SPECIAL ADS

18 Oktober 2013

Politik wang letak Umno di takuk lama

18 Okt : Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, Datuk Seri Mustapa Mohamed (gambar), berkata parti Melayu itu kekal di takuk lama sekiranya politik wang masih digunakan oleh segelintir calon untuk meraih undi perwakilan dalam pemilihan Sabtu ini.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu berkata, selain tiada kemajuan yang dapat ditunjukkan, Umno juga bakal rosak kerana calon gagal mematuhi peraturan terutamanya melibatkan politik wang.
Ini kerana, katanya, matlamat asal Umno menukar sistem pemilihan yang memberi kelayakan kepada lebih 145,000 perwakilan mengundi adalah untuk mengelakkan rasuah dan politik wang.
"Matlamat utama pertukaran sistem kali ini ialah untuk membanteras dan mengelakkan politik wang. Matlamat kedua ialah meningkatkan ketelusan dalam proses pengundian termasuk pendekatan kempen yang digunakan.
"Sekiranya dua perkara tersebut dapat dilakukan maka tercapai perubahan dalam kaedah pemilihan baru, tetapi jika ia tidak dipatuhi maka rosaklah parti ini," katanya kepada media di Petaling Jaya, Selangor, pagi ini.
Mustapa berkata, beliau berharap perwakilan menggunakan dua perkara itu sebagai asas dan habuan dalam memilih calon pada Sabtu ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai wujudnya dakwaan politik wang masih berleluasa dalam tempoh 24 jam menjelang pemilihan esok.
Sebahagian 146,500 perwakilan daripada 191 bahagian menggunakan sistem pemilihan baru bagi memilih pemimpin mereka dalam pemilihan kali ini. Pemilihan di peringkat bahagian juga diadakan pada hari sama.
“Pastinya akan ada ‘hujan emas’ berlaku nanti,” kata sumber rasmi parti kepada The Malaysian Insider yang mendedahkan perwakilan akan mendapat kira-kira RM300 untuk setiap undi mereka.
Bagaimanapun, beliau tidak menamakan calon yang menggunakan wang untuk memenangi tiga jawatan naib presiden dan 25 ahli MT Umno itu.
Terdapat jawatan tertinggi lain tidak dipertandingkan dan dilantik sendiri oleh presiden parti, Datuk Seri Najib Razak yang juga perdana menteri Malaysia.
Selain Datuk Seri Hishammuddin Hussein, penyandang bagi jawatan naib presiden lain adalah Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Shafie Apdal.
Selain itu, bekas Ketua Menteri Melaka Senator Datuk Seri Mohd Ali Rustam, Pengerusi Felcra Tan Sri Mohd Isa Samad dan Menteri Besar Kedah Datuk Mukhriz Mahathir turut bersama-sama merebutkan jawatan tertinggi yang dipertandingkan Umno itu.

Tiada ulasan: