3 Julai 2013

Anwar: Tiada data mengenai saya dalam Wikileaks

Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR 03 Julai :  Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui tidak ada laporan mengenai dirinya dalam laman Wikileaks seperti yang didakwa ahli Parlimen Simpang Renggam, Liang Teck Meng.

“Tidak ada rujukan itu sama sekali dalam Wikileaks. Saya merujuk kepada Wikileaks tetapi tidak ada, apakah kita nak berikan pengesahan kalau tidak ada.

“Simpang Renggam harus ingat tiada disebut (pendedahan ini) dalam Wikileaks,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Anwar meminta Teck Meng bangun untuk memberi respons tetapi tiada jawapan balas.

Katanya, keadaan itu memaksa Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia membuat keputusan supaya Dewan Rakyat memberi peluang kepada Teck Meng untuk menjelaskan mengenai pendedahannya.

“Simpang Renggam tak ada (dalam Dewan Rakyat), kalau beliau masih dengan pendiriannya, Yang Berhormat ada hak untuk buat usul (rujuk Jawatankuasa Hak dan Kebebasan ahli Parlimen).

“Ini jadi pengajaran kepada semua, kalau terlajak kata, susah,”  katanya.

Sementara itu, ketika ditemui di Lobi Parlimen, Anwar berkata, laporan itu mungkin dimulakan oleh blogger-blogger Umno, dan ahli Parlimen Simpang Renggam mengambil maklumat tersebut.

“Membaca teks Umno dan edarkan. Kita semak tidak ada, ini menunjukkan bukti yang luput dan pegang terpaksa disiarkan Umno dan diedarkan. Tidak ada asas sama sekali,” katanya.

“Dia kata Wikileaks tetapi bila disemak (mungkin) dia ambil daripada blog Umno, “ katanya.

Semalam, Teck Meng dalam Dewan Rakyat mendakwa Anwar mempunyai 20 akaun di bank-bank di Israel, Amerika Syarikat, Singapura dan China dengan jumlah mencecah RM209 juta (USD66 juta).

Teck Meng berkata, setiap akaun mempunyai maklumat terperinci termasuk nama pemegang, jawatan, nombor pasport, jenis, nombor, tarikh akaun dibuka dan tarikh matang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan