SHAH ALAM: Naib Canselor Universiti Selangor(Unisel), Prof. Dr Anuar Ahmad berkata, kini sudah tiba masanya sistem pendidikan negara diperkasakan dari terus mewarisi dasar pendidikan penjajah yang sekular.
Beliau berkata demikian ketika diwawancara secara ekselusif oleh Tv Selangor sempena Konvensyen Antarabangsa Pendidikan (KAP 2013) yang akan berlangsung pada 4 dan 5 Februari ini.
Konvensyen yang bertempat di Dewan Pro-Canselor UNISEL Seksyen 7 Shah Alam itu akan dirasmikan oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
KAP 2013 akan menampilkan ahli-ahli akademik seperti Dr. Amal Fathullah Zarkarsyi dari Pesantren Darul Salam, Gontor, Indonesia dan Prof Dr Ameenah Gurib-Fakim dari Universiti Mauritius.
“Kita melihat, pendidikan yang ada di negara hari ini terlalu sekular, di mana kita melahirkan cerdik pandai yang hanya hebat dari sudut intelektual tetapi spiritual, emosi dan akhlaknya tidak begitu stabil.
“Menerusi KAP 2013 ini kita akan melihat bagaimana kita perlu mengubal kembali sistem pendidikan negara ini ke arah yang lebih holistik, bukan sekadar menjadikan negara ini kaya sebaliknya lebih dirahmati,” jelasnya.
Selain itu, beliau menambah pemberian pinjaman seperti Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bukannya kaedah terbaik untuk meringankan beban rakyat.
“Saya merasakan ini adalah satu dasar kapitalis yang melampau (dasar ini) hanya mahukan rakyatnya hidup dalam keadaan berhutang, keluar sahaja daripada universiti pelajar sudah memiliki hutang RM40 hingga RM60 ribu.
“Berbanding dengan dasar pinjaman pelajar di negara jiran Thailand, pelajar boleh membuat pinjaman maksimum RM20 ribu, sekiranya kos melebihi pinjaman itu, kerajaan akan menampungnya,” kata beliau.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan