SPECIAL ADS

30 Disember 2012

Amanat: 'Beri ruang saya jawab live di TV1, TV3'



MARANG: PAS sedia menjawab segala polemik yang ditimbulkan dalam isu ‘Amanat Haji Hadi’ dengan syarat diberi peluang satu jam secara langsung melalui RTM oleh Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menegaskan diberi peluang kepada beliau satu jam secara ‘live’ dalam RTM dan TV3 bagi menjelaskan isu amanat tersebut.

Malah, beliau turut menyatakan kesediaan merungkai permasalah isu ‘Amanat’ yang diucapkannya dalam satu ceramah di Banggol Peradong, Manir pada tahun 1981.

“Saya minta beri peluang satu jam di saluran RTM, TV1 atau TV3 untuk saya jelaskan secara ‘live’, bukan rakaman.

“Jika saya bercakap di sini nanti akan diputarbelitkan dan satu kenyataan bertulis akan saya berikan. Sama ada saya tarik balik atau tidak ‘amanat’ itu, beri peluang saya bercakap satu jam secara langsung dahulu,” tegasnya selepas Majlis Pelancaran Petugas Muslimat PAS Marang PRU13 di Dewan Tok Guru, Rusila Marang, hari ini. (Gambar atas)

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan media yang mahukan penjelasan beliau bahawa ‘Amanat’ pada tahun 1981 itu yang didakwa menjadi punca pecah belah dalam masyarakat umat Islam di negara ini.

Menurutnya, ruang masa siaran secara langsung selama satu jam itu sudah memadai bagi menjelaskan kekeliruan kepada rakyat berhubung isu tersebut.

“Saya minta Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Malaysia, Datuk Seri Utama Dr Rais Yatim beri saya satu jam masa secara ‘live’ pada bila-bila masa yang ditetapkan oleh kerajaan.

“Satu jam sudah memadai, saya bersedia tapi jangan pukul 3.00 pagi sudah, biar waktu siaran (biasa) di TV1, TV2 atau TV3,” ujarnya kepada wartawan.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang menyifatkan isu ‘amanat’ tersebut sering kali dimainkan oleh Umno dan Barisan Nasional (BN) setiap kali menjelang pilihan raya.

Menurut Ustaz Abdul Hadi, sebuah kitab ‘Mustika Hadis’ keluaran Jabatan Perdana Menteri lebih 'teruk' dari ucapannya yang dinamakan ‘amanat’ tersebut.

Hadir sama pada sidang media itu Setiausaha PAS Terengganu, Yahaya Ali.



Komen:

Saya pada awalnya tidak bercadang untuk turut berpartisipasi dalam memberi respon berkenaan isu ini memandangkan ia telah pun 'berusia' 31 tahun apatah lagi pada tahun 1981 itu saya belum pun dilahirkan lagi dan saya juga tidak pun berkesempatan dengan fenomena seperti apa yang diceritakan oleh orang-orang lama seperti sembahyang dua imam, majlis akad nikah dua kali atau memulau majlis kenduri perkahwinan atau tahlil kematian.

Pelik sungguh apabila isu ini dibangkitkan semula setelah Malaysia bertukar-ganti 2 orang Perdana Menteri, 8 orang Yang Di-Pertuan Agong, 5 orang Ketua Polis Negara, 5 orang Pengerusi Jawatankuasa Fatwa dan 10 orang Ketua Hakim Negara. Sepatutnya, sudah pasti isu ini telah 'selesai' setelah berlalu pelbagai peristiwa sementelah lagi setelah pembatalan muzakarah yang sepatutnya diadakan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan dulu.

Jika benar sesat amanat itu, bodoh benarlah orang-orang agama kerajaan sehingga perlu memakan masa 31 tahun untuk mendakwa sesatnya amanat itu, belum lagi membuktikannya. Lebih logik ialah, bukan amanat itu yang sesat, dan tidak menyesatkan pun, sebaliknya UMNO yang sedang memperalat. Ulama', media dan institusi awam diperalat untuk memastikan UMNO boleh terus berehat, sebab UMNO kini sedang tenat.

UMNO menghangat isu ini dengan harapan berjaya memperdaya belia seusia saya yang merupakan 'new voters' dan dengan tujuan menghilangkan kepercayaan dan keyakinan pengundi Melayu-Islam terhadap kewibawaan sebuah parti Islam dan seorang ulama' negarawan yang dilihat semakin terkehadapan dan berjaya meraih sokongan bukan sahaja daripada orang-orang Islam bahkan juga daripada bukan Islam. Ini kerana, undi pengundi baru dan Melayu-Islam adalah penting bagi UMNO untuk ia terus mandiri dengan kekuasaannya yang sudah berumur lebih 50 tahun itu.

Sungguh-sungguh UMNO ‘manfaatkan’ apa yang ia miliki untuk matikan karakter TG Hj. Abdul Hadi Awang setelah gagal berkali-kali dalam cubaan memecahkan muafakat Pakatan Rakyat. TG Hj. Abdul Hadi Awang didesak bertubi-tubi supaya memohon maaf kepada umat Melayu dan menarik semula kenyataannya yang telah pun berusia hampir separuh umur beliau.

Nah! Tiba-tiba ulama’ ini hanya minta 1 jam siaran langsung daripada RTM dan TV3 untuk membuat penjelasan dan kemudian menyerahkannya kepada rakyat untuk membuat penilaian. Dibandingkan dengan serangan yang menelan minggu dan puluhan tulisan yang menyerang beliau, 1 jam ini permintaan yang kecil sangat, mudah dan padan sangat jika hendak ditunaikan. Tetapi, jawapan Menteri, “...boleh sahaja kita rakam. Kalau sesuai baru kita siar." Mula-mula bersungguh-sungguh ajak bertumbuk, bila lawan dah setuju dan nyatakan lokasi, tiba-tiba kecut perut pula.

Saya kira sudah-sudahlah isu ini terus dipolemikkan. Generasi baru Malaysia mahukan politik yang ‘constructive’, bukannya ‘provokatif’ dan ‘destructive’, diajak berdebat, “bukan budaya kita”, diminta siaran langsung, “kalau sesuai kita siarlah”, akhirnya, politik samseng dan fitnah juga jadi pilihan. MALAYSIA TANPA UMNO.

Eikhwan Ali
Timbalan Presiden Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS).

Tiada ulasan: