SPECIAL ADS

1 Oktober 2013

Benarkah Sarawak negeri miskin?

Overcoming poverty is not a task of charity, it is an act of justice – Nelson Mandela




02 Okt : Kemiskinan dan Sarawak adalah dua perkara yang sering kali dikaitkan. Ketika PRU13 yang lepas, isu ini adalah modal utama para penceramah kedua-dua koalisi. 

Bagi pihak pemerintah, oleh kerana negeri ini masih miskin dan serba kekurangan, maka politik pembangunan pemerintah adalah solusinya. Di pihak pembangkang pula, ini adalah bukti ketidakcekapan pemerintah selama ini makanya rakyat harus memberi mandat kepada mereka. Hakikatnya, benarkah Sarawak negeri miskin?

Sebelum menyinggung isu ini dengan lebih lanjut, saya ingin mencadangkan definisi yang lebih jelas tentang pelabelan ‘Sarawak negeri miskin’ ini. Saya tahu ramai rakan Sarawak yang sensitif dengan jolokan ini. 

Bagi saya, untuk lebih objektif, secara umumnya, isu ini harus dilihat dari dua sudut iaitu pertama, aspek kekuatan ekonomi negeri itu sendiri dan kedua, tahap sosio-ekonomi rakyat di negeri tersebut. Kekuatan ekonomi negeri pula boleh dilihat dari sudut jumlah kutipan hasil negeri,  kadar keluaran dalam negeri kasar (KDNK) dan juga pertumbuhannya manakala penilaian tahap sosio-ekonomi rakyat pula harus diperhatikan dari sudut kadar kemiskinan dan trend pengagihan pendapatan rakyat. 

Salah satu cara pantas untuk kita menilai kekuatan ekonomi sesebuah negeri ialah melalui kutipan hasil negeri yang dibentangkan ketika sesi belanjawan negeri pada setiap tahun. 

Penelitian terhadap pembentangan belanjawan negeri-negeri untuk tahun 2013 menunjukkan Sarawak membentangkan bajet negeri yang tertinggi di Malaysia dengan jangkaan hasil sekitar RM4.2 bilion. 

Lebih 70% daripada anggaran hasil ini adalah hasil bukan cukai termasuklah royalti petroleum dan gas yang pada tahun 2012 sahaja berjumlah RM641 juta. Sabah berada di tangga kedua dengan bajet sekitar RM4 bilion manakala Terengganu di tempat ketiga dengan anggaran hasil negeri sekitar RM2 bilion. Negeri paling maju di Malaysia iaitu Selangor sebagai perbandingan hanya menganggarkan hasil negeri sekitar RM1.6 bilion untuk 2013. 
Selain itu,berdasarkan data rasmi yang kita perolehi, jika dikaji dari aspek KDNK negeri, pada tahun 2012, Sarawak telah menyumbang 9.6% kepada KDNK Malaysia iaitu ketiga terbesar selepas Selangor dan WP Persekutuan Kuala Lumpur. Ini bermakna secara umum, hampir 10% daripada kekuatan ekonomi nasional datangnya dari Sarawak. 

Sebagai perbandingan, kedua-dua negeri yang tertinggi kutipan hasilnya iaitu Sabah dan Terengganu hanya menyumbang secara total 8.5% kepada KDNK Malaysia. 

Di samping itu, kadar pertumbuhan KDNK Sarawak terkini juga mencatat prestasi yang amat memberangsangkan iaitu pada kadar sekitar 5.0% melepasi jangkaan semasa untuk Malaysia dan angka ini diramal melepasi 6.0% pada tahun 2015. Seperti yang pernah dikongsikan sebelum ini, mengikut rekod, Sarawak menyumbang sekitar 8% kepada pertumbuhan KDNK Malaysia pada tahun lepas. 

Jadi, benarkah Sarawak negeri miskin?

Sekarang mari kita lihat pula samada gambaran positif yang serupa boleh dinisbahkan kepada tahap sosio-ekonomi rakyat Sarawak pula. Menurut Laporan Penyiasatan Isi Rumah dan Kemudahan Asas 2012, Sarawak kini bukan lagi negeri kedua dengan jumlah insiden kemiskinan tertinggi di Malaysia. Negeri ini telah naik satu anak tangga dengan hanya 2.4% insiden kemiskinan di seluruh negeri berbanding Sabah (8.1%) dan Kelantan (2.7%). 

Penurunan insiden kemiskinan ini daripada 5.3% (2009) dalam tempoh 3 tahun adalah satu pencapaian yang amat baik ditambah pula dengan kadar insiden kemiskinan tegar di Sarawak yang kini hanya 0.3% iaitu mendekati purata keseluruhan Malaysia pada kadar 0.2%. Malahan jika dilihat dari aspek pendapatan purata bulanan, Sarawak mencatatkan angka yang memberangsangkan iaitu RM 4,293, jauh lebih baik berbanding negeri Perdana Menteri sendiri yakni Pahang. Sekurang-kurangnya dari sisi ini, Sarawak tidaklah ‘semiskin’ seperti yang diwar-warkan selama ini. 
Kemudian, mari kita teliti aspek pengagihan pendapatan rakyat Sarawak pula. Pekali Gini adalah indikator mudah untuk kita menilai pengagihan pendapatan yang tidak seimbang dalam sesebuah ekonomi. Ia menjadi petunjuk utama yang sering kali dirujuk oleh ahli-ahli ekonomi untuk menilai ketidaksetaraan ekonomi sesebuah negara atau negeri. 

Semakin besar angkanya dalam julat 0 hingga 1 bermakna jurang pendapatan miskin-kaya dalam ekonomi tersebut secara relatifnya lebih ketara. Purata Malaysia pada tahun 2012 adalah 0.431 manakala Sarawak mencatat angka 0.440, iaitu di tangga ketiga tertinggi di Malaysia selepas Kuala Lumpur dan Perlis. Sebagai perbandingan umum, menurut Bank Dunia, Pekali Gini Indonesia hanyalah 0.381.
Dalam masa yang sama, kita juga mendapati hanya 35.8% daripada penduduk Sarawak yang sebenarnya memperoleh pendapatan melebihi RM4,000 sebulan dan yang lebih menarik ialah angka ini hampir menyamai peratusan penduduk bukan Bumiputera di negeri tersebut. 

Selain itu, hampir 5% daripada rakyat Sarawak masih memperoleh pendapatan bulanan di bawah RM1,000 dan peratusannya adalah hampir dua kali ganda jika dilihat di kawasan luar bandar Sarawak. 

Berdasarkan hansard sidang Dun Sarawak dalam tahun 2011, kerajaan negeri telah mendedahkan bahawa lebih 95% rakyat miskin tegar Sarawak adalah di kalangan penduduk Bumiputera dengan majoritinya di kalangan orang Iban (48.7%). 

Sebenarnya, sebahagian besar rakyat Sarawak iaitu 48.5% memperoleh pendapatan di bawah RM3,000 sebulan dan mereka hanya menyumbang sekitar 20% kepada keseluruhan agihan pendapatan di Sarawak. 

Sebagai perbandingan, 7.6% penduduk Sarawak yang memperoleh pendapatan melebihi RM10,000 sebulan menyumbang 27.8% kepada agihan pendapatan keseluruhan di negeri ini. 

Jadi, benarkah Sarawak negeri miskin?

Hakikatnya, masalah utama di Sarawak adalah pengagihan kekayaan negeri yang tidak seimbang di kalangan rakyat. Ia tidak seimbang di antara yang berpendapatan tinggi dan rendah dan yang lebih membimbangkan ia juga amat tidak seimbang di antara kaum Bumiputera dan bukan Bumiputera.

Malahan di kalangan penduduk Bumiputera sendiri, ketidaksetaraan ekonomi di antara kaum Iban dan suku-suku kaum yang lain juga amat serius. Jujur saya katakan Sarawak bukan negeri miskin tetapi persoalan yang jauh lebih mustahak ialah bagaimana pula dengan rakyatnya?

Mohd Aizan Mohd Noor
Pengarah ialah Sarawak Centre for Policy Studies (Sarawak Centre).

Tiada ulasan: