SPECIAL ADS

8 Oktober 2016

AMANAT ALMARHUM TUN RAZAK : PENEROKA ITU TUAN, FELDA ITU HAMBA?


Merujuk kepada Amanat Almarhum Tun Razak, jelas menyebut bahawa tujuan Kerajaan memberikan tanah kepada rakyat yang tidak bertanah (giving land to the landless) adalah untuk mengatasi kemelaratan dan kemiskinan hidup rakyat selepas 3 tahun Negara mengecapi kemerdekaan.
Tun Razak memberitahu bahawa tanah-tanah yang diberikan kepada peneroka Felda dilaksanakan secara sistem “hire-purchase”. Dengan kata lain secara sewa-milik. 
Mengikut wasiat Tun Razak, selepas peneroka Felda membayar keseluruhan hutang dalam sistem sewa-milik, maka tanah-tanah itu hendaklah dimiliki sepenuhnya oleh peneroka dengan dimiliki secara mutlak. 
Sebab itu secara terang dan jelas didalam Seksyen 47 Akta GSA, memaksudkan untuk membebaskan tanah itu dari kongkongan Akta GSA. Dimana Tanah yang telah diberi Geran Hakmilik tidak lagi tertakluk kepada Akta GSA. 
Tanah itu sama dengan tanah-tanah lain diluar kawasan Rancangan Felda, yang dikawalselia oleh Kanun Tanah Negara 1965. Segala sekatan kepentingan (restriction in interest) ke atas tanah itu juga hendaklah dianggap sekatan kepentingan di bawah Kanun Tanah Negara 1965. 
Dalam keadaan sedemikian, kuasa eksekutif ke atas tanah-tanah yang telah diberi hakmilik adalah terletak hak kepada Kerajaan Negeri. Maksud Kerajaan Negeri melalui Pejabat Tanah. Bukan Felda. Itulah wasiat Tun Razak, yang dimaklumkan pada 27/4/1960 – melalui Penyata Rasmi (Hansard) Dewan Rakyat. 
Ini merujuk kepada kenyataan diberikan oleh seorang Peguam terkenal, Wan Rohimi Wan Daud pada suatu ketika dahulu jelas menyebut bahawa Seksyen 47 (d) Akta GSA menyatakan:-
(a) Express condition and restrictions in interest endorsed on the document of title shall continue to run with the land until amended or rescinded pursuant to subsection (4) and shall be deemed to be expressed conditions and restrictions in interest imposed under the National Land Code.
Ini selaras dengan penegasan Tun Razak di Dewan Rakyat pada 27/4/1960:-
“Once title has been granted, the land ceases to be State Land……………..”
Setiap peneroka yang menyertai Rancangan Felda akan menandatangani 2 set perjanjian – Surat Perjanjian Peneroka dan Perjanjian Tambahan. Adalah diperhatikan bahawa kedua-dua perjanjian tersebut merujuk kepada hal keadaan penyertaan awal peneroka “sebagai seorang penduduk yang kelak akan dikurniakan surat Hakmilik”. 
Surat Perjanjian Peneroka, adalah perjanjian asas untuk diterima sebagai peneroka. Peneroka akan hanya didaftarkan sebagai “seorang penduduk yang kelak akan dikurniakan Surat Hakmilik”, selepas satu Perjanjian Tambahan ditandatangani oleh peneroka. Ini selaras dengan Fasal 15 Perjanjian Peneroka yang memperuntukkan seperti berikut:-
“15. Apabila Perjanjian Tambahan ditandatangani, Lembaga akan mendaftarkan Peneroka sebagai seorang penduduk yang kelak akan dikurniakan Surat Hakmilik bagi satu kawasan yang tidak dibelah bahagi seluas lebih kurang 14 ekar daripada Kawasan Rancangan yang ditanam dengan sawit dan lebih kurang ¼ ekar daripada Kawasan Rancangan untuk Lot Rumah”.
Selanjutnya, Frasa “sebagai seorang penduduk yang kelak akan dikurniakan surat Hakmilik” ada terkandung pada 12 tempat dalam Perjanjian Tambahan iaitu pada baris 6, Fasal 1, 2, 3, 5, 6, 9, 11, 17, 21, 22 dan 23.
Berdasarkan Perjanjian Tambahan, adalah jelas diperuntukkan seperti berikut:-
2. Tertakluk kepada pertimbangan cara-cara dan syarat-syarat yang ternyata dalam Perjanjian Tambahan, FELDA akan mendaftarkan Peneroka sebagai seorang penduduk yang kelak akan dikurniakan Surat Hakmilik mengikut Seksyen 12(1) dalam Akta mengenai Tanah itu;
4. Perjanjian Tambahan hendaklah disifatkan sebagai dipinda seperti berikut:-
[c] Perkataan “Seksyen 35(4)” dibaris 3 dalam Fasal 1 hendaklah disifatkan sebagai telah dipotong dan digantikan dengan perkataan “Seksyen 12(1)”.
Oleh itu, jelas sekali keseluruhan 2 set perjanjian antara Peneroka dan Felda adalah HANYA berkaitan dengan penyertaan awal sebagai peneroka, sebelum Surat Hakmilik dikeluarkan.
Perjanjian-perjanjian tersebut dengan jelas merujuk kepada perjanjian di bawa Seksyen 12(1) Akta GSA yang merujuk kepada “Occupation In Expectation Of Title”, iaitu kependudukan sebelum mendapat hakmilik dan dalam jangkaan untuk mendapatkan hakmilik.
Oleh itu, selepas Surat Hakmilik dikeluarkan kepada Peneroka, maka perjanjian-perjanjian tersebut telah terhenti berkuatkuasa atau discharged by performance atas alasan-alasan berikut:-
1. Asas kepada kedua-dua perjanjian tersebut adalah sebagai instrumen mengawal selia kemasukan peneroka “sebagai seorang penduduk yang kelak akan dikurniakan surat Hakmilik”;
2. Perjanjian-perjanjian tersebut dibuat/sandarkan kepada Seksyen 12(1) Akta GSA iaitu “Occupation In Expectation Of Title”, – pendudukan sebelum mendapat hakmilik dan dalam jangkaan untuk mendapatkan hakmilik;
3. Selepas Surat Hakmilik dikeluarkan, dengan sendiri substance atau pati kepada perjanjian tersebut telah dipenuhi dan oleh itu perjanjian tersebut telah berakhir/dan tidak lagi berkuatkuasa – discharged by performance;
4. Selepas maksud kepada S.12(1) Akta GSA dipenuhi dengan pemberian Surat Hakmilik, maka S. 12(1) sudah tidak lagi terpakai dan menjadi akademik;
5. Seksyen 47 Akta GSA dengan jelas memperuntukkan bahawa tanah-tanah tersebut adalah milik individu Plaintif-Plaintif yang dikawal selia oleh Kanun Tanah Negara 1965;
6. Seksyen 47 juga memperuntukkan bahawa apa-apa sekatan kepentingan atas Surat Hakmilik hendaklah dianggap sebagai sekatan kepentingan di bawah Kanun Tanah Negara 1965;
Analogi Mudah – bagi sesuatu Perjanjian Sewa Milik (Hire Purchase), contohnya membeli kereta, maka selepas selesai keseluruhan urusan dibawah perjanjian tersebut – selepas pembayaran penuh harga beli termasuk faedah bank, maka dengan sendirinya sesuatu Perjanjian Sewa Milik tersebut akan berakhir/terhenti berkuatkuasa – discharged by performance. Ini adalah kerana objektifnya telah dicapai dan tanggungjawab pihak-pihak kepada perjanjian telah dipenuhi.
Hal yang sama berlaku dalam konteks perjanjian peneroka dan Felda. Jelas sekali perjanjian dibuat di bawah Seksyen 12(1) Akta GSA iaitu pemilikan sebelum mendapat hakmilik. Selepas hakmilik diberikan, sudah tentu Seksyen 12(1) tidak lagi terpakai. Keseluruhan terma-terma perjanjian juga (yang banyak menekankan kepada “penduduk yang kelak dikurniakan hakmilik”) telah tidak lagi terpakai. Maka dengan sendirinya perjanjian tersebut berakhir dan tidak lagi berkuatkuasa.
Tun Razak juga berpesan bahawa dalam usaha memberikan tanah-tanah itu kepada rakyat yang tiada bertanah, menjelaskan bahawa Felda dan Kerajaan boleh berniaga. Merujuk kepada Felda ditubuhkan pada 1/7/1956, setahun sebelum Merdeka, dan hampir 4 tahun sebelum Akta GSA digubal. Benar. Felda telah berniaga untuk satu pusingan. Bermodalkan dana dari Bank Dunia, Felda dilantik menjadi Pengurus, mendahulukan modal untuk membangunkan tanah-tanah peneroka, dan mengenakan caj perkhidmatan, upah dan kadar faedah yang tinggi. Untuk satu pusingan hutang BK (Bayaran Kembali), peneroka mengambil masa selama 20 – 25 tahun untuk menyelesaikannya.
Kerajaan Negeri juga berniaga. Dengan cara mengenakan bayaran premium ke atas setiap inci tanah yang diberikan kepada peneroka. Selepas diberikan Hakmilik, Kerajaan Negeri mengutip hasil melalui cukai tanah. Itu perniagaan yang jelas. Yang nampak! Tetapi nun di sana sumbangan peneroka lebih besar. Kemasukan berbondong-bondong kumpulan peneroka untuk mendiami hutan belantara, yang sebelum itu didiami oleh binatang buas dan komunis, telah ternyata menjadi teras kepada Kerajaan Negeri dan Kerajaan Pusat untuk memajukan sesebuah kawasan hutan belantara dengan pusat ekonomi dan dengan itu akan membiakkan industri hiliran. Maka tumbuhlah pekan-pekan kecil yang menjana ekonomi rakyat sehingga kini.
Hakikat sebenarnya, kumpulan peneroka yang menjadi peserta tanah rancangan Felda adalah pejuang asal yang memajukan ekonomi negara ini sejak selepas merdeka. Negara kita tidak punyai hasil lain. Kecuali hasil pertanian. Justeru peneroka sepatutnya dilayan seperti TUAN, dan bukan sebagai HAMBA. Selepas tamat satu pusingan hutang-hutang BK dijelaskan sepenuhnya, dan Hakmilik diberikan, maka peneroka sepatutnya dibebaskan dari rejim GSA. 
Berikan kebebasan kepada peneroka. Setiap inci bumi itu sudah menjadi milik mereka. Mereka Tuan, kepada harta mereka. Usahlah lagi mencari helah untuk terus berlagak sebagai Tuan kepada peneroka sehingga kiamat!
Selepas peneroka diberikan geran tanah, mendapat hakmilik mutlak, Felda masih bertenggek di situ. Memaksa peneroka untuk menerimanya mereka sebagai Taukeh, sebagai Tuan. Mengaut untung dan menghisap darah peneroka atas hasil ladang mereka. Benar. Dalam mana-mana sistem perniagaan, khidmat orang tengah, broker, peraih, selalunya akan menyedut hasil dan pendapatan petani-petani dengan rakusnya.
Kedudukan Felda dalam kawasan Rancangan tidak lebih daripada orang tengah, peraih dan broker, untuk mengaut hasil sawit peneroka. Peneroka menjual sawit secara paksa. Mereka tidak diberi pilihan, untuk memilih kilang mana yang harganya lebih tinggi. Mereka dipaksa hantarkan buah sawit ke kilang Felda, dan tunggulah bayaran pada hujung bulan. Bila dilihat “paysheet” bulanan, berbelas-belas potongan dibuat oleh Felda.
Peneroka Felda sebenarnya inginkan kepada senario ini. Dimana tiada orang tengah yang mengaut hasil jualan sawit. Peneroka tuai buah sendiri. Peneroka angkut buah ke kilang. Peneroka jual. Dapat duit, tunai lagi. Peneroka boleh pilih kilang mana yang dia suka, yang pastinya lebih mahal. Pulangan hasil lebih lumayan. Peneroka selenggara sendiri ladang mereka, tidak perlu upah kontraktor yang dilantik Felda. Peneroka tanam sendiri ladang mereka (untuk pusing kedua). Pilih sendiri kontraktor, atau pilih untuk tanam sendiri. Beli baja sendiri. Racun tikus sendiri. Bela burung hantu sendiri. Tentunya mereka lebih bermotivasi.
Paling penting, setiap sen hasil sawit yang dijual, semuanya milik mereka. Sudah tentu mereka akan kaya raya. Bila peneroka kaya raya, kuasa beli meningkat. Ekonomi negara pastinya lebih memuncak.
Tapi kini dunia terbalik, yang diperkasakan oleh pembesar negeri ini, ialah Felda. Sedang Felda itu sifatnya hanya broker dan peraih. Orang tengah. Sesudah hutangnya bersama untung dibayar sepenuhnya oleh peneroka, mereka masih bertenggek di situ. Mengaut untung atas angin hasil keringat dan peluh mereka. Pendapatan peneroka hanya RM1,500 – RM2,000-00 sebulan. Anak 10. Akhirnya walau memiliki ladang sawit seluas 10 ekar, peneroka tidak ubah kais pagi makan pagi, kais petang untuk malamnya. Sejak merdeka hinggi kini, peneroka masih miskin tegar.
Peneroka dapat apa yang mereka dapat bukan percuma. Semua proses pembangunan ladang dan kemudahan infrastruktur dibayar peneroka, termasuk faedah, upah, caj perkhidmatan bahkan ketirisan dan pembaziran yang dilakukan oleh tuan-tuan politik. Semua gaji Pak-pak Menteri Felda dibayar oleh peneroka. Gaji pengerusi dibayar oleh peluh peneroka. Gaji keseluruhan kakitangan Felda juga disara oleh peneroka. 
Bila disebut peneroka Felda perlu bersyukur dan mengucapkan terima kasih? Siapa yang sepatutnya mengucapkan terima kasih kepada siapa? Sememangnya ucap terima kasih itu baik! Menghargai pertolongan sesama insan juga baik. Orang berbudi, kita berbahasa!! Tetapi usahlah dipaksa dan diugut, agar semua peneroka berterima kasih kepada Ketua Peraih, yang mengaut keuntungan atas keringat peneroka.
Jelas senario kini, bertentangan dengan Wasiat Tun Razak, selamanya peneroka dilayan seumpama Hamba !!!

3 Oktober 2016

PENGERUSI FELDA : MENGAPA MUNGKIR JANJI KEPADA PENEROKA !!!


Persoalan isu penyata hutang terperinci, begitu menghantui peneroka Felda yang menjadi salah satu masalah teras peneroka Felda yang menyerahkan pengurusan kebun mereka sejak 10 tahun lalu kepada Felda Technoplant tidak diselesaikan sepenuhnya di 11 Wilayah Felda melibatkan 317 tanah rancangan.

Baru-baru ini Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Samad telah berjanji kepada peneroka Felda di Dewan Semai Bakti, Felda Gunung Bongsu, Kedah akan menyelesaikan isu hutang peneroka sehingga hujung bulan September, 2016.

Walaupun beliau memberi jaminan, sukar mempercayainya kerana sebelum ini janji yang sama biasa didengar dan bila sampai masanya perkara yang dijanjikan senyap dan berlarutan.

Beliau mendakwa sebahagian wilayah sudah pun mendapat penyata hutang terperinci ini, namun hasil siasatan kami di beberapa tanah rancangan Felda, peneroka masih tidak menerima laporan atau penyata hutang terperinci, mereka hanya menerima penyata seperti biasa yang hanya dinyatakan jumlah kedudukan hutang semasa sahaja.

Selain daripada itu, beliau juga menegaskan bahawa peneroka mempunyai dua akaun yang berlainan iaitu akaun sosial ekonomi dan akaun permohonan ladang yang lebih lengkap. Akaun sosial ekonomi melibatkan pinjaman rumah, perniagaan dan beberapa perkara lain, manakala akaun permohonan ladang melibatkan kos tanam semula, pinjaman sara hidup ketika ketiadaan hasil semasa proses tanam semula selama 4 tahun dari pokok yang ditebang.

Yang menjadi persoalan dan tanda tanya peneroka Felda ialah, kenapa selepas beberapa tahun pengeluaran hasil ladang mereka, hutang terus bertambah? Seolah-olah tiada potongan dari hasil buah tandan baharu (BTB ) mereka. Hasil diambil dan diuruskan oleh Felda Technoplant seolah-olah tidak mampu menanggung pinjaman sara hidup yang diterima.

Kepada peneroka yang menguruskan sendiri ladang mereka, masalah ini tidak melingkari mereka. Begitu juga mereka yang menyerahkan kepada Felda sendiri. Kenapa timbunan hutang hanya kepada peneroka yang menggunakan khidmat swasta melalui anak syarikat Felda,  iaitu Felda Technoplant Sdn Bhd? 

Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad dituntut melunaskan janji-janjinya untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi peneroka. Dimana Penaung Jawatankuasa Bertindak Suara Generasi ke-2 Felda, Dato' Zulkefli Nordin berkata "mengapa Felda Technoplant (FTP) mengambil masa lama untuk mengeluarkan penyata hutang kepada peneroka".

"Sejak mengambil alih pengurusan ladang pada 2005, FTP tidak pernah menyerahkan penyata hutang lengkap kepada peneroka sehingga timbul desakan pada 2016, barulah penyata hutang dikeluarkan". "Namun begitu penyata hutang yang dikeluarkan itu tidak mempunyai butiran lengkap, malah amat meragukan," katanya.

Beliau juga berkata, "Ladang sawit seluas 10 ekar sepatutnya menyara kehidupan peneroka tetapi apa yang dihadapi peneroka sekarang ialah penambahan hutang setiap tahun sehingga mencecah RM200,000," katanya.

Tan Sri Mohd Isa Samad juga dilaporkan berkata Felda akan menyelesaikan masalah penyata kewangan peneroka di beberapa wilayah selewat-lewatnya penghujung September ini. kononnya, Felda menyedari masalah dihadapi peneroka dan sedang berusaha menyelesaikannya secara menyeluruh.

Sementara itu Dato' Zulkefli berkata, Felda Technoplant sepatutnya menyerahkan penyata hutang kepada peneroka setiap tiga bulan (suku tahun) sekali seperti dalam Perjanjian Peneroka bersama Felda. "Dalam satu pertemuan dengan Felda Teknoplant pada tahun 2015, kami dimaklumkan penyata hutang 2005 hingga 2008 tidak dapat dikesan. Felda Teknoplan pula mahu hutang sepanjang tahun tersebut dikira secara 'pukul rata'. Sudah tentu kami bantah keputusan tersebut," katanya.

Beliau turut mempersoalkan mengapa Felda Technoplant mengenakan kadar faedah 6.25 peratus sedangkan dalam perjanjian antara Felda dan Peneroka Felda, hanya 4 peratus sahaja.

Dato' Zulkefli menuntut Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Samad dapat menunaikan janjinya yang kononnya akanmembuat pengumuman pada penghujung September 2016 tetapi sehingga kini pertanyaan beliau tidak dijawab, walaupun telah dihubungi melalui whatsapp berkali-kali," katanya.

Peneroka Felda dan pewaris-pewaris mereka  kini menuntut  janji-janji manis Tan Sri Mohd Isa Samad dalam penyelesaian masalah penyata kewangan terperinci. Janganlah janji-janji sebelum ini oleh pihak pengurusan mengiringi janji yang dibuat sendiri Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Samad.

2 Oktober 2016

PENEROKA DIHIMPIT KADAR PERAHAN GRED SAWIT YANG RENDAH


Sejak dari dahulu lagi, Felda meletakan syarat yang ketat untuk 'Grading' buah sawit peneroka. Walaupun syarat menghantar buah sawit ke Kilang Sawit Felda telah dipenuhi tetapi KPG (Kadar Perahan Gred) yang diberikan tidak pernah melebihi 20%. Walhal, buah sawit peneroka sebenarnya berhak mendapat grading yang lebih baik dari itu. 

Peneroka Felda kecewa, mengapa buah sawit dari luar kawasan Felda mendapat KPG yang lebih tinggi dari buah sawit peneroka?

Yang pelik, buah sawit peneroka belum diproses tetapi kilang telah menetapkan KPG buahsawit itu yang baru dihantar ke kilang dengan sewenang-wenangnya. 

Bahkan berdasarkan beberapa ujian yang dibuat secara berasingan, terdapat buah-buah sawit yang masak (iaitu apabila 8 biji buah sawit gugur dari tandan sawit, sebagaimana yang disyaratkan oleh Manual Penggredan MPOB – Malaysian Palm Oil Board) yang melebihi 25% KPG. 

Persoalannya, kenapakah pihak Felda menetapkan KPG tidak boleh melebihi 20%. Bukankah itu merupakan penganiayaan terhadap peneroka Felda?
Setiap kali Kilang Sawit Felda melakukan grading, akan mengasingkan anggaran 10 tandan sawit bagi setiap lori, kononnya buah 'reject' tetapi tidak membenarkan peneroka mengambilnya semula. Sebaliknya buah sawit tersebut dijual semula dan diproses bersama. Sebaliknya peneroka masih dikenakan denda yang berbagai dan dikurangkan gred.

Setandan buah sawit secara teorinya memang mempunyai sebanyak 22%-25% kandungan yield atau minyak yang terdapat di dalamnya mengikut kawasan, baja yang digunakan, tanah dan sebagainya. Ini termasuk minyak yang terdapat di dalam tandan kosong, minyak yang terkandung di dalam tempurung dan minyak pada PKC. Secara teorinya, minyak di dalam sabut kelapa sawit di anggarkan sebanyak 20% hingga 22% dan selebihnya terdapat pada tandan kosong, tempurungnya dan isirong sawit

Jawatankuasa Persepakatan Bersama (JCC) yang wujud di Kilang Sawit Felda  perlu menangani luahan dan rintihan peneroka dalam menangani permasaalahan KPG yang rendah setiapkali peneroka menghantar BTS ke Kilang Sawit.


Selain daripada itu, JCC perlu mengadakan peraturan yang jelas dan tegas bagi membuktikan usaha Felda bagi membantu golongan peneroka meningkatkan pendapatan mereka.
Dalam perkara ini, peneroka Felda juga menggesa supaya Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) perlu memainkan peranan untuk membantu peneroka Felda yang merudum pendapatan mereka ekoran memperolihi kadar perahan gred (KPG) yang rendah dan tidak memperbaharui lesen penimbang swasta yang ada di tanah rancangan dan menjadikan Felda Palm Industries sebagai kilang tunggal membeli dan memproses BTS peneroka.
Dengan ketiadaan penimbang swasta itu akan mengurangkan masalah kecurian buah sawit di tanah rancangan yang menghantui ladang peneroka sebelum ini.
Majoriti peneroka Felda berharap kilang Felda perlu tidak lagi menerima BTS yang dihantar pihak pemborong swasta atau orang tengah.
Sebelum ini, katanya, pemborong swasta mengambil kesempatan daripada peneroka dengan membeli BTS dengan harga lebih rendah.
''Banyak kebaikan yang diperoleh jika peneroka bersama Felda khususnya dalam aspek penjualan BTS ini,'' katanya.
Aspek kualiti BTS perlu diberi keutamaan olih kilang Felda bagi menentukan kadar perahan gred (KPG) meningkat yang akan memberi keuntungan kepada peneroka.
Peneroka sebenarnya tiada sebab untuk peneroka menjual BTS kepada pihak luar kerana Kilang Felda memberi perkhidmatan terbaik kepada mereka.
Felda perlu sentiasa mencari jalan untuk membela masyarakat peneroka terutama ketika kejatuhan harga komoditi itu di pasaran dunia.
Peneroka pada hakikatnya menunjukkan sokongan untuk kekal bersama Felda supaya lebih banyak insentif dan bantuan dapat disediakan kepada mereka.
Masyarakat peneroka berharap dan mendesak Felda supaya mengadakan dasar atau peraturan jelas  yang tidak lagi menerima buah tandan segar (BTS) sawit daripada pemborong swasta. Dengan langkah ini akan mampu menghapuskan peranan orang tengah di tanah rancangan dan akan tidak mewujudkan manipulasi kadar perahan gred sawit yang rendah pada peneroka.
Langkah itu juga, menurut mereka, dapat meningkatkan pendapatan golongan peneroka terutama ketika harga sawit merudum di pasaran.