SPECIAL ADS

31 Mei 2013

Pemilihan Umno guna perlembagaan baru parti

Najib Razak
KUALA LUMPUR 31 Mei :  Pemilihan Umno akan dilaksanakan tahun ini dengan mengguna pakai perlembagaan baru parti yang membuka peluang kepada hampir 500,000 ahli di peringkat akar umbi menentukan pucuk pimpinan parti.
   
Pemilihan itu akan dijalankan selepas mesyuarat peringkat bahagian dan sebelum perhimpunan agung parti, kata Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno di sini hari ini.
     
Beliau berkata satu pasukan khas diketuai bekas Menteri Besar Perak, Tan Sri Tajol Rosli Ghazali ditubuhkan untuk menerangkan kaedah pemilihan baru berdasarkan perlembagaan parti yang dipinda pada 2009.
   
"Perlembagaan parti yang baru ini lebih mencabar dan lebih kompleks kerana sejajar dengan pembaharuan dan reform yang telah kita mulakan tiga tahun dulu tapi belum kita kuat kuasakan pemilihan menggunakan perlembagaan yang baru.
   
"Dari segi pemilihan Majlis Tertinggi, hampir 150,000 orang akan terlibat dalam menentukan pucuk pimpinan parti daripada presiden sampai kepada Majlis Tertinggi. Ini tidak termasuk 100,000 orang daripada setiap sayap Wanita, Pemuda dan Puteri," jelas Najib.

"Walaupun tanggungjawab tidak sama dengan SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) tapi ia jauh lebih besar daripada apa yang telah kita lalui sebelum ini," kata Najib.
   
Beliau berkata proses pemilihan baharu itu akan dijalankan secara serentak di 191 bahagian di seluruh negara dalam tempoh masa yang ditetapkan.
   
Mengenai kaedah pelaksanaan pemilihan itu, Najib berkata: "Cara mana nak buat angkat tangan, biometrik, dakwat kekal dan macam-macam lagi, perkara masih diperincikan lagi."
   
Dalam pada itu, beliau berkata mesyuarat cawangan akan hanya bermula selepas proses penerangan di peringkat negeri selesai dilaksanakan pasukan khas yang turut disertai Setiausaha Agung, Setiausaha Kerja dan beberapa anggota parti.
   
"Tarikh paling awal yang dapat kita adakan mesyuarat cawangan ialah 15 Julai. Jadi kita tetapkan 15 Julai hingga 31 Ogos untuk mesyuarat cawangan diikuti mesyuarat perwakilan bahagian dan perhimpunan agung.
   
"Kedua-dua tarikh itu akan diumumkan selepas kita dapatkan maklum balas dari pasukan yang turun padang. Dan kita akan tengok dari segi kefahaman dan keperluan logistik untuk kendalikan pemilihan yang melibatkan jumlah begitu besar yang belum pernah kita lakukan sebelum ini," kata Najib. - Bernama

Kenapa Warganegara Malaysia Tidak Dibenarkan Masuk Ke Sabah?


KUALA LUMPUR 31 Mei : DAP mengutuk tindakan menghalang dan menghantar balik Naib Presiden PKR merangkap Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar dari Sabah semalam.

Menurut Nurul, terdapat satu senarai yang mengandungi nama ahli-ahli Parlimen (MP) lain yang juga akan dinafikan hak memasuki Sabah.

“Memandangkan senarai tersebut adalah hak prerogatif Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman, kami ingin tahu siapa lagi yang dinamakan dalam senarai larangan terbabit,” ujar Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dalam satu kenyataan.

Katanya, Musa mesti menerangkan sebab kenapa Nurul Izzah dihalang masuk ke Sabah dan terus dihantar pulang, dan berapa ramai lagi Ahli Parlimen Pakatan Rakyat yang akan dihalang memasuki negeri itu.

Tambahnya, tindakan sedemikian bukan sahaja tidak menghormati hak asasi manusia malah menentang prinsip-prinsip asas demokrasi.

Lebih teruk lagi, katanya ia menimbulkan persoalan bagaimana seorang warganegara Malaysia boleh dilayan lebih teruk daripada warga asing di dalam negara sendiri.

“Jangan kita lupa, dalam Februari tahun ini, lebih 200 militan bersenjata daripada Filipina telah mendarat di perairan Sabah.

“Selepas menduduki kawasan tersebut lebih dua minggu tanpa sebarang tindakan daripada pihak berkuasa Malaysia, mereka telah melancarkan perang terhadap pasukan keselamatan dalam usaha untuk menuntut hak ke atas tanah Malaysia yang berdaulat,” ujarnya yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang.

Baginya, amat menyedihakan apabila seorang Ahli Parlimen Malaysia daripada pembangkang, yang dipilih oleh rakyat, yang tidak mempunyai sebarang rekod jenayah dihalang daripada masuk ke negara sendiri dan dilayani dengan lebih buruk daripada penjenayah yang pernah disabitkan kesalahan dan pernah dipenjarakan.

“Apalah yang ditakutkan sangat oleh Musa Aman dan BN sehingga Ahli Parlimen Pakatan Rakyat tidak dibenarkan masuk ke negeri itu,” katanya.

Ahli Parlimen Bagan itu menambah, Musa dan BN adalah salah jika mereka berfikir bahawa tindakan sedemikian akan menyebabkan rakyat takut kepada BN, melenyapkan semangat Pakatan Rakyat dan menyelamatkan BN.

Sebaliknya, tegas beliau rakyat Sabah akan lebih yakin bahawa sekaranglah masa untuk berubah demi menyelamatkan Malaysia dan Sabah memandangkan BN tidak ada visi lain selain menghalang, meni

Penstrukturan Semula Industri Air Dimulakan Kembali

mb exco baru pc 01
KLANG 31 Mei :: Perbincangan mengenai industri air Selangor akan dimulakan kembali dengan Kerajaan Persekutuan dalam masa terdekat dengan harapan penstrukturan semula perkhidmatan itu dapat diteruskan Kerajaan Selangor.
Ini supaya proses pengambilalihan operasi rawatan dan pengedaran air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya daripada empat syarikat swasta dapat disempurnakan bagi memastikan pengguna mendapat bekalan yang cukup, berterusan dan pada harga berpatutan.
Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, surat rasmi mengenai perbincangan sudah dihantar Isnin lalu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air baru Datuk Seri Dr Maximus Ongkili.
Surat tersebut sebagai respons Kerajaan Negeri kepada kenyataan Dr Maximus minggu lepas yang mahu bertemu dan berbincang dengan Selangor tentang perkhidmatan air di Selangor.
Abdul Khalid berharap kementerian akan memberi respon segera supaya satu perbincangan dapat dilakukan dalam tempoh terdekat.
“Keutamaan kita ialah untuk meningkatkan perkhidmatan pembekalan air kepada rakyat Selangor dan Lembah Klang menerusi penstrukturan semula perkhidmatan air seperti yang dikehendaki Akta Industri Perkhidmatan Air atau WSIA.
“Saya telah menghantar surat rasmi kepada Dr Maximus Ongkili untuk mengadakan perbincangan bagi memuktamadkan proses penstrukturan ini.”
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas majlis angkat sumpah ahli jemaah Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri di Istana Alam Shah di sini hari ini.
Proses penstrukturan semula industri air dimulakan oleh Kerajaan Negeri pada tahun lepas sebagai usaha mengambilalih operasi bekalan, rawatan dan pengedaran daripada empat syarikat swasta.
Kerajaan Negeri telah menawarkan RM 9.65 bilion untuk mengambilalih empat syarikat tersebut dan setakat ini mereka telah memberi respons positif terhadap tawaran itu.
Minggu lalu, Dr Maximus menyatakan hasrat bertemu dengan Abdul Khalid dalam cadangan untuk menstruktur semula industri air di Selangor supaya satu kesimpulan secara baik akan dapat dicapai.
Dr Maximus berkata beliau harap untuk duduk bersama dengan Abdul Khalid untuk meneroka bahagian yang Kerajaan Persekutuan boleh bekerjasama dengan Kerajaan Negeri.

Perlantikan Exco Bukti Pakatan Meraikan Kebolehan Wanita

exco wanita selangor 2013 01
SHAH ALAM 31 Mei : Pakatan Rakyat Selangor terus mencipta sejarah dengan mengemukakan suara wanita yang lebih ketara di dalam institusi kerajaan negeri bagi penggal ini.
Pimpinan Pakatan yang dihubungi berkata ini membuktikan komitmen gagasan itu dalam menghargai kebolehan wanita dalam memimpin dan bukan sahaja bercakap retorik semata-mata.
Semalam ADUN Subang Jaya Hannah Yeoh diumumkan sebagai Speaker baru Dewan Negeri Selangor manakala empat daripada 10 jawatan exco diisi dengan pimpinan wanita.
Hannah merupakan speaker wanita pertama dalam sejarah negara ini.
Perlantikan beliau merupakan satu lagi penanda aras, selepas perlantikan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Petaling Jaya Datin Paduka Alinah Ahmad, dan perlantikan Timbalan Speaker Dewan Negeri Selangor pada penggal lalu Haniza Talha.
MP Kota Raja Siti Mariah Mahmud berkata kebolehan pemimpin wanita di dalam Pakatan terserlah pada penggal lepas apabila mereka melaksanakan tugas dan amanah dengan baik.
“Kita tak cakap banyak, tapi kita buat. Menunjukkan juga sumbangan wanita dihargai dan wanita boleh perform.”
“Dengan adanya wanita diperingkat tertinggi membuat keputusan, diharap banyak lagi program-program mengenai wanita. Tak lihat lelaki ke wanita, rakyat dilayan sama.”
Empat exco wanita yang dilantik terdiri daripada tiga dari PKR dan seorang dari Pas iaitu Rodziah Ismail, Elizabeth Wong, Dr Daroyah Alwi dan Dr Halimah Ali.
Dr Halimah, Rodziah dan Elizabeth menggangotai jemaah exco pada penggal lalu.
Dr Halimah dilantik Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan; Rodziah, Kebajikan dan Hal Ehwal Wanita; Dr Daroyah, Kesihatan, Pembangunan Usahawan, Sains, Teknologi dan Inovasi dan Elizabeth Wong Keat Ping Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar.
Sementara itu, MP Kulai Teo Nie Ching berharap perlantikan ini mampu mengembangkan lagi peranan wanita di Selangor.
“Kalau kita tengok kerajaan pusat, ada 35 jawatan untuk menteri tetapi hanya 2 orang yang dipegang wanita, mereka hanya mencapai 5.7% tapi sekarang di Selangor, kita telah mencapai 40%”
“Ini juga menunjukkan bahawa berbanding dengan Barisan Nasional, Pakatan Rakyat lebih komited untuk memberi satu peluang dan platform untuk wanita,” kata Nie Ching.

Bekas Pengerusi Gerak Mohon Maaf Kepada MB Selangor

nazree yunus 1
SHAH ALAM, 31 MEI : Bekas Pengerusi Gerakan Rakyat Anti Korupsi (Gerak), Mohd Nazree Mohd Yunus hari ini membuat permohonan maaf kepada Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim atas dua tuduhan beliau terhadap Menteri Besar Selangor itu pada 2009.
Permohonan maaf pertama merujuk kepada kenyataan Mohd Nazree sebelum ini yang mendakwa Abdul Khalid menyalahguna kuasa dan menggunakan wang awam untuk membiayai penyelenggaraan dan belian aksesori serta alat ganti kereta milik peribadi beliau.
Manakala permohonan maaf kedua adalah merujuk kepada dakwaan Mohd Nazree kononnya Abdul Khalid menggunakan wang Kerajaan Selangor bagi membiayai pembelian 46 ekor lembu korban bernilai RM 110,400 bagi majlis Hari Raya Aidiladha di kawasan Bandar Tun Razak.

“Sesungguhnya dengan suci hati dan tulus ikhlas, saya memohon maaf kepada Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim atas dua kenyataan yang saya keluarkan selaku Pengerusi Gerak bertajuk “Kenyataan Media Gerak Malaysia : Tentang Amalan Rasuah dan Salahguna Kuasa Menteri Besar Selangor” bertarikh 21 Januari 2009 dan “Kenyataan Media Gerak Malaysia : Laporan Salahguna Kuasa Menteri Besar Selangor” pada 3 Februari 2009.
“Saya mengaku bahawa kedua-dua kenyataan media ini telah mencemarkan, menjejaskan serta menjatuhkan nama baik, reputasi, imej dan intergriti beliau sebagai Menteri Besar Selangor.
“Saya mengaku amat menyesal kerana membuat kenyataan akhbar yang tidak benar terhadap beliau. Saya berjanji untuk tidak mengulangi perbuatan mengeluarkan perkataan berunsur fitnah di masa akan datang,” katanya.
Mohd Nazree membaca permohonan maaf itu di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Datuk Dr Badariah Sahamid.
Beliau yang merupakan defendan dalam kes tersebut turut bersetuju untuk menyiarkan permohonan maaf itu di muka hadapan akhbar Sinar Harian dalam tempoh 14 hari.
Sementara itu, Abdul Khalid ketika ditemui berkata, beliau menerima permohonan maaf Mohd Nazree secara terbuka dan tidak akan menuntut sebarang ganti rugi.
“Saya menerima permohonan maaf beliau dan berharap beliau dapat meneruskan usaha sebagai seorang yang minat dalam bidang politik.
“Dengan cara itu, kita telah menunjukkan bahawa keadilan itu adalah satu usaha berterusan dan saya anggap pengajaran ini akan menguatkan lagi kualiti hidup beliau sebagai seorang yang percaya pada keupayaan diri sendiri,” katanya ketika ditemui di luar bilik mahkamah.
Pada 24 Mac lalu, Abdul Khalid memfailkan dua saman di Mahkamah Tinggi di sini terhadap Mohd Nazree melalui peguam beliau, Sankara Nair.
Tindakan itu berikutan keengganan Mohd Nazree menarik balik, meminta maaf dan membayar ganti rugi terhadap dua kenyataan itu.

Nurul Izzah Akan Saman Kerajaan Sabah, Ketua Menteri

nurul izzah KLSCAH 01
SHAH ALAM 31 Mei : MP Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar akan mengheret Kerajaan Sabah ke mahkamah bagi mencabar tindakannya yang menghalang beliau daripada memasuki negeri bawah bayu itu semalam.
MP Penampang, Darrell Leiking, akan mengetuai sebuah jawatankuasa guaman di Sabah untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Ketua Menteri yang akan difailkan di Kota Kinabalu kelak.
PKR juga akan menghantar surat rasmi ke Pejabat Ketua Menteri Sabah untuk mengemukakan aduan rasmi serta mendapatkan penjelasan sepenuhnya mengenai tindakan itu.
Parti itu juga akan meminta senarai nama-nama mereka yang dihalang memasuki Sabah, serta sebab-sebab mereka dihalang, kata Nurul Izzah di sebuah sidang media di sini.
“Isu keselamatan negara dan persempadanan tidak boleh sama sekali dipolitikkan.
“Tindakan menghalang saya daripada masuk ke Negeri di Bawah Bayu ini berlaku di kala Sabah berhadapan dengan kebolosan sempadan.
“Termasuklah pengeluaran kad pengenalan secara haram seperti yang sedang disiasat oleh Suruhanjaya Siasatan DiRaja Sabah.
“Seharusnya tumpuan kerajaan negeri adalah mengawal selia masalah kebolosan yang mendesak ini,
“Bukan menyalahgunakan kuasa dengan menafikan hak demokrasi dan aktiviti politik pimpinan Pakatan Rakyat demi mempertahan kedudukan UMNO mahupun BN,” kata Nurul Izzah.
Nurul Izzah ditahan di pintu masuk imegresen di Lapangan Terbang Kota Kinabalu semalam apabila beliau tiba di Sabah. Kad pengenalannya dirampas dan beliau diarah pulang.
Nurul Izzah mendakwa tindakan tersebut adalah arahan daripada Pejabat Ketua Menteri Sabah.
Beliau pergi ke Sabah bagi meraikan pesta menuai Kaamatan bersama warga tempatan yang akan berlangsung Sabtu ini.
Nurul Izzah berkata Kerajaan Sabah telah melanggar undang-undang negara kerana menghalang seorang warganegara memasuki negeri mengikut Seksyen 67 Akta Imigresen 1959/1963.

Mekanisme turun harga kereta

penurunan harga kereta
31 Mei : SUSULAN manifesto BN dan PR yang menjanjikan penurunan harga kereta, pelbagai spekulasi dibuat selepas berakhirnya PRU13.

Setakat ini harga kereta diketahui tinggi. Harga terendah Honda City, umpamanya adalah RM83,219.50, Toyota Vios model 1300cc berharga RM72,417.50.

Bagi kereta buatan Malaysia seperti Proton dan Perodua pula, harga yang ditawarkan adalah RM24,924.30 bagi model Perodua Viva 660cc.

Untuk Proton pula, harga terendah yang ditawarkan adalah model Saga FLX 1300cc iaitu RM35,333.65.

Harga ditawarkan ini sukar untuk dimiliki oleh keluarga berpendapatan rendah, terutama yang kos saraan hidup yang tinggi seperti mempunyai pendapatan kurang dari pada RM1500 sebulan.

Golongan muda juga antara yang terbeban akibat harga kenderaan yang tinggi kerana belum ada pendapatan stabil dan hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN).

Sebelum PRU13, BN dan PR berjanji hendak turunkan harga kereta. Namun mekanisme yang mana antara BN dan PR yang lebih efektif?
Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli berkata, usaha menurunkan harga kereta bukan sesuatu yang susah kerana kerajaan hanya perlu menghapuskan cukai eksais.

Katanya, langkah yang dibuat kerajaan sekarang menekan pembuat dan penjual kereta.

PR, katanya, menawarkan cara sesuai, iaitu dengan menghapuskan cukai eksais.

Sebagai contoh, bagi kereta Perodua Myvi, cukai kereta yang dikenakan adalah 85 peratus iaitu 75 peratus cukai eksais dan 10 peratus cukai jualan.

Ini bermaksud, jumlah cukai yang dikutip kerajaan bagi sebuah kereta Perodua Myvi adalah RM21,140 dari harga yang dikenakan kepada pengguna, iaitu RM46,000.
Tanpa cukai eksais, ia akan kurangkan harga kereta kerana cukai yang dikenakan adalah hampir sama dengan harga kereta.

Sementara Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed pula berkata, kerajaan akan mengurangkan harga kereta secara berperingkat-peringkat sehingga 2017.

Sejak Oktober tahun lalu, harga 10 model kereta popular di negara ini telah menurun 7.3 peratus purata.

Beliau berkata, pengurangan harga itu adalah hasil proses pasaran yang mana terdapat peningkatan kecekapan dan persaingan di kalangan pemain industri automotif.

Menurutnya, usaha pengurangan harga kereta haruslah dilaksanakan secara berhemah dan tersusun supaya tidak menjejaskan pertumbuhan industri dan peluang pekerjaan.

Kerajaan juga berbincang dengan syarikat-syarikat pembuat kereta dan satu Rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas atau FTA bakal dilaksanakan serta faedah-faedah akan diperkenal kepada pengguna.

Soalannya, bilakah proses penurunan ini akan bermula?

Apakah pada Jun atau Julai depan atau pada Januari 2014?

Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (Pekema) menggesa kerajaan umumkan mekanisme penurunan harga kereta dalam masa terdekat.

Presidennya, Datuk Zainuddin Abdul Rahman berkata, struktur cadangan masih samar-samar.

Menurutnya, kelewatan pihak berwajib mengumumkan mekanisme menurunkan harga kereta telah memberi impak kepada pasaran automotif yang kini mengalami penyusutan disebabkan pembeli  tunggu dan lihat.

Namun, sekiranya dinilai secara rasional, pelaksanaan penurunan harga kereta ini, dapat dilaksanakan, ianya mampu untuk mengurangkan beban kepada rakyat berpendapatan rendah dan sederhana, terutama di kawasan bandar.

Khir Toyo dakwa dirinya 'dikambinghitam'

31 Mei : Bekas menteri besar Selangor, Dr Khir Mohd Toyo mendakwa beliau dijadikan contoh untuk menunjukkan kerajaan yang dipimpin Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telus dan mahu membanteras rasuah.

Dalam tulisan di blognya hari ini, Khir - yang dikekalkan hukuman penjara 12 bulan oleh Mahkamah Rayuan semalam - berkata beliau sudah "putus harapan" dan pesimis sekalipun merancang untuk merayu kesnya di Mahkamah Persekutuan.

NONE"Saya sudah tidak peduli lagi jika keputusan telah dibuat untuk memenjarakan saya sebagai ikon untuk menunjukkan kerajaan Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak ini telus dan mahu membanteras rasuah. Biarlah luncai terjun dengan labu-labunya," tulis Khir dalam blognya.

Semalam Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan bersalah terhadap Dr Mohd Khir bagi tuduhan rasuah yang berkaitan dengan pembelian dua lot tanah berharga dan sebuah rumah di Shah Alam, semasa menjadi penjawat awam.

"Semalam, peguam saya, Datuk Seri Shafee Abdullah bangun mengemukakan pertanyaan kepada tiga orang panel hakim hari ini, 'Apakah benchmark atau tanda aras untuk menyatakan pembelian ini merupakan satu pembalasan yang tidak mencukupi.'

"Pertanyaaan ini bukan sahaja tidak dijawab oleh Hakim Mahkamah Tinggi tetapi juga oleh tiga panel hakim Mahkamah Rayuan. Ini bermakna saya tidak mungkin mendapat sebarang perbicaraan yang munasabah pada akal logik," katanya.

Mahasiswa desak Zahid letak jawatan

KUALA LUMPUR 31 Mei :  Sekumpulan mahasiswa hari ini berhimpun di Kementerian Dalam Negeri mendesak Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Zahid Hamidi meletakkan jawatan, ekoran penahanan pemimpin politik dan aktivis yang didakwa mereka bermotifkan politik.

NONEBerkumpul bawah terik matahari di pintu pagar utama di Putrajaya, kira-kira 30 mahasiswa hadir menyatakan bantahan mereka terhadap menteri yang baru dilantik itu.

Mereka menyatakan pendirian berhubung penahanan itu bermula terhadap aktivis mahasiswa Adam Adli Abdul Halim dan mendakwa walaupun menteri bertukar tangan, kementerian itu didakwa terus bersikap berat sebelah.

Selagi ini berterusan, wakil pro-Mahasiswa Abdul Muqit Muhammad berkata, pasukan polis tidak akan bebas.

NONETarikan di protes tersebut ialah kehadiran ketua Solidariti Mahasiswa Malaysia, Mohammad Safwan Anang, yang baru dibebaskan dengan ikat jamin hari ini selepas didakwa bawah Akta Hasutan 1948 pada hari Rabu.

Katanya, tangkapan tersebut bermotifkan politik kerana orang tertentu yang didakwa, dan ia mencemarkan profesionalisme Kementerian Dalam Negeri dan polis.

"Zahid mesti meletakkan jawatan jika dia tidak dapat menyelesaikan masalah ini," katanya sambil mendakwa Zahid telah menyalahgunakan kuasanya dengan melibatkan polis dalam pendakwaan terpilih itu.

Bung Mokhtar : Halang Nurul Izzah malapetaka besar


KUALA LUMPUR 31 Mac : Tindakan pejabat Ketua Menteri Sabah menghalang Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar untuk memasuki Sabah semalam turut diselar oleh ahli parlimen BN.

Ahli parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Mokhtar Radin menyelar tendakan itu dengan mendakwa satu kesilapan besar dan malapetaka oleh kerajaan negeri Sabah.

“Saya tak faham mengapa Nurul tak dibenarkan memasuki Sabah. Kalau ini benar, satu kesilapan dan malapetaka.

“Saya rasa ini adalah kesilapan yang besar dan perlu diperbetulkan,” kata Bung Mokhtar dalam twitternya.

Semalam Nurul Izzah ditahan oleh imigresen Sabah ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu kira-kira jam 7.30 petang.

Beliau kemudian diarah pulang dan tidak dibenarkan memasuki Sabah.

Media baru gugat negara atau gugat BN?


KUALA LUMPUR 31 Mac : Tindakan kerajaan mahu mengkaji undang-undang terhadap 'penyalahgunaan' media sosial yang boleh menggugat keharmonian negara menimbulkan persoalan.

Ahli parlimen Bukit Gantang Idris Ahmad berpendapat, kerajaan sememangnya boleh sahaja bertindak menggunakan undang-undang yang sedia ada seperti beberapa pendakwaan yang telah dibuat terhadap beberapa individu sebelum ini.

"Benarkah keharmonian negara tergugat? Atau kedudukan BN yang tidak selamat.

"Apakah salah media baru yang menjadi kuasa pengimbang kepada media perdana yang sarat dengan fitnah dan penipuan," soal Idris.

Menurutnya, laporan kajian oleh beberapa pihak mendapati bahawa BN tewas dalam kempennya di media sosial dan internet biarpun menguasai media arus perdana secara total.

Faktor ini juga telah menyebabkan berlaku perubahan politik yang sangat ketara di bandar dan pinggir bandar khususnya melibatkan pengundi muda.

Ianya turut diakui sendiri oleh Ahli Parlimen Umno dari Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed di satu forum pasca-PRU anjuran Kelab Wartawan Asing Malaysia (FCCM) di ibu negara.

"BN hanya boleh dapat sokongan dengan generasi yang tinggal gusi, manakala Generasi 3G, telah menolak BN. Generasi 3G  inilah yang paling ditakuti oleh BN.

"Persolannya sampai bila BN hanya boleh bersandar dengan golongan yang fakir maklumat. Maklumat bergerak dengan pantas, BN masih mengguna tektik zaman batu, politik ugut, politik samsing, fitnah, tipu, putar belit masih dijadikan menu utama BN untuk mempengaruhi pengundi," soal Idris lagi.

Katanya, janganlah apabila tidak bermaya untuk melawan hujah, maka ada cadangan pula untuk menyekat maklumat kepada rakyat.

Hakikat yang berlaku ujarnya, undang-undang ini jika digubal hanya dikuat-kuasa kepada pembangkang.

"Perkara ini sudah terbukti bloger pro BN dan media BN yang menyimbah petrol permusuhan tidak diapa-apakan walaupun menpunyai unsur hasutan.

"Mereka hanya menerkam seperti singa lapar jika yang diungkap itu daripada pemimpin Pakatan Rakyat," katanya.

30 Mei 2013

Mengapa pemimpin BN tidak mahu isytihar harta?

KUALA LUMPUR 31 Mei : Jabatan Pilihanraya Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) merakamkan ucapan tahniah di atas perlantikan saf baru kepimpinan Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Selangor yang telah menyempurnakan ikrar dan sumpah setia perkhidmatan di hadapan Sultan Selangor semalam.

“Jabatan Pilihanraya Dewan Pemuda PAS Malaysia mengharapkan semoga kepimpinan Exco Negeri Selangor yang baru dilantik bersama-sama dengan kepimpinan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim selaku MB Selangor akan dapat meneruskan kecemerlangan pentadbiran Pakatan Rakyat (PR) Selangor sebelum ini,” ujar Pengarahnya, Mohd Sany Hamzan'

Beliau berkata, pihaknya turut merakamkan ucapan penghargaan di atas komitmen yang telah dinyatakan MB Selangor untuk memastikan ketelusan pentadbiran beliau dengan meneruskan pengisytiharan harta termasuk penambahan harta semua Exco yang baru dilantik dan Exco sedia ada sebelum sidang Dun diadakan.

“Langkah ini adalah penerusan daripada tindakan yang pernah dilakukan semasa sesi awal pentadbiran PR memerintah Selangor selepas pilihanraya tahun 2008,” ujarnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Kata beliau, pihaknya melihat tindakan tersebut telah memberikan satu keyakinan kepada rakyat Selangor bahawa pemimpin PR yang diberikan amanah untuk mentadbir sememangnya terdiri daripada mereka yang mempunyai kredibiliti dan integriti.

Ini, ujarnya bagi memastikan hasil kekayaan negeri tidak menjadi harta pemilikan individu melainkan dikembalikan semula kepada rakyat secara selayaknya.

Beliau berkata, Jabatan Pilihanraya Dewan Pemuda PAS Malaysia merasakan tindakan yang cukup bertanggungjawab ini sepatutnya dicontohi oleh Perdana Menteri dan kabinetnya serta seluruh Menteri Besar dan Ketua Menteri yang baru dilantik sebagai komitmen dan tanggungjawab melaksanakan amanah yang dipikulkan oleh rakyat ke atas bahu mereka dipenuhi secara jujur, amanah dan bertanggungjawab.

Menurutnya lagi, mereka juga perlu pastikan segala kekayaan hasil mahsul negara dan negeri-negeri dapat dinikmati oleh rakyat secara sepatutnya.

Kata beliau lagi, pihaknya pernah mencabar kerajaan BN sebelum ini untuk melaksanakan tindakan pengisytiharan harta selepas memenangi PRU12 lalu tetapi seperti dijangka mereka sentiasa beralasan untuk tidak mengisytiharkan harta-harta mereka.

Ini, katanya kerana mereka takut dipertikaikan oleh rakayat bagaimana harta boleh berkembang biak berbanding dengan elaun yang sepatutnya diterima oleh mereka.

“Dan juga dalam masa yang sama rakyat sering merintih di atas kesusahan dan keperitan yang ditanggung mereka kerana dasar-dasar yang ditetapkan oleh pemimpin-pemimpin Barisan Nasional yang korup ini,” ujarnya.

GST disifatkan adalah tindakan mendera rakyat bagi kepentingan korporat.

KUALA LUMPUR 31 Mei : Barisan Nasional (BN) mengucapkan terima kasih kepada rakyat yang mengundinya dengan memaksakan cukai barangan dan perkhidmatan (GST), kata Naib Presiden PAS, Dato' Mahfuz Omar.

Beliau menyifatkan kenyataan bahawa kerajaan tidak akan melaksanakan GST dalam tempoh terdekat menambahkan lagi rasa terdera rakyat di bawah pemerintahan Barisan Nasional (BN).

"Tidak akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat maknanya GST tetap akan dilaksanakan juga.

"Ertinya kerajaan tetap mempunyai niat untuk mendera dan menghukum rakyat dengan GST.

"Rakyat tentulah merasa semakin terdera dengan kenyataan kerajaan yang berkeras hendak melaksanakan GST itu walaupun kononnya bukan dalam waktu terdekat," kata beliau.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu berkata, amat malang bagi rakyat kerana GST akan dipaksakan ketika pendapatan mereka tidak meningkat.

"Isunya sekarang bukan soal berapa peratus cukai GST itu, isunya pendapatan rakyat tidak bertambah tetapi beban mereka pula yang akan bertambah," kata Mahfuz.

Beliau berkata, ketika kerajaan tidak pernah menafikan akan menaikkan harga minyak dan pelbagai tarif lain bila-bila masa sahaja selepas pilihan raya umum yang lalu, harga barangan pasti akan naik dan naik lagi apabila kerajaan menaikkan harga barangan dan perkhidmatan perlu.

"Dengan kenaikan harga barang dan ditambah pula dengan bebanan GST, ia pasti akan sangat mendera dan menghukum rakyat termasuklah yang mengundi BN dalam pilihan raya yang lalu.

"Itulah sebabnya saya katakan bahawa GST adalah ucapan terima kasih BN kepada pengundi-pengundinya dalam pilihan raya yang lalu," kata Mahfuz (gambar).

Walaupun Pakatan Rakyat telah memberi jaminan tidak akan melaksanakan GST dalam manifesto pilihan rayanya, kira-kira 47 peratus rakyat negara ini tetap memilih BN yang berkeras mahu melaksanakan GST.

Mahfuz juga menyifatkan GST adalah tindakan mendera rakyat bagi kepentingan korporat.

"Bila menteri kata pelaksanaan GST itu juga adalah sejajar dengan hasrat kerajaan untuk mengurangkan cukai korporat dan cukai peribadi, ia bermakna beban cukai dihempuk atas kepala rakyat untuk mengurangkan cukai korporat," kata beliau.

Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah sebelum itu berkata, kerajaan tidak akan melaksanakan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dalam tempoh jangka dekat kerana ia masih mengkaji kesan dan kadar yang akan dilaksanakan.

Katanya, kerajaan masih berunding dengan ahli politik, sektor swasta dan awam sebelum membuat apa-apa keputusan.

CAP desak Malaysia tarik diri daripada TPPA

KUALA LUMPUR 30 Mei : Apabila teks Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) dan Perjanjian Trans-Pacific Partnership (TPPA) dirahsiakan dan kita telah melihat kesan buruk FTA seperti di negara-negara lain, adakah kita harus berdiam diri dan percaya kerajaan?
 
Demikian pertanyaan yang dilontarkan Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), SM Mohamed Idris dalam satu kenyataan.

“Jika FTA ini akan menjadi begitu bermanfaat untuk rakyat, mengapa kerajaan Malaysia tidak membentangkan teks perjanjian yang sedang dirundingkan untuk diteliti oleh masyarakat awam?

“Mengapa bersembunyi di sebalik klausa kerahsiaan?” tanya beliau lagi.

Menruutnya, jaminan oleh Kerajaan atau Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri tidak mencukupi.

Berikut kenyataan penuh beliau.

“Percayalah kerajaan, kami tahu apa yang terbaik untuk anda”.  Kenyataan ini adalah semata-mata kesombongan di pihak kerajaan dan kami bimbang bahawa kehidupan dan mata pencarian rakyat serta generasi masa depan akan terjejas jika rakyat tidak berhati-hati dalam apa yang Kerajaan menandatangani bagi pihak rakyat.

Apabila teks Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) dan begitu juga Perjanjian Trans-Pacific Partnership (TPPA) adalah dirahsiakan dan kita telah melihat kesan buruk FTA seperti di negara-negara lain, adakah kita harus berdiam diri dan percaya kerajaan?

Jika FTA ini akan menjadi begitu bermanfaat untuk rakyat, mengapa kerajaan Malaysia tidak membentangkan teks perjanjian yang sedang dirundingkan untuk diteliti oleh masyarakat awam? Mengapa bersembunyi di sebalik klausa kerahsiaan?

Jaminan oleh Kerajaan atau Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri tidak mencukupi. Adakah Kerajaan takut perdebatan awam? Jika benar-benar ada pasaran bebas dan kerajaan telus, kita seharusnya dapat melihat draf perjanjian.

CAP telah menimbulkan kebimbangan kami dalam banyak isu yang berkaitan dengan bab-bab yang dirundingkan dalam TPPA. Sebagai contoh, kami bimbang bahawa negara TPPA seperti Malaysia didesak untuk bersetuju dengan peruntukan paten yang akan menyebabkan kelewatan kemasukan ubat-ubatan generik dengan harga berpatutan dalam pasaran Malaysia, di mana ubat generik disyorkan ahli farmasi membentuk 84.7% daripada preskripsi. Jika peruntukan ini dipersetujui, rakyat Malaysia akan terpaksa membayar harga yang lebih tinggi untuk ubat-ubatan untuk jangka masa yang lebih lama.

Sesetengah pihak menegaskan bahawa rakyat Malaysia boleh menghadapi kenaikan harga sebanyak 60% -80% untuk ubat-ubatan tertentu, manakala pihak berkuasa yang lain menegaskan bahawa ubat-ubatan berpaten boleh menjadi 1,044% lebih mahal daripada ubat-ubat generik yang seiras. Versi ubat-ubatan berpaten untuk merawat HIV/Aids, sebagai contoh, kosnya USD15,000 bagi setiap pesakit setiap tahun, manakala versi generik kosnya hanya USD67 bagi setiap pesakit setahun.

Satu lagi isu yang menjadi kebimbangan adalah mekanisme penyelesaian pertikaian pelabur-negeri (investor-state dispute settlement - ISDS). ISDS menjadi sumber kontroversi yang semakin meningkat di seluruh dunia kerana ia membolehkan pelabur-pelabur asing untuk mencabar tindakan oleh kerajaan tuan rumah, walaupun tindakan itu dilakukan demi kepentingan awam, contohnya kerana kesan kepada kesihatan atau alam sekitar - di premis bahawa tindakan telah atau akan menjejaskan pelaburan atau keuntungan mereka.

Adakah ini akan membawa kepada eksploitasi tidak beretika sumber asli kita dan apakah kesan kepada kesihatan awam akibat pencemaran dan kemerosotan alam sekitar? Tetapi sehingga sekarang kerajaan Malaysia masih tidak memaklumkan bagaimana kebimbangan kami akan ditangani dalam rundingan atau melalui teks perjanjian. Kebimbangan dan persoalan kami masih kekal tidak terjawab.

Perjanjian Perdagangan Bebas adalah satu bentuk penjajahan-semula. "Globalisasi ekonomi adalah satu jenis penjajahan korporat yang baru ke atas negara-negara miskin dan golongan miskin di negara-negara yang kaya," kata Vandana Shiva, seorang aktivis alam sekitar dari India. "Kini kita sedang diminta untuk percaya bahawa proses pembangunan yang telah memiskinkan orang dan memusnahkan planet, akan membawa kepada hasil yang berbeza dan sangat bermanfaat, jika hanya ianya boleh dipercepatkan dan diterimapakai di mana-mana secara bebas, tanpa sekatan: iaitu, apabila ianya diglobalisasikan ".

Kami bimbang bahawa perubahan dan pembaharuan yang didorong oleh penyokong TPPA  akan mempunyai implikasi yang besar bagi rakyat Malaysia secara keseluruhan. Ia akan menjadi satu kesilapan untuk menandatangani suatu perjanjian terikat, yang hanya boleh dimungkiri pada kos yang tinggi dengan samanan di peringkat dan undang-undang antarabangsa, penyelesaian dan rundingan lanjut. Ia tidak terlalu lewat bagi Malaysia untuk menarik diri daripada TPPA.

Kami mendesak Kerajaan Malaysia untuk melakukan perkara yang betul – tarik diri daripada TPP.

Nota: Perjanjian Trans-Pacific Partnership (TPPA) adalah suatu perjanjian multilateral yang sedang  dirundingkan olah 12 buah Negara iaitu Amerika Syarikat, Australia, Brunai, Chile, Japan, Kanada, Malaysia, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura dan Vietnam. Untuk maklumat lanjut mengenai impak TPPA dan FTA sila rujuk www.ftamalaysia.org

Hannah Yeoh wanita pertama dilantik speaker

Hannah Yeoh
KLANG 30 Mei :  Anggota Dewan Undangan Negeri Subang Jaya Hannah Yeoh dari DAP mencatat sejarah apabila menjadi wanita pertama dilantik sebagai speaker dewan undangan negeri (Dun) di negara ini.

Yeoh, 34, yang mempertahankan kerusi Dun Subang Jaya pada pilihan raya umum lepas akan mengangkat sumpah jawatan pada 21 Jun ini bersama-sama timbalannya Nik Nazmi Nik Ahmad, yang merupakan anggota Dun Seri Setia dari PKR.

Bekas speaker Dun Selangor Datuk Teng Chang Khim, yang dilantik ke jawatan exco kerajaan negeri, berkata peranan yang mencabar menunggu Yeoh, yang mempunyai latar belakang dalam undang-undang.

Yeoh merupakan anggota Selcat (Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor) pada pentadbiran kerajaan Selangor lepas

PAS desak siasat 3 MB, 2 ketua menteri

KUALA LUMPUR 30 Mei : PAS mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat tiga menteri besar dan ketua menteri yang didakwa terlibat dalam skandal rasuah.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Dr Dzulkefly Ahmad berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Paul Low yang juga bekas Presiden Transparency-International Malaysia (TI-M) mesti mengarahkan SPRM membuka kertas siasatan ke atas mereka.

Tiga menteri besar yang dimaksudkan itu adalah Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan, Datuk Seri Khaled Nordin (Johor), Datuk Seri Ahmad Said (Terengganu), serta Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman dan Tan Sri Taib Mahmud (Sarawak).

Beliau berkata, walaupun nama mereka terbabit ‘dibersihkan’ daripada sebarang dakwaan sebelum Pilihan Raya Umum ke-13 (RPU13) baru-baru ini namun persepsi itu masih wujud.

“Kalaulah siasatan itu menemui bukti yang dapat membebaskan mereka daripada tuduhan itu kita minta SPRM supaya nama mereka dipertahankan dan tuduhan disangkal.

“Kalau tidak maka persepsi akan berterusan dan jadi buruk kerana rakyat tak dapat terima kepimpinan ketua negeri seperti ini,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PAS, Jalan Raja Laut, semalam.

Musa Aman sebelum ini dikaitkan dengan skandal rasuah balak RM40 juta dan mendapat perhatian Suruhanjaya Bebas Anti Rasuah Hong Kong (ICAC).

Begitu juga dengan Ahmad Said yang didakwa terlibat dengan skandal rasuah pengurusan balak, namun beliau menafikannya dan bersumpah tidak melakukan perbuatan itu dalam satu Majlis Menandatangani Ikrar Integriti Korporat Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu dengan SPRM pada bulan lalu.

SPRM sebelum ini pernah mencadangkan kepada kerajaan mewajibkan parti politik mengemukakan senarai calon PRU13 untuk tapisan.

Pengerusi Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah SPRM, Datuk Johan Jaaffar berkata ini bagi memastikan calon yang bakal bertanding ‘bersih’ daripada rasuah, selain mengelakkan tohmahan tidak berasas ke atas individu yang akan bertanding atau partinya.

Bila Muhyiddin kritikal, Zam dan Daim serang Najib

KUALA LUMPUR 30 Mei : Setelah terkena patukan kalajengking Tun Dr Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyiddin Yassin kini mendapat nafas baru apabila bekas menteri penerangan Tan Sri Zainuddin Maidin dan bekas menteri kewangan Tun Daim Zainuddin melancarkan serangan pada bosnya Datuk Seri Najib Razak.

Sumber Umno memaklumkan kepada Harakahdaily bahawa Muhyiddin sememangnya sudah terasa diri tidak selamat sebagai Timbalan Presiden Umno ekoran tikaman Mahathir baru-baru ini yang menyatakan Najib bakal terselamat kerana tiada alternatif di dalam Umno yang boleh menggantikannya.

“Muhyiddin kini terasa Najib sudah mendapat Mahathir di tangannya selepas anaknya Mukhriz dilantik menjadi Menteri Besar Kedah. Dan beliau dibiarkan terkapai-kapai. Jika dibandingkan dengan waktu Tun Abdullah Badawi, apa yang Mahathir kata kat Najib umpama mencubit pipi sahaja,” kata sumber Umno itu.

Beliau berkata ada yang memujuk Muhyiddin untuk melupakan hasrat mencabar Najib dan menjadi pembantu yang setia.

“Tapi selepas melihat keputusan meletakkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di bawah Muhyiddin, beliau terasa langkah membunuh kareer politiknya telah bermula,” terang sumber Umno lagi.

Harakahdaily bertanya mengapa, sedangkan mendapat amanah menjaga SPR itu dikira satu penghormatan.

“Sekarang rakyat paling marah kat SPR. SPR umpama batu mendidih tetiba dibuang ke tapak tangan Muhyiddin. Sudah tentu melecur tangan Muhyiddin nanti,” terang beliau.

Semalam, melalui blognya, Zainuddin menyerang Najib dan pakar strategisnya atas kempen ‘I love PM’. Beliau melabelkan Najib sebagai seorang imitator (peniru).

Daim pula menyalahkan Najib kerana terlalu mengharapkan populariti peribadinya bagi membantu BN mendapatkan kembali majoriti dua per tiga kerusi Parlimen yang hilang pada tahun 2008.

"Ini adalah pilihan raya parlimen, bukan pilihan raya presiden. Penasihat PM harus dipecat. Jika anda kaitkan undi BN sebagai undi untuk Najib, maka keputusan BN yang lemah juga akan memberi kesan kepadanya.

"Memilih kerajaan adalah perkara yang serius, jadi tinggalkan penasihat badut ini dan jangan ikut permainannya," kata Daim.

Sumber Umno berkata serangan Zainuddin dan Daim adalah pelega buat Muhyiddin selepas racun Mahathir.

“Perkasa dah menyerang idea menukar BN kepada parti 1Malaysia sehingga melabelkan sesiapa yang membuang Umno sebagai pengkhianat. 

"Jika BN berjaya ditukar ke parti 1Malaysia, iaitu slogan Najib, maksudnya hasrat Muhyiddin menjadi perdana menteri akan mati tidak berkubur.

"Muhyiddin akan melawan idea ini habis-habisan. Cadangan idea parti 1Malaysia hanya untuk mengukuhkan Najib seorang saja, Muhyiddin akan terkorban. Muhyiddin tak pernah tunjuk beliau pernah sokong 1Malaysia dengan ikhlas,” kata sumber Umno.

Tambahnya, perang dah mula. 

"Pasukan Muhyiddin sedang mendesak supaya diawalkan pemilihan Umno ke Ogos supaya Najib tidak dapat menyediakan pertahanannya. 
"Selepas ini, akan timbul serangan pada Rosmah yang dilihat seperti Ketua Umum Umno yang tidak berjawatan tapi berkuasa penuh. 

"Jangan hairan jika Deepak muncul lagi sebelum perhimpunan agong Umno dengan senapang yang baru,” kata beliau sambil tergelak.

Khalid janji bangunkan luar bandar, jaga agama Islam

(Khalid membuat ucapan di depan Tuanku Sultan Selangor sempena perlantikan Exco hari ini)

KLANG 30 Mei : Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim sekali lagi berjanji akan meningkatkan pendapatan rakyat khasnya di luar dan pinggir bandar di samping menjaga kesucian agama Islam.

Ia bertujuan agar mereka dapat menikmati kehidupan yang “serba ada” seiring dengan keadaan kehidupan penduduk di bandar-bandar.

"Tiada gunanya jika negeri Selangor bergelar negeri maju sedangkan sebilangan penduduk, terutama penduduk luar bandar masih tercicir dalam hal menikmati kemajuan di negeri ini," kata Khalid Ibrahim.

Beliau berkata demikian di majlis angkat sumpah dan simpan rahsia ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Selangor hari ini.

Janji itu dibuat di depan Sultan Selangor, Sultan Sharafudin Idris Shah di Istana Alam Shah, Klang.

10 anggota Exco Selangor mengangkat sumpah sebagai ahli MMK hari ini iaitu empat dari PAS, tiga PKR dan tiga DAP.

Mereka adalah Iskandar Abdul Samad (Cempaka), Dr. Ahmad Yunus Hairi (Sijangkang), Dr. Halimah Ali (Selat Klang) dan Sallehen Mukhyi (Sabak) dari PAS.

Ean Yong Hian Wah (Sri Kembangan), Ganapathi Rao a/l Veraman (Kota Alam Shah) dan Datuk Teng Chang Khim (Sungai Pinang) dari DAP.

Rodziah Ismail (Batu Tiga), Dr. Daroyah Alwi (Sementa) dan Wong Keat Ping @ Elizabeth Wong (Bukit Lanjan) dari PKR.

Dalam pilihan raya lalu, Pakatan Rakyat kalah lima Parlimen yang terletak di kawasan luar bandar dan utara Selangor iaitu Kuala Selangor, Tanjung Karang, Hulu Selangor, Sabak Bernam dan Sungai Besar.

Di kawasan ini, penduduknya terdiri dari petani dan nelayan di samping kawasan pembangunannya yang terbantut atau terbiar.


Jaga agama Islam



Dalam ucapannya, Khalid juga berjanji akan berusaha bagi memastikan pembangunan negeri dan kebajikan rakyat Selangor terus dipelihara dengan baik, adil dan saksama.

"Patik tekad berusaha gigih untuk mengekalkan kedudukan Selangor sebagai destinasi pelaburan utama para pelabur dari dalam negara mahupun dari luar negara," katanya.

Beliau juga bertekad untuk meneruskan kecemerlangan Selangor selaku penyumbang utama terhadap pembangunan dan pendapatan negara Malaysia.

"Hanya dengan kedudukan dan tahap pencapaian sedemikian, maka seluruh rakyat Tuanku dapat sama menikmati limpahan pembangunan serta dapat meningkatkan kualiti kehidupan mereka," katanya.

Beliau juga berjanji akan berusaha memastikan kesucian agama Islam sentiasa dilindungi dan dengan sedaya upaya menghalang mana-mana pihak yang berhasrat mencemari kesucian agama Islam, agama rasmi di negeri tercinta ini.

"Patik hamba tua juga akan memastikan hak dan kepentingan orang Melayu di negeri ini seperti yang termaktub  dalam Perlembagaan Persekutuan,  sentiasa terjamin dan tidak diganggu gugat oleh mana-mana individu, kumpulan mahupun puak sama ada dari dalam ataupun dari luar.

"Pada masa yang sama patik berusaha untuk melindungi hak dan kepentingan yang di miliki kaum-kaum lain di negeri ini agar negeri Selangor menjadi negeri yang harmoni diduduki oleh semua kaum," katanya.

Pendakwaan Dibawah Akta Hasutan Pilih Kasih dan Zalim

SHAH ALAM 30 Mei :  Pertuduhan mengikut Akta Hasutan 1948 yang dikenakan terhadap seorang pemimpin Pakatan Rakyat dan empat aktivis semalam adalah zalim kerana akta tersebut berlawanan dengan Perlembagaan Persekutuan.
Ahli Parlimen Batu Tian Chua, ahli Pas Thamrin Ghafar dan aktivis Hariz Fathillah Mohamed Ibrahim, Safwan Anang dan Hishamuddin Rais didakwa di mahkamah seksyen kerana kenyataan mereka di sebuah forum pada 13 Mei.
Bahkan, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pernah mengakui akta tersebut menyekat kebebasan bersuara dan berjanji untuk menghapuskan akta tersebut.
Peguam Gobind Singh Deo berkata pihaknya akan menggunakan hakikat akta itu bercanggah dengan Perlembagaan sebagai asas untuk membatalkan kes itu di Mahkamah Tinggi.
Menurut Gobind lagi, kata-kata yang dituturkan oleh ketiga-tiga tertuduh sama-sekali tiada unsur hasutan.
“Apa yang disebut atau dikatakan merupakan perkataan-perkataan menghasut itu memang tidak menghasut seperti sedia ada,” kata Gobind yang juga MP Puchong.
Kelima-lima individu tersebut dituduh di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 di Mahkamah Sesyen Jalan Duta semalam.
Mereka didakwa membuat kenyataan berunsur hasutan di satu forum 13 Mei, di Kuala Lumpur, 13 Mei lepas.
Mereka mengaku tidak bersalah dan Hakim Norsharidah Awang membenarkan mereka diikat jamin RM 5,000 setiap seorang. Pendengaran kes ditetapkan pada 2 Julai.
Jika disabit kesalahan boleh dipenjarakan tiga tahun atau didenda RM 5,000 atau kedua-duanya.
Gobind menyifatkan pendakwaan yang dilakukan ke atas lima individu tersebut bukan sahaja menentang Perlembagaan bahkan juga bersikap pilih kasih.
“Ini adalah satu penyalahgunaan proses mahkamah dimana kita menyatakan akta hasutan itu bertentangan dengan perlembagaan persekutuan.”