SPECIAL ADS

20 Februari 2013

Gubal Hudud Umno

Nik Muhammad Zawawi Nik Salleh.


SHAH ALAM – Setiausaha Majlis Syura Pas, Nik Zawawi Nik Salleh mencabar Tun Dr Mahathir Mohamad supaya mengemukakan 'hukum hudud Umno' dan Pas bersedia untuk melaksanakannya dengan adil seperti yang dikehendaki bekas perdana menteri itu.

Zawawi kesal dengan kenyataan Dr Mahathir memperlekehkan kewibawaan dan kemampuan Pas untuk melaksanakan hukum hudud, sebaliknya bekas perdana menteri itu dilihat terdesak mengeluarkan tohmanan tidak berasas semata-mata mahu menarik kembali sokongan kepada Barisan Nasional (BN).

“Pas tidak ada hudud sendiri. Pas hanya ingin melaksanakan hudud ALLAH. Kalau beliau tak setuju, maka dipersilakan kemuka hudud dari Umno, insya-ALLAH Pas akan laksanakan nanti.

“... apa yang disebut Tun Mahathir itu terdesak dan dia dalam zaman ketakutan, dia bercakap tentang isu yang ada.

“Tun Dr Mahathir kena hormati kemampuan orang lain, dia cakap seolah-olah hanya dia seorang saja yang mampu dan berwibawa,” kata Zawawi kepada Sinar Harian Online.

Tegasnya, Pas turut menangkis tohmahan tidak berasas bekas presiden Umno itu yang tidak mengiktiraf kebolehan dan kewibawaan kepimpinan parti itu untuk melaksanakan hudud sekiranya ingin menubuhkan negara Islam, jika memenangi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

“Dalam Pas juga ramai yang berwibawa dan lebih daripada Tun Mahathir sendiri,” jelasnya.

“... syariat Islam yang akan dibina akan memberi keadilan dan kesejahteraan kepada semua bangsa dan agama," katanya.

Isnin lalu, Dr Mahathir dipetik berkata cara pelaksanaan hukum hudud yang dicadangkan oleh Pas tidak mampu dilaksanakan dengan adil.

Beliau berkata, ini adalah kerana ia tidak mengikut tuntutan Islam berikutan tidak mengenakan hukuman yang sama bagi kesalahan yang sama bagi semua pihak.

"Secara terbuka dia (Pas) buat kenyataan kata orang Islam sahaja yang akan kena (hukum hudud), orang bukan Islam tak kena kerana takut orang bukan Islam marah dan tak undi mereka.

"Bila hukum, hukumlah dengan adil. Yang ditekankan dalam al-Quran berkali-kali, adalah jangan kita zalim. Jadi bila hukum disebabkan kepentingan politik, duniawi, itu bukan Islam.

"Sebab itu, kita tolak hukum mereka, kita pegang hukum ALLAH," katanya.

Susulan itu, Zawawi menasihatkan Dr Mahathir supaya mempelajari Islam semula kerana beliau didapati tidak memahami syariat Islam yang sebenarnya walhal hukum hudud itu hanyalah sebahagian daripada hukum Islam.

“Soal laksana hudud Islam, bukan perkara yang payah, dia kena belajar apa itu Islam. Dia tak faham apa itu negara dan pemerintahan Islam.

“... dia faham hudud itu saja pada hal hudud itu juzuk kecil dalam syariat Islam.

“... Pas yakin semua masyarakat dapat konsep negara Islam yang menekankan soal keadilan, ekonomi, banteras salah guna kuasa dan keamanan,” tegasnya.

Tambah beliau, Dr Mahathir tidak sepatutnya menyempitkan pemikirannya dan sering berpandangan negatif terhadap perjuangan Islam yang dibawa Pas sejak 50 tahun lalu, walhal Pas sentiasa berlandaskan Ahli Sunnah Wal Jamaah sepertimana yang dituntut dalam
Mazhab Shafie yang diamalkan di negara ini.

“Pas harap Tun Mahathir peka dengan syariat Islam dan menjiwai apa yang Pas laksanakan," kata beliau lagi.

Dalam pada itu, Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub berkata, Dr Mahathir tidak mempunyai kelayakan untuk mempertikaikan cara pelaksanaan hudud yang diperjuangkan oleh parti itu.

Menurutnya, era kepimpinan Dr Mahathir yang telah menghalang pelaksanaan hukum itu di Kelantan.

Beliau berkata, rakyat akan mengingati perkara yang telah dilakukan Dr Mahathir seperti menolak pelaksanaan hudud.

"Dia (Dr Mahathir) bukan orang selayaknya cakap fasal hudud," katanya.

Mengulas lanjut, Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, Dr Mahathir perlu mengemukan cara pengendalian hudud terlebih dahulu jika mahu mempertikaikan undang-undang yang dibawa Pas.

"Kalau nak adil kemukanlah hukum ini terlebih dahulu.

"Maka, apa yang dia kata kita tak adil itu, boleh kita lihat," katanya.

Tiada ulasan: