Selangor walaupun duduk dalam Malaysia namun dari segi geopolitiknya banyak berbeza dengan negeri-negeri lain malah taburan kerusi-kerusi negerinya sebanyak 56 itu juga punya perbedaan kadangkala ketara antara satu sama lain.
Kecenderungan pengundi di Parlimen Hulu Selangor tidak sama dengan yang di Kuala Selangor, di Sepang tidak sama dengan yang di Gombak, di Shah Alam tidak sama dengan di Sabak Bernam. Dengan memiliki 53% pengundi Melayu, dan 46% pengundi bukan Melayu, Selangor memiliki kecenderungan pengundi yang berbeda-beda.
Kerusi yang punya pengundi Melayu lebih 80% iaitu Sabak Bernam tidak sama kecenderungan pengundinya dengan yang punya lebih 75% pengundi Melayu di Gombak.
Yang anehnya pra PRU ke 12, rata-rata pengundi Selangor di luar bandar tidak pernah mahu memberi undi kepada parti lain selain BN (dan dahulunya Perikatan) kecuali beberapa kerat penyokong tegar. Tak kiralah pengudi Melayu atau bukan Melayu begitulah “trend”nya dari tahun 50an, 60 an sehinggalah 2004.
Begitu kuatnya sokongan rakyat di luar bandar Selangor terhadap BN satu ketika dahulu (dahulunya Perikatan) sehingga ada ungkapan jika diletakkan tunggul kayu sekalipun rakyat luar bandar Selangor akan tetap bersama mereka!
Tetapi itu dahulu, dan kini Selangor telah berubah, lanskap politiknya berubah, serba-serbi berubah. Pengundi dalam bandar khasnya di Lembah Kelang tak kira Melayu atau bukan Melayu begitu kuat “trend”nya menolak BN kebelakangan ini. Adalah dijangkakan kecenderungan ini tidak akan berubah kali ini.
Cumanya yang merupakan kriteria utama pengundi hari ini adalah calon selain parti yang bertanding. Kelayakan calon selain kredibiliti dan keupayaannya menjadi kayu pengukur calon tak kiralah dalam bandar mahupun luar di Selangor. “Tunggul kayu” sudah tiada nilai lagi kalau diletak juga akan disepak begitu saja!
Kalau kita perhatikan PRU ke 12 lalu dua kerusi yang dimenangi calon BN perlu menjadi perhatian semua pihak. Satu kerusi Parlimen Pandan yang dimenangi calon BN Ong Tee Keat dan satu lagi kerusi DUN Sg Panjang yang dimenangi bekas MB Khir Toyo.
Ong menang Pandan dengan majoriti 2,961 undi walaupun dua kerusi DUN dalam Parlimennya iaitu Teratai (DAP) dan Chempaka (PAS) dimenangi PR. Ini bagi saya menunjukkan faktor calon. Ong ternyata disenangi dan diterima baik oleh pengundi Pandan atas faktor yang hanya diketahui pengundi di sana. Ong telah 5 penggal mewakili Pandan.
Begitu juga Khir di Sg Panjang. Dalam PRU 12 Khir menang dengan majority 5,828 undi mengatasi majoritinya dalam PRU 11 iaitu 5,460 dan malah mengatasi majoriti pemenang Parlimen (juga dari BN) yang menang dengan majoriti 5,009 undi. Khir ketika itu adalah MB berkemungkinan kekuatan kemenangan beliau itu disabitkan kerana beliau MB selain punya jentera yang baik di Sg Panjang.
Apa pun pengajaran di sini adalah faktor calon. Jika mahu menang pastikan calon anda “sellable” iaitu boleh dijual kepada pengundi. PR khasnya PAS perlu ambil ingatan ini, jangan kerana kerusi itu boleh menang maka kita letak sahaja ikut citarasa kita tanpa memikirkan kemahuan pengundi tempatan. Nanti kita juga termasuk dalam perangkap “tunggul kayu” yang telah memerangkap BN PRU 12 lalu.
Kemukakanlah calon-calon yang bertenaga, berkelayakan, mempunyai perwatakan yang boleh diterima, insyallah peluang menang ada di sana.
Bagi PR kerusi DUN Pelabuhan Kelang, Sementa dan Gombak Setia perlukan perhatian. Di Pelabuhan Kelang ADUN PKR yang lampau telah melompat, pastikan gantinya kali ini lebih baik, sebaiknya berkaliber. Di Sementa BN menang percuma apabila calon PKR “lari” tak serah borang, pastikan calon kali ini tidak begitu.
Di Gombak Setia PAS telah pecat ADUN terdahulu, kerusi ini kritikal kerana pengundinya bijak dan tidak mudah ditundukkan. Pernah tokoh ulamak besar Selangor Dato Ismail kamus menang kerusi ini pada PRU 1999, namun Dato juga kalah di sini pada PRU 2004 berikutnya. Bermakna pengnudi pernah undi PAS dan pernah juga tolak PAS.
PRU 12 2008, sekali lagi PAS diterima, kali ini pastikan calon PAS yang paling baik mengatasi kredibiliti calon lalu.
Ternyata PRU bukan sekadar ikut-ikutan tetapi ia suatu peperangan yang perlukan kajian, taktik dan strategi yang tinggi. Jangan lemas dalam bacaan orang ini orang itu. Hanya yang punya perancangan baik selain jentera yang kuat akan menang, yang lain bakal jadi “tunggul kayu”.
Oleh Pemerhati PRU13
Tiada ulasan:
Catat Ulasan