2 Ogos 2014

Sabotaj air: Sistem pendawaian pam dipotong


BESTARI JAYA: Kerajaan Negeri Selangor akan meminta bantuan daripada polis dan Rela untuk ditempatkan di kawasan kolam Hang Tuah di Bestari Jaya ekoran terdapat cubaan sabotaj pengeluaran bekalan air.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Belia, Sukan, Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri, Dr Yunus Hairi berkata langkah itu akan diambil kira ekoran sudah dua kali berlaku sabotaj itu.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi tadi, sekumpulan pihak tidak bertanggungjawab bertindak memotong sistem pendawaian di enam pam di kolam Hang Tuah itu.

Bagaimanapun, Dr Yunus berkata pemotongan itu tidak menggugat pengaliran air kepada penduduk ekoran pendawaian yang dipotong itu adalah dari sungai ke kolam.

“Tiada barang bernilai selain sistem pendawaian dan tidak memberi kesan kepada pengepaman ekoran paip yang dipotong adalah dari sungai ke kolam.

“Jadi ia tidak mengganggu. Bagaimanapun kita melihat perkara ini secara serius kerana operasi ini sangat penting kepada penduduk,” katanya ketika ditemui di kolam terbabit.

Dr Yunus berkata dalam pengurusan negeri menuju ke kelas pertama, namun disebabkan pemikiran pihak tidak bertanggungjawab menyebabkan pengurusan negeri terjejas.

“Pengeluaran air ini sangat penting terutama musim kering bagi sesebuah empangan.

“Namun terdapat segelintir pemikiran kelas ketiga menyebabkan ia berlaku,” katanya.

Beliau berharap semua pihak dan masyarakat yang mempunyai maklumat supaya tampil membantu kerajaan negeri.

“Saya akan arahkan pihak Lembaga Urus Air Selangor untuk membuat laporan polis seterusnya memperbaiki kerosakan ini,” katanya.

Sehubungan itu, beliau akan membawa masalah itu ke dalam mesyuarat jawatankuasa air bagi mencari penyelesaian.

“Kita akan menambah anggota keselamatan supaya mengawal di semua pam-pam ini.

“Malah, kebajikan petugas juga akan diambil kira bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku,” katanya.

Sebelum ini, sekitar jam 3 pagi, pasukan yang bertugas mengendalikan pam-pam di kawasan HORAS Bestari Jaya telah diugut oleh sekumpulan samseng bersenjata supaya meninggalkan kawasan itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan