SPECIAL ADS

17 Februari 2013

Senator Xenophon : Demokrasi Acuan Sendiri



 
Seorang Senator bebas Australia Xenophon yang mendarat di Kuala Lumpur pada jam 6.40 pagi semalam ditahan oleh pihak Immigresen negara dan di hantar pulang ke Australia setelah ditahan selama 14 jam di lapangan terbang LCCT. Kerajaan BN telah menyenarai hitamkan nama beliau dan negara menganggap beliau sebagai musuh negara Malaysia yang 'demokratik' ini. 

Sesiapa pun yang mempunyai pemikiran yang sedikit waras akan faham yang penahanan beliau itu merupakan tindakan politik sempit dan sedikit sebanyak menunjukkan kepada masyarakat antarabangsa yang negara kita tidak mengambil kisah tentang kewibawaan hubungan antarabangsanya. Kenyataan Hishamudin Hussein semalam membayangkan yang beliau mempunyai ‘diplomatic language’ yang begitu rendah dan memalukan.

Senator ini telah menjadi mangsa politik negara kerana bercakap benar tentang keadaan demokrasi negara kita. Kesalahan Senator ini sebenarnya sangat besar. Kesalahannya ialah kerana bercakap benar dan tidak mahu berbohong. Mungkin sebelum ini Senator ini belum memahami undang-undang negara ini. Beliau tidak memahami yang di negara ini bercakap benar itu adalah dicegah (forbidden). 

Berjuang untuk menghapuskan rasuah itu salah. Sesiapa yang memperjuangkan untuk diadakan pilihanraya bebas itu lebih salah sehingga ada seorang bekas Perdana Menteri menyarankan supaya di pinda perlembagaan supaya membolehkan Pengerusi Bersih, Datuk Ambiga dilucutkan kerakyatannya. Senator ini mungkin menganggap demokrasi itu semuanya sama seperti yang wujud di semua negara maju yang lain di dunia ini.

Beliau tidak tahu yang Malaysia mempunyai demokrasi acuannya tersendiri. Sepatutnya Senator ini belajar tentang latar belakang demokrasi di negara ini sebelum berbuat apa-apa dalam negara ini.

Apa yang kerajaan Malaysia marahkan Xenophon itu mudah sahaja. Sebabnya tidak lain dan tidak bukan ialah kerana komen beliau tentang cara Bersih di kendalikan oleh pihak berkuasa Polis Malaysia pada 28hb April tahun lepas. Xenophon berada di sini semasa itu untuk melihat sendiri bagaimana ‘rally Bersih’ itu berjalan. 

Xenophon sepatutnya jangan bercakap benar yang pihak Polis lah yang memulakan keganasan itu yang di mulakan dengan beberapa orang anggota Polis yang menyamar dan menjadi sebagai agen ‘provocateur’ bagi mencetuskan pertempuran di antara Polis dengan peserta rally itu..Di sini bukan tempatnya untuk memberikan pandangan yang adil. Di sini ialah tempat di mana hanya pihak kerajaan sahaja yang benar.

Kenyataan Xenophon yang memberikan kenyataan yang lebih dari dua ratus ribu peserta adalah salah. Xenophon sepatutnya memberikan angka yang sama seperti yang di berikan oleh Rais Yatim, iaitu 22,700 orang sahaja. Senator itu mesti juga memahami yang berjalan beramai-ramai ke tempat rally itu dianggap sebagai demonstrasi jalanan di sini. Kerajaan pimpinan UMNO mahukan semua peserta rally itu terbang dan terus sahaja mendarat  di tempat rally itu diadakan.

Sesiapa bercakap yang tidak di sukai oleh pimpinan UMNO itu dianggap sebagai musuh negara. Jika kita tutup tindakan rasuah yang dilakukan oleh pimpinan UMNO barulah boleh datang ke sini. Sesiapa juga yang membawa berita yang anak seorang Perdana Menteri suatu ketika dahulu telah mengambil wang rakyat hampir RM2 billion itu amat salah kerana anak dan keluarga pimpinan BN di berikan keistimewaan menggunakan wang rakyat untuk menyelesaikan masalah perniagaan mereka.

Menjaga maruah dan integriti bukan perkara penting bagi pimpinan kita. Yang penting ialah kuasa dan kali ini kuasa itu mahu dikekalkan untuk menutup dan menjauhi segala kesalahan mereka di ketahui oleh rakyat negara ini dan masyarakat antarabangsa.

Xenophon telah melanggar semuanya ini, maka terpaksalah beliau kembali ke negara beliau serta merta. Kalau setakat hendak sampai ke LCCT itu boleh lah. Xenophon  jangan sekali-kali datang ke sini lagi kerana jika beliau berada di sini beliau akan menjadikan negara kita ini tidak selamat lagi. Bercakap sahaja perkara yang tidak di sukai oleh pihak parti pemerintah, maka orang itu akan di kurung dan dijadikan ‘banduan’ sementara. 

Xenophon mesti memahami kenyataan yang rakyat Malaysia tidak akan bercakap tentang segala ketidak adilan tidak lama lagi, kerana mereka akan bertindak dan berusaha untuk menolak pimpinan dan parti yang sedang berkuasa ini dalam pilihanraya yang akan datang. Sesungguhnya kerajaan kita bukannya mengurung Xenophon atau sesiapa.  Sebenarnya mereka sedang mengurung diri mereka sendiri untuk mengelak diri mereka di kenali sebagai pemimpin otokratik yang berselindung di sebalik demokrasi acuan kita sendiri itu.

Setelah parti yang berkuasa sekarang sudah tidak diberi mandat lagi Xenophon boleh lah datang kembali ke sini. Semasa itu nanti barulah beliau boleh bercakap apa yang benar tanpa was-was. Bukannya lama untuk menunggu perubahan itu.


Oleh Aspan Alias

Tiada ulasan: