SPECIAL ADS

4 Jun 2013

Penubuhan Suruhanjaya Bebas dan Salah Laku Polis (IPCMC) Perlu dan Mustahak

PETALING JAYA 04 Jun : Pakatan Rakyat menggesa Ahli Parlimen BN supaya menyokong usul cadangan penubuhan Suruhanjaya Bebas dan Salah Laku Polis (IPCMC) dalam sidang parlimen yang akan bermula pada 24 Jun ini.

Penasihat DAP, Lim Kit Siang berkata, penubuhan IPCMC perlu memandangkan sejak akhir-akhir ini dilaporkan berlaku kematian Orang Kena Tuduh (OKT) semasa dalam jagaan polis.

"Di mana dilaporkan tiga kematian dalam masa 11 hari keadaan ini perlu kepada penubuhan IPCMC, kita perlu sokongan majoriti di dalam parlimen supaya isu ini kematian dalam tahanan polis dapat diselesaikan," katanya dalam sidang media Pakatan Rakyat di sini hari ini.

Katanya, Pakatan Rakyat akan menubuhkan jawatankuasa terdiri daripada dua ahli parlimen dalam setiap parti dalam Pakatan Rakyat yang akan bertanggungjawab mengemukakan usul untuk tubuhkan IPCMC.
"Kita ada 89 MP, kita perlukan  23 lagi MP supaya dapat simple majoriti agar IPCMC boleh diluluskan. MIC pernah kata mereka mahukan IPCMC jadi kita ada 4 MP, dan kita mahu kenyataan MCA  yang kini ada 7 MP agar menyatakan sokongan untuk tubuh IPCMC.

"Jadi kita hanya perlukan lagi 12 MP daripada kalangan BN untuk sokongan cadangan seterusnya tubuhkan IPCMC," katanya.

IPCMC seperti mana yang dicadangkan oleh Suruhanjaya Siasatan Diraja Polis Dzaiddin lapan tahun lalu pada 2005 bagi menamatkan terus peristiwa kematian dalam tahanan polis yang memalukan dan tidak berkesudahan.

Bagaimanapun, tegas Kit Siang, lapan tahun disia-siakan begitu sahaja kerana cadangan penubuhan IPCMC tidak dilaksanakan, akhirnya kematian dalam tahanan polis masih terus berlaku.

Berlaku dua lagi kematian di dalam lokap polis, N. Dharmendran, 32, di ibupejabat polis Kuala Lumpur pada 21 Mei dan R. Jamesh Ramesh, 40, di ibupejabat polis Pulau Pinang pada 26 Mei.

Sebelum ini Ahli Parlimen BN menolak penubuhan IPCMC kerana mendakwa ia mahu dijadikan alat oleh pihak tertentu untuk melemahkan pasukan polis.

Tiada ulasan: