29 Julai, 2013 : Barisan Nasional (BN) perlu serius mengatasi masalah rasuah dan penyalahgunaan kuasa bagi memenangi rakyat Malaysia kelas pertengahan, kata bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam.
"Apabila rakyat bersifat kritikal, jangan abai mereka dengan cara negatif. Kita kena hormati mereka. Rakyat kelas pertengahan berbeza cara berfikirnya.
"Dan, cabaran kepada pemimpin ialah mereka perlu selangkah di depan tetapi ia tidak berlaku.
"Ini masalahnya. Kita (kerajaan) menyediakan pendidikan kepada mereka tetapi kita pula menjadi tidak bijak dan tak tidak menukar corak berfikir," katanya kepada akhbar harian Singapura, Straits Times.
Akhbar itu menyifatkan Malaysia boleh dianggap menjadi semakin lantang mengenai kehidupan sosial, ekonomi dan politik mereka dan giat membuat tuntutan terhadap kerajaan.
Rasa tidak puas hati terutama di bandar terkumpul dan diluahkan pada pilihan raya umum Mei lalu - BN terus kekal berkuasa tetapi signifikannya, rakyat kelas pertengahan memberi undi kepada pembangkang.
Malah, negeri kelahiran Musa di Johor, BN hanya menang 133 kerusi Parlimen, berkurangan dari 140 berbanding pilihan raya 2008.
Beliau juga berpendapat, dua jawatan tertinggi parti perlu dibuka untuk pertandingan kerana ia sememangnya prinsip asas demokrasi.
"Pandangan yang mengatakan jika ia dipertandingkan boleh membawa perpecahan dalam parti, sangat mengarut," katanya tanpa berselindung.
"Ia semata-mata kenyataan politik dari penyandang jawatan yang bimbang akan kedudukan mereka," katanya.
Tahun ini, kata akhbar itu, pemilihan parti dianggap genting kerana mereka akan menentukan hala tuju kepimpinan negara.
Pada masa ini, Datuk Seri Najib Razak menerajui parti manakala timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin diuar-uar antara pencabar kerusi Presiden Umno.
Musa pernah menyandang jawatan Timbalan Presiden antara 1981 hingga 1986 ketika Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri sebelum beliau meletak jawatan berikutan perselisihan dengan Dr Mahathir.
Beliau gagal kembali mencapai kedudukannya sebelum meninggalkan arena politik dan kekal dengan situasi itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan