SPECIAL ADS

13 Mei 2015

Ahmad Said dedah punca ‘diturun’ jawatan MB Terengganu


PETALING JAYA: Bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said yang selama ini berdiam diri akhirnya mendedahkan punca beliau ‘diturunkan’ jawatannya.


Ahli Dewan Undangan (ADUN) Kijal itu berkata, 1MDB pernah cuba untuk mencagarkan hasil gas dan minyak Terengganu dan akhirnya dibatalkan atas bantahan pihaknya dan perkara itu antara satu sebab beliau ‘diturunkan’ jawatan.

Ahmad membuat pendedahkan itu ketika membahaskan ucapan menjunjung kasih titah ucapan Sultan Terengganu sempena perasmian Persidangan Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri pada Selasa.

Ahmad mengakui 1MDB pada asalnya ialah Terengganu Investment Authority (TIA) tetapi menarik diri apabila terjadi permasalahan yang tidak dapat beliau terima.

“Saya memohon maaf, buat masa ni saya tidak dapat menjawabnya, tapi saya tunggu masa yang sesuai.

“Saya akui, betul, 1MDB asalnya TIA, Terengganu Investment Authority bukan Agency yang modalnya berbayar dan saya dan kerajaan negeri yang bayar.

“Tetapi apabila kita dapati “hanky panky” (perkara tidak betul), ada permasalahan yang tak boleh kita terima, termasuk saya boleh sebut di sini buat permulaan ini dulu, mereka nak cagar minyak dan gas di laut Terengganu ketika itu.

“Inilah satu sebab kenapa saya dimarah oleh Perdana Menteri, termasuk kes-kes yang lain, akhirnya kita menarik diri dan kerajaan negeri tidak rugi apa-apa, saya minta balik wang satu juta sebagai modal berbayar ketika itu.

“Ini sebagai penjelasan permulaan, tidak ada yang tidak benar, melainkan yang benar belaka Yang DiPertua,” katanya.

Ahmad membuat penjelasan itu ketika menjawab pertanyaan ADUN Bukit Payong, Mohd Nor Hamzah, yang bertanyakan kaitan 1MDB dengan kerajaan Terengganu.

Pendedahan Ahmad itu mendapat tepukan gemuruh daripada wakil rakyat pembangkang.

Sidang DUN Terengganu bagi Penggal Ketiga dijadulkan berlangsung selama tiga hari bermula Selasa 12 Mei sehingga Khamis 14 Mei ini.  - FMT

Tiada ulasan: