TEMERLOH - Gabungan Profesional Menuntut Royalti Minyak atau 'R' Pahang akan mendedahkan bukti terperinci mengenai kewujudan telaga minyak di blok PM-308 medan Rhu kepada umum dalam masa terdekat.
Pengerusinya, Nordin Majid berkata, pihaknya akan mendedahkan maklumat itu tetapi pada masa yang sama mengharapkan Kerajaan Pusat memberi bukti bahawa blok PM-307 Bertam sebenarnya berada di perairan Terengganu.
Menurutnya, R Pahang ada bukti itu dan bersedia mengemukakan hasil kajian bersama R Malaysia mengenai kewujudan telaga minyak PM-308 medan Rhu yang enam kali lebih besar daripada blok PM-307 di Bertam.
“Apa yang kita kesali ialah kenapa Kerajaan Pusat mendedahkan blok PM-307 Bertam adalah hak milik Pahang sedangkan hasil kajian kami ia adalah milik Terengganu.
“Mengapa Kerajaan Pusat tidak dedahkan ada telaga minyak dalam perairan Pahang iaitu di blok PM-308 medan Rhu,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Pada 15 Disember lalu, R Pahang mendedahkan melalui Sinar Harian bahawa Pahang mempunyai sebuah telaga minyak baru yang enam kali lebih besar dari blok PM-307, Bertam.
Dalam masa sama, Nordin menjunjung titah tuanku Sultan Pahang, Sultan Haji Ahmad Shah yang mahukan rakyat menghormati keputusan Kerajaan Pusat berkaitan hak milik kawasan minyak di blok PM-307 Bertam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan