SPECIAL ADS

18 Februari 2013

GM13 mahu jumpa PM


"Kami tak mahu jumpa orang lain, kami mahu jumpa Perdana Menteri." Demikian menurut Gabungan Mahasiswa Pilihan Raya Umum Ke-13 (GM13) yang ditemui di Dewan Tunku Canselor Universiti Malaya di sini, hari ini.

Pengerusi GM13, Syis Abdul Kadir berkata, pihaknya menunggu kehadiran perdana menteri untuk menyerahkan memorandum kepada beliau.

Namun, beliau berkata, GM13 sedikit kecewa apabila perdana menteri tidak dapat menghadirkan diri pada program Graduan Satu Malaysia (OMG).

Beliau turut berkata, GM13 akan meneruskan hasrat dengan membuat penyerahan memorandum di Pejabat Perdana Menteri.

"Kita agak kecewa apabila dapat tahu, perdana menteri tak dapat hadir hari ini.

"Namun kita tak akan berhenti di sini, kita akan ke pejabatnya dan serahkan memorandum ini selewatnya minggu hadapan.

"Kita akan beritahu perdana menteri, mahasiswa akan tetap turunkan calon di Pekan," katanya kepada pemberita di sini.

Difahamkan memorandum itu mahu Najib, yang juga Ahli Parlimen Pekan bertanggungjawab terhadap kejadian mahasiswa yang turun berkempen diserang oleh samseng di kawasan tersebut minggu lalu.

Selain itu, memorandum juga mahu memaklumkan perdana menteri bahawa mahsiswa akan bertanding di Parlimen Pekan satu lawan satu.

Mengulas lanjut, Syis berkata, walaupun pada kempen yang lalu, mahasiswa telah dikasari, namun semangat tidak akan hilang untuk menuntut ke arah perubahan yang lebih baik.

"Kita tak akan berputus asa, kita akan turun ke Pekan bagi fasa kedua.

"Perdana menteri tidak boleh biarkan budaya ini meresap ke dalam politik negara kita yang dikatakan matang," katanya.

GM13 telah turun ke kawasan Pekan untuk berkempen dan memperkenalkan dasarnya kepada pengundi bahagian itu.

Namun mereka telah dihalang dan dikasari serta membuat laporan polis.

Tiada ulasan: