8 Julai 2013

Belanjawan tambahan bukti boleh hapus cukai kereta

KUALA LUMPUR, 8 JULAI: Peruntukan tambahan RM 28 bilion seharusnya digunakan untuk melaksanakan program-program bagi kepentingan rakyat, kata ahli parlimen Pandan, Rafizi Ramli.
Beliau mengulas pembentangan Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan (2012) 2013 berhubung peruntukan tambahan berjumlah RM 12.1 bilion oleh Kementerian Kewangan, hari ini.
Tulis Rafizi di twitter, jumlah RM12.1 bilion adalah belanjawan tambahan kedua bagi 2012, selepas pembentangan belanjawan tambahan pertama pada Jun 2012 yang berjumlah RM15.3 bilion.KPRU
Katanya, belanjawan tambahan mengurus yang berjumlah RM28 bilion tersebut adalah 15 peratus lebih tinggi berbanding belanjawan diluluskan pada 2012, iaitu RM182 bilion.
Kata Rafizi, perbelanjaan berlebihan yang mencecah RM28 bilion adalah empat kali ganda dari jumlah menghapuskan cukai kereta, iaitu RM7 bilion.
Beliau menjelaskan peruntukan tambahan sewajarnya digunakan untuk melaksana program-program rakyat seperti yang dicadangkan Pakatan Rakyat, antaranya penghapusan cukai eksais kereta secara berperingkat.
“Sebab itu saya kata, kita mampu (laksana),” kata Rafizi.
Kajian Politik Untuk Perubahan (KPRU) sebelum ini menyifatkan perbekalan tambahan 2012 meningkatkan hutang negara.
Manakala Laporan Ekonomi 2011/2012 Kementerian Kewangan turut menyatakan unjuran defisit dialami Malaysia pada tahun 2012 pada kedudukan 4.8 peratus daripada Keluaran Negara Kasar (KNK)
“Kekurangan disiplin dalam pengendalian kewangan diamalkan kerajaan BN di bawah pimpinan Najib menyaksikan pemborosan yang begitu menonjol,” laporan KPRU dipetik.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan