SPECIAL ADS

16 Ogos 2015

Guling K'jaan: 26 MP BN 87 Pembangkang Terlibat, Tapi Tidak Muhyiddin.



SHAH ALAM – Seramai 26 Ahli Parlimen BN dikatakan terlibat dalam konspirasi untuk menggulingkan kerajaan yang didalangi pemimpin Umno.

Portal The Rakyat Post melaporkan pemimpin Umno berkenaan memainkan peranan menyediakan tujuh muka surat akuan bersumpah bagi mempengaruhi 87 ahli Parlimen pembangkang dan 26 ahli Parlimen BN.

“Kritik dalam parti tidak apa tetapi sebagai pembesar Umno apa yang dia buat itu sangat kurang ajar
“Individu  itu dikatakan telah menghubungi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selepas Naib Presiden Umno itu mendedahkan konspirasi tersebut semalam,” kata sumber berkenaan.


Semalam Ahmad Zahid Hamidi ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Ampang mendedahkan terdapat gerakan untuk mengguling kerajaan oleh pembangkang dan turut didalangi pemimpin BN termasuk Umno.
 
Beliau berkata, rancangan itu dijalankan dengan cara untuk mendapatkan akuan bersumpah daripada ahli Parlimen pembangkang, serta cuba menarik ahli Parlimen BN menyokong mereka bagi menumbangkan kerajaan sedia ada melalui 'jalan belakang'.
 
Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, beliau mendapat maklumat itu daripada sumber yang sangat boleh dipercayai.

“Sebenarnya bukan Datuk Seri yang nak bawa jumpa, disebabkan pendedahan yang dilakukan sebelum ini mereka telah menghubungi TPM dan meminta untuk mengaturkan satu perjumpaan dengan PM.
“Mereka dikatakan menyesal dan ingin memohon maaf atas tindakan yang dilakukan sebelum ini,” katanya.


Sementara itu di BUKIT KATIL, Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin menyarankan identiti pemimpin Umno yang berhasrat bergabung dengan Ahli Parlimen pembangkang untuk menggulingkan kerajaan wajar didedahkan.
 
Menurutnya, tindakan itu bagi membolehkan setiap pemimpin dan ahli parti dapat mengetahui pergerakan individu berkenaan yang berhasrat menggulingkan kerajaan.
 
“Saya rasa elok sebenarnya kita diberitahu siapakah individu terlibat dan saya menghargai ketelusan Timbalan Perdana Menteri yang berkongsi dengan rakyat bahawa ada percubaan tersebut.

“Kita perlu tahu siapa individu tersebut sebab kita dah lama nak tahu siapakah bergerak dalam parti cuba gulingkan kerajaan dan apakah cara dikatakan nak guling kerajaan guna cara tidak sah.

“Kita pun tak tahu cara yang tak sah supaya kita dapat membantu membetulkan keadaan,” katanya kepada media selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Tahunan Umno Bahagian Bukit Katil di Dewan Tun Ali, di sini hari ini.

Di Seri Mahjung pula Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi malam ini mengesahkan bahawa Tan Sri Muhyiddin Yasin tidak terlibat dalam komplot untuk mengulingkan kerajaan.

Menurut Ahmad Zahid, pendedahan itu dibuat  kerana beliau faham situasi yang sedang dialami oleh Timbalan Presiden Umno tersebut yang telah digugurkan dari Kabinet.     
      
"Saya juga pernah jatuh, jadi saya faham situasi orang jatuh. Kita tidak akan henyak orang yang jatuh. Jangan salahkan beliau (Muhyiddin) kerana ada orang lain yang bercita-cita untuk jatuhkan kerajaan,'' katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Umno Bahagian Lumut malam ini.

Katanya, individu berkenaan menyatakan komplot bukan untuk menjatuhkan kerajaan tetapi untuk menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.‎

"Kononnya komplot ini untuk jatuhkan PM. Kita anggap PM adalah satu institusi yang harus dihormati.

"Apabila saya dedahkan perkara ini kenapa individu berkenaan perlu takut,"katanya. (SH)

Ibnu Hasyim




3 Ogos 2015

Berita Gila.. Hanya Berlaku Di Malaysia

Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang disiasat polis Cawangan Khas selama lebih 3 jam di pejabatnya hari ini melahirkan rasa terkejut dan kesal terhadap siasatan polis ke atas siasatan mereka terhadap operasi dana sarat hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Pengarah Bahagian Operasi Khas SPRM Datuk Bahri Mohamad Zin berkata beliau juga terkejut apabila timbalan pendakwa raya (SPRM) mereka ditangkap polis di malam hari.

"Saya cukup kesal perkara ini berlaku kerana kami menyiasat dengan sepenuh hati siang dan malam bagi mencari kebenaran.

"Tiba-tiba DPP kami diambil pada pukul 1 pagi dan ia amat menghairankan kenapa boleh berlaku perkara sedemikian," katanya sewaktu ditemui wartawan selepas disiasat polis di pejabatnya di Putrajaya, petang tadi.

Bahri adalah sebahagian daripada pasukan khas yang menyiasat 1MDB.

Beliau turut melahirkan rasa curiga dengan individu lain yang dipercayai berada di belakang siri serbuan polis ke atas mereka yang menyiasat 1MDB.

Berita Gila.. Hanya Berlaku Di Malaysia


"Saya rasa pihak polis tak akan buat kerja gila begini kecuali ada pihak lain memaksa pihak polis melakukannya," katanya.

Sementara itu, Bahri berkata siasatan polis terhadapnya petang ini dibuat mengikut Seksyen 124B Kanun Keseksaan berkaitan kebocoran dokumen yang didakwa sebagai "draf pertuduhan".

Beliau dipercayai merujuk kepada salinan gambar dokumen yang didakwa sebagai draf pertuduhan terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak – satu perkara yang sudah dinafikan Jabatan Peguam Negara.

"Saya yakin sepenuh hati bukan daripada kami benda itu dan ia dihasilkan semula," katanya.

Satu pasukan, dipercayai daripada Bukit Aman, tiba di ibu pejabat SPRM di Putrajaya pada pukul 2.45 petang ini.

Bahri, yang tiba di pejabatnya jam 3.07 petang, kelihatan terkejut dengan kehadiran ramai petugas media di hadapan bangunan ibu pejabat itu.

Beliau diiringi ke dalam bangunan oleh pegawainya dan beberapa anggota keselamatan.

Sabtu lepas, polis menahan pegawai Jabatan Peguam Negara Jessica Gurmeet Kaur dan bekas penasihat SPRM Tan Sri Rashpal Singh untuk disoal siasat berkaitan dengan kes itu.

Kedua-duanya ditahan mengikut Seksyen 124 Kanun Keseksaan, yang berkaitan dengan aktiviti menjejaskan demokrasi berparlimen.

Mereka dibebaskan pada malam yang sama apabila pihak polis gagal mendapatkan perintah reman untuk menahan mereka lebih lama.

Penangkapan Rashpal dipercayai berkaitan dengan laporan yang beliau ada menemui pengarang Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown di London.

SPRM bagaimanapun menafikan kebocoran dalam penyiasatan Putrajaya berhubung firma pelaburan negara yang dibebani hutang itu dibuat orang dalam agensi anti-rasuah itu.

Pengarah Komunikasi Strategik SPRM Datuk Rohaizad Yaakob pada 21 Julai berkata Rashpal tidak mempunyai akses kepada siasatan berterusan yang dijalankan agensi itu kerana tempoh perkhidmatan beliau sebagai ahli lembaga itu berakhir pada Februari.