SPECIAL ADS

29 Julai 2013

BN perlu serius mengatasi rasuah dan penyalahgunaan kuasa

Musa saran BN ambil berat masalah yang dihadapi rakyat kelas pertengahan
29 Julai, 2013 : Barisan Nasional (BN) perlu serius mengatasi masalah rasuah dan penyalahgunaan kuasa bagi memenangi rakyat Malaysia kelas pertengahan, kata bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam.
"Apabila rakyat bersifat kritikal, jangan abai mereka dengan cara negatif. Kita kena hormati mereka. Rakyat kelas pertengahan berbeza cara berfikirnya.
"Dan, cabaran kepada pemimpin ialah mereka perlu selangkah di depan tetapi ia tidak berlaku.
"Ini masalahnya. Kita (kerajaan) menyediakan pendidikan kepada mereka tetapi kita pula menjadi tidak bijak dan tak tidak menukar corak berfikir," katanya kepada akhbar harian Singapura, Straits Times.
Akhbar itu menyifatkan Malaysia boleh dianggap menjadi semakin lantang mengenai kehidupan sosial, ekonomi dan politik mereka dan giat membuat tuntutan terhadap kerajaan.
Rasa tidak puas hati terutama di bandar terkumpul dan diluahkan pada pilihan raya umum Mei lalu - BN terus kekal berkuasa tetapi signifikannya, rakyat kelas pertengahan memberi undi kepada pembangkang.
Malah, negeri kelahiran Musa di Johor, BN hanya menang 133 kerusi Parlimen, berkurangan dari 140 berbanding pilihan raya 2008.
Beliau juga berpendapat, dua jawatan tertinggi parti perlu dibuka untuk pertandingan kerana ia sememangnya prinsip asas demokrasi.
"Pandangan yang mengatakan jika ia dipertandingkan boleh membawa perpecahan dalam parti, sangat mengarut," katanya tanpa berselindung.
"Ia semata-mata kenyataan politik dari penyandang jawatan yang bimbang akan kedudukan mereka," katanya.
Tahun ini, kata akhbar itu, pemilihan parti dianggap genting kerana mereka akan menentukan hala tuju kepimpinan negara.
Pada masa ini, Datuk Seri Najib Razak menerajui parti manakala timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin diuar-uar antara pencabar kerusi Presiden Umno.
Musa pernah menyandang jawatan Timbalan Presiden antara 1981 hingga 1986 ketika Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri sebelum beliau meletak jawatan berikutan perselisihan dengan Dr Mahathir.
Beliau gagal kembali mencapai kedudukannya sebelum meninggalkan arena politik dan kekal dengan situasi itu.

Keabsahan 2 menteri, 3 timbalan diketahui di mahkamah

Kuala Lumpur 29 Julai : Persoalan mengenai kelayakan dan keabsahan sebagai senator menyelubungi isu pelantikan dua menteri dan tiga timbalan menteri.
Mereka ialah Datuk Seri Abdul Wahid Omar dan Datuk Paul Low (gambar), selain P Waythamoorthy, Dr Loga Bala Mohan dan Datuk Ahmad Bashah Md Hanipa.
Abdul Wahid dan Low dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Waythamoorthy selaku timbalannya manakala Dr Loga (Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan) dan Ahmad Bashah (Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri)
Mengikut Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail, sebaik sahaja Perdana Menteri menamakan mereka sebagai senator, mereka terus menjadi ahli Dewan Negara.
Bagaimanapun, Ahli Parlimen DAP, M Kula Segaran mempertikaikannya kerana berpendapat, seseorang calon senator mesti mengangkat sumpah di Dewan Negara, terlebih dahulu.
Hanya selepas itu, katanya, seseorang senator itu mengangkat sumpah sebagai menteri dan timbalan menteri dan ia menjadi amalan sebelum ini.
Masalah interpretasi Perlembagaan Persekutuan itu bagaimanapun, hanya dirungkai di Mahkamah Tinggi, esok.
The Malaysian Insider difahamkan, Gani sendiri mewakili kerajaan dalam membantah permohonan Kula Segaran yang diwakili peguam, CK Lim.
Jabatan Peguam Negara dalam penyataan bertulis menyatakan hujah Kula Segaran remeh dan tidak perlu diperdebat
"Permohonan itu patut diketepi," katanya.
Kerajaan berpendapat, sebaik sahaja Yang di Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri melantik seseorang senator, individu itu terus menjadi ahli Dewan Negara.
"Artikel 59 Perlembagaan Persekutuan menunjukkan secara jelas dan nyata bahawa seseorang mesti menjadi senator sebelum mengangkat sumpah," kata Gani.
Kula Segaran memfail permohonan pada 19 Jun lalu untuk memperoleh pengisytiharan pelantikan mereka sebagai tidak mematuhi Perlembagaan.
"Perlu pematuhan tegas terhadap Artikel 43 Perlembagaan Persekutuan. Mereka mesti menjadi ahli sama ada Dewan, yang bermakna mereka mesti dipilih sebagai ahli parlimen atau bersumpah sebagai senator sebelum dilantik menjadi menteri atau timbalan menteri," katanya dalam permohonan itu.
Beliau mahu segala keistimewaan dan kelebihan kewangan semua lima respondan itu dipulangkan kepada kerajaan dalam masa tujuh hari yang ditetapkan mahkamah. 

Bilakah politik perkauman akan berakhir?

29 Julai : BILAKAH politik perkauman akan berakhir? Sebagai sebuah negara berbilang kaum selagi tidak ada perpaduan kaum yang sejati negara tidak akan kemana-mana.

Setiap orang terutamanya dibandar dan separa bandar, mempunyai jiran tetangga dari berbagai kaum. Hidup yang aman bermula didalam keluarga dan diantara jiran tetangga dalam kariah kita.

Kalau kita tidak setuju dengan jiran tetangga kita janganlah berbezaan pendapat dan pandangan itu berbeza di dasarkan kepada perbezaan warna kulit, bangsa dan agama. Perbezaan itu biarlah di dasarkan kepada isu yang tidak ada kena mengena dengan bangsa, agama dan warna kulit.

Ramai orang termasuk diri saya yang kerdil ini amat gembira apabila ada parti yang melahirkan hasrat untuk menjadi parti perjuangan yang berlandaskan kepada ‘multiracialism’, tanpa menggunakan isu kaum dalam semua halnya. Bagi orang seperti saya dan ramai yang lain amat terkeliur dengan perjuangan ini kerana sudah sangat lama kita menunggu masa dan saatnya bagi kita bersatu dan menjadi rakyat Malaysia dan bukannya sebagai bangsa Melayu, Cina dan India atau Kadazan dan Iban.

Oleh kerana sesitiviti dan suasana politik begitu menekan maka ramailah orang Melayu berpusu-pusu menerima perjuangan berbilang kaum ini kerana orang Melayu sendiri mahu melihat perpaduan diantara kaum itu wujud dan bersemi dikalangan rakyat negara kita. Semasa menghadapi pilihanraya baru-baru ini, setiap bangsa bersatu dalam gerakan menentang Barisan Nasional (BN) dan salah satu isu yang dimainkan terhadap BN itu ialah isu perkauman yang BN dituduh begitu menebal permainan politik perkaumannya.

Rupa-rupanya pihak yang memainkan isu perkauman terhadap BN itu juga adalah parti perkauman dan hanya mementingkan ahli-ahli dan pimpinan dari kaumnya sendiri sahaja. Apa yang dilaungkan mereka selama ini hanyalah permainan lidah yang tidak bertulang dan cara mereka bercakap tentang perkauman itu seolah-olah rakyat tidak akan dapat menghidu siapa sebenarnya mereka ini. Sesungguhnya mereka yang melaungkan slogan ‘multiracialism’ itu adalah kumpulan yang hakikatnya adalah parti perkauman yang sangat menebal.

Isu ini jelas dan tidak boleh dinafikan oleh mana-mana pihak. Saya tidak mahu mencabar sesiapa tetapi saya dengan rendah hati bersetuju untuk berdepan dan berbincang isu ini secara terbuka. Tetapi saya lebih berminat kepada mereka yang mempunyai pendidikan yang asas dari berbilang kaum untuk membuktikan permainan isu perkauman ini adalah semata-mata modal untuk kempen pilihanraya yang lalu sahaja.

Tetapi segala-gala yang mereka sebutkan semuanya palsu semata-mata dan amat sukar bagi kumpulan yang saya maksudkan ini untuk tampil kemuka dan mengaku sebagai parti dengan perjuangan ‘multiracial’ nya selepas ini. Mereka terpaksa menebalkan muka untuk kembali memberikan retorik perjuangan ‘multiracial’ mereka selepas ini.

Pendeknya tiada mana-mana pihak berjaya untuk perjuangan untuk berbilang kaum ini dan ia tidak mungkin boleh dilakukan oleh pihak yang jelas membohongi rakyat ramai ini. Akhir-akhir ini saya berjumpa dengan rakan-rakan yang saya kenali dan juga dari mereka yang menghubungi saya secara peribadi. Mereka berkumpul secara santai seramai dua puluh atau tiga puluh orang dalam satu-satu perjumpaan untuk mengetahui apa yang saya maksudkan sejak akhir-akhir ini. Mereka terdiri dari orang-orang kelas menengah dari berbilang kaum dan mereka serius dan tekun dalam perbincangan secara santai-santai itu.

Saya mulai sedar yang setiap kaum mempunyai niat yang serius untuk melihat perpaduan diantara kaum terjalin dan tidak lagi mahu melihat rakyat dipecahkan oleh kumpulan atau parti yang mahu rakyat berpolitik mengikut ‘flavor’ perkauman kerana selagi keadaan itu wujud negara kita tidak akan kekal aman seperti yang kita semua kehendaki.

Itu jugalah sebabnya blog ini tidak jemu-jemu berpandangan yang kita terpaksa bermula seperti kita berada dalam sebuah negara yang baru. Proses menyatu padukan rakyat yang berbilang kaum ini belum lagi kemana-mana.

Kita terpaksa memulakan negara baru dan segala-galanya baru bagi merubah sistem dan ‘ambience’ politik yang menebal permainan isu perkauman mereka. Rakyat yang inginkan sebuah negara yang rakyat berbilang kaum berpadu perlu menolak dan tidak membiarkan sesiapa atau mana-mana pihak yang rasuah serta menunjukkan sikap dan disposisi sebagai parti perkauman.

Usaha ini wajar dilakukan oleh rakyat semua kaum kerana generasi yang akan datang akan mewarisi sikap dan tabiat kurang baik yang kita tinggalkan nanti. Kalau dilihat dari apa yang sedang berlaku kini tidak ada pihak yang benar-benar jujur dan telus untuk perjuangan ini.

Biar kita bermula dari sekarang. Jika tidak sempat kita menyaksikan kejayaannya biarlah ia dikecapi oleh generasi yang akan datang.

KJ: Jangan pilih kasih isu filem 'The New Village'

Kuala Lumpur 29 Julai : Kebenaran terhadap penayangan filem 'The New Village' perlu ditarik balik sekiranya ia mengagung-agungkan peranan komunis dan mencetuskan provokasi, kata Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin.
Beliau berkata berdasarkan tontonan treler filem itu dilihat seolah-olah ia mengagung-agungkan pejuang komunis dan perkara itu tidak boleh diterima sama sekali.

NONE"Ini satu usaha untuk menulis semula sejarah kita dengan mengagung-agungkan komunis yang kita tahu adalah pengganas yang banyak melakukan keganasan di negara kita.

"Walaupun betul komunis lawan British tetapi keganasan itu tidak boleh dimaafkan," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada program Ihya Ramadan Parlimen Tapah di Masjid Al-Mukmin, Batu Tiga di Tapah malam tadi.

Khairy mahu kerajaan melihat semula keputusan membenarkan tayangan filem itu.

"Kalau ada orang kata kenapa saya buat keputusan dan kenyataan ini sedangkan saya belum tengok (keseluruhan) filem ini. Saya boleh rujuk kepada kes filem 'Tanda Putera', ramai yang tidak tengok tetapi terus menghukum sampai 'Tanda Putera' ditunda dan ditangguh selama satu tahun," katanya.

The New VillageMengenai pemberian kebenaran penayangan filem 'The New Village' yang dilihat begitu mudah oleh pihak berkuasa berbanding 'Tanda Putera', Khairy berkata sepatutnya tidak wajar berlaku 'pilih kasih'.

"Itu yang menimbulkan tanda tanya. Saya akan bawa perkara ini ke Kabinet sebab kita melihat jelas berlaku 'double-standard', trelernya sahaja kita sudah nampak ia mengagung-agungkan pengganas komunis boleh dilepaskan begitu sahaja, sedangkan 'Tanda Putera' kena tunggu satu tahun. Bagi saya ada sesuatu yang tidak kena," katanya.

Semalam, akhbar melaporkan pendedahan sebuah blog mengenai filem itu yang dilihat mengangkat Parti Komunis Malaya sebagai 'hero' dan mempersoal bagaimana ia boleh ditayang pada bulan kemerdekaan sedangkan filem 'Tanda Putera', yang mengisahkan perjuangan pemimpin negara dalam mendepani insiden 13 Mei, terpaksa ditangguh tayangan beberapa kali.

Umno dijangka kekalkan status quo

KUALA LUMPUR 29 Julai :Pemilihan Umno kali ini dijangka masih mengekalkan status qou bagi jawatan Presiden dan Timbalan Presiden parti itu, biarpun pemilihan kali ini diuar-uarkan sebagai demokratik dan terbuka, tegas bekas Ketua Editor NST, Datuk A. Kadir Jasin melalui blognya.

Menurut A. Kadir, disebabkan tiada watak-watak seperti Harun Idris, Sulaiman Palestin dan Hang Tuah Arshad yang pernah menawarkan diri bertanding menentang jawatan itu, pemilihan kali ini dilihat akan berlaku pengekalan status qou terhadap dua jawatan tertinggi parti itu.

"Oleh sebab tidak ada lagi watak-watak seperti Sulaiman Palestin, Harun Idris dan Hang Tuah Arshad dalam Umno, maka kita bolehlah membuat andaian yang menjelang 7 September ini, Mohd Najib Abdul Razak akan 'disahkan' sekali lagi sebagai Presiden Umno dan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Timbalan Presiden," kata beliau.


Mulai tahun ini, pemilihan Umno akan berjalan secara langsung melalui mesyuarat agung peringkat bahagian di seluruh negara. Lebih 150,000 perwakilan mesyuarat setiap bahagian layak mengundi untuk semua jawatan kepimpinan utamanya.

Pelbagai pihak dalam Umno mencadangkan agar jawatan tertinggi parti itu dikekalkan namun sehingga kini Muhyiddin masih belum memberikan kata putusnya.

Tinjauan yang dibuat oleh Pusat Kajian Politik dan Pilihan Raya Universiti Malaya (Umcedel) pula mendapati Muhyidin lebih popular dari Najib dalam Umno.

Isteri beliau pula, Puan Sri Norainee Abdul Rahman  jauh lebih popular dari isteri Najib, Datin Sri Rosmah mansor.

Bagi Kadir, dalam tulisannya menyebut ketiga-tiga bekas tokoh Umno, Sulaiman Palesin, Harun Idris dan Hang Tuah Arshad sebagai pejuang dan idealis yang berani menawarkan diri untuk bertanding dan turut mempersoalkan adakah sesiapa dalam Umno seperti ketiga-tiga ini menjelang tarikh tersebut.

Menurut Kadir lagi, Sulaiman Palestin membuat kejutan besar dengan bertanding melawan Pemangku Presiden Umno, Tun Hussein Onn dalam pemilihan tahun 1978 dan berjaya mendapat 250 undi berbanding 898 yang dimenangi Hussien walaupun dianggap calon 'outsider'.

Dua tahun kemudian, pada 1980, giliran Datuk Harun membuat kejutan apabila bertanding dari Penjara Pudu bagi menentang anak saudaranya, Ketua Pemuda Umno ketika itu, Suhaimi Kamaruddin. Turut bertanding adalah ahli perniagaan Hang Tuah yang lulus dari Universiti Nanyang, Singapura.

Persoalannya, adakah bagi pemilihan Umno kali ini, akan ada 'pewaris' ketiga-tiga pejuang ini, sementelah mereka boleh mendaftarkan nama mereka di ibu pejabat Umno negeri masing-masing.

Ia berbeza dengan konsep pemilihan sebelum ini yang mana mereka dicalonkan oleh cawangan dan seterusnya peringkat kawasan, sebelum disahkan layak bertanding dan boleh meneruskan hasrat bertanding atau menolaknya.

Mungkinkah pada pemilihan kali ini juga akan menyaksikan kedua-dua jawatan penting, presiden dan timbalannya akan dicabar oleh mana-mana pihak, selain jawatan naib presiden yang bakal mempunyai banyak persaingan?

Bagi jawatan Naib Presiden, sudah tentu Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal  dan Datuk Seri Hishamuddin Hussien akan mempertahankan jawatan tersebut.

Manakala, bekas Ketua Pergerakan Puteri Umno, Datuk Azalina Othman sudah awal-awal lagi menyatakan hasratnya untuk mencabar Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil bagi jawatan Ketua Pergerakan Wanita Umno pada pemilihan kali ini.

Apapun, pemilihan Umno kali ini lebih dinanti-nanti untuk memperlihatkan bagaimana konsep pemilihan yang dikatakan demokratik dan terbuka itu benar-benar demokratik dan terbuka.

28 Julai 2013

Format baru pemilihan jadikan Umno lebih demokratik?

Kuala Lumpur 28 Julai : Format baru pemilihan Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno yang memberi kuasa kepada 150,000 perwakilan memilih pemimpin mereka akan menjadikan parti itu lebih demokratik. 
Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan (gambar), berkata ia penanda aras baru untuk Umno dan sememangnya ditunggu-tunggu peringkat akar umbi untuk membolehkan mereka menentukan pemimpin.
"Dahulu kita ada dengan kegiatan yang tidak sihat seperti politik wang, dan dengan adanya perlembagaan baru ini, kegiatan itu dapat direda atau ditiadakan kerana sebegitu ramai yang akan memilih.
"Selain itu, antara kesan utama ialah ia melahirkan pemimpin Umno yang rajin turun padang kerana jika tidak berbuat demikian, rakyat tidak kenal dan mereka tidak akan berjaya dalam jawatan yang ditandingi baik Exco Pemuda, Puteri, Wanita dan MT," katanya.
Ahmad yang juga Timbalan Menteri Kewangan berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian cawangan ke-399 Bank Simpanan Nasional dan berbuka puasa di Benut, Pontian petang semalam.
Menurutnya, format pemilihan baru itu juga menjadikan muka baru yang ingin bertanding lebih kerap turun padang berjumpa rakyat untuk memperkenal diri mereka.
"Jika mereka banyak melakukan kerja-kerja NGO, melakukan kerja amal dan mempunyai jasa tertentu barulah dapat diterima ratusan ribu ahli Umno di peringkat bawahan.
"Ia tidak menyekat orang baru asalkan orang baru ada sedikit sebanyak jasa dan usaha kepada masyakarat. Ini akhirnya menjadikan Umno sebagai parti yang memiliki pemimpin aktif bertemu rakyat," katanya.
Dalam masa sama, beliau turut mengingatkan 150,000 perwakilan supaya melakukan pilihan terbaik kerana ia bakal menentukan hala tuju parti pada masa akan datang. 

Abby 'tak takut' bersuami muda

 Abby
28 Julai : “SAYA bukan memilih suami kerana dia lebih muda daripada saya tetapi ini adalah jodoh yang ditentukan oleh ALLAH SWT,” jelas Abby mengenai perkahwinan keduanya yang berlangsung pada 9 Julai lalu.

Menurut Abby, segala-galanya telah ditentukan oleh ALLAH SWT kerana hanya selepas dua minggu dia dan suami, Muhammad Noor Farhan Che Bakar, 24, berkenalan mereka telah sepakat untuk mendirikan rumah tangga.

“Sebelum ini ada lelaki yang sebaya dan juga lelaki yang lebih tua termasuk suami orang menyatakan hasrat untuk memperisterikan saya, tapi saya tolak dengan cara baik.

“Itu adalah pendirian saya yang tidak mahu menjadi isteri kedua atau ketiga sekali pun. Alhamdulillah kerana hubungan saya dan suami dipermudahkan,” katanya.

Abby atau nama sebenarnya Arbaiyah Abdul Manan, 36, turut berkongsi kebahagiaannya melayari kehidupan berumah tangga setelah lima tahun bergelar ibu tunggal.

“Alhamdulillah kehidupan saya semakin bahagia dan menenangkan setelah hampir sebulan melayari kehidupan bersama Farhan,” ujarnya.

Berkongsi penerimaan tiga anak hasil perkongsian hidup dengan aktor, Norman Hakim iaitu Mohamed Danish Hakim, 10, Marissa Dania Hakim, 8, dan Maria Danisha Hakim, 5, Abby berkata anak-anaknya itu kadangkala berasa
cemburu dengan Farhan yang dipanggil Abi.

“Lima tahun saya sendiri dan tiada lelaki yang bersama saya, jadi anak-anak sering bersama saya. Jadi bila Farhan datang ke dalam keluarga kami, mula-mula mereka cemburu juga.

“Tapi lama-kelamaan mereka sudah menerima Farhan, apatah lagi Farhan pandai mengambil hati mereka, biarpun tidak ada pengalaman menjaga anak sebelum ini. Lucunya kini, mereka suruh kami selalu berkasih sayang pula,” katanya yang tidak menolak andai dikurniakan cahaya mata selepas ini.

Akui kecewa

Ditebak dengan perjalanan karier seninya kini, Abby berkata, biarpun tidak pernah membuat pengumuman rasmi, namun dia kini terpaksa berhenti seketika daripada industri seni.

“Maaf cakap, tapi bagi saya industri seni kini tidak mengikut syariat Islam. Jadi lebih baik saya berhenti dan memberi tumpuan terhadap perniagaan dan keluarga,” jelasnya.