4 Jun 2013

Jika TPPA baik, kenapa MITI tidak dedah perjanjian?

KUALA LUMPUR 04 Jun : Jika benar rundingan Persefahaman Perjanjian Trans-Pasifik atau Trans-Pacific Partnership Agreement (TPPA) memberi banyak kebaikan kepada negara, maka tidak ada apa yang perlu disembunyikan.

Demikian respons Majlis Tindakan Ekonomi Melayu Bersekutu (MTEM) dalam satu kenyataan berhubung TPPA.

Malahan, tambah kenyataan itu langkah-langkah persediaan boleh diadakan oleh pihak berkepentingan khususnya masyarakat usahawan.

Satu perjumpaan tertutup di antara Datuk Seri Mustapa Mohamed, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) bersama MTEM dan ahli-ahli NGO telah diadakan di pejabatnya, Kompleks Kerajaan Jalan Duta, di sini baru-baru ini bagi membincangkan status terkini rundingan TPPA.

Menurut kenyataan itu lagi, MTEM telah melalui beberapa siri perbincangan dan ingin menyatakan pendirian terhadap perundingan TPPA:

1.      Ketiadaan kajian mendalam terhadap kesan ekonomi dan sosial terhadap negara dan penyertaan Malaysia dalam perundingan ini juga dilihat tidak matang. Sekiranya MITI ada membuat analisa menyeluruh berkaitan TPPA, maka ia perlu dibentangkan kepada umum, terutamanya berkaitan manfaat dan risiko yang bakal dihadapi.

2.      Perundingan TPPA ini diadakan secara sulit dan keengganan MITI mendedahkan teks-teks perjanjian adalah bertentangan dengan prinsip ketelusan dan akauntibiliti yang dijanjikan kerajaan. Jika benar TPPA memberi banyak kebaikan kepada negara maka tidak ada apa yang perlu disembunyikan malahan langkah-langkah persediaan boleh diadakan oleh pihak berkepentingan khususnya masyarakat usahawan.

3.    Tiada sebarang perundingan bermakna dianjurkan oleh MITI, dan sesi taklimat dengan beberapa pihak sebelum ini hanyalah secara lisan tanpa sebarang komitmen bertulis daripada MITI sebagai jaminan kepada keselamatan dan kedaulatan negara. Tambahan pula pelbagai pihak yang didakwa MITI mengikuti perundingan telah menafikan penglibatan mereka.

4.    MTEM berpendirian keburukan pada perjanjian ini jauh melampaui kebaikan, tidak sepertimana yang dicanangkan MITI terutamanya kesan TPPA kepada industri kecil dan mikro.

5.    Perjanjian antarabangsa seperti TPPA yang mempunyai kesan besar dan mampu mencemar kedaulatan negara sewajarnya diperdebatkan dan mendapat mandat baru daripada parlimen sebelum ianya diteruskan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan