8 Disember 2014

Malaysia cecah paras terendah hak asasi di bawah Najib, kata Suaram

Wakil pertubuhan Dapur Jalanan (tengah) dan masyarakat transgender Seremban (dua dari kanan) bersama wakil Suaram selepas diumumkan pemenang Anugerah Hak Asasi Suaram 2014, hari ini. – Gambar The Malaysian Insider oleh Najjua Zulkefli, 9 Disember, 2014.
Hak asasi manusia di Malaysia di bawah pentadbiran Datuk Seri Najib Razak mencecah paras terendah, kata Suara Rakyat Malaysia (Suaram) dalam laporan 2014 mengenai hak asasi manusia di negara ini.
Laporan yang dilancarkan di Kuala Lumpur hari ini berkata, kebebasan bersuara "menjadi mangsa utama" tahun ini, dengan 44 orang disiasat, didakwa atau disabitkan di bawah Akta Hasutan 1948.
Mereka termasuk ahli politik pembangkang, aktivis, peguam, ahli akademik, pendakwah Islam dan juga pelajar.
"Kebebasan bersuara telah terjejas teruk dengan ugutan yang tidak henti-henti dilancarkan oleh pihak berkuasa terhadap pertubuhan-pertubuhan masyarakat sivil," katanya.
Menurut pemerhatian mereka, kumpulan masyarakat sivil yang telah diancam pihak berkuasa termasuk Gabungan NGO Malaysia dalam Proses UPR (Comango), Negara-ku, Sisters in Islam (SIS) dan Pasukan Peronda Sukarela Pulau Pinang (PPS).
Menurutnya, "perkembangan yang membimbangkan" tahun ini merupakan peningkatan dalam ucapan benci dan keganasan - dibenarkan oleh pihak berkuasa - yang mencetuskan kebencian dan sikap tidak bertoleransi antara kaum dan agama, kata laporan itu lagi.
"Kebebasan beragama dan hubungan etnik telah terancam teruk walaupun tuntutan komitmen kepada kesederhanaan dan toleransi oleh Perdana Menteri pada mesyuarat antarabangsa yang berprofil tinggi," katanya.
Pemerhatian Suaram mendapati usaha "mendiamkan pengkritik" semakin meningkat berikutan siasatan polis di bawah Akta Hasutan terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Taman Medan, Haniza Talha, kerana mempersoalkan peruntukan belanjawan negara kepada program pendidikan awal Permata yang dinaungi isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.
Aktivis memberi amaran bahawa siasatan terhadap Adun Selangor itu membuktikan langkah Putrajaya mengekalkan Akta Hasutan bukan untuk melindungi keharmonian kaum seperti didakwa, tetapi menutup mulut mereka yang mempersoalkan dasar kerajaan.
Laporan Suaram itu berkata, berikutan prestasi mengejut Barisan Nasional dalam Pilihan Raya Umum 2008, Najib cuba memenangi kembali undi dengan memperkenalkan beberapa pembaharuan selepas beliau mengambil alih jawatan perdana menteri pada 2009.
"Usaha untuk pembaharuan sekali lagi gagal selepas satu lagi kekalahan BN dalam PRU 2013, yang dilaungkan janji untuk memansuhkan Akta Hasutan, dengan PM seolah-olah akur kepada tuntutan-tuntutan kumpulan pelampau untuk survival politiknya sendiri dan tunduk kepada tekanan untuk mengajar pengundi yang menentang beliau," katanya.
Pada Perhimpunan Agung Umno akhir bulan lalu, Najib membuat pusingan U terhadap janjinya dua tahun lalu untuk memansuhkan Akta Hasutan.
"Tindakan ini bukan sahaja akan dikekalkan, tetapi diperkukuhkan sekurang-kurangnya melalui dua perkara: Akan ada peruntukan khas untuk melindungi kesucian Islam, manakala agama-agama lain juga tidak boleh dihina," kata Najib dalam ucapannya.
Pengkritik, termasuk aktivis dan ahli politik pembangkang menyelar Najib kerana gagal mengotakan janjinya, menuduh beliau tunduk kepada tekanan sayap berhaluan kanan kumpulan Melayu dan partinya sendiri.
Laporan Suaram itu juga mensasarkan penyeludupan manusia, rasuah dan akauntabiliti, dan salah guna kuasa.
Tahun ini memperlihatkan kerajaan hanya menerima 150 daripada 232 cadangan yang dibuat kepada Malaysia di Majlis Hak Asasi Manusia PBB semasa semakan berkala sejagat, kata laporan itu.
"Kebanyakan daripada cadangan penting bagi penambahbaikan hak asasi manusia ditolak," katanya.
Anugerah Hak Asasi Manusia Suaram 2014 juga diberikan hari ini kepada komuniti transgender di Seremban dan penganjur Dapur Jalanan.
Mereka adalah pemenang dari enam calon Anugerah Hak Asasi Manusia Suaram dan dipilih kerana kerja-kerja mereka memperjuangkan hak masyarakat terpinggir dan tertindas.
Pengerusi Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah, yang merupakan salah seorang daripada hakim, berkata masyarakat transgender yang dipilih adalah kerana ketabahan mereka dalam mencari keadilan untuk diri mereka sendiri yang membawa kepada keputusan "landmark" di Mahkamah Rayuan baru-baru ini.
Mahkamah Rayuan dalam keputusan sebulat suara mengisytiharkan bahawa Seksyen 66 Enakmen Jenayah Syariah Negri Sembilan, yang menjadikan ia satu jenayah bagi lelaki Islam memakai pakaian berlain gender di khalayak ramai, adalah tidak sah kerana ia melanggar hak perlembagaan kebebasan bersuara, pergerakan dan hak untuk hidup secara terhormat dan kesaksamaan.
Dapur Jalanan adalah kumpulan pembekal makanan percuma yang telah berjuang, bersama kumpulan lain, di sebalik langkah kerajaan untuk mengharamkan memberi makan orang miskin dan tiada tempat tinggal di kawasan perniagaan dan hotel mewah di Kuala Lumpur. TMI

Tiada ulasan:

Catat Ulasan