27 Februari 2013
Isu Manifesto: Debat Langkah Terbaik
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sekali lagi diajak berdebat secara berdepan dengan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung manifesto parti masing-masing, dan bukan menghentam sebelah pihak menggunakan media yang dikawal mereka.
Ahli Jawatankuasa Manifesto Pakatan Rakyat, Dr Dzulkefly Ahmad berkata, debat itu penting bagi masing-masing saling mempersoal dan menjawab setiap keraguan yang ditimbulkan terhadap tawaran masing-masing.
“Kami mencabar Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan untuk berdebat dengan Ketua Umum PKR berhubung manifesto kami dalam masa terdekat, selepas BN keluarkan manifesto mereka.
“Kami juga bersedia, sebagai Ahli Jawatankuasa Manifesto Pakatan Harapan Rakyat untuk berdebat dengan wakil daripada BN, (dan bahaskan) setiap isu dan peruntukan (manifesto)," katanya.
Pakatan Rakyat pada 25 Februari lalu telah mengumumkan manifesto mereka antara lain menyasarkan pendapatan RM4,000 per purata isi rumah dalam tahun pertama pemerintahan, menghapuskan tol serta memansuhkan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
Selain itu, mereka menawarkan penurunan harga kereta, caruman wanita nasional dan 20 peratus dividen kepada Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).
Bagaimanapun pimpinan Umno BN menuduh kononnya manifesto itu tidak realistik dan boleh membawa negara kepada muflis.
Seorang lagi ahli jawatankuasa tersebut, Rafizi Ramli berkata kesemua tawaran Pakatan Rakyat yang dibentang itu telah dibuat kajian menyeluruh oleh pakar ekonomi dan bukan apa janji manis untuk memenangi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).
Menurut Rafizi, setiap program dalam manifesto PR telah dikira anggarannya berdasarkan aliran tunai tahunan.
Beliau berkata, tiga sumber utama kewangan manifesto ini adalah berdasarkan perbelanjaan berhemah, perbelanjaan dengan membanteras rasuah, dan peningkatan hasil daripada pertumbuhan ekonomi yang lebih baik.
"PR amalkan 'open book' yang mana menjelaskan setiap aliran tunai yang dibelanjakan dan kita cabar BN dedahkan aliran tunai seperti mana yang dilakukan PR," cabarnya.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan