SPECIAL ADS

11 Disember 2012

Sultan Yang Prihatin dan Penyanyang



KLANG,   Rata-rata rakyat Selangor yang ditemui melahirkan rasa amat bertuah kerana memiliki seorang Sultan yang prihatin terhadap masalah rakyat, penyayang dan juga komited membangunkan sukan di negeri ini.
Rasa kagum ini disuarakan rakyat Selangor yang ditemui sempena Majlis Jamuan Teh Diraja Bersama Rakyat  sempena Keputeraan DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah ke-67 di sini.
Menurut Tok Batin Orang Asal Pulau Indah, Intan Anak Pendek,60, berkata, Baginda Sultan merupakan tempat rakyat mengadukan permasalahan mereka yang menjadi payung kepada rakyat.
Katanya, Baginda Sultan juga amat menitikberatkan kepada pembangunan masyarakat Orang Asal di negeri itu.
“Sultan ini amat baik dan prihatin kepada rakyatnya dan selalu bertemu dengan pelbagai masyarakat,” katanya.
Bagi Setiausaha JKKK Kampung Jaya Setia, Nik Li Mohammad,42, pula Sultan Selangor merupakan pemimpin yang tidak kekok bertemu rakyat daripada pelbagai lapisan masyarakat dan juga pangkat.
“Kita lihat Tuanku Sultan dengan anak-anak kecil dan kanak-kanak juga amat mesra.
“Dengan ini kasih sayang antara rakyat dan Sultan akan lebih mendalam,” katanya.
Sementara itu, Pemain Bola Sepak Selangor, Mohd Amri Yahyah, 31,berkata, DYMM Sultan Selangor komited dengan pembangunan sukan khususnya dalam perkembangan sukan bola sepak sehingga Baginda berkenan membina sebuah galeri untuk bola sepak.
“Beliau merupakan Sultan yang prihatin dengan rakyat-rakyatnya dan amat mengambil berat hal ehwal pentadbiran negeri,” katanya.
Tambah Sharifah Rodziah Saiah, 46, menyatakan DYMM Sultan amat mudah didekati rakyat dan juga amat penyayang.
Ujarnya, Baginda Sultan yang juga Ketua Agama Negeri amat menitikberatkan soal pembangunan Agama Islam demi masa hadapan generasi akan datang.
“Beliau amat baik dengan rakyatnya,” ujarnya.
Majlis itu diadakan di Padang Mahkota, Istana Alam Shah Klang disini dengan kehadiran kira-kira 10,000 rakyat pelbagai bangsa yang turut dihadiri Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Exco-Exco dan Adun-Adun Selangor.

Tiada ulasan: