Tindakan kerajaan menaikkan lagi harga petrol RON95 dan RON97 membuktikan bahawa kerajaan tidak serius untuk membela nasib rakyat apatah lagi untuk mengambil langkah konstruktif mengurangkan beban rakyat.
Ketua Penerangan Dewan Muslimat PAS Malaysia Wan Hasrina Wan Hassan berkata, rakyat Malaysia terpaksa mengharungi siri kenaikan harga minyak sebanyak 4 kali dalam tempoh 6 bulan terakhir bermula 1 Januari hingga 1 Julai 2015 dan keadaan ini sudah tentu menambahkan kerisauan rakyat dengan gejala kenaikan harga minyak.
"Bak kata pepatah melayu sudah jatuh ditimpa tangga. Harga ini termasuk dengan pengiraan GST. Harapan rakyat didahulukan pencapaian diutamakan hanya tinggal harapan sahaja. Padahal harga minyak dunia mengalami kemerosotan sejak 10 jun lalu. Carta Aliran Crude Oil Brent menunjukkan kadar menurun sepanjang bulan Jun 2015.
"Selepas 1 April dengan pelaksanaan GST ditambah lagi beban kenaikan harga minyak ini menjadikan harga barangan keperluan semakin naik tanpa mekanisma yang terbaik untuk mengawal harga. Ini akan menambahkan bebanan rakyat khususnya masyarakat Islam yang akan menyambut Aidilfitri dua minggu lagi," katanya kepada Harakahdaily.
Dalam pada itu, katanya, sikap boros dan kurang cermat kerajaan BN dalam menguruskan khazanah negara melalui kegiatan pelaburan yang meragukan diburukkan lagi dengan banyak projek yang gagal menyebabkan iklim ekonomi negara amat goyah dengan beban hutang yang semakin tidak terkawal.
"Kita bimbang dengan situasi sebegini, kerajaan mengambil kesempatan dengan menaikkan harga minyak lantaran sudah tidak mampu lagi memberi perkhidmatan yang baik dalam membela nasib rakyat," tambahnya.
Justeru katannya, sudah tiba masanya Kerajaan Malaysia melihat kembali dan mencari pendekatan baru melalui sistem pengurusan ekonomi Islam yang lebih stabil.
"Sekiranya keadaan ini berterusan, kita yakin rakyat akan menzahirkan kemarahannya dalam demonstrasi," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan