SPECIAL ADS

7 November 2015

Melayu Terakhir Di Singapura

Sebanyak 63 pulau di selatan Singapura sebelum ini menempatkan kira-kira 10,000 orang penduduk asal orang Melayu yang mendirikan kampung, bercucuk tanam dan menjadi nelayan.
Kini segalanya hanya tinggal kenangan. Kebanyakannya ditebus guna untuk kegunaan industri petroleum, ketenteraan dan pelancongan.
Jurugambar, Zainal Zakaria berkata beliau bersama rakan-rakannya berjaya menjejak lebih 100 orang penduduk berkenaan untuk projek rakamandokumentari Island Nation.
Jurugambar bersekutu untuk agensi kreatif Captured itu menjelaskan, pada pertengahan 1990-an, masyarakat Melayu di kepulauan tersebut ditempatkan semula di pulau besar Singapura.
Jelasnya, ada kalangan warga ini menganggap rumah pangsa yang diperolehi sebagai pampasan itu tidak lebih dari sebuah penjara.
Katanya, mereka terpaksa menjalankan projek dokumentari tersebut secara tergesa-gesa kerana bimbang tidak dapat merakam sejarah lisan daripada warga tersebut.
"Salah seorang daripada penduduk asal yang ditemubual oleh mereka meninggal dunia sebelum projek tersebut dapat disiapkan," kata Zainal.
Masih ke laut menahan bubu
Tambahnya, ada individu yang hanya mampu menangis hiba apabila terkenang pada perahu, karang laut dan ikan yang menjadi punca rezeki.
“Apabila kerajaan menawarkan pampasan ke atas tanah, ada yang OK kerana anak mereka tidak lagi perlu bangun seawal jam 5 pagi untuk menaiki bot selama satu jam ke sekolah.
“Yang lainnya berasakan bahawa syurga mereka sudah tiada. Cara hidup ibu bapa dan nenek mereka yang tidak memerlukan sebarang wang sudah tiada lagi,” kata Zainal, 30.
Dokumentari berkenaan antara lain merakam kehidupan Mohamed Sulih Supian, satu-satunya penduduk yang masih tinggal di Pulau Sekijang Bendera, yang juga dikenali dengan nama St John's Island.
Sulih akan menaiki bot ke pulau besar Singapura sekali seminggu untuk sembahyang Jumaat dengan tambang SG$18 untuk setiap perjalanan.
Siri dokumentari itu turut memaparkan kehidupan nelayan Pulau Seking dan Pulau Semakau yang masih turun ke laut untuk menahan bubu.
Projek ini merupakan salah satu daripada inisiatif Singapore Memory Project bawah National Library Board.
Projek berkenaan mempersembahkan kenangan negara republik itu sempena sambutan ulang tahunnya yang ke-50.
MKini

20 September 2015

Tun. Dr.M : Najib mungkin boleh ditangkap di luar negara

Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, sekiranya negara seperti Switzerland, Britain dan Amerika mendapati Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bersalah melakukan pengubahan wang haram, beliau boleh disaman dan ditangkap. – Gambar fail The Malaysian Insider, 20 September, 2015.
Datuk Seri Najib Razak berkemungkinan ditangkap polis antarabangsa atau Interpol jika negara asing menyiasat perdana menteri atas tuduhan pengubahan wang haram, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.
Katanya, sekiranya negara seperti Switzerland, Britain dan Amerika contohnya, mendapati Najib bersalah melakukan pengubahan wang haram, mereka berhak menyaman beliau atau meminta Interpol menangkapnya sekiranya perdana menteri pergi ke luar negara.
"Jadi, dia kena duduk sini (dalam negara), tak boleh keluar. Macamana dia tarik pasport orang, tak bagi keluar, dia pun tak boleh keluar juga.
"Itu mungkin (berlaku). Bukan akan berlaku, tapi mungkin, dalam keadaan dunia sekarang," kata negarawan itu dalam satu video yang dimuatnaik blog "Din Turtle".
Perdana menteri paling lama berkhidmat itu berkata demikian pada satu pertemuan dengan Kumpulan Melayu Berani Bersatu di sebuah restoran di Kuala Lumpur pada Jumaat lalu.
Dr Mahathir berkata, undang-undang dunia kini berbeza daripada dahulu di mana sekiranya sesuatu jenayah dilakukan di negara ini, hanya undang-undang tempatan yang berkuatkuasa.
"Tetapi, kalau jenayah itu ada kaitan sedikit dengan luar negeri, negara lain itu mempunyai kuasa (menyiasat dan mendakwa)," katanya.
Dr Mahathir memetik kes Presiden Sudan Omar al-Bashir yang kini dikehendaki Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) untuk dibicarakan atas beberapa tuduhan, termasuk pembunuhan beramai-ramai di Darfur.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu berkata, waran ICC ke atas Omar mesti dilaksanakan oleh negara yang menandatangani Statut Rom.
"Dia (Omar) sudah didapati bersalah dan akan ditangkap kalau dia pergi ke mana-mana negara yang bersetuju dia bersalah," kata Dr Mahathir.
Beliau yang bertukar daripada penyokong kuat Najib kepada pengkritik paling tegar perdana menteri itu, sejak kemelut 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan sumbangan dana politik RM2.6 bilion, merasakan Najib tidak akan meletak jawatan tetapi hanya berkemungkinan melalui pendakwaan di luar Malaysia.
Seorang lagi pengkritik Najib, bekas naib ketua Umno bahagian Batu Kawan Datuk Khairuddin Abu Hassan, dilaporkan pergi ke beberapa negara di Eropah dan Asia sebelum ini, mendesak siasatan dijalankan berhubung dakwaan penyelewengan melibatkan 1MDB, dana pelaburan negara sarat hutang itu.
Najib juga merupakan pengerusi lembaga penasihat 1MDB.
Khairuddin turut menyerahkan bukti kepada pihak berkuasa Switzerland pada 20 Ogos dan menggesa pihak berkuasa itu menyiasat aktiviti 1MDB yang melibatkan bank Switzerland dan bank antarabangsa.
Beliau menegaskan yang beliau hanya bertindak demi kepentingan negara.
Khairuddin dijadual bertemu ejen Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) di Amerika Syarikat pada Isnin tetapi ketika hendak mengambil penerbangan pada Jumaat, mendapati ada sekatan dikenakan atasnya daripada meninggalkan negara.
Beliau kemudiannya ditahan polis pada hari yang sama atas dakwaan cuba menggulingkan kerajaan dan polis mendapatkan perintah tahanan reman 6 hari terhadapnya. TMI

16 Ogos 2015

Guling K'jaan: 26 MP BN 87 Pembangkang Terlibat, Tapi Tidak Muhyiddin.



SHAH ALAM – Seramai 26 Ahli Parlimen BN dikatakan terlibat dalam konspirasi untuk menggulingkan kerajaan yang didalangi pemimpin Umno.

Portal The Rakyat Post melaporkan pemimpin Umno berkenaan memainkan peranan menyediakan tujuh muka surat akuan bersumpah bagi mempengaruhi 87 ahli Parlimen pembangkang dan 26 ahli Parlimen BN.

“Kritik dalam parti tidak apa tetapi sebagai pembesar Umno apa yang dia buat itu sangat kurang ajar
“Individu  itu dikatakan telah menghubungi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selepas Naib Presiden Umno itu mendedahkan konspirasi tersebut semalam,” kata sumber berkenaan.


Semalam Ahmad Zahid Hamidi ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Ampang mendedahkan terdapat gerakan untuk mengguling kerajaan oleh pembangkang dan turut didalangi pemimpin BN termasuk Umno.
 
Beliau berkata, rancangan itu dijalankan dengan cara untuk mendapatkan akuan bersumpah daripada ahli Parlimen pembangkang, serta cuba menarik ahli Parlimen BN menyokong mereka bagi menumbangkan kerajaan sedia ada melalui 'jalan belakang'.
 
Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, beliau mendapat maklumat itu daripada sumber yang sangat boleh dipercayai.

“Sebenarnya bukan Datuk Seri yang nak bawa jumpa, disebabkan pendedahan yang dilakukan sebelum ini mereka telah menghubungi TPM dan meminta untuk mengaturkan satu perjumpaan dengan PM.
“Mereka dikatakan menyesal dan ingin memohon maaf atas tindakan yang dilakukan sebelum ini,” katanya.


Sementara itu di BUKIT KATIL, Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin menyarankan identiti pemimpin Umno yang berhasrat bergabung dengan Ahli Parlimen pembangkang untuk menggulingkan kerajaan wajar didedahkan.
 
Menurutnya, tindakan itu bagi membolehkan setiap pemimpin dan ahli parti dapat mengetahui pergerakan individu berkenaan yang berhasrat menggulingkan kerajaan.
 
“Saya rasa elok sebenarnya kita diberitahu siapakah individu terlibat dan saya menghargai ketelusan Timbalan Perdana Menteri yang berkongsi dengan rakyat bahawa ada percubaan tersebut.

“Kita perlu tahu siapa individu tersebut sebab kita dah lama nak tahu siapakah bergerak dalam parti cuba gulingkan kerajaan dan apakah cara dikatakan nak guling kerajaan guna cara tidak sah.

“Kita pun tak tahu cara yang tak sah supaya kita dapat membantu membetulkan keadaan,” katanya kepada media selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Tahunan Umno Bahagian Bukit Katil di Dewan Tun Ali, di sini hari ini.

Di Seri Mahjung pula Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi malam ini mengesahkan bahawa Tan Sri Muhyiddin Yasin tidak terlibat dalam komplot untuk mengulingkan kerajaan.

Menurut Ahmad Zahid, pendedahan itu dibuat  kerana beliau faham situasi yang sedang dialami oleh Timbalan Presiden Umno tersebut yang telah digugurkan dari Kabinet.     
      
"Saya juga pernah jatuh, jadi saya faham situasi orang jatuh. Kita tidak akan henyak orang yang jatuh. Jangan salahkan beliau (Muhyiddin) kerana ada orang lain yang bercita-cita untuk jatuhkan kerajaan,'' katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Umno Bahagian Lumut malam ini.

Katanya, individu berkenaan menyatakan komplot bukan untuk menjatuhkan kerajaan tetapi untuk menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.‎

"Kononnya komplot ini untuk jatuhkan PM. Kita anggap PM adalah satu institusi yang harus dihormati.

"Apabila saya dedahkan perkara ini kenapa individu berkenaan perlu takut,"katanya. (SH)

Ibnu Hasyim




3 Ogos 2015

Berita Gila.. Hanya Berlaku Di Malaysia

Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang disiasat polis Cawangan Khas selama lebih 3 jam di pejabatnya hari ini melahirkan rasa terkejut dan kesal terhadap siasatan polis ke atas siasatan mereka terhadap operasi dana sarat hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Pengarah Bahagian Operasi Khas SPRM Datuk Bahri Mohamad Zin berkata beliau juga terkejut apabila timbalan pendakwa raya (SPRM) mereka ditangkap polis di malam hari.

"Saya cukup kesal perkara ini berlaku kerana kami menyiasat dengan sepenuh hati siang dan malam bagi mencari kebenaran.

"Tiba-tiba DPP kami diambil pada pukul 1 pagi dan ia amat menghairankan kenapa boleh berlaku perkara sedemikian," katanya sewaktu ditemui wartawan selepas disiasat polis di pejabatnya di Putrajaya, petang tadi.

Bahri adalah sebahagian daripada pasukan khas yang menyiasat 1MDB.

Beliau turut melahirkan rasa curiga dengan individu lain yang dipercayai berada di belakang siri serbuan polis ke atas mereka yang menyiasat 1MDB.

Berita Gila.. Hanya Berlaku Di Malaysia


"Saya rasa pihak polis tak akan buat kerja gila begini kecuali ada pihak lain memaksa pihak polis melakukannya," katanya.

Sementara itu, Bahri berkata siasatan polis terhadapnya petang ini dibuat mengikut Seksyen 124B Kanun Keseksaan berkaitan kebocoran dokumen yang didakwa sebagai "draf pertuduhan".

Beliau dipercayai merujuk kepada salinan gambar dokumen yang didakwa sebagai draf pertuduhan terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak – satu perkara yang sudah dinafikan Jabatan Peguam Negara.

"Saya yakin sepenuh hati bukan daripada kami benda itu dan ia dihasilkan semula," katanya.

Satu pasukan, dipercayai daripada Bukit Aman, tiba di ibu pejabat SPRM di Putrajaya pada pukul 2.45 petang ini.

Bahri, yang tiba di pejabatnya jam 3.07 petang, kelihatan terkejut dengan kehadiran ramai petugas media di hadapan bangunan ibu pejabat itu.

Beliau diiringi ke dalam bangunan oleh pegawainya dan beberapa anggota keselamatan.

Sabtu lepas, polis menahan pegawai Jabatan Peguam Negara Jessica Gurmeet Kaur dan bekas penasihat SPRM Tan Sri Rashpal Singh untuk disoal siasat berkaitan dengan kes itu.

Kedua-duanya ditahan mengikut Seksyen 124 Kanun Keseksaan, yang berkaitan dengan aktiviti menjejaskan demokrasi berparlimen.

Mereka dibebaskan pada malam yang sama apabila pihak polis gagal mendapatkan perintah reman untuk menahan mereka lebih lama.

Penangkapan Rashpal dipercayai berkaitan dengan laporan yang beliau ada menemui pengarang Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown di London.

SPRM bagaimanapun menafikan kebocoran dalam penyiasatan Putrajaya berhubung firma pelaburan negara yang dibebani hutang itu dibuat orang dalam agensi anti-rasuah itu.

Pengarah Komunikasi Strategik SPRM Datuk Rohaizad Yaakob pada 21 Julai berkata Rashpal tidak mempunyai akses kepada siasatan berterusan yang dijalankan agensi itu kerana tempoh perkhidmatan beliau sebagai ahli lembaga itu berakhir pada Februari.


8 Julai 2015

Wall Street Journal Dedah Tembelang Pasukan Siasatan 1MDB Malaysia?



Wall Street Journal Dedah Tembelang Pasukan Siasatan 1MDB Malaysia? Akaun-akaun dibekukan pasukan petugas khas menyiasat dakwaan wang sebanyak AS$700 juta daripada 1Malaysia Development Bhd (1MDB) ke dalam akaun-akaun peribadi Datuk Seri Najib Razak bukan akaun yang sama dilaporkan eksklusif Wall Street Journal (WSJ).

WSJ melaporkan pembekuan 6 akaun hari ini, memetik sumber rapat dengan siasatan yang akaun-akaun terlibat " berbeza daripada dinyatakan di dalam laporan Journal minggu lepas".

Selain 6 akaun dibekukan, dokumen dikaitkan dengan 17 akaun bank di dua bank turut dirampas pasukan petugas yang terdiri daripada Jabatan Peguam Negara, Bank Negara, polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). 

Pasukan petugas dalam satu kenyataan hari ini, bagaimanapun tidak menamakan bank di mana akaun dibekukan, juga tidak mengatakan sama ada ia milik Najib.

Bagaimanapun, sumber lewat hari ini mengesahkan kepada The Malaysian Insider yang 3 daripada akaun dibekukan adalah milik Najib, bersama AmBank dan Affin Bank.

Tindakan pasukan petugas menyiasat berikutan laporan WSJ pada Jumaat lepas yang AS$700 juta (RM 2.6 bilion) berlegar melalui syarikat berbeza dikaitkan dengan 1MDB sebelum ia didepositkan dalam 2 akaun dimiliki oleh Najib di AmPrivate Bank di Kuala Lumpur.

Wall Street Journal Dedah Tembelang Pasukan Siasatan 1MDB Malaysia?

Jumlah terbesar AS$681 juta didakwa dipindahkan ke akaun Najib pada Mac 2013, dua bulan sebelum pilihan raya umum diadakan.

WSJ hari ini juga mengeluarkan dokumen yang menunjukkan aliran pemindahan dana kepada akaun Najib bagi menyokong laporannya.

Dokumen-dokumen ini termasuk arahan pindahan telegraf, carta yang menunjukkan aliran yang dikatakan wang, bentuk kiriman wang dan surat kuasa deposit tunai oleh Nik Faisal Ariff Kamil, pengarah syarikat milik Kementerian Kewangan, SRC International Sdn Bhd, kepada pengurus cawangan AmIslamic Bank Bhd. 

SRC juga merupakan satu daripada syarikat-syarikat yang terlibat dalam aliran wang katakan WSJ, yang dilaporkan berdasarkan dokumen diperoleh daripada siasatan kerajaan Malaysia.

Najib yang juga menteri kewangan dan pengerusi lembaga penasihat 1MDB, dan kini menghadapi cabaran paling sukar sebagai perdana menteri berhubung 1MDB dikritik kerana urusan mencurigakan dan jumlah besar RM42 bilion hutang yang ditanggung dalam masa 6 tahun operasi.

Najib menafikan mengambil sebarang dana untuk kepentingan peribadi tetapi sebaliknya tidak memberi sebarang penjelasan terhadap pemindahan wang yang didakwa.


Isu Berita WSJ Wall Street Journal Online? Saman Fitnah Najib Razak Bila Lagi? WSJ Tidak Berganjak!

WSJ Najib
Tunggu punya tunggu, seperti yang dijanjikan tiada kedengaran berita pasukan guaman Najib Razak bakal saman berita WSJ yang dikatakan oleh orang ramai sebagai fitnah, mahu sabotaj ekonomi negara, mahu gulingkan kerajaan dan macam-macam lagi disebalik dakwaan berita WSJ yang mengatakan ada duit masuk sejumlah RM2.6 bilion masuk ke akaun peribadi Najib Razak.
Berdasarkan sejarah berita WSJ, yang pernah satu ketika dahulu menjadi antara yang mendedahkan skandal yang cukup terkenal “Skandal Watergate” sehingga menumbangkan Presiden Amerika Syarikat pada ketika itu Richard Nixon. Jadi Berita Semasa tidak rasakan laporan dan pendedahan berita WSJ Wall Street Journal Online kali ini “just for fun”
Rakyat Malaysia terus menanti saman fitnah najib razak kepada berita WSJ Wall Street Journal. Tetapi masih lagi kedengaran, yang ada hanyalah surat tunjuk sebab yang mahu kepastiaan daripada pihak Wall Street Journal Online. Macam “show cause letter or letter require more informations dari WSJ.” Itu sahaja….

Kronologi Dakwaan Berita WSJ Najib Razak : Isu US$700 Juta?

  • Dalam laporan asal berita WSj Wall Street Journal, sudah jelas WSJ sama sekali tidak mengatakan duit tersebut datang dari 1MDB
  • 1MDB cuma mengatakan ada duit datang dari Tanore Fiannce dan juga dari SRC International milik Kementerian Kewangan Malaysia (MOF)
  • Lawyer tanya adakah awak kata (wall Street Journal) yang Najib Razak ada songlap duit US$700 juta dari 1mdb
  • Mengapa dan kenapa dalam surat peguam Najib Razak menyoal soalan yang tiada kaitan dengan laporan berita WSJ?
  • WSJ hanya dedah sejumlah wang masuk ke akaun najib…WSJ tidak pernah sesekali cakap pun pasal Najib salahguna wang tersebut
  • Ermmmm…….
Cubaan apakah yang mahu dilakukan sekarang ini?
Dalam sejarah dunia, beberapa pemimpin dunia pernah letak jawatan dan ada juga dihukum atas hukuman jenayah.
  1. Naoto Kan bekas Perdana Menteri Jeoun letak jawatan kerana gagal menunjukkan kepimpinan selepas gempa bumi dahsyat 11 Mac, tsunami , dan seterusnya krisis nuklear.
  2. 2 Menteri di bawah pimpinan Perdana Menteri letak jawatan dek kerana dakwaan penyalahgunaan dana Pilihan Raya
  3. Liu Zhijun, bekas menteri kereta api China, dijatuhi hukuman mati kerana rasuah dan salah guna kuasa.
  4. Zhou Yongkang adalah ahli politik Cina yang paling kanan telah dipenjarakan seumur hidup kerana rasuah
  5. Lee Wan- Koo meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri Korea Selatan kerana terlibat dengan skandal rasuah
Anda boleh semak gambar dan laporannya seperti di bawah ini :
Dalam sejarah Malaysia pula, sejak zaman Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra sehinggalah Tun Abdullah Ahmad Badawi, belum pernah ada Perdana Menteri yang diseret ke mahkamah atas tuduhan jenayah sebelum ini.
Sejak zaman Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra lagi berlaku kes pecah amanah, rasuah dan salah guna kuasa melibatkan orang kanan politik. Ada yang berakhir di mahkamah dan ada yang tidak, tetapi umumnya ahli politik yang terbabit meletakkan jawatan. Antaranya adalah:
P/S : Mahu saman, jangan saman di Malaysia, saman di Hong Kong atau di US sana.
PP/S : Semua yang saman mesti guna lawyer negara yang berkaitan kes. Contohnya kes MH370, waris dari china saman guna lawyer di Malaysia untuk saman Malaysian Airline. Waris Indon guna lawyer di Chicago untuk saman Airbus pasal Malaysian Airlines yang hilang. Jadi, macammana PM Najib hanya guna lawyer, show cause letter? Musykil sebentar…..
PPP/S : Berita WSJ sudah beberapakali kata yang ‘they stand by their report’. Mahu tunggu apa lagi?
PPPP/S : Mahu ditanya pendirian Wall Street Journal Online apa lagi? Tidak pernah dibuat orang, jikalau mahu saman, saman berdasarkan apa yang diterbitkan. Jikalau mahu tanya, tanya di mahkamah. Tolong jangan ditambah lagi bahan ketawa untuk dijadikan bahan jenaka dunia. 
beritasemasa.com.my

3 Julai 2015

Biar 3 Tun tentukan nasib Najib


Menghadapi dakwaan terbaru, seorang pemimpin pembangkang menggesa Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta bosnya, Datuk Seri Najib Razak, bercuti.

Kemudian, kata Lim Kit Siang, tiga tokoh membabitkan dua bekas perdana menteri - Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi - serta bekas timbalan perdana menteri, Tun Musa Hitam, memutuskan sama ada Najib wajar kembali ke jawatan berkenaan.

Walaupun Dr Mahathir kekal kritis terhadap Najib dan skandal 1MDB, Abdullah dan Musa pula tidak membuat kenyataan mengenainya.

Kata Lim, Muhyiddin mesti memohon untuk bertemu Najib dan ia bukan hanya bagi pihak kabinet, malah mewakili parlimen dan negara dalam usaha meminta anak bekas perdana menteri itu bercuti.

Ahli Parlimen Gelang Patah dari DAP itu membuat kenyataan mengulas laporan The Wall Street Journal yang mendakwa wang bernilai AS$700 juta disalurkan ke akaun bank dipercayai milik Najib.

Dalam kenyataan dikeluarkan hari ini Lim berkata, dakwaan itu adalah paling serius dibuat setakat ini, terutama membabitkan urus tadbir kerajaan dan integriti sehingga menjerumuskan negara ke dalam krisis yang tidak pernah dialami sebelum ini.

"Tidak pernah ada perdana menteri di Malaysia pernah dituduh melakukan kesalahan seperti Najib," katanya.

Lim juga berkata, penafian dibuat 1MDB dan Pejabat Perdana Menteri "terlalu rapuh" jika dibandingkan dengan dakwaan dibuat sebuah penerbitan antarabangsa. MK

SPRM akan siasat dakwaan WSJ pada Najib

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) akan menyiasat dakwaan hampir AS$700 juta disalurkan ke akaun Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak jika terdapat amalan rasuah.

“Kami akan teliti perkara itu.

“Jika terdapat sebarang kesalahan rasuah, kami akan siasat,” kata Rohaizad Yaakob, jurucakap SPRM kepada The Wall Street Journal(WSJ).

Perkembangan itu sekali gus menjadikan Najib pertama kali disiasat secara langsung susulan isu berkaitan 1MDB.


WSJ, sebuah media berpengaruh di peringkat global, melaporkan terdapat pergerakan dana hampir AS$700 juta daripada badan dikaitkan dengan 1MDB ke akaun peribadi perdana menteri.

Laman pembocor maklumat Sarawak Report pula melaporkan sebanyak AS$681,999,976 (RM2.6 bilion) dipindahkan daripada dana Abu Dhabi Aabar ke dalam akaun peribadi Najib di AmBank di Kuala Lumpur pada bulan Mac 2013, dua bulan sebelum pilihan raya umum 5 Mei 2013. MK

[Baca berita asal]



Siasatan 1MDB dedahkan berbilion ringgit dimasukkan ke akaun Najib

Dokumen yang ditemui menunjukkan RM2.67 bilion dipindahkan ke pelbagai agensi kerajaan, bank dan entiti berkaitan 1MDB dan akhirnya ke akaun peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam 5 deposit berasingan. – Gambar fail The Malaysian Insider, 3 Julai, 2015.
Siasatan ke atas syarikat sarat hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) mendapati berbilion ringgit dimasukkan ke akaun peribadi Datuk Seri Najib Razak, lapor Wall Street Journal (WSJ) dan Sarawak Report.
Kedua-duanya memetik dokumen siasatan 1MDB yang dijalankan kerajaan Malaysia, dengan Sarawak Report mendakwa Peguam Negara sedar mengenai hal itu.
Dokumen itu menunjukkan AS$700 juta (RM2.67 bilion) dipindahkan ke agensi kerajaan, bank dan entiti berkaitan 1MDB dan akhirnya ke akaun peribadi perdana menteri dalam 5 deposit berasingan, lapor WSJ.
 Ia berkata, urus niaga terbesar melibatkan deposit sebanyak AS$620 juta dan satu lagi AS$61 juta pada Mac 2013, dua bulan sebelum pilihan raya umum diadakan.
Bagaimanapun, Putrajaya menafikan laporan itu, mengatakan Najib tidak pernah menggunakan sebarang dana awam.
"Perdana menteri tidak pernah mengambil apa-apa dana untuk kegunaan peribadi," kata seorang jurucakap Putrajaya.
"Lawan politik perdana menteri, enggan menerima rekodnya atau fakta, terus cuba melemahkan beliau dengan tuduhan tidak berasas dan khabar angin semata-mata untuk kepentingan politik."
Sementara itu, jurucakap 1MDB berkata, merujuk pemindahan ke akaun Najib: "1MDB tidak menyedari transaksi berkenaan atau melihat dokumen yang berkaitan."
Jurucakap itu memberi amaran yang dokumen yang diubahsuai pernah digunakan sebelum ini untuk memburukkan 1MDB dan kerajaan.
Sarawak Report melaporkan RM42 juta dimasukkan ke akaun Najib dari SRC International Sdn Bhd, syarikat milik Kementerian Kewangan yang mengambil pinjaman RM4 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) atau KWAP.
"Wang yang diambil dari SRC International merupakan pendedahan yang mengejutkan kerana wang ini diberi pinjam oleh KWAP dan tidak pernah direkodkan," menurut laporan itu.
Kementerian Kewangan berkata sebelum ini, SRC melaburkan dana itu dalam Gobi Coal & Energy Ltd, syarikat berpangkalan di Mongolia, namun butiran lanjut tidak didedahkan.
Seorang pengarah SRC, Nik Faisal Ariff Kamil, dakwa laporan itu, dikatakan mempunyai kuasa guaman ke atas akaun Najib, menurut dokumen yang diperoleh dari siasatan itu.
Transaksi terbaru, menurut laporan itu adalah pada Februari tahun ini. Dokumen menunjukkan SRC International memindahkan RM10 juta ke sebuah akaun milik “Dato' Sri Mohd Najib Bin Hj Abd Razak” di AmPrivate Bank di Kuala Lumpur.
WSJ turut melaporkan SRC dan bank tersebut enggan mengulas perkara itu.
1MDB kini berdepan dengan pelbagai inkuiri oleh pihak berkuasa termasuk ketua audit negara, Bank Negara, polis dan Jawatankuasa Kira Kira Wang Negara (PAC).
Najib yang juga menteri kewangan dan pengerusi lembaga penasihat 1MDB berdepan kritikan sejak beberapa bulan lalu berhubung beberapa isu termasuk 1MDB yang mengumpul RM42 bilion hutang selama enam tahun beroperasi.
Semalam, perdana menteri mengakui tertekan dengan khabar angin yang mengaitkannya dengan kontroversi pembelian tanah 1MDB oleh Tabung Haji, mengatakan kerajaan yang bertanggungjawab tidak akan menggunakan dana awam bagi menyelamatkan syarikat milik kerajaan. TMI

2 Julai 2015

Kenaikan Harga Minyak, Jelas Kerajaan Tidak Membela Rakyat!



Tindakan kerajaan menaikkan lagi harga petrol RON95 dan RON97 membuktikan bahawa kerajaan tidak serius untuk membela nasib rakyat apatah lagi untuk mengambil langkah konstruktif mengurangkan beban rakyat.

Ketua Penerangan Dewan Muslimat PAS Malaysia Wan Hasrina Wan Hassan berkata,  rakyat Malaysia terpaksa mengharungi siri kenaikan harga minyak sebanyak 4 kali dalam tempoh 6 bulan terakhir  bermula 1 Januari hingga 1 Julai 2015 dan keadaan ini sudah tentu menambahkan kerisauan rakyat dengan gejala kenaikan harga minyak.


"Bak kata pepatah melayu sudah jatuh ditimpa tangga. Harga ini termasuk dengan pengiraan GST. Harapan rakyat didahulukan pencapaian diutamakan hanya tinggal harapan sahaja. Padahal harga minyak dunia mengalami kemerosotan sejak 10 jun lalu. Carta Aliran Crude Oil Brent menunjukkan kadar menurun sepanjang bulan Jun 2015.

"Selepas 1 April dengan pelaksanaan GST ditambah lagi beban kenaikan harga minyak ini menjadikan harga barangan keperluan semakin naik tanpa mekanisma yang terbaik untuk mengawal harga. Ini akan menambahkan bebanan rakyat khususnya masyarakat Islam yang akan menyambut Aidilfitri dua minggu lagi," katanya kepada Harakahdaily.

Dalam pada itu, katanya, sikap boros dan kurang cermat kerajaan BN dalam menguruskan khazanah negara melalui kegiatan pelaburan yang meragukan diburukkan lagi dengan banyak projek yang gagal menyebabkan iklim ekonomi negara amat goyah dengan beban hutang yang semakin tidak terkawal. 

"Kita bimbang dengan situasi sebegini, kerajaan mengambil kesempatan dengan menaikkan harga minyak lantaran sudah tidak mampu lagi memberi perkhidmatan yang baik dalam membela nasib rakyat," tambahnya. 

Justeru katannya, sudah tiba masanya Kerajaan Malaysia melihat kembali dan mencari pendekatan baru melalui sistem pengurusan ekonomi Islam yang lebih stabil.

"Sekiranya keadaan ini berterusan, kita yakin rakyat akan menzahirkan kemarahannya dalam demonstrasi," katanya.


30 Jun 2015

Industri bekalan air di negeri itu akan dimuktamadkan tidak lama lagi



Kerajaan negeri Selangor memberi jaminan bahawa penstrukturan semula industri bekalan air di negeri itu akan dimuktamadkan tidak lama lagi. 

Menteri Besar Mohamed Azmin Ali berkata hanya ada satu isu yang masih belum diselesaikan antara negeri dan persekutuan selepas perbincangan lanjut dengan Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air minggu lepas. "Saya telah bertemu Menteri (Maximus Ongkili) untuk membincangkan tiga isu. 

Walau bagaimanapun, hanya satu isu tidak dipersetujui oleh kedua-dua pihak. "Saya juga telah bertemu dengan Perdana Menteri (Najib Tun Razak) untuk meminta pandangan beliau mengenai pendekatan untuk mengambil dalam hal ini," katanya kepada pemberita di sini, hari ini. 

Azmin enggan mengulas lanjut mengenai isu itu. Pada 17 Jun, Kerajaan Persekutuan menggesa kerajaan negeri untuk terus bekerja bersama-sama untuk melaksanakan penstrukturan semula dan projek Langat 2 Loji Rawatan Air dan sistem pengedaran seperti yang dipersetujui oleh kepimpinan negeri sebelumnya. 

Menurut Ongkili, jika penstrukturan semula industri air di Selangor masih tidak dapat diselesaikan, Kerajaan Persekutuan boleh mengambil alih kawalan operasi pengagihan bekalan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya, di bawah Seksyen 114 Akta Industri Perkhidmatan Air 2006. 

Dalam perkembangan lain, Azmin berkata mereka kini bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan pada Projek Tebatan 2 untuk mengalihkan air bersih dari utara ke selatan negeri ini. 

Kerja-kerja ini dijangka siap pada September untuk memenuhi permintaan yang tinggi untuk bekalan air di selatan Selangor, di samping mengelakkan catuan air. "Bagi kawasan yang kini mengalami kekurangan air, kami telah mengarahkan Syabas (Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd) untuk terus menyalurkan air kepada pengguna. "Tangki air juga sedang dibina di kawasan yang sering mengalami gangguan bekalan sebagai penyelesaian jangka panjang kepada masalah ini," kata beliau. OK

29 Jun 2015

Ringgit menjunam paras terendah dalam 10 tahun

Hasil carian imej untuk ringgit malaysia
Ringgit jatuh ke paras terendah bagi tempoh 10 tahun hari ini dalam dagangan berhati-hati susulan kebimbangan isu hutang Greece, kata peniaga.
Pada 5 petang, nota tempatan itu diniagakan pada 3.7825/7855 berbanding dolar AS, daripada 3.7660/7690 pada Jumaat.   
Kebimbangan akan kemungkinan Fitch Ratings menurunkan penarafan Malaysia turut mempengaruhi mata wang tempatan.
 Seorang peniaga berkata dolar AS meneruskan momentum aliran menaik dengan perbelanjaan pengguna AS bagi Mei mencatat peningkatan tertinggi dalam tempoh hampir 6 tahun dan ini disokong oleh unjuran kenaikan kadar faedah AS dalam tahun ini juga.
Nota tempatan turut ditutup rendah berbanding mata wang utama lain kecuali euro.    
Ia jatuh berbanding dolar Singapura kepada 2.8004/8045 daripada 2.7996/7020 pada Jumaat lepas dan merosot berbanding yen kepada 3.0762/0799 daripada 3.0516/0543.
Ringgit lemah berbanding pound British pada 5.9400/9459 daripada 5.9318/9369, namun mengukuh berbanding euro kepada 4.2016/2061 daripada 4.2194/2235 Jumaat lepas.
Sementara itu, kelemahan prestasi ringgit serta pasaran saham tempatan ketika ini adalah reaksi spontan terhadap kebimbangan melibatkan hutang Greece yang tertunggak serta kemungkinan pihak Fitch Ratings menurunkan penarafan kredit Malaysia.
Ketika berkongsi pandangannya, Naib Presiden dan Ketua Penyelidikan Runcit Affin Hwang Investment Bank, Datuk Dr Nazri Khan, berkata butiran rundingan penyelesaian antara Greece dan pemberi pinjaman asing ternyata turut menjejaskan sentimen di seluruh dunia selain memberi kesan ke atas pasaran saham serantau.
"Kami menjangkakan kesan terhadap pasaran saham tempatan ini selepas rundingan (Greece) itu gagal. Malah, pasaran sememangnya membuat jangkaan awal akan berlakunya tunggakan bayaran oleh Greece terhadap pinjaman Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) sebanyak €1.6 bilion, yang dijadualkan esok," katanya kepada Bernama, hari ini.
Bagaimanapun, jelas Nazri, kesan terhadap Malaysia dijangka minimum kerana pendedahan langsung negara ini terhadap Greece adalah kurang daripada 5% daripada jumlah keseluruhan perdagangan.
"Bursa saham tempatan dijangka kembali pulih dalam masa satu atau dua minggu lagi dan pelabur digalakkan membeli saham-saham yang memiliki asas baik pada harga yang murah," katanya.
Jelasnya lagi, jangkaan terhadap kenaikan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) turut menyumbang terhadap kelemahan ringgit.
"Unit tempatan itu mencecah paras 3.78 bagi setiap dolar AS iaitu yang paling lemah dalam tempoh 10 tahun yang disebabkan gabungan pelbagai faktor," katanya.
Namun, Nazri tetap berkeyakinan pihak Fitch Ratings tidak akan menurunkan penarafan kredit negara ini biarpun Ketua Bahagian Penarafan Negara Asia Pasifik firma penarafan itu, Andrew Colquhoun, pada Mac lalu berkata kemungkinan penarafan Malaysia akan diturunkan adalah sebanyak 50%.
"Penurunan itu akan menjadi yang pertama untuk negara sejak tahun 1998 dan akan hanya berlaku jika kerajaan tidak mengurangkan pembiayaan awam. Kerajaan sebaliknya menunjukkan komitmen dengan mengambil pelbagai langkah bagi mengurangkan hutang serta mengubah ekonomi menjadi lebih pelbagai dan berdaya tahan," katanya. – Bernama