2 Ogos 2014

10,000 berhimpun bantah kekejaman Zionis

Kira-kira 10,000 rakyat Malaysia membanjiri Dataran Merdeka tengah hari ini bagi menyatakan bantahan terhadap kekejaman rejim Zionis ke atas penduduk Palestin.

Para peserta menarik perhatian dengan melakonkan babak yang menunjukkan keganasan rejim Zionis dengan iringan kesan bunyi tembakan.

Peserta himpunan itu baring di tanah untuk menunjukkan kehilangan jiwa akibat ditembak bedilan tentera Zionis

Lakonan itu berlangsung selama-kira dua minit dan ia adalah sebahagian daripada acara himpunan 'Selamatkan Kanak-kanak Gaza, Kami Bersama Mu' anjuran NGO Viva Palestina Malaysia dan Aqsa Sharif.

Peserta yang hadir turut mengibarkan bendera Palestin dan menjulang sepanduk anti-Israel.

Mereka turut membawa sepanduk dengan slogan "America stop funding the genocide", "Free Gaza", "Save Gaza", "Malaysia against Zionism", "Demi Islam" dan "We stand with Palestine".

Sebahagian daripada mereka turut memakai pengikat kepala bertulisan 'Demi Islam' dan sebahagiannya memakai pakaian dengan warna-warna  bendera Palestin.

Himpunan yang berlangsung dari jam 3 hingga 5 petang itu turut menyaksikan beberapa orang selebriti tanah air hadir memberikan sokongan.

Pelakon Afdlin Shauki yang berucap menggesa rakyat Malaysia agar terus memboikot barangan berkaitan Israel.

"Apa yang kita boleh buat? Boikot! Jangan ingat kita tak ada kuasa.

"Boikot semua barangan yang dibuat Zionis Israel yang membunuh kanak-kanak ini," kata Afdlin.

Selebriti lain yang hadir di antaranya adalah Aizat Amdan, Azrimel dari kumpulan Tonawarna, Ella, Heliza Helmi, Natasha Hudson dan penyanyi Hattan.

Himpunan yang turut menampilkan ucapan beberapa wakil NGO itu bersurai pada jam 4.45 petang dengan laungan "Hidup Gaza! Free Gaza!" yang diketuai penyanyi Hattan.
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan