SPECIAL ADS

30 Mac 2015

Sultan Selangor mahu kerajaan negeri ganti tanah rizab Melayu

Hasil carian imej untuk sultan selangor sekarang
Status tanah rizab Melayu yang dibatalkan kerajaan negeri bagi tujuan projek pembangunan semula perlu digantikan segera, titah Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Sultan Selangor berkata, sebarang bentuk penggantian tanah baharu harus "serupa keadaannya" dan mempunyai nilai pasaran yang kompetitif.
"Wajar diingatkan agar hak-hak orang Melayu dan Bumiputera mesti dipertahankan termasuk jumlah keluasan tanah rizab Melayu selaras dengan Perkara 89 Fasal 3 Perlembagaan Persekutuan," titahnya dalam ucapan pembukaan persidangan penggal ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor ke-13, di Shah Alam, hari ini.
Baginda juga mahu keluasan hutan simpan kekal di Selangor dijaga dan tidak boleh kurang 30% daripada jumlah keluasan tanah negeri.
Titahnya, kerajaan negeri perlu mengambil iktibar bencana banjir di beberapa negeri Pantai Timur, justeru pengurusan alam sekitar dan ekosistem melalui pemeliharaan hutan simpan kekal dan penamaan pokok perlu diberi perhatian.
Menyentuh isu ekonomi, Sultan Sharafuddin bertitah kedudukan kewangan Selangor pada 28 Februari lalu dilaporkan kukuh dengan jumlah RM3.4 bilion dan mencatatkan peningkatan Kumpulan Wang Disatukan sebanyak RM226 juta berbanding 31 Disember 2014.
Titahnya, tindakan kerajaan negeri mengemukakan bajet defisit 2015 adalah langkah membetulkan struktur ekonomi menghadapi pertumbuhan ekonomi Malaysia yang agak perlahan.
Menurut baginda, Selangor kekal menjadi negeri termaju di Malaysia dengan menyumbang 23.5% keluaran dalam negara kasar (KDNK) negara.
Manakala purata pendapatan isi rumah Selangor, titahnya, masih mencatatkan kedudukan yang teratas dengan melebihi 40% lebih daripda purata nasional.
"Purata pendapatan isi rumah Selangor pada tahun 2012 meningkat kepada RM7,023 berbanding purata pendapatan isi rumah Malaysia yang hanya RM5,000 sahaja.
"Manakala kadar kemiskinan negeri Selangor terus berkurangan daripada 0.7% dalam tahun 2009 kepada 0.4% pada tahun 2012," titahnya.
Titahnya, semakin ramai rakyat Malaysia berhijrah ke Selangor dan menjangkakan kebanjiran penduduk mencecah 9 juta orang pada 2035.
Jumlah itu, titahnya, menyebabkan permintaan perumahan mampu milik akan menjadi lebih mendesak dan keperluan menyediakan sistem pengangkutan awam semakin mencabar.
"Beta menyambut baik keputusan kerajaan negeri menyediakan Pelan Induk Sistem Pengangkutan Awam. Usaha ini dapat memberi memberi kemudahan dan alternatif pengangkutan yang lebih murah, efisyen dan selamat serta mengurangkan penggunaan kenderaan persendirian disamping mengurangkan pelepasan karbon.
"Beta berharap supaya Rancangan Struktur Negeri Selangor 2035 dapat mensasarkan pecahan nisbah pengangkutan awam kepada kenderaan persendirian pada kadar 60:40," katanya. TMI

Tiada ulasan: