada 3.7825/7855 berbanding dolar AS, daripada 3.7660/7690 pada Jumaat.   
Kebimbangan akan kemungkinan Fitch Ratings menurunkan penarafan Malaysia turut mempengaruhi mata wang tempatan.
 Seorang peniaga berkata dolar AS meneruskan momentum aliran menaik dengan perbelanjaan pengguna AS bagi Mei mencatat peningkatan tertinggi dalam tempoh hampir 6 tahun dan ini disokong oleh unjuran kenaikan kadar faedah AS dalam tahun ini juga.
Nota tempatan turut ditutup rendah berbanding mata wang utama lain kecuali euro.    
Ia jatuh berbanding dolar Singapura kepada 2.8004/8045 daripada 2.7996/7020 pada Jumaat lepas dan merosot berbanding yen kepada 3.0762/0799 daripada 3.0516/0543.
Ringgit lemah berbanding pound British pada 5.9400/9459 daripada 5.9318/9369, namun mengukuh berbanding euro kepada 4.2016/2061 daripada 4.2194/2235 Jumaat lepas.
Sementara itu, kelemahan prestasi ringgit serta pasaran saham tempatan ketika ini adalah reaksi spontan terhadap kebimbangan melibatkan hutang Greece yang tertunggak serta kemungkinan pihak Fitch Ratings menurunkan penarafan kredit Malaysia.
Ketika berkongsi pandangannya, Naib Presiden dan Ketua Penyelidikan Runcit Affin Hwang Investment Bank, Datuk Dr Nazri Khan, berkata butiran rundingan penyelesaian antara Greece dan pemberi pinjaman asing ternyata turut menjejaskan sentimen di seluruh dunia selain memberi kesan ke atas pasaran saham serantau.
"Kami menjangkakan kesan terhadap pasaran saham tempatan ini selepas rundingan (Greece) itu gagal. Malah, pasaran sememangnya membuat jangkaan awal akan berlakunya tunggakan bayaran oleh Greece terhadap pinjaman Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) sebanyak €1.6 bilion, yang dijadualkan esok," katanya kepada Bernama, hari ini.
Bagaimanapun, jelas Nazri, kesan terhadap Malaysia dijangka minimum kerana pendedahan langsung negara ini terhadap Greece adalah kurang daripada 5% daripada jumlah keseluruhan perdagangan.
"Bursa saham tempatan dijangka kembali pulih dalam masa satu atau dua minggu lagi dan pelabur digalakkan membeli saham-saham yang memiliki asas baik pada harga yang murah," katanya.
Jelasnya lagi, jangkaan terhadap kenaikan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) turut menyumbang terhadap kelemahan ringgit.
"Unit tempatan itu mencecah paras 3.78 bagi setiap dolar AS iaitu yang paling lemah dalam tempoh 10 tahun yang disebabkan gabungan pelbagai faktor," katanya.
Namun, Nazri tetap berkeyakinan pihak Fitch Ratings tidak akan menurunkan penarafan kredit negara ini biarpun Ketua Bahagian Penarafan Negara Asia Pasifik firma penarafan itu, Andrew Colquhoun, pada Mac lalu berkata kemungkinan penarafan Malaysia akan diturunkan adalah sebanyak 50%.
"Penurunan itu akan menjadi yang pertama untuk negara sejak tahun 1998 dan akan hanya berlaku jika kerajaan tidak mengurangkan pembiayaan awam. Kerajaan sebaliknya menunjukkan komitmen dengan mengambil pelbagai langkah bagi mengurangkan hutang serta mengubah ekonomi menjadi lebih pelbagai dan berdaya tahan," katanya. – Bernama

Rombakan Kabinet 2015 Malaysia : Menteri Kabinet Yang Patut Disingkir dan Ditukar Potfolio?

rombakan kabinet 2015 malaysia
Rombakan Kabinet 2015 Malaysia : Menteri Kabinet Yang Patut Disingkir dan Ditukar Potfolio? Ada Cadangan?
Jikalau menteri kabinet di negara maju dan besar seperti Jepun dan Amerika Syarikat hanya mempunyai 16 dan 18 menteri sahaja, Bolivia 27 dan Belgium 21 menteri kabinet, United Kingdom dengan 23 menteri kabinet mereka, manakala negara India yang memilik penduduk sejumlah 1.1 bilion mempunyai 32 menteri kabinet sahaja.
Jadi, mengapa Malaysia hanya sekadar negara membangun dengan penduduk sekitar 30 juta sahaja berlagak mewah membelanjakan pembayar cukai untuk menanggung sejumlah 35 menteri kabinet? Mengapa?
Adakah mereka ini benar-benar membela rakyat sehingga berjaya mengangkat nama dan ekonomi Malaysia melonjak ke paras yang begitu membanggakan? Atau sebenarnya bertujuan untuk menyuapkan mereka ini bagi memberikan peluang seramai mungkin kuasa atas nama kapasiti pemimpin politik? Adakah perbelanjaan boleh guna rakyat semakin baik?
  • Untuk apa Malaysia perlu ada sehingga 2 menteri kewangan?
  • Perdana Menteri tidak perlu pegang jawatan kepada Menteri Kewangan
  • Mengapa begitu ramai dilonggokkan di Menteri di Jabatan Perdana Menteri?

Punca Rombakan Kabinet 2015 Malaysia?

Berita terkini yang Berita Semasa perolehi, dijangka rombakan kabinet 2015 Malaysia akan berlaku tidak lama sahaja lagi iaitu selepas hari raya 2015. Apa punca dan sebab rombakan kabinet 2015 Malaysia tidak dapat ditunggu Datuk Seri Najib Razak lagi
  1. Meningkatkan kembali keyakinan anda semua terhadap menteri kabinet yang ada selepas ini
  2. Menggantikkan menteri kabinet yang lebih bertenaga dan segar
    menukar menteri kabinet yang acapkali dilihat playsafe ketika memegang jawatan menteri
Persoalannya menteri manakah yang bakal menjadi sasaran Datuk Seri Najib Razak untuk digantikan dan ditukarkan portfolio dalam edisi rombakan kabinet 2015 malaysia kali ini. Apa cadangan anda?
P/S : Sebenarnya kewujudan kementerian dan menteri adalah bertujuan untuk melancarkan dan melicinkan pentadbiran dalam menguruskan negara bukannya memberikan ganjaran kepada kalangan kawan-kawan anda yang menang. Jangan belanjakan duit pembayar cukai sesuka hati anda. Sebagai peringatan bersama kepada yang sedang berkuasa, dan yang bakal berkuasa kelak. BS

TMJ : Pemimpin yang pengecut merupakan manusia paling bahaya


Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengingatkan bahawa pemimpin yang pengecut merupakan manusia paling bahaya sekali, sambil menekankan tentang pentingnya integriti dalam kepimpinan.

Tunku Ismail berkata nenda baginda - Almarhum Sultan Iskandar - selalu berpesan bahawa sifat kepimpinan yang paling agung adalah integriti, yang menurut baginda, semakin sukar dijumpai.

"Baginda juga berpesan bahawa seorang pemimpin yang pengecut merupakan manusia yang paling bahaya sekali, dan salah satu ujian dalam kepimpinan adalah untuk mengenal pasti sesuatu masalah sebelum ianya menjadi darurat.

"Baginda juga mendidik saya bahawa pemimpin yang hebat memperoleh kekuatan untuk mencapai visinya daripada semangat yang kental dan bukannya daripada jawatan atau kedudukannya," tegas baginda dalam Facebook Johor Southern Tigers.

Tunku Ismail bertitah bahawa baginda bersyukur kerana telah dibesarkan dan dididik oleh dua pemimpin yang unggul, iaitu Almarhum Sultan Iskandar dan ayahanda baginda Sultan Ibrahim.

Tunku Ismail bertitah, nasihat baginda kepada semua pemimpin dalam setiap sektor kerajaan, NGO dan organisasi di Johor adalah supaya memberikan inspirasi dan memimpin segenap lapisan rakyat.

"Jangan cuba memanipulasi dan menguruskan orang. Inventori barangan boleh diuruskan, tetapi rakyat harus dipimpin melalui tauladan dan dengan berintegriti.

"Ingatlah bahawa kunci kepimpinan yang cemerlang pada hari ini adalah dengan mempunyai pengaruh, bukannya dengan menunjukkan kuasa.

"Tiada maknanya jika anda mempunyai kuasa tetapi tidak mampu mempengaruhi rakyat secara positif. Sekiranya anda mempunyai kuasa tetapi tidak mampu mempengaruhi rakyat secara positif, itu petanda yang anda tidak layak menjadi seorang pemimpin," titah baginda.

Tunku Ismail juga bertitah nampaknya apa yang baginda katakan sering membuatkan ramai orang melenting.

"Oleh itu, saya hanya bercakap dalam konteks Negeri Johor yang dekat di hati saya," titah baginda lagi. MK

26 Jun 2015

Khalid Ibrahim sedia dilantik semula MB Selangor



PETALING JAYA: Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sedia kembali menjadi Menteri Besar Selangor bagi memastikan negeri itu ditadbir secara telus, bertanggungjawab dan bebas rasuah. 

Namun, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bebas Pelabuhan Klang itu berkata, beliau hanya boleh kembali menerajui Selangor jika mendapat majoriti mudah dalam Dewan Negeri Selangor (DNS).


"Saya sedia kembali menjadi Menteri Besar jika mendapat sokongan bagi memastikan Selangor ditadbir dengan telus, bertanggungjawab dan bebas rasuah," katanya seperti dilaporkan Malaymail Online.

Desas-desus sudah mula tersebar Abdul Khalid akan kembali menjadi Menteri Besar bagi menggantikan Mohamed Azmin Ali.

Dakwaan itu timbul apabila kemelut politik yang melanda DAP dan Pas yang turut sama mengheret Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang menjejaskan pentadbiran negeri.

Azmin dikatakan tidak lagi mendapat sokongan DAP malah beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (PKR) juga tidak menaruh kepercayaan terhadap pemimpinan Azmin sebagai Menteri Besar.

Ketidaktentuan politik di Selangor mendapat perhatian Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang mengingatkan kerajaan negeri memastikan kestabilan supaya pembangunan dapat diteruskan untuk rakyat.

Sejak akhir-akhir ini, kelibat Abdul Khalid kerap kelihatan dalam program-program rasmi yang dihadiri Sultan Selangor sekaligus menguatkan lagi desas desus itu.

Abdul Khalid diturunkan dari jawatan Menteri Besar selepas dituduh dengan pelbagai tuduhan antaranya penyelesaian hutang dengan Bank Islam yang meragukan, memberi kelulusan kepada pembinaan Lebuhraya Kinrara-Damansara (KIDEX) dan menandatangani penjanjian air dengan Kerajaan Persekutuan.


Namun, dakwaan-dakwaan itu khususnya berkaitan penyelesaian hutang Bank Islam gagal dibuktikan sehingga kini malah Azmin sendiri meneruskan perjanjian air yang telah dimulakan oleh Abdul Khalid. FMT

21 Jun 2015

Dr. M : Takut tuduhan jenayah, Najib tidak akan letak jawatan


Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini terus menyerang Datuk Seri Najib Razak, mengatakan perdana menteri itu mungkin enggan meletak jawatan kerana beliau takut dikenakan tindakan undang-undang.

Dalam satu video yang dimuat naik di blog Din Turtle, bekas perdana menteri itu, pada satu majlis diadakan di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya berkata, selagi Najib kekal berkuasa, negara akan merosot dan tidak stabil.

"Tentang nasihat, saya dah nasihat. Tentang ugut pun, saya dah ugut. Tapi dia kata dia tak akan berhenti.

"Sebab dia tak akan berhenti, saya ingat, pasal dia takut. Kalau dia berhenti, 'maybe' kena 'criminal charge'," katanya.

Ini, katanya, berkaitan hutang RM42 bilion yang ditanggung dana pelaburan strategik negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

"Mana pergi duit itu? Dia kena terangkan. Dia cakap memanglah, melabur sana, melabur sini, tetapi tiada bukti selain daripada membeli tanah dengan harga yang murah dan membeli kilang elektrik dengan harga yang terlalu tinggi.

"Jadi, banyak sangat kesalahan Najib ini dan saya percaya selagi dia menjadi perdana menteri, negara kita akan merosot dan menjadi sebuah negara bermasalah dan tidak lagi stabil, tidak lagi menjadi tempat kita selesa hidup dengan sempurna," katanya.

Dr Mahathir berkata, itu satu daripada sebabnya mengapa beliau mengisytiharkan beberapa bulan lalu yang Najib perlu meletak jawatan tetapi katanya, ramai yang masih tidak memahami isu di sekitar 1MDB.

"Susah nak fikir RM1 bilion, satu juta (ringgit) pun kebanyakan orang Melayu tak kenal. Ini RM42 bilion, susah kita nak fikir. Sebab itu mereka ambil jalan mudah, (dan berkata) takpalah, apa sangat kesalahannya," katanya.

Kenyataan Dr Mahathir tersebut mengulang apa yang pernah dikatakannya pada wawancara dengan The New York Times (NYT) minggu lalu apabila beliau dipetik berkata, tindakan Najib ibarat beliau seorang penjenayah.

Beliau ditanya akhbar harian Amerika Syarikat itu berhubung kritikannya terhadap 1MDB, dakwaan gaya hidup mewah isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor dan persoalan menyelubungi pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Dr Mahathir tidak jemu-jemu mengkritik 1MDB dan Najib, yang merupakan menteri kewangan dan pengerusi lembaga penasihat syarikat milik Kementerian Kewangan itu.

Dalam video tersebut, beliau juga mengingatkan orang Melayu sekiranya mereka gagal menyedarkan diri sendiri tentang isu yang berlaku, besar kemungkinan mereka akan tewas dibandingkan kaum lain, sama seperti keadaannya di Singapura dan selatan Thailand.

Berhubung laporan NYT itu, Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman membidas perkara itu dalam satu surat terbuka, melahirkan kekesalan kerana Dr Mahathir cuba merosakkan negaranya sendiri dalam media antarabangsa sebagai "sebahagian daripada dendam politik peribadi."

Beliau juga berkata, menuduh Najib ibarat seorang penjenayah adalah tidak bertanggungjawab dan satu pembohongan.

"Beliau terus melancarkan serangan, dan tidak sebaliknya menunggu hasil siasatan yang dijalankan Bank Negara Malaysia, Ketua Audit Negara dan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara.

"Ini menunjukkan Dr Mahathir tidak berminat kepada jawapan daripada pihak berkuasa berkenaan yang sah. Sebaliknya, beliau hanya menggunakan 1MDB sebagai alasan menjatuhkan perdana menteri," katanya dalam suratnya. TMI

17 Jun 2015

FGV Bayar Mahal Kepada Sondakh ???

A Kadir Jasin
MUTAKHIR, 15 Jun – Pelabur tidak teruja dengan pembelian Eagle High Plantations (EHP) oleh FGV. Walaupun FGV mendakwa penilaian berdasarkan “enterprise value” (nilai perniagaan) itu berpatutan, tetapi pelabur tidak yakin. Sahamnya jatuh di Bursa Malaysia kepada RM1.68 jam 12.29 tengah hari tadi berbanding RM1.86 apabila digantung 11 Jun.

POSTING ASAL
PADA pandangan mata kasar, pembelian 37 peratus saham ladang PT Eagle High Plantation (EHP) di Indonesia oleh Felda Global Ventures Bhd (FGV) amatlah memberangsangkan.

EHP adalah anak syarikat konglomerat Rajawali iaitu salah sebuah syarikat terbesar di Indonesia. Rajawali dimiliki oleh Peter Sondakh yang disenaraikan oleh majalah Forbes sebagai orang kesembilan terkaya di Indonesia. Beliau bergelaran Tan Sri (kehormat).

Tan Sri Peter Sondakh "Penasihat" Mohd Najib
Urus niaga itu selaras dengan dasar kerajaan menggalakkan pelaburan Malaysia di luar negara dan dengan kedudukan FGV sebagai syarikat multinasional dalam bidang perladangan.

Lagipun bagi pelabur sektor perladangan, harapan memperluaskan ladang di dalam negara sudah tidak ada atau terhad kerana kita tidak lagi membenarkan pembukaan besar-besaran hutan belantara.

Dalam urus niaga itu, FGV membayar AS$680 juta (kira-kira RM2.5 bilion) dalam bentuk tunai dan saham. Pembelian itu turut merangkumi 95 peratus ladang tebu milik Rajawali.

Bagaimanapun, timbul beberapa persoalan yang perlu dianalisis dan difahami mengenai urus niaga itu.

1. Yang menggusarkan ialah harga yang dibayar oleh FGV sangat tinggi berbanding nilai pasaran saham EHP. FGV membayar hampir sekali ganda nilai saham EHP di Bursa Saham Indonesia (ISX). FGV membayar 800 rupiah sesaham sedang harga EHP di pasaran hanya sekitar 400 rupiah.

2. FGV nampak sangat murah hati walaupun ia sendiri berada dalam keadaan kesulitan akibat kelemahan harga minyak sawit, banjir besar Disember-Januari lalu yang menjejaskan pengeluaran ladang-ladangnya serta harga sahamnya yang merudum di Bursa Malaysia.

3. Contohnya, keuntungan tahun 2014 jatuh daripada RM1.56 bilion kepada RM826.4 juta kerana kemarau. Bagi suku pertama tahun ini (Januari-Mac) keuntungannya jatuh 98 peratus kepada hanya RM3.6 juta manakala harga sahamnya di Bursa Malaysia merudum daripada harga IPO RM4.55 pada tahun 2012 kepada kurang daripada RM2 sekarang.

4. Jadi adakah ini masa yang sesuai bagi FGV membuat pembelian dan pada harga yang jauh melebihi harga pasaran?

5. Ini menyebabkan penganalisis membuat andaian bahawa urus niaga itu lebih berupa operasi membantu Rajawali dan Peter Sondakh.

6. Adalah pengetahuan umum di kalangan pemerhati dan penganalisis pasaran yang Rajawali mungkin mengalami tekanan setelah percubaannya mengapungkan syarikat perlombongan emas miliknya tahun lalu gagal akibat kurang sambutan pelabur.
t
FGV dan Rajawali Satu Strategi
7. Lojiknya FGV membeli saham-saham EHP dengan harga diskaun kerana sektor perladangan kini dalam suasana lembap. Lagipun, bukan semua tanah milik EHP sudah mengeluarkan hasil. Daripada pegangan seluas 419,006 hektar, baru 147,298 hektar ditanam. Bakinya masih hutan belantara.

8. Memandangkan harga sahamnya sendiri amat rendah maka FGV terpaksa menyerahkan lebih banyak saham kepada penjual EHP. Saham FGV ditutup pada kadar RM1.85 pada 11 Jun.

9. Ada ramalan mengatakan FGV mungkin diambil balik (taken private) oleh Felda dan ditarik keluar daripada Bursa Malaysia kerana penarafan pasaran yang hambar.

10. Sudah menjadi pengetahuan umum di kalangan penggiat korporat dan pemerhati politik bahawa Sondakh sangat akrab dengan Perdana Menteri, Mohd Najib Abdul Razak, dan isterinya, Rosmah Mansor. Sejak 2010 Sondakh dikatakan menjadi "penasihat" Mohd Najib mengenai Indonesia.

11. Keakraban ini dikatakan menjadi pemangkin kepada pelaburan mewah Sondakh dalam projek pembinaan hotel St Regis dan pusat konvensyen antarabangsa Langkawi. Sumber-sumber perbankan mendakwa Sondakh mendapat pembiayaan mudah daripada institusi kewangan milik kerajaan Malaysia.

Peter Sondakh, Mohd Najib dan Rosmah
12. Macam banyak saham syarikat komoditi, saham EHP juga jatuh di Bursa Indonesia (ISX) sebelum ‘ditolak-naik’ kepada sekitar 400 rupiah. FGV membeli saham-saham tersebut dengan harga 800 Rupiah, sekali gus memberikan keuntungan atas kertas 100 peratus kepada penjual EHP.

13. Pembelian oleh FGV juga bercanggah dengan arahan Kementerian Kewangan bertarikh 26 Disember lalu kepada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan badan-badan berkanun agar memberhentikan sementara pembelian aset di luar negara bagi mengurangkan pengaliran keluar modal dan membantu menjana ekonomi domestik. Atau Mohd Najib, yang juga Mentor Felda, membuat pengecualian bagi membolehkan urus niaga itu.

Mungkin Sondakh Jelma Dalam 1MDB?
Dua bidang tanah di Tun Razak Exchange (TRX) Jalan Tun Razak sudah dijual terus atau secara usaha sama kepada dua pelabur asing – Lend Lease, Australia dan Mulia Group, Indonesia.

Apakah ada kemungkinan Rajawali atau Sondakh sendiri akan menjadi pembeli seterusnya? Sondakh suka kepada urus niaga berkembar. Misalnya, selepas menjual syarikat telekomunikasinya, Excelcomindo Pratama, kepada Telekom Malaysia pada pertengahan tahun 2000, beliau membeli aset perhotelan Khazanah Nasional Berhad di Kuala Lumpur dan Langkawi.

Penjualan tanah yang diperoleh dengan harga murah dari kerajaan kepada pelabur tempatan dan asing dengan harga tinggi memperkukuhkan pendapat bahawa 1MDB adalah skim cepat kaya.

Kita tidak memerlukan syarikat pelaburan strategik milik kerajaan kalau sekadar untuk beli tanah dan jual tanah macam orang kampung beli tanah dan pecah jadi lot untuk dijual.

Seorang pemaju hartanah Bumiputera yang pernah membeli tanah kerajaan untuk dimajukan berkata, apa yang dibuat oleh 1MDB sekarang tidak lebih daripada membeli tanah kerajaan dengan harga yang murah kemudian menilainya semula dan menjual sebagai lot pada harga yang berganda-ganda tinggi.

Katanya, siapa pun boleh melakukan kegiatan seperti itu tanpa memerlukan modal besar dan kepakaran. Tambahnya lagi, apa yang sedang dilakukan oleh 1MDB tidak lebih daripada perniagaan atas angin atau perniagaan Ali-Baba.
Maklumat mutakhir pasaran berkata, 1MDB sedang berunding dengan beberapa buah syarikat swasta, GLC dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) sama ada untuk membeli atau membangunkan bersama tanah bandar Malaysia di jalan Sungai Besi itu.

Antara syarikat yang disebut sebagai berkemungkinan memajukan tapak Bandar Malaysia ialah Lembaga Tabung Angkatan Tentera dan Malton Berhad yang dimiliki oleh billionaire Desmond Lim Siew Choon.

Laporan media pada tahun 2010 berkata, kerajaan bersetuju konsortium membabitkan 1MDB, LTAT dan Malton Berhad membangunkan Pangkalan TUDM Sungai Besi menjadi Bandar Malaysia.

Sementara itu, sumber-sumber perakaunan pula berkata apa yang sedang dilakukan oleh 1MDB sekarang adalah bagi menjustifikasikan aset, hutang dan tanggungannya supaya selaras dengan kehendak Suruhanjaya Syarikat dan mematuhi piawaian perakaunan negara sambil cuba memberi gambaran bahawa tidak berlaku kesalahan tadbir urus atau pelanggaran undang-undang.

Johor terkeluar dari Malaysia?


Ketika Tunku Ismail Sultan Ibrahim bertelagah dengan seorang menteri, adindanya Tunku Idris pula memuat naik tulisan berkaitan perjanjian bersama dengan Persekutuan Tanah Melayu.

Perjanjian itu, dalam status di Instragram pada Ahad itu, antaranya menyebut Johor setuju menandatangani perjanjian 1946 itu dengan mengenakan beberapa syarat.

“Sekiranya mana-mana daripada syarat-syarat tersebut dilanggar, maka terkeluarlah Johor daripada Malaysia,” menurut tulisan dimuat naik itu.

Syarat-syarat itu, menurut tulisan itu, Islam menjadi agama negeri, air dan tanah negeri menjadi hak mutlak Johor serta askar timbalan setia tidak boleh dibubarkan.

Selain itu, perlembagaan negeri Johor tidak boleh diusik dan kuasanya terletak pada tangan sultan.

Tulisan itu juga menyebut, Johor dikenali sebagai negeri yang merdeka dan berdaulat ketika menandatangani Perjanjian Setia 1885 dengan British.

Hanya butiran perjanjian

Tiada sebarang status dimuat naik oleh Tunku Idris selain gambar butiran perjanjian itu. 

Mengulas perkara itu, pengguna maya menyentuh pelbagai isu daripada kemungkinan Johor keluar Malaysia dan ada juga yang berharap baginda dapat bertenang.

Rakyat Johor semalam berkumpul di Johor Bahru bagi menyatakan sokongan terhadap kerabat istana setelah menteri pelancongan Datuk Seri Nazri Aziz menyelar Tunku Ismail.

Nazri antaranya berkata baginda tidak harus campur tangan dalam hal politik atau bersedia untuk 'dibelasah'.

Tunku Ismail sebelum itu mengkritik Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kerana tidak hadir dalam dialog terus terang Notihing2Hide bersama NGO yang disertai Tun Dr Mahathir Mohamad.

Najib mengambil tindakan itu setelah dinasihatkan polis dengan mengambil kira faktor keselamatan. MK

15 Jun 2015

TMJ: Jangan Salahkan Sesiapa Apabila Rakyat Hilang Keyakinan dan Kepercayaan

Kebelakangan ini, saya hanya menyuarakan pandangan supaya mereka yang diberikan amanah jangan salahkan rakyat kerana hilang keyakinan dan kepercayaan terhadap anda, tetapi fikirkanlah mengapa rakyat telah hilang keyakinan dan kepercayaan terhadap anda.

Nampaknya teguran saya secara baik ini telah mendapat maklum balas yang kasar daripada seorang menteri.

Kalau saya mendapat jawapan sedemikian, apa harapan untuk teguran rakyat lain didengar?

Anda seorang menteri, bukannya tuhan dari syurga yang tidak boleh ditegur.

Jangan fikir rakyat negara ini wujud untuk memberikan anda jawatan dan kekayaan, tetapi jawatan tersebut wujud supaya anda memberikan khidmat kepada rakyat.

Apabila saya bersuara, saya melakukannya sebagai pemimpin rakyat saya, rakyat Johor dan Malaysia.

Saya hanya mengingatkan para pemimpin negara ini bahawa mereka mempunyai tanggungjawab untuk berkhidmat kepada rakyat, dan nampaknya oleh sebab itu saya diserang.

Bertanggungjawab pada Allah

Dalam aturan dunia yang baru, saya membayangkan masa depan di mana setiap orang mempunyai hak menyuarakan pendapat masing-masing.

Namun, keadaan di Malaysia pada hari ini tidaklah begitu, menteri-menteri pantang ditegur.

Saya rela dicemuh untuk mempertahankan perkara yang benar, daripada disanjung untuk membela perkara yang salah.

Saya bukan ahli politik. Saya hanya bertanggungjawab kepada Allah, sultan saya, dan rakyat Johor. Saya bukannya menjalankan suruhan seperti boneka.

Johor hanya mempunyai tempat bagi mereka yang mahu berkhidmat kepada rakyat, bukan untuk mereka yang mahu meraih undi demi kepentingan peribadi.

Akan tiba suatu masa, di mana rakyat Johor perlu membuat keputusan demi kebaikan masa depan kita dan generasi yang akan datang.

Kita akan bersatu dan membuat keputusan tersebut sebagai Bangsa Johor, untuk menempa masa depan kita. Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh.

Bukan tumbangkan kerajaan

Saya berdiri untuk rakyat saya, bukan untuk merebut kuasa, bukan untuk menumbangkan kerajaan, tetapi untuk menjaga kesejahteraan rakyat saya.

Saya tidak pernah menyuruh sesiapa berundur atau meletak jawatan, hanya sekadar memberi ingatan kepada ahli politik berkenaan peranan dan tanggungjawab mereka.

Sekiranya perkara seperti itu pun anda tidak boleh terima, jelaslah kepada seluruh rakyat betapa angkuh dan sombongnya anda.

Alhamdulillah, saya telah dikurniakan dengan kehidupan yang selesa. Kalau hendak diikutkan, saya boleh hidup dalam dunia saya sendiri tanpa menghiraukan permasalahan rakyat, tetapi saya di sini berdiri teguh bersama mereka.

Jadi kepada mereka yang ingin mencemar imej saya dan menjadikan saya musuh awam nombor satu, sesungguhnya rakyat lebih bijak dan mampu menilai sendiri.

Jangan gunakan saya untuk mengalihkan tumpuan daripada isu 1MDB dan isu-isu nasional yang lain.

Negara ini memerlukan ahli politik yang bersih dan telus, yang menjalankan tanggungjawab mereka dengan keikhlasan dan integriti.


BRIGADIER JENERAL TUNKU ISMAIL SULTAN IBRAHIM Tunku Mahkota Johor. Kenyataan ini disiarkan pertama kali di Facebook Johor Southern Tigers dengan judul “Mesej untuk rakyat Malaysia”.
 

TMJ : Amaran Kepada Pemimpin Negara Tidak Memanipulasi Dirinya

Putera Mahkota Johor Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim berkata sekiranya beliau mendapat maklum balas yang kasar daripada seorang menteri, apakah harapan untuk teguran rakyat lain didengar. – Gambar Wikipedia, 15 Jun, 2015.
Putera Mahkota Johor Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim memberi amaran kepada pemimpin negara supaya tidak memanipulasi dirinya untuk mengalihkan tumpulan daripada isu nasional yang lain.
Tunku Ismail dalam kenyataannya 'Mesej untuk rakyat Malaysia' bertitah, baginda tidak pernah menyuruh sesiapa berundur atau meletak jawatan, tetapi situasi politik di Malaysia kini berubah apabila menteri terlalu sensitif ketika ditegur.
Titahnya, sekiranya perkara seperti itu pun tidak boleh terima, jelaslah kepada seluruh rakyat betapa angkuh dan sombong seseorang pemimpin itu sebagai menteri, dipercayai responsnya terhadap Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz yang mengugut untuk 'membelasah' baginda.
"Saya hanya menyuarakan pandangan supaya mereka yang diberikan amanah jangan salahkan rakyat kerana hilang keyakinan dan kepercayaan terhadap anda, tetapi fikirkanlah mengapa rakyat yang hilang keyakinan dan kepercayaan terhadap anda.
"Nampaknya teguran saya secara baik ini mendapat maklum balas yang kasar daripada seorang menteri. Kalau saya mendapat jawapan sedemikian, apa harapan untuk teguran rakyat lain didengar?" titahnya dalam laman Facebok Johor Southern Tigers.
Titahnya, ugutan itu merupakan cubaan untuk mencemarkan imejnya dan menjadikannya musuh nombor satu rakyat.
Titahnya, kritikannya itu demi kepentingan rakyat baginda dan bukan untuk merebut kuasa atau menumbangkan kerajaan.
"Kalau hendak diikutkan, saya boleh hidup dalam dunia saya sendiri tanpa menghiraukan permasalahan rakyat, tetapi saya di sini berdiri teguh bersama mereka.
"Jadi kepada mereka yang ingin mencemar imej saya dan menjadikan saya musuh awam nombor satu, sesungguhnya rakyat lebih bijak dan mampu menilai sendiri," katanya.
Tunku Ismail mengkritik perdana menteri Datuk Seri Najib Razak kerana tidak muncul bersemuka Tun Dr Mahathir Mohamad dalam pentas forum "Nothing To Hide" anjuran SukaGuam pada 5 Januari lalu bagi menjawab persoalan negara terutamanya isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Kritikannya itu mengundang respons daripada Nazri yang menegurnya supaya menjauhkan diri daripada isu politik. TMI

8 Jun 2015

Saham FGV Terkeluar Dari Bursa Malaysia?

Hasil carian imej untuk lambang FGV

Penyata kewangan tahunan dan prestasi harga saham syarikat-syarikat perladangan akan terus berada dalam pemerhatian teliti dan serius.

Namun penelitian terhadap syarikat perladangan Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) pula akan melangkaui perniagaan utama mereka iaitu peladangan.

Sejak menjadi syarikat awam pada Jun 2012, FGV bukan sahaja perlu menjaga prestasi sebagai antara syarikat perladangan terbesar di dunia, malah ia mempunyai tanggungjawab besar memenuhi harapan terlalu tinggi para pemegang saham – mungkin antara sebabnya kerana FGV dilihat sebagai syarikat yang mempunyai kepentingan politik kepada kerajaan.

Ini kerana FGV adalah sinonim dengan penduduk di kawasan luar bandar yang menyokong kuat Umno dan Barisan Nasional.

Namun dalam masa yang sama, kita perlu memahami bahawa sebahagian besar kawasan ladang kelapa sawait FGV sudah berusia lebih 20 tahun dan memerlukan transformasi segera jika ia mahu menjadi sebuah syarikat perladangan yang berjaya.

Ladang-ladang ini adalah milik peneroka-peneroka di bawah skim pembangunan dan penempatan semula rakyat sejak 1960-an di bawah Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda).

Sejak beberapa tahun lepas, tidak ada sebarang perancangan yang serius dan khusus bagi menangani isu kecekapan ladang-ladang utama FGV ini.

Namun awal minggu ini, FGV telah mengumumkan pelan transformasinya untuk tempoh lima tahun akan datang.

Melalui pelan ini, FGV berharap menjelang 2020, mereka akan mempunyai ladang kelapa sawit (yang bukan dalam perjanjian pajakan) yang lebih besar. Ini juga akan membantu menjayakan rancangan FGV untuk meningkatkan pengeluaran buah segar bertandan (fresh fruit bunches (FFB).

Selain itu FGV merancang meningkatkan hasil pengeluaran melalui amalan pengurusan ladang yang baru. Malalui pelan ini FGV merancang tiga peringkat umur tanaman, iaitu 60 peratus pokok kelapa sawit akan berada pada fasa kemuncak untuk penuaian hasil, 20 peratus pokok tua dan 20 peratus lagi pokok muda.

Walau bagaimanapun, sehingga perubahan ini akan mendatangkan hasil, prestasi kewangan dan harga saham FGV akan terus berada di bawah paras pemerhatian yang kritikal. Para penganalisis agak kecewa dengan dengan pengumuman suku pertama kewangan FGV tahun yang telah mencatatkan kerugian teras bersih sebanyak RM 44 juta. Ini merupakan kerugian suku tahun ketiga berturut-turut bagi kumpulan itu.

Beberapa syarikat penganalisa saham, termasuk CIMB Research, telah merendahkan penarafan saham FGV dengan menyatakan kebimbangan kemungkinan FGV akan hilang tempat dalam indeks utama Bursa Malaysia Kuala Lumpur (KLCI) berdasarkan “low market capitalisation” dalam penilaian bulan depan.

Modal pasaran FGV telah jatuh sebanyak 65% kepada RM7.19 bilion daripada RM 20 bilion pada hari-hari awal penyenaraiannya, sementara harga sahamnya kini diniagakan pada RM1.97 seunit dan menurun sebanyak 58% – jauh berbeza dari harga IPO sebanyak RM4.55 seunit saham.

(Nota MYKMU: Pasaran modal atau Market Capital diukur melalui jumlah saham di darab dengan harga semasa saham bukannya kerugian akaun Felda)

Terdedah Kepada Harga Minyak Sawit Mentah (CPO)

Menurut Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Datuk Mohd Emir Mavani Abdullah, isu terbesar FGV ialah mereka lebih mudah terdedah kepada perubahan harga minyak sawit mentah berbanding dengan syarikat-syarikat perladangan yang lain,

Apa sahaja perubahan dalam lingkungan RM 100 per tan pada harga minyak sawit mentah boleh menyebabkan “pengurangan atau tambahan” RM100 juta kepada pendapatan FGV.

Pendapatan FGV sangat peka kepada harga minyak sawit mentah berbanding yang lain kerana pada asasnya, syarikat hanya bergantung kepada pendapatan perladangan sahaja.

Harga minyak sawit mentah dicatatkan turun dan naik dalam lingkungan RM703 hingga RM2,800 setan metrik dalam tempoh 20 tahun lepas.

“Minyak sawit mentah telah mengalami tempoh kejatuhan yang panjang sejak kemuncak 20 tahun pada Februari 2011 yang memberi kesan negatif kepada pendapatan FGV,” jelas Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan, Ahmad Tifli Datuk Mohd Talha.

Bencana alam seperti musim kemarau dan banjir yang berlaku sejak beberapa tahun kebelakangan ini termasuk akhir tahun lepas dan awal tahun ini telah memburukkan lagi proses pengeluaran hasil.

Namun, hasil FGV sudah mencatat pemulihan sejak Mac lalu. Walaupun banyak syarikat perladangan tempatan melihat hasil berkurangan sehingga 21% pada bulan Januari, Tifli menegaskan bahawa hasil ladang FGV hanya turun sekitar 15% pada suku pertama tahun ini.

“Sekarang, kami yakin hasil yang lebih tinggi dalam suku kedua, ketiga dan keempat tahun ini,” tambah Tifli.

Selain dari harga minyak sawit mentah, pendapatan FGV juga banyak ditentukan oleh kecekapan penanam kelapa sawit mengeluarkan tandan buah sawit segar dan kos penghasilan minyak sawit.

Dalam kes FGV, kos pengeluaran pada suku pertama 2015 telah meningkat dengan ketara kepada RM1,534 setan – yang jauh melebihi purata industri perladangan sebanyak RM1,450 kepada RM1,500 per tan.

Jumlah pengeluaran tandan buah sawit yang segar pada suku tahun dalam kajian juga menurun 20% kepada 930,000 tan metrik daripada 1159000 tan sementara OER adalah turun kepada 20.50% daripada 20,98% pada suku yang sama pada 2014.

Keseluruhan pendapatan suku pertama FGV tahun ini terjejas akibat kejatuhan harga MSM dari RM 2,584 kepada RM2,279 setan metrik.

Berikutan kerugian yang meluas dalam perniagaan hiliran (downstream) termasuk kejatuhan nilai margin dalam unit perniagaan di kanada pada suku pertama, FGV akan menilai semula perniagaan-perniagaan yang bukan keutamaan (teras), tidak aktif dan berprestasi lemah.

“Kami dalam proses melupuskan beberapa aset bukan teras – kami menjangka dapat maklumat lebih lanjut mengenai penjualan ini pada suku kedua dan suku ketiga tahun ini,” tambah Tifli.

Perjanjian Pajakan Tanah

Selain faktor perniagaan, pengalisis pasaran saham turut melihat isu perjanjian pajakan tanah (LLA – Land Lease Agreement) FGV dengan Felda bakal mengganggu keuntungan syarikat terbabit.

Perjanjian pajakan tanah yang dimeterai pada tahun 2012 mempunyai dua komponen utama iaitu,

i. FGV dikehendaki membayar kepada Felda jumlah yang tetap sebanyak RM248mil setahun secara tunai selama 20 tahun.
ii. Felda akan menerima 15% daripada keuntungan jualan sawit yang datang dari tanah ladang yang dipajak dari Felda.

FGV satu-satunya syarikat perladangan di Malaysia yang telah menggunakan perjanjian pajakan tanah yang unik sebagai model pernigaan bagi tujuan penyenaraian.

Sebelum ini Felda melalui Akta Penyelesaian Tanah 1960 telah mendapat lebih daripada 800,000ha oleh kerajaan-kerajaan negeri dalam tahun 1950-an. Daripada jumlah itu, 479,765ha diberikan kepada pekebun kecil dan 355,000ha baki ladang kelapa sawit, telah diuruskan oleh Felda Holdings Bhd bagi pihak Felda.

Dalam proses penyenaraian, Felda Holdings telah diletakkan di bawah FGV. Sebagai balasan, Felda mendapat bayaran melalui perjanjian pajakan tanah dan 15% bahagian daripada hasil jualan tandan buah sawit yang segar.

Di bawah piawaian perakaunan, FGV dikehendaki menganggap perjanjian pajakan tanah itu sebagai “kos”.

Ini bermakna, FGV perlu menyatakan nilai perjanjian pajakan tanah yang tetap dan bahagian keuntungan kepada Felda berdasarkan nilai semasa aliran tunai masa depan FGV.

“Oleh itu, pengiraan nilai saksama bukan lagi sekadar kos dan wang tunai yang kita perolehi, tetapi juga harus mengambil kira andaian harga minyak sawit mentah, kos dan jumlah pada masa depan.”

“Menjadi syarikat perladangan, kita juga perlu mengambil kira umur pokok dan kos penanaman semula,” terang Tifli.

FGV tiada masalah dari segi pembayaran jumlah tetap kepada Felda.

“Namun, ia menjadi rumit apabila kita perlu menilai jumlah 15% keuntungan syarikat yang perlu dibayar berasaskan anggaran harga minyak sawit mentah, kos pengeluaran dan jumlah minyak sawit mentah yang dihasilkan pada masa akan datang.

Pelan Transformasi Yang Terkini

Justeru dalam Pelan Transformasi ini FGV akan membesarkan sektor pengeluaran hasil tandan buah sawit segar yang tidak terikat kepada perjanjian pajakan tanah dengan Felda.

Menjelang 2020, FGV berharap untuk mengubah profil usia pokok sawit mereka daripada purata 15.6 tahun kepada 11.8 tahun.

Buat masa ini FGV telah mengurangkan jumlah pokok tua yang berusia lebih 20 tahun kepada sekitar 41% berbanding 57% sewaktut FGV disenaraikan.

Kumpulan perladangan ini juga bercadang untuk melabur dalam projek ‘brownfields’ untuk mempercepatkan peningkatan dalam profil umur tanaman tersebut.

“Dalam cadangan meningkatkan hasil tandan sawit segar ini kita akan menumpukan usaha di ladang yang tidak terbabit dengan pajakan Felda. Pada masa ini tanah ladang FGV yang bukan dari pajakan Felda hanya 15%. Kami menjangkakan 2016 jumlah pengeluaran tandan sawit segar dari ladang luar pajakan Felda akan menghasilkan satu juta tan,” tambah Tifli.

Ini bukan sahaja akan membantu FGV untuk mengurangkan kos pengeluaran dan menawarkan margin yang lebih baik, malah membolehkan syarikat konglomerat perladangan ini kekal sebagai pengeluar utama minyak sawit mentah dunia.

Bagi urusan perniagaan yang lebih cekap dan mendapat keuntungan yang lebih baik, FGV telah menubuhkan sebuah anak syarikat, FGV Trading Sdn Bhd, pada Mac, bagi tujuan pemasaran minyak sawit mentah dan produk lain yang ditapis.

“Suku kedua tahun ini akan memberi gambaran yang lebih jelas mengenai prestasi syarikat ini sebagai syarikat perdagangan baru.

“Biasanya kita menjual tiga hingga 3.5 juta tan minyak sawit mentah setiap tahun, tetapi FGV Trading ditetapkan untuk meningkatkan perdagangan dengan tambahan satu juta tan.”

Sementara itu, Tifli turut memaklumkan FGV masih mempunyai tunai RM 100 juta daripada jumlah keseluruhan RM 4.5B pendapatan IPO yang lalu.

“Kita perlu menggunakannya pada 28 June. Ini akan digunakan untuk membiayai operasi FGV di Indonesia dan Malaysia.”

Pada 31 Mac, FGV mempunyai simpanan tunai sebanyak RM2.9bil dalam penyata akaun.

“Pada nisbah sebanyak 0.7 kali, kami masih mempunyai keupayaan untuk meminjam (jika perlu). Pemerolehan melalui Sukuk lebih baik dari pinjaman komersial kerana ia menawarkan kos pembiayaan yang lebih rendah, ” tambah Tifli.

Selain meningkatkan kecekapan dan mengurangkan kos pengeluaran, FGV juga akan melakukan penggabungan dan pengambilalihan sebagai sebahagian daripada pelan pengembangan kumpulan itu pada masa akan datang.

Pelaksanaan Pelan Transformasi ini merupakan kunci utama menentukan kejayaan FGV dalam masa lima tahun akan datang, dan ia merupakan satu perjalanan yang cukup panjang dan mencabar. –  MYKMU.NET

FAKTA YG PERLU KITA TAHU DULU

• Felda Global Ventures Holdings Bhd. (FGV) merupakan syarikat yang disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia sejak Jun 2012 dan tertakluk kepada segala peraturan yang ditetapkan oleh Bursa Saham Malaysia Securities.

• Indeks FTSE Bursa Malaysia KLCI bermaksud 30 syarikat yang mempunyai nilai pasaran modal tertinggi yang dipilih oleh Bursa Malaysia Securities untuk dijadikan penanda aras FBM KLCI. FGV merupakan antara syarikat yang tersenarai dengan syarikat dalam FTSE Bursa Malaysia KLCI sejak penyenarainya.

• Indeks berkenaan akan disemak setiap enam bulan bagi membolehkan proses penukaran syarikat yang telah tersenarai dengan syarikat dalam senarai menunggu.

• Proses penukaran syarikat dalam indeks berkenaan merupakan proses normal yang dilakukan oleh Bursa Malaysia Securities dan bukanlah amalan yang baharu.


SITUASI SEMASA SAHAM FGV

• Ketika ini FGV masih dalam senarai FTSE Bursa Malaysia FTSE Bursa Malaysia KLCI  dan proses semakan semula oleh Bursa Malaysia Securities hanya akan diumumkan pada 22 Jun 2015.

• Nilai pasaran FGV ketika disenaraikan pada 2012 mencecah RM20 bilion apabila harga meningkat RM5.60/sesaham. Apabila nilai pasaran yang tinggi, FGV diletakkan dalam senarai 30 syarikat bernilai pasaran tertinggi ketika itu.

• Harga saham FGV yang telah jatuh kira-kira 50 peratus semenjak IPO telah menyebabkan nilai pasaran modal jatuh kepada kira-kira RM7 bilion ketika ini dan telah menyebabkan kedudukan syarikat bukan lagi di kalangan 30 syarikat dengan pasaran modal tertinggi.


PUNCA KEJATUHAN SAHAM

• Sejak awal 2014 harga minyak sawit mentah (MSM) dunia telah mencatatkan gaya penurunan yang drastik dan ini telah menyebabkan syarikat-syarikat berasaskan komoditi berkenaan terjejas dari segi perolehan dan juga keuntungan.

• Indeks perladangan di Bursa Malaysia Securities juga jatuh antara 6-7 peratus dalam tempoh enam bulan sebelum ini. Impak ini secara langsung memberi kesan negatif kepada gaya tarikan kepada para pelabur yang mula beralih ke kaunter-kaunter saham selain perladangan.

• Hampir semua kaunter perladangan telah menyaksikan pengurangan nilai saham mereka berbanding dengan kedudukan mereka pada tahun 2012. FGV merupakan syarikat yang bergantung lebih 60 peratus perolehannya daripada sektor perladangan dan telah menerima kesan paling ketara disebabkan faktor di atas berbanding syarikat perladangan lain yang kadar kebergantungan mereka lebih rendah.

• Kejatuhan harga MSM dan saham adalah di luar kawalan pengurusan FGV dan ia ditentukan oleh kuasa pasaran.


DAKWAAN TERKELUAR DARIPADA BURSA MALAYSIA 

• Jika FGV tidak lagi tersenarai dalam indeks FTSE Bursa Malaysia KLCI ini bukan bermakna FGV akan dinyahsenarai dari Bursa Malaysia.

• FGV masih tetap berada dalam Pasaran Utama Bursa Malaysia dan sahamnya akan diniagakan setiap hari sama seperti ketika masih berada dalam senarai indeks FTSE Bursa Malaysia KLCI.

• Perniagaan FGV juga akan  beroperasi seperti biasa dan tidak terjejas dengan situasi berkenaan.

SAHAM FGV MASA HADAPAN

• FGV akan terus mengukuhkan kedudukan dalam perniagaan di peringkat domestik dan juga antarabangsa bagi mengembalikan keyakinan pelabur kepada saham syarikat.

• FGV melihat kejatuhan harga sawit hanya bersifat sementara dan yakin kaunter-kaunter saham berasaskan komoditi sawit akan kembali menarik perhatian apabila harga komoditi berkenaan kembali naik.

• FGV telah melaksanakan transformasi perniagaan untuk mencapai kemampanan operasi jangka panjang dengan mempelbagaikan operasi perniagaan yang menyumbang kepada keuntungan kumpulan bagi mengurangkan kebergantungan kepada sektor ladang.

• FGV juga sedang melaksanakan proses penanaman semula secara agresif bagi mencapai sasaran portfolio umur pokok kepada 60 peratus matang, 20 peratus muda dan 20 peratus tua menjelang tahun 2020, sekali gus menjadikan ladang FGV antara yang terbaik di pasaran.

• Selain itu, FGV juga telah memperkenalkan model perniagaan baharu yang mampu menjana perolehan lebih tinggi, mengamalkan program pengurangan kos di peringkat operasi dan juga menstrukturkan  semula anak-anak syarikat menerusi penggabungan dan penjualan syarikat yang bukan teras serta tidak memberi pulangan.

• FGV yakin menjelang 2020, progam transformasi syarikat akan mencapai kemuncaknya dan saham syarikat akan mencapai kemuncaknya dan saham syarikat akan kembali menjadi tarikan sekaligus mengukuhkan kedudukannya dalam senarai syarikat yang mempunyai modal pasaran tertinggi di Pasaran Utama Bursa Malaysia.

http://daengselili.blogspot.com/