15 Oktober 2013

Penganalisa: Sistem Pemilihan Umno Tidak Cermikan Suara Akar Umbi

Prof Datuk Mohamad Abu Bakar
15 Okt : Sistem pemilihan “satu bahagian satu undi” yang dipraktikkan dalam Pemilihan Umno 2013 tidak menzahirkan kehendak majoriti ahli akar umbi parti itu.
Penganalisa politik, Prof Datuk Mohamad Abu Bakar berkata melalui sistem seperti itu, pemimpin yang menang perebutan jawatan tidak semestinya menang dari segi undi popular.
Ini berbeza dengan sistem pemilihan “satu ahli satu undi” yang diamalkan PKR dan memberi kuasa kepada setiap ahli untuk memilih pemimpin mereka hingga ke peringkat tertinggi.
“Saya tak begitu pasti sejauh mana sistem ini mampu memberi kesan transformasi pemilihan.
“Cuma yang digembar-gemburkan kononnya suatu suasana yang lebih demokratik sudah menjalar dalam kepimpinan dan pemilihan Umno tetapi apakah perasaan peringkat yang berbagai itu benar-benar dapat disalurkan dari segi pemilihan akhir, itu sukar untuk disukat,” kata pensyarah Pengajian Antarabangsa dan Strategik Universiti Malaya (UM) itu.
Sebelum ini penulis Blog terkenal pro Umno, Syed Akhbar Ali menganggap kemenangan yang diraih Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil sebagai Ketua Wanita Umno dan Khary Jamaluddin Abu Bakar sebagai Ketua Pemuda Umno bukan kemenangan mutlak kerana undi yang dibuang ahli-ahli Umno akhirnya dianggap satu undi sahaja di peringkat bahagian.
Selain itu beliau turut mempersoalkan ketelusan jawatankuasa Pemilihan Umno yang beliau dakwa merahsiakan jumlah undi popular seolah-olah cuba menyembunyikan sesuatu.
Selain sistem pemilihan yang bercelaru, suasana pemilihan kali ini didakwa dicemari kewujudan pengundi hantu, kertas undi tidak cukup, jumlah undi melebihi perwakilan, insiden melempar mikrofon, kertas undi mengelirukan dan lain-lain.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan