SPECIAL ADS

1 Oktober 2013

Negara ini Dr Mahathir yang punya?

02 Okt : Semalam saya menyebut perbezaan di antara pemimpin pelapis dan pelapik. Mungkin ramai yang masih belum tahu apa dia pelapis dan apa pula maknanya pelapik. Malahan ramai yang meminta saya mendefinasikan pelapis dan pelapik itu. Bolehlah saya tulis sedikit tentang ini sekali lagi, tetapi tidak perlu panjang kerana ia amat mudah difahami.
Dr Mahathir tidak pernah membina pemimpin pelapis dan itulah sebabnya selepas beliau bersara, negara diambil alih oleh pemimpin yang tidak kena pada tempatnya.  Beliau hanya membina pemimpin pelapik untuk melapik kedudukan beliau supaya tidak terjejas buat selamanya.Beliau sendiri pernah menganggap yang pimpinan dalam Umno dan ahlinya sekali sebagai Red Indian sahaja. Beliau tidak peduli apa yang akan terjadi kepada parti beliau. Bagi beliau semua orang Umno mesti bersedia untuk menjadi pelapik untuk kepentingan beliau semata-mata.
Sebelum beliau menaiki hirarki parti yang tertinggi, beliau tidak mahu melihat Tengku Razaleigh berada di samping beliau kerana rasa takut dan gerun akan menjejaskan kedudukan beliau. Maka beliau mengambil Musa sebagai pemimpin pelapiknya. Beliau tidak pun berniat untuk menaikkan Musa selepas beliau kerana beliau hendak berkuasa lama. Musa hanya digunakan olehnya untuk menjadi pemimpin pelapik bagi mengelak daripada ancaman bayangan Tengku Razaleigh semasa itu. Maka berlagalah Musa dan TR dan Mahathir berasa gembira kerana musuh hakikinya bergaduh dan bertelagah.
Semasa menjadi timbalannya, Musa pula dirasakan menjadi ancaman kepada beliau, maka segala perkara yang boleh menjadikan Musa merasa terhina dilakukan oleh Mahathir. Musa pun berhenti daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri dan pemimpin yang menjadi pelapiknya ialah Ghaffar Baba. Semasa Ghaffar jadi Timbalan beliau, Mahathir merasa senang hati sedikit kerana Ghaffar bukanlah orang yang dianggap begitu cerdik dan perasaan gundah gulana beliau berkurangan.  Mahathir menukar timbalannya seperti orang menukar seluar dalam sahaja.
Ghaffar pula akhirnya diganti dengan pelapik yang baru kerana dalam beliau menukar dan mengganti Timbalannya ada seorang yang baru menyertai Umno begitu pantas menaikkan dirinya untuk naik tunggak kekuasaan, iaitu Anwar Ibrahim. Ghaffar terpaksa berhenti kerana pengaruh dan permainan Anwar menyebabkan beliau terpaksa berundur dan pada waktu yang sama beliau (Anwar) pula diperguna untuk menjadi pelapik beliau yang baru.
Dalam pada itu dalam Umno sudah mula merasakan kebosanan terhadap Dr Mahathir dan perkhabaran sampai ke Mahathir yang pelapiknya kali ini akan menentang beliau untuk menggantikan kepimpinan negara. Mahathir bertindak dengan ganas terhadap Anwar dengan menggunakan isu sodomi dan berbagai-bagai salah laku pemimpin pelapiknya ini.
Akhirnya pemimpin pelapiknya ini dipecat kerana isu nakal ini dan menggantikan pelapik baru bernama Abdullah Badawi. Benar atau tidak isu terhadap pemimpin pelapiknya ini Tuhan sahaja yang tahu kerana saya tidak pernah melihat perkara itu dilakukan di hadapan mata saya.
Pelapiknya yang bernama Abdullah ini juga tidak mahu mendengar nasihat dan arahan beliau (Mahathir) dari luar maka berbagai-bagai isu dipalitkan terhadap Abdullah dan Mahathir menggunakan bakal pelapiknya, Muhyiddin untuk meletakkan Najib sebagai PM. Akhirnya jelas yang Mahathir kali ini mahukan pelapik yang terakhir iaitu Muhyiddin Yassin untuk menjadi pelapik sementara menunggu Mukhriz, orang muda yang sebenar-benarnya calon pimpinan pelapis bagi negara.
Sekarang pemimpin pelapis itu sedang berikhtiar untuk memenangi jawatan Naib Presiden, satu jawatan yang sangat penting dalam Umno. Jika pemimpin pelapis ini berjaya maka dua orang yang lain itu merupakan pelapik kepada Mukhriz sahaja.
Selepas ini berlaku, Dr Mahathir tidak akan lagi mencari pelapik lagi kerana anaknya sudah akan menjadi pelapis kepada kepimpinan negara. Kali ini adalah pusingan terakhir bagi Mahathir bermain politik kerana selepas Mukhriz mendapat apa yang dikehendakinya maka barulah Mahathir berhenti bercakap hal politik negara dan semasa ini beliau mungkin menumpukan masanya bercuti dan hidup dalam persaraan.
Cita-cita beliau untuk mencari pemimpin yang cerdik untuk menggantikan pemimpin yang beliau anggap bodoh sekarang ini, akan tercapai apabila Mukhriz mendapat tempat di tahap Naib Presiden.Rupa-rupanya pemimpin yang beliau maksudkan sebagai pemimpin cerdik dan pandai itu adalah anaknya sendiri.
Barulah kami tahu. Kita pun tidak tahu setara mana cerdiknya Mukhriz ini, tetapi oleh kerana Mahathir maksudkan Mukhriz yang cerdik itu maka kita terimalah.  Kalau kita tidak terima nanti Mahathir akan kata kita bodoh lagi. Untuk mengelak kita daripada dikatakan bodoh marilah kita semua bersetuju bahawa Mukhriz itu seorang pemimpin cerdik.
Apabila Mukhriz menjadi pemimpin utama negara nanti nescaya kita tidak akan mendengar lagi Mahatahir memanggil dan menganggap pemimpin Umno itu bodoh-bodoh lagi. Pendeknya kita akhirnya mesti mengakui yang negara ini adalah kepunyaan Mahathir. Beliau boleh mendapat apa yang beliau mahukan.
Hanya orang Melayu khususnya orang Umno yang perasan negara ini kita semua yang punya. 
Oleh: Aspan Alias

Pakatan gesa Petronas turut diaudit

02 Okt : Pakatan Rakyat (PR) menggesa Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang turut mengaudit syarikat petroleum negara, Petronas kerana mendakwa syarikat berkenaan tidak pernah diaudit sejak 38 tahun lalu.
Ahli Parlimen Taiping, Nga Kor Ming pada sidang media di lobi Parlimen hari ini berkata, syarikat yang ditubuhkan di bawah Akta Kemajuan Petroleum 1974 bukannya syarikat swasta dan seharusnya tidak terlepas daripada diaudit.
"Pagi ini selepas memeriksa Akta Petroleum 1974, walaupun Petronas ditubuhkan sejak 38 tahun lalu, jelas tidak pernah ada satu pun Laporan Audit Negara ke atas laporan kewangan syarikat minyak nasional ini.
"Laporan Audit Negara tidak dibenarkan untuk audit Petronas, daripada 1974 sehingga sekarang, kalau kita tahu, semua kementerian dan agensi kerajaan diaudit kecuali Petronas, kenapa Pertonas perlu dikecualikan,” katanya.
Nga turut menuntut supaya laporan Ketua Audit Negara 2012 yang diedarkan semalam dibentang untuk dibahaskan di Dewan Rakyat bagi melihat perbelanjaan Petronas.
Sebanyak 40 peratus keuntungan Petronas adalah sumber kewangan negara.
"Kita mengesyorkan Ketua Audit Negara yang dilantik Yang DiPertuan Agong, dibenarkan untuk audit dan laporan audit terhadap Petronas patut diserahkan kepada Dewan Rakyat untuk dibahas.
"Tetapi Akta sekarang ini hanya membenarkan seorang sahaja iaitu Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, menteri kabinet tidak dibenarkan untuk akses kepada akaun (Petronas).
"Ini tidak lagi menepati keperluan kepentingan negara kita dan juga rakyat," katanya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam jawapan bertulis berkata, Petronas membayar RM732 billion kepada kerajaan Malaysia di bawah empat kategori.
Daripada jumlah itu, ia diperolehi daripada Dividen syarikat berjumlah RM278 billion, keuntungan petroleum RM24 billion, cukai pendapatan RM310 billion dan duti eksport RM20 billion.
"Jumlahnya RM732 bilion, ini adalah lebih besar daripada hutang negara, dibayar kepada kerajaan, tetapi oleh kerana Akta Kemajuan Pertoleum 1974, rakyat sebagai pembayar cukai tidak dapat tahu bagaimana kerajaan menggunakan duit ini dan bagaimana keadaan kewangan sebenar syarikat petroleum negara ini.
"Kami ingin mengesyorkan supaya kerajaan meminda Akta Kemajuan Petroleum 1974 Seksyen 3 dan 5 supaya ia selaras dengan ketelusan," katanya. 

Kerajaan Pusat perlu terangkan kenapa wang negara terlebih belanja

01 Okt : Pusat perlu menerangkan kenapa wang negara terlebih belanja sehingga memaksa Parlimen untuk meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan Tambahan 2013 bagi menampung perbuatan itu.
Ahli Parlimen Selayang William Leong Jee Keen berkata garis panduan Tabung Matawang Antarabangsa (IMF) menetapkan pemerintah yang meminta pertambahan yang berlebih-lebihan biasanya menunjukkan perbelanjaan yang tidak berdisplin.
Apa yang turut mengecewakan, perbuatan itu juga menunjukkan belanjawan sebelum ini tidak disediakan dengan baik dan tidak berpandangan jauh.
“Pada prinsip asasnya perbekalan tambahan tidak diperlukan selagi belanjawan disediakan dengan baik dan apa-apa perbelanjaan yang tidak dijangka ditampung dari rizab kontingensi,” tegas William ketika berucap di sesi Pembahasan RUU Perbekalan Tambahan 2013 di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau merujuk kepada bayaran tambahan sebanyak RM8,853,400,000 (RM8.853 bilion) untuk menampung pembayaran tuntutan subsidi barangan petroleum bagi tahun 2013. William mahu Kerajaan Pusat menjelaskan bagaimana peruntukan asal bagi tujuan itu iaitu sebanyak RM20,015,000,000 (RM20.015 bilion) dibelanjakan.
“Adakah bayaran ini dijangka bila Belanjawan 2013 di siapkan untuk pembentangan pada October 2012?” soal William, dan menambah, “Saya minta Kerajaan memberikan maklumat jumlah daripada peruntukan asal telah dibayar dan apa kah perubahan dalam andaian ekonomi yang mempengaruhi dasar belanjawan yang telah diluluskan pada October 2012.”

Kerajaan tiada azam politik mahu banteras rasuah

01 Okt : Kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk menjadikan ‘rasuah sebagai sejarah silam’ hanya tinggal retorik politik tanpa sebarang pelaksanaan.
Azmin-Ali“Ini bukan soal ikrar. Perlu ada tindakan dan keberanian oleh kerajaan,” kata Timbalan Presiden KEADILAN, Mohamed Azmin Ali kepada Keadilan Daily.
Laporan Barometer Rasuah Global (GCB) Transparency International 2013 yang dikeluarkan Transparency International Malaysia (TI-M) Julai tahun ini menunjukkan tahap keyakinan awam terhadap SPRM merudum.
Menurut barometer itu, peratusan rakyat Malaysia yang menaruh persepsi positif mengenai tindakan kerajaan dalam memerangi rasuah menurun kepada 31 peratus daripada 49 peratus pada 2011.
“Terjemahkan hasrat melalui intgriti dalam bentuk akta, pelaksanaan dan penguatkuasaan,” kata Ahli Parlimen Gombak itu.
Menurut kajian perunding audit antarabangsa, Ernst & Young, Malaysia disenaraikan sebagai salah satu daripada negara paling rasuah di dunia.
Manakala mengikut laporan Asia-Pacific Fraud Survey Report Series 2013, Malaysia bersama China memiliki tahap tertinggi rasuah daripada mana-mana negara di seluruh dunia.

Hutang negara menggunung, tak hairan harga minyak naik lagi

01 Okt : Kenaikan harga petrol RON95 sebanyak 10 sen sebagaimana heboh diperkatakan dalam laman sesawang tidak boleh dinafikan akan berlaku dalam tempoh terdekat.
Walaupun Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengeluarkan kenyataan baru-baru ini menafikan spekulasi berkenaan, namun hutang negara yang menggunung memungkinkan langkah pemotongan subsidi dibuat sekali lagi.
Pengerusi KEADILAN Terengganu, Azan Ismail berkata, kerajaan ‘minoriti’ BN sepatutnya tidak terus-menerus mendera rakyat selepas pengurangan subsidi pada awal September lalu.
Azan_Ismail“Jangan naikkan minyak. Harga minyak jika diusik sedikit sahaja maka akan berlaku kesan rantaian kenaikan harga barang keperluan.
“Minyak melibatkan semua aktiviti. Malah penjanaan elektrik, rumah pam rawatan air, aktiviti rakyat ke kebun, mengangkut barang ke pasar semua perlu minyak. Harga barang keperluan tidak boleh dielak akan meningkat.
“Kerajaan perlu cari idea baru untuk bayar hutang bukannya mengalih beban ke bahu rakyat,” bidasnya.
Azan turut mencabar kerajaan BN menjelaskan kepada sektor manakah wang subsidi itu diagihkan.
“Subsidi ditarik dari rakyat disalurkan kepada penganjur lumba motorsikal, Monsoon Cup, F1 litar Sepang dan sebagainya. Acara seperti itu diberi geran khas. Ini polisi yang tidak masuk akal,” katanya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Parit Buntar, Datuk Dr Mujahid Yusof ketika mencelah dalam sesi perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan di Parlimen, 30 September lalu, mencadangkan agar golongan miskin diberi kad khas subsidi bahan api bagi menjawab dalih kerajaan BN kononnya subsidi dinikmati golongan kaya dan 1.3 juta pendatang asing.
“Kerajaan boleh tetapkan had berapa liter sebulan kepada golongan yang dikategorikan sebagai miskin, jika nak guna lebih maka dia kena bayar,” katanya.
Kerajaan awal September lalu memperkenalkan harga baharu bagi RON95 dari RM1.90 kepada RM2.10 seliter dan diesel daripada RM1.90 kepada RM1.80.

Kalaulah Mukhriz kalah Naib Presiden Umno…

DAP cabar Mukhriz ulangi pendirian “tidak perlu undi Cina” di Sungai Limau
01 Okt : Penyertaan Menteri Besar Kedah, Mukhriz Mahathir dalam perebutan jawatan Naib Presiden Umno tidak sudah-sudah mengundang kontroversi. Daripada disyaratkan meminta nasihat Presiden Umno terlebih dahulu, kemudian penyertaannya dikatakan tidak mendapat restu berikutan Najib mahu penyandang sedia ada dikekalkan dan terbaru ini, beliau dikatakan merupakan ancaman kepada kedudukan Najib pula.
Namun di sebalik semua itu, mood dan trend perwakilan Umno menjelang pemilihan 19 Oktober depan terlihat semakin mengukuh terhadapnya. Kedudukan sebagai anak Mahathir, kejayaan Barisan Nasional menawan semula Kedah dan imejnya sebagai antara pemimpin muda yang baik dan berwibawa adalah antara faktor penyumbang ke arah itu.
Ini menjadikan, meskipun tarikh pemilihan ada kira-kira tiga minggu lagi tetapi ramai menjangkakan beliau tidak menghadapi banyak masalah untuk menduduki salah satu daripada tiga kerusi naib presiden itu.
Secara langsung juga keadaan ini menjadikan sekurang-kurangnya salah seorang daripada tiga penyandang kerusi Naib Presiden iaitu Ahmad Zahid Hamidi, Hishammuddin Hussein dan Shafie Apdal mulai rasa tergugat. Sekiranya, dua lagi calon iaitu Isa Samad dan Ali Rustam turut berupaya melonjakkan diri masing-masing, tambahan pula kedua mereka juga pernah menyandang kerusi itu sebelum ini, bermakna ketiga-tiga penyandang jawatan naib presiden ini tidak lagi selamat kedudukannya.
Serentak dengan tersebarnya cakap-cakap bahawa penyertaan Mukhriz tidak mendapat restu Najib, spekulasi itu bertambah hangat apabila Zahid, Hishammuddin dan Shafie dilihat bersama-sama dan saling bergandingan tangan ketika hadir di hari penamaan calon pada 21 September lalu.
Walaupun dinafikan ada pakatan atau sebarang usaha untuk mewujudkan blok undi, kempen-kempen yang mahukan ketiga-tiga penyandang itu dikekalkan ternyata semakin tersebar di mana-mana.
Di Wilayah Persekutuan pula, ketika majlis memperkenalkan salah seorang calon Naib Presiden, Zahid Hamidi kepada para perwakilan yang diadakan di sebuah hotel minggu lalu, Tengku Adnan Tengku Mansor secara terbuka menyatakan bahawa Najib mahukan ketiga-tiga penyandang sedia ada dikekalkan.
Apabila perkara itu menjadi heboh dan disiarkan dalam beberapa blog pro Umno, diberitahu kemudiannya bahawa ucapan Tengku Adnan pada malam itu adalah atas kapasitinya sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno WP dan bukannya sebagai Setiausaha Agung Umno.
Namun yang jelasnya, Ku Nan dengan kedudukan dan gambarannya sebagai "tangan kanan" Najib dilihat mahukan perwakilan Umno WP mengekalkan Naib Presiden sedia dan menolak Mukhriz.
Di kalangan ketua-ketua cawangan dan para perwakilan WP, ucapan Ku Nan itu telah menimbulkan keresahan dan serba salah kerana ramai yang beranggapan bahawa kehadiran Mukhriz sebagai salah seorang naib presiden seharusnya diterima dengan baik, sesuai dengan saranan meremajakan parti dan menerima pemimpin muda yang berkelayakan yang sering dilaung-laungkan sebelum ini. Tambahan pula, di kalangan tiga penyandang naib presiden itu ada yang begitu dipertikaikan kewibawaan dan daya kepimpinannya.
Di negeri-negeri lain juga didapati bahawa kempen yang mahukan ketiga-tiga penyandang dikekalkan turut kedengaran. Dalam banyak keadaan pula, nama Najib turut digunakan untuk menguatkan keyakinan agar para perwakilan bersetuju tanpa banyak soal dengannya.
Hujah yang digunakan ialah Najib dikatakan cukup selesa bekerja dengan ketiga-tiga naib presiden sedia ada yang sudah dikenalinya cukup lama dan sekiranya berlaku perubahan ia mungkin merencatkan sebarang usaha ke arah transformssi dalam parti dan juga kerajaan yang mahu dilakukan Najib selepas ini.
Dan terbaru ini, kemenangan Mukhriz sebagai naib presiden dikatakan sebagai ancaman kepada Najib pula. Apa yang ditulis oleh The Economist mengenai hal itu sebenarnya adalah perkara yang sudah menular jauh diperbualkan di kalangan para perwakilan. Tujuannya tidak lain ialah untuk menghalang kemenangan Mukhriz dan menjadikan status quo naib presiden tidak berubah.
Isu kehadiran Mukhriz sebagai ancaman kepada kedudukan Najib kini bukan saja terpaksa dinafikan oleh tuan punya badan sendiri tetapi turut dilakukan oleh Mahathir juga. Mukhriz, kata Mahathir lagi, tidak mempunyai apa-apa niat buruk terhadap Najib.
Sementara Mukhriz mulai menyedari bahawa kempen-kempen untuk menolaknya daripada memenangi jawatan Naib Presiden Umno mulai mengancam peluangnya, Mahathir pula tentunya terpaksa berbuat demikian kerana tidak mahu anak bongsunya itu kecundang dalam pemilihan kali ini.
Setelah kalah dalam pertandingan merebut jawatan Ketua Pemuda Kubang Pasu kepada Haji Zulkifli dalam pemilihan 2004 dan kemudian kalah juga kepada Khairy Jamaluddin dalam pertandingan Ketua Pemuda Umno Malaysia pada 2009, Mahathir tentunya tidak rela melihat Mukhriz kalah lagi dalam pendakiannya menuju puncak hireaki dalam Umno dan juga kerajaan.
Walaupun Najib sudah menafikan beliau merestui calon-calon tertentu dan menyerahkan kepada para perwakilan membuat pilihan, namun ia didapati semakin kerap diperkatakan di mana-mana. Semakin dekat hari pemilihan, dipercayai lagu yang mengatakan Najib mahu Zahid, Hishammuddin dan Shafie dikekalkan, pastinya lebih kerap didendangkan dengan pelbagai irama dan tempo oleh tukang-tukang kempen sama ada yang rasmi mahupun tidak rasmi.
Semakin kuat Mukhriz cuba menyelit dan memastikan kemenangannya, begitu jugalah semakin kuat gerakan yang mahu menolaknya.
Cumanya, bolehkah Mukhriz disingkirkan sedangkan mood dan kehendak perwakilan secara majoritinya lebih memihak kepadanya?
Kemenangan Mukhriz mungkin menjadikan Umno tambah menarik dengan wajah kepimpinan yang dilihat lebih segar dan meyakinkan di mata rakyat tetapi sekiranya Mukhriz kalah, drama-drama dalam Umno selepas itu juga pastinya lebih menarik lagi.
Oleh : shahbudindotcom,

Kajian: 80% sedia lapor jika dirasuah


01 Okt : Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Sutinah Sutan berkata kesedaran masyarakat terhadap bahaya rasuah kini berada pada tahap tinggi.

Ini, katanya, berdasarkan Kajian Keberkesanan SPRM kendalian Universiti Putra Malaysia.

"Kajian itu menunjukkan lebih 80% responden bersedia membuat laporan jika mereka ditawarkan rasuah atau diminta memberi rasuah.

"Lebih 77 peratus responden pula bersedia memberi maklumat atau melapor kejadian rasuah serta menjadi saksi," kata Sutinah dalam program bual bicara di Bernama Radio24 di Kuala Lumpur semalam sempena ulang tahun ke-46 SPRM hari ini.

Sutinah juga menyatakan dalam tempoh 2009-2012, SPRM telah berjaya menyelesaikan 1,529 kes.

174 kes selesai pada 2009, 435 pada 2010, 520 pada 2011 dan 400 kes pada 2012, katanya.

Tahun 2009 ialah ketika Program Transformasi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diperkenalkan.

- Bernama