SPECIAL ADS

21 September 2014

Perhimpunan sokong Sultan Selangor di Shah Alam

Sebahagian pertubuhan bukan kerajaan (NGO) melaungkan 'Daulat Tuanku' pada perhimpunan menjunjung taat setia ke atas Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Selangor di padang permainan rumah pangsa PKNS Seksyen 16 hari ini. – Gambar The Malaysian Insiderr, 21 September, 2014.
Ratusan orang berhimpun di Shah Alam hari ini menunjukkan sokongan mereka kepada Sultan Selangor menjelang perlantikan menteri besar (MB) baharu Selasa ini, lapor Malaysiakini.
Kumpulan menamakan diri mereka "Gerak Daulat" itu berkumpul di Seksyen 16, Shah Alam dengan memakai pakaian kuning, warna rasmi kerabat diraja.
Perhimpunan itu bertujuan menunjukkan rakyat Selangor bersatu hati dan mempertahankan institusi diraja yang dipertikaikan pihak tertentu khususnya mengenai kuasa istana memilih MB, menurut portal berita itu.
Turut sama dalam demonstrasi yang menurut portal itu dihadiri lebih 500 orang mewakili 18 badan bukan kerajaan (NGO), ialah Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor, Datuk Seri Noh Omar.
Mereka melafazkan ikrar taat setia kepada Sultan dan menegaskan BN tidak boleh lagi berdiam diri apabila peranan Sultan memilih teraju negeri dipertikai.
“BN bangkit apabila institusi diraja dicabar dan tidak dihormati dan akan terus berjuang sekiranya selepas majlis angkat sumpah, menteri besar baharu mendapat tentangan pihak tidak berpuas hati dengan pilihan Sultan.
“Kita kena sokong siapa sahaja yang diperkenan Sultan, jika ada mana-mana pihak yang mempertikaikan keputusan Tuanku selepas Selasa ini, dan juga cuba gugat kestabilan Selangor kerana tidak puas hati dengan keputusan dibuat Tuanku, maka BN tidak akan berdiam diri. Kita akan bangun dan terus berdiri teguh di belakang Tuanku,” katanya seperti dipetik portal itu.
Beliau juga dilaporkan menafikan BN sebelum ini menyokong Khalid atau mana-mana individu untuk membentuk kerajaan perpaduan.
Sebaliknya, katanya, BN hanya menyokong usaha Khalid bekerjasama dengan kerajaan persekutuan menyelesaikan masalah air negeri itu.
Pada masa sama, Majlis Dewan Diraja Selangor dijangka bermesyuarat di Istana Alam Shah di Klang hari ini, bagi membuat keputusan terakhir berkenaan MB baharu itu.
Di tengah kegawatan krisis MB yang berlanjutan sekian lama, pihak istana membuat kejutan minggu lepas dengan mengumumkan majlis angkat sumpah.
Ia bagaimanapun enggan mendedahkan identiti bakal MB baharu menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Sebelum ini, pihak istana mengarahkan setiap parti dalam Pakatan Rakyat menamakan lebih daripada dua calon masing-masing bagi jawatan pentadbiran tertinggi di negeri paling kaya itu.
Sementara PKR dan DAP tetap dengan keputusan mereka menamakan hanya Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon paling layak dan mendapat sokongan majoriti, PAS menghantar tiga nama.
Sultan Selangor kemudiannya menegur PKR dan DAP kerana enggan akur titah baginda dan kedua-dua pemimpin parti berkenaan kemudiannya memohon keampunan. TMI

Tiada ulasan: