7 Jun 2013

Hannah tidak khuatir dibuli

Hannah Yeoh Tseow Suan

Subang Jaya 07 Jun :  Speaker Dewan Undangan Negeri (Dun) Selangor, Hannah Yeoh Tseow Suan tidak khuatir dibuli meski beliau adalah wanita pertama sekali gus yang termuda pernah dipilih memegang jawatan itu.

Menurutnya, dari segi jumlah Adun BN yang berkurangan selain ramai senior daripada parti itu yang kalah serta tidak bertanding, Hannah yakin kejadian ‘membuli’ Speaker dalam Sidang Dun tidak mungkin berlaku.
 
Katanya, beliau juga tidak pernah melihat kejadian ‘membuli’ Speaker berlaku sebelum ini.
 
Hannah berkata, sehingga kini masih ternanti-nanti siapakah yang bakal dipilih memegang jawatan Ketua Pembangkang di negeri Selangor.

Ia  penting, jelasnya untuk melihat bagaimana Ketua Pembangkang memimpin barisannya dalam Sidang Dun kelak.

Jelasnya, sebelum ini Ketua Pembangkang dilihat hanya banyak memperbahasakan isu retorik dan kurang menitikberatkan isu penduduk.

Isu sering dibahaskan hanya berkaitan air dan Talam namun isu berkaitan rakyat dilihat kurang diperjuangkan.

Beliau berkata, dalam pemerintahan lima tahun sebelum ini juga, Adun BN yang dilihat paling bagus hanyalah Adun Taman Templer, Datuk Seri Subahan Kamal dengan ucapan dan apa dibahaskan mempunyai isi berbanding Adun BN yang lain.

Jelasnya lagi, Adun BN yang lain hanya hadir pada waktu pagi tetapi menjelang petang ramai yang tiada di dalam dewan.

“Justeru, saya berharap semua Adun sama ada daripada BN atau PR dapat menunaikan tanggungjawab mainkan peranan mereka perjuangkan permintaan rakyat,” katanya.

Kata Hannah, untuk sesi pertama Sidang Dun ramai Adun baru kena sesuaikan diri, perlu melalui serta mempelajari banyak proses terutama bagaimana hendak bertanya soalan.
 
Beliau yakin tahun depan akan dapat melihat segala-galanya berjalan lancar selepas sidang pertama mesyuarat dan sidang kedua pembentangan bajet tahun ini.
 
“Selepas pemilihan anggota baru dalam jawatankuasa yang ada, mesyuarat akan dimulakan dan semua dipilih perlu pastikan skop kerja masing-masing, tahun ini baru di peringkat persediaan,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan