4 Jun 2013

Umno parti satu kaum, bunuh 1Malaysia Najib

KUALA LUMPUR 04 Jun : Keengganan Umno untuk menjadi satu parti tunggal yang inklusif atau berbilang kaum dan sebaliknya berkeras mahu berpegang kepada semangat parti satu kaum adalah suatu hukuman bunuh terhadap konsep 1Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak.

Kenyataan Ketua Penerangan Umno merangkap Timbalan Menteri, Ahmad Maslan bahawa mustahil Umno menjadi sebuah parti tunggal untuk semua rakyat Malaysia membuktikan bahawa Umno terus-terusan mahu memecahbelahkan rakyat Malaysia mengikut kaum demi memelihara kekuasaan mereka.

“Untuk lebih 50 tahun, BN Umno, MCA dan MIC telah memecahbelahkan Malaysia menurut kaum demi menghalalkan salah guna kuasa mereka, terutamanya rasuah, kapitalisme kroni dan penafian atau menghalang hak asasi manusia,” ujar Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng (gambar)dalam satu kenyataan.

Katanya, walaupun BN kalah undi popular pertama kali dalam sejarah negara dalam Pilihan raya Umum 2013, dengan hanya 47% undi berbanding 53% undi yang diraih Pakatan Rakyat, Umno masih lagi enggan menerima penolakan keras masyarakat terhadap politik perkauman.

Ahli parlimen Bagan itu menambah, Pakatan Rakyat memenangi undi orang Melayu bandar dan anak muda Melayu dengan majoriti yang jelas, dan di peringkat nasional, Pakatan Rakyat memenangi 43% undi orang Melayu.

Menurutnya, mesej perkauman Umno tidak mampu melampaui rasuah dan salahguna kuasa yang ia lakukan.

Ini, ujarnya bermakna rakyat Malaysia daripada semua kaum telah memberikan mesej yang lantang dan jelas dalam PRU13 bahawa mereka mahu menjadi Malaysian first, di mana rakyat mendahului kroni, prinsip dan polisi yang baik dilihat lebih penting daripada kebencian dan ketakutan.

Sebaliknya, kata beliau Umno terus berpaut kepada ideologi melampau Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang memecahbelah dan menghancurkan, ‘Melayu pertama, Malaysia seterusnya’ (Malay first, Malaysian second).

“Menjadi ‘Malaysian first’ tidak bermakna kita kehilangan identiti Melayu, Cina, Dayak, Kadazan atau India tetapi ia bermakna kita menumpahkan taat setia yang tidak berbelah bagi kepada negara seperti yang termaktub dalam lagu kebangsaan kita, ‘Negaraku’,” katanya yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang.

Menurutnya lagi, memandangkan Umno adalah parti paling dominan, keengganannya untuk membuka keahlian kepada semua rakyat Malaysia bermakna tidak akan satu parti pun dari BN yang menjadi inklusif buat semua tanpa mengira kaum.

Jelas sekali, katanya slogan 1Malaysia Najib tidak ada makna langsung kecuali satu usaha propaganda untuk pilihanraya yang akan terbuang akhirnya apabila BN memenangi jumlah kerusi Parlimen terbanyak walaupun kalah undi popular.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan