SPECIAL ADS

2 Mac 2013

Siswa GM13 cabar PM debat di RTM


Gerakan Mahasiswa PRU13 (GM13) yang mengumumkan untuk meletakkan calonnya bertanding di kawasan Parlimen perdana menteri di Pekan, kali ini mahu berdebat pula dengan Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung manifesto mahasiswa untuk pilihan raya umum akan datang.

Semalam, mereka menghantar surat permohonan kepada stesen RTM semalam supaya menganjurkan debat tersebut antara perdana menteri dengan pengerusi GM13, Syis Abdul Kadir.

Syis menyerahkan surat tersebut kepada Pengarah Bahagian Khidmat Pengurusan Jabatan Penyiaran Malaysia Mohd Nadzir Don kira-kira jam 12 tengahari semalam.

Seramai enam mahasiswa mengiringi beliau menyerahkan surat tersebut kepada Nadzir di pintu masuk Angkasapuri semalam.

Ketika dihubungi Malaysiakini petang semalam, Syis Abdul Kadir berkata antara intipati manifesto mereka boleh diperdebatkan adalah berkaitan dasar pengajian tinggi negara.

"Hal ini bertujuan untuk mengetahui maklum balas dari perdana menteri sendiri berhubung dengan segala isu yang telah berlaku kepada mahasiswa sebelum ini terutamanya berkenaan manifesto mahasiswa dalam menghadapi PRU-13," surat permohonan itu dipetik.

Dalam surat tersebut, mereka mencadangkan tajuk debat adalah "Barisan Nasional jadikan universiti sebagai kilang" dan mengesyorkan ia disiar secara langsung di Angkasapuri.

Syis yang juga presiden Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (UM) berkata, pihaknya memberi tempoh sehingga 6 Mac ini kepada RTM untuk memberi keputusan.

Mahasiswa Akademi Pengajian Islam UM itu berkata, pihaknya juga akan menghantar salinan surat permohonan debat itu kepada Jabatan Perdana Menteri melalui emel Isnin ini.

Dalam perkembangan berkaitan, pihaknya akan melancarkan manifesto mahasiswa pada Isnin di Dewan Perhimpunan Cina Selangor-Kuala Lumpur jam 8.30 malam.

Tiada ulasan: