SPECIAL ADS

31 Disember 2012

Simpanan tunai Selangor kini RM2.5 bilion


SHAH ALAM : Hasil negeri Selangor terus meningkat  walaupun pelbagai dasar kebajikan dilaksana sejak Pakatan Rakyat (Pakatan) diberi mandat pada Mac 2008.
Ia ekoran dasar diamal berteraskan ketelusan menerusi agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES).
Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim berkata, kejayaan itu sekaligus menguburkan fitnah Umno BN kononnya Selangor akan bankrap dalam beberapa tahun ekoran dasar yang memberi banyak manfaat kepada rakyat.
“Kerajaan negeri berjaya meningkatkan simpanan tunai dari RM400 juta pada 2008 menjadi RM2.5 bilion pada Oktober 2012.
“Manakala RM800 juta disalur semula kepada rakyat melalui lebih 20 program kebajikan dalam dasar MES,” katanya dalam perutusan sempena Tahun Baru 2013.
Umum Khalid, Kerajaan Selangor akan membina jambatan ketiga bagi mengurangkan kesesakan di tengah pusat bandar Klang untuk ke Kuala Lumpur atau ke Pelabuhan Klang bermula awal tahun depan.
“Pembinaan jambatan ini pernah dijanji BN pada 2008 tetapi gagal ditepati. Ia dijangka mempunyai enam lorong merentasi Sungai Klang sepanjang dua kilometer dengan kos RM300 juta yang dibiayai sepenuhnya Kerajaan Selangor,” katanya.
Bagi memenuhi permintaan rakyat memiliki rumah pula, Khalid berkata, setakat 2012, kerajaan negeri sudah membina 6,470 unit rumah kos rendah berharga RM42,000 ke bawah bagi setiap unit di Petaling, Hulu Langat, Gombak, Sepang dan Kuala Selangor.
“Jumlah ini tidak termasuk 12,481 unit yang sedang dalam pembinaan.
“Bagi rumah kos sederhana berharga RM100,000 ke bawah, sejumlah 3,925 sudah siap di Petaling, Klang, Hulu Langat, Gombak, Sepang, Kuala Selangor dan Kuala Langat,” sambung beliau.
Menteri Besar berkata, lebih banyak dasar berkebajikan akan dilaksana, asalkan Selangor diperintah Pakatan pada pilihan raya akan datang.

Tiada ulasan: