SPECIAL ADS

30 Mac 2013

BN Mungkin Ciplak Manifesto PR


KUALA LUMPUR 30 Mac : Pakatan Rakyat (PR) diseru untuk fokus kembali kepada kerja-kerja pilihanraya dan langkah BN seterusnya, terutamanya dari segi menciplak manifesto PR daripada meneka tarikh Pilihan raya Umum ke-13 (PRU13).
“PRU13 akan diadakan, seperti ibu mengandung cukup 10 bulan, anak akan dilahirkan jua. Jangan fokus kepada tarikh (Datuk Seri) Najib (Razak) nak bubar parlimen. Fokus kepada apa yang BN bakal buat menjelang PRU13 ini,” tegur Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali.
Mustafa berkata Najib berkemungkinan melengahkan pilihanraya untuk menciplak sebanyak mungkin janji-janji yang ada dalam manifesto PR.
Hari ini, akhbar MCA The Star melaporkan bahawa sumber dalaman menyatakan bahawa Najib bakal menunaikan umrah pada 3 April.
Dalam pada itu, Mustafa berkata pilihanraya umum akan diadakan pada hari terakhir Negeri Sembilan perlu mengadakan pilihanraya iaitu 25 Mei.
“Najib juga akan hadir Asean Summit di Brunei pada 24 dan 25 April sebagai Perdana Menteri penuh dan bukannya Perdana Menteri kerajaan sementara. Beliau akan membubarkan parlimen selepas itu, dijangkakan 27 April,” kata Mustafa ketika ditanya Harakahdaily.
“Tapi usah fokus pada permainan Najib pada tarikh pembubaran sehinggakan segala isu-isu rakyat dilupakan. Hati-hati pada taktik lawan dan jangan biar mereka melekakan kita,” tambahnya lagi.
Harakahdaily juga menerima ura-ura bahawa BN sedang mencari alasan supaya rakyat berhenti daripada berhajat berlaku pertukaran kerajaan, termasuk menciplak tawaran PR seperti mengumumkan penurunan harga minyak sewaktu kempen pilihanraya, penurunan harga kereta dan juga mengumumkan penghapusan hutang PTPTN.
Kemudian, BN akan mewar-warkan pada rakyat bahawa segala tawaran penting PR sudahpun dilaksana, maka tiada perlunya untuk menukar kerajaan lagi.

Manifesto PR Mengurangkan Kadar Defisit Fiskal


KUALA LUMPUR 30 Mac: Manifesto Pakatan Rakyat menawarkan kaedah mengurangkan kadar defisit fiskal kerajaan persekutuan yang sememangnya tidak pernah kurang dari 5% sejak 2008, kata Ahli Parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail.
Azan IsmailMenurut Azan, kaedah yang diguna Pakatan bagi memperbaiki defisit adalah dengan memotong perbelanjaan berlebihan  dan menambah pendapatan.
“Dalam tempoh 5 tahun Pakatan memerintah nanti, defisit akan capai tahap terbaik dengan sasaran penurunan 2% setiap tahun, kita yakin akan dapat belanjawan seimbang seperti 15 tahun lalu, iaitu kali terakhir pada 1997, selepas itu defisit kian meningkat,” katanya.
“Ia adalah kiraan paling mudah kita sampaikan kepada rakyat, jika perbelanjaan dipotong, pendapatan ditambah, tidakkah ia akan mengurangkan defisit sekurang-kurangnya 1%? Ia adalah cara terbaik dan saya hairan mengapa BN tidak pernah buat selama ini,” kata Azan ketika dihubungi.
Azan mengulas kenyataan Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah kononnya manifesto pembangkang bakal meningkatkan defisit fiskal kerajaan persekutuan kepada 11.5 peratus daripada empat peratus yang disasarkan tahun ini.
“Beliau (Husni) sepatutnya bercakap sebagai Menteri Kewangan, bukan ahli Umno, dia tahu sepanjang lima tahun dia menjadi menteri, belanjawan Kerajaan Persekutuan tidak pernah kurang dari 4 hingga 5% defisit,” kata Pengerusi Azan.
“Husni juga tahu setiap tahun pasti ada dua kali belanjawan tambahan  setiap bulan Mac dan Jun yang menambah lagi jumlah defisit sedia ada. Pertambahan itu juga mencecah sehingga 11%,” jelasnya yang juga Pengerusi KEADILAN Terengganu.
Jelasnya, sejak  2009, belanjawan tambahan menyebabkan defisit kian bertambah dari 7% sehingga 11% pada 2012.
“Jadi Husni janganlah buat lupa dengan angka-angka itu.Sebagai Menteri Kewangan beliau sepatutnya bersikap neutral, jangan keluar kenyataan yang kelirukan pelabur asing,” katanya.
“Kita yakin dengan manifesto yang kita tawarkan defisit akan dapat diperbaiki, buktinya di Selangor dan Pulau Pinang, Pakatan berjaya menghasilkan belanjawan seimbang. Malah jika BN terus memerintah defisit 11.5% itulah yang akan terjadi,” katanya lagi.

Penganalisis: 'Selangor Panas Dianggap Negeri Permata'


SHAH ALAM 30 Mac  - Sambil menggariskan alasan tersendiri, penganalisis-penganalisis turut mengakui Selangor adalah negeri 'paling panas'  dan akan menjadi kayu ukur kepada Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR) pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).
Penganalisis politik dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Dr Azmi Hassan berkata, memandangkan di Selangor mempunyai jumlah paling ramai pengundi pertengahan, ia akan menjadi penentu BN dan PR untuk masing-masing merampas atau mengekalkan kedudukan.

Menurutnya, arah aliran sokongan di Selangor akan memberi kesan kepada negeri-negeri lain yang diterajui PR terutamanya Kedah.

Beliau juga berkata, Selangor menjadi kayu pengukur dan akan melibatkan persaingan sengit kedua-dua parti politik utama negara yang menggunakan pelbagai pendekatan untuk memenangi negeri tersebut.

"... Selangor adalah petunjuk kepada PR dan BN pada PRU13.

"Persaingan sengit untuk merebut dan mempertahankan Selangor oleh kedua-dua parti juga akan berlaku dengan menggunakan pelbagai pendekatan.

"Negeri ini juga adalah negeri yang boleh dianggap sebagai permata, dan menjadi tunjang untuk menilai pengundi yang mula berubah kepada sesuatu pihak," katanya kepada Sinar Harian Online.

Semalam, Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof mengakui Selangor menjadi negeri 'paling panas' pada PRU13.

Abdul Aziz berkata, Selangor juga akan menjadi negeri 'paling panas' berikutan perkembangan yang disaksikan sejak kebelakangan ini.

Mengulas lanjut, Azmi juga berkata, jika BN berjaya merampas semula negeri 'paling panas' itu, ia akan memberi impak yang besar kepada parti komponen kerajaan pada pilihan raya umum kali ini.

Dalam pada itu, Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian turut berpendapat Selangor menjadi negeri 'paling panas' ekoran wujud
persaingan sengit antara PR dan BN.

Katanya, persaingan sengit ini berlaku di antara dua parti politik untuk memberi keyakinan kepada rakyat supaya terus mengekalkan kerajaan pemerintah atau memilih yang lain.

Bagaimanapun, beliau berkata Suruhanjaya Pilihan Raya juga turut terlibat secara langsung untuk memastikan semuanya berjalan lancar terutama dari segi keselamatan.

"Barangkali pertembungan sengit akan berlaku antara BN dan PR.

"Masing-masing mahu mempertahankan dan membuktikan mereka berjaya menang di negeri itu.

"SPR dilihat akan terlibat sepenuhnya dan memantau serta berusaha untuk mengelak sebarang perkara tidak diingini berlaku," katanya. 

29 Mac 2013

NGO India mahu 'langgar' Zul Noordin

30 Mac : Selepas didedahkan PKR semalam, sekumpulan aktivis NGO India terus membuat laporan polis terhadap anggota parlimen Kulim-Bandar Baharu Zulkifli Noordin atas dakwaan menghina agama Hindu.

Setiausaha Agung Persatuan Progresif India Malaysia (Mipas) S Baradidathan membuat laporan itu di Petaling Jaya tengah hari semalam.

NONEBaradidathan menyifatkan, kenyataan Zulkifli, yang rakaman videonya boleh ditonton di Youtube sebagai penghinaan amat besar dan hasutan yang boleh menjejaskan ketenteraman awam.

"Kami memohon supaya siasatan dan tindakan terhadap yagn berhormat ahli parlimen bebas Kulim-Bandar Baharu dimulakan dengan segera," laporan polis yang salinannya dihantar kepada pihak media itu dipetik.

Sementara itu, Mipas juga memberikan 48 jam, bermula semalam kepada Zulkifli untuk memohon maaf secara terbuka kepada masyarakat Hindu atau bakal berdepan bantahan besar-besaran di seluruh negara.

Naib Presiden PKR N Surendran semalam mendesak Zulkifli yang juga naib presiden kumpulan pendesak Melayu PERKASA disiasat bawah Kanun Keseksaan ekoran kenyataannya itu.

Dalam video itu Zulkifli kelihatan seperti menyampaikan ceramah agama di surau dan menceritakan perbualannya dengan seorang penjual berhala Hindu berhampiran di Kuala Lumpur yang kedainya baru dilanda banjir.

Perbualan itu antaranya memuatkan persoalan sekitar kenapa tuhan di kedai itu tidak menahan air daripada memasuki kedainya itu.

Malaysiakini semalam cuba menghubungi Zulkifli bagi mendapat komennya tetapi tidak berjaya.

NONESementara itu, Pasukan Bertindak India Nasional (NIAT) yang dipengerusikan oleh Datuk Thasleem Mohd Ibrahim (kiri) juga membuat laporan polis di IPD Dang Wangi berhubung perkara itu semalam.

"Sebagai seorang Islam, saya malu dengan kenyataan Zulkifli kerana Islam melarang seseorang dariapda menghina agama dan bangsa lain," katanya.

Sementara itu, Presiden Hindu Sangam RS Mohan Shan pula berkata, video yang dipercayainya diucapkan pada 2011 itu mendapat kecaman menyeluruh pelbagai pihak, justeru Zulkifli patut dikenakan tindakan.

"Kenyataan yang nakal dan merosakkan itu telah mencetuskan perasaan tidak puas hati masyarakat Hindu dan jika tidak dibendung akan merosakkan hubungan damai pelbagai kaum dan agama di negara itu," kata Mohan semalam.

Sementara itu, kumpulan persaudaraan untuk hak asasi manusia AsSajjad Movement dalam kenyataannya menyifatkan Zulkifli sebagai melampaui batas sivil dan "terang-terangan mempersendakan agama Hindu".
"AsSajjad Movement berharap seseorang Muslim yang komited untuk menjadi insan bertakwa dapat menghormati hak-hak kaum minoriti. 

"Sesungguhnya dalam era akhir zaman ini, tidak ada satu peradaban dapat berdiri sendiri tanpa berdialog dengan peradaban lainnya," kata kumpulan itu dalam kenyataannya hari ini.

Anwar: Saya tak dendam Dr Mahathir


KUALA LUMPUR 30 Mac: Ketua Umum KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak menyimpan dendam terhadap bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, meskipun pernah dipenjara dan diaibkan lebih 15 tahun.
Namun, beliau memberi peringatan agar Dr Mahathir tidak lagi mencampuri urusan ekonomi dan pentadbiran negara sebaik Pakatan Rakyat mengambil alih Putrajaya.
“Saya nak beritahu Dr Mahathir. Saya tak dendam dengan dia. Walaupun dia serang saya setiap hari, tapi saya tak fikir dia wajar diambil tindakan oleh kerajaan baru (Pakatan Rakyat).
“Saya tak mau jentera Pakatan ganggu dia. Jangan ganggu. Dia umur dah 87 tahun. Bagi dia rehat. Tapi dia kena ingat, saya kena pertahankan prinsip.
“Kalau fikir dendam, sampai bila nak habis? ,” kata Anwar dalam ceramah Merdeka Rakyat di PPR Bandar Baru Sentul malam tadi.
Kata Anwar, Mahathir sebagai penasihat Petronas memainkan peranan dalam agihan kontrak yang menyebelahi keluarga dan kroni, dalam masa yang sama melupuskan hutang syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
Antaranya skandal kerugian Perwaja yang didedahkan pada 1999 berjumlah RM10 bilion oleh Tan Sri Eric Chia dan pendedahan Bank Swiss mengenai simpanan RM 76 juta dalam akaun rahsia dipercayai sebagai wang haram.
Menurut Anwar, Mahathir kini menjadi penasihat Petronas dengan gaji ratusan ribu ringgit di bawah pentadbiran perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Manakala anaknya, Datuk Mokhzani merupakan individu ke 15 terkaya di Malaysia dengan kekayaan RM2.2 bilion seperti dilapor majalah Forbes.
“(Sebaik) kita ambil alih, anak kamu tak dapat kontrak. Tapi, adakah Najib berani berhentikan kontrak. Tidak!, kata Anwar di hadapan lebih 3,000 hadirin.
Beliau turut mengingatkan rakyat tentang arahan Mahathir dan bekas Menteri Kewangan Daim Zainuddin kepada bekas pengerusi MAS, Tajuddin Ramli untuk memperoleh pegangan 32 peratus di dalam MAS pada 1994.
Tajuddin kemudian dipersalah atas kerugian RM8 bilion MAS menyebabkan dia menyaman semula kerajaan dan 24 pihak lain. Namun ia diselesaikan di luar mahkamah apabila kerajaan melupuskan RM589 juta hutang Tajuddin pada Mac 2012.
“Yang nak diubah ialah sistem nilai. Ini soal akhlak. Bila kamu memimpin, harta negara bukan harta bapa kamu. Prinsip keadilan mesti ditegakkan.
“Jangan sebut wasatiyah, tapi baling batu, simbah cat. Bila sebut wasatiyah, permit teksi, duit lembu pun disapu. Orang bukan Islam – Kristian, Buddha Hindu tengok pun menyampah. Malu kita sebagai umat Islam,” kata Anwar.

Wan Azizah dinasihat tidak bertanding di Selangor


Wan Azizah dinasihat tidak bertanding di Selangor
KUALA LUMPUR 30 Mac  - Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dinasihatkan tidak bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Selangor pada Pilihan Raya Umum Ke-13 ini.
Seorang ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor, Amizan Man mendakwa, ini kerana terdapat kelompok tertentu dalam parti menolak kehadiran Presiden PKR itu di negeri tersebut.
"Ada kelompok tertentu berkata Datin Seri (Wan Azizah) tak payah bertanding (DUN Selangor). Hal ini kerana Selangor bukanlah kawasan beliau.
"Kalau bertanding juga, ini akan memecahbelahkan parti. Jadi tak payahlah. Duduk diam-diam di Permatang Pauh," dakwanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Dalam satu sidang akhbar semalam, Wan Azizah membayangkan kemungkinan bertanding di kerusi DUN dan disebut-sebut bakal dicalonkan di sebuah kerusi di Selangor.
Malah, beliau dijangka dilantik sebagai Menteri Besar jika pakatan pembangkang berjaya mengekalkan kuasa mereka.
Berikutan perkembangan itu, difahamkan Menteri Besar sedia ada, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim akan bertanding kerusi Parlimen.
Turut dikatakan akan bertanding kerusi Parlimen ialah Pengerusi PKR negeri, Azmin Ali.

BN dan PR Kini 'Berkampung'

PRU13
SHAH ALAM 30 Mac : Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR) kini memasuki fasa berkampung di kawasan masing-masing bagi memastikan pengundi mengenali pemimpin dan calon mereka.

Kedua-duanya menegaskan mereka sudah lama mengadakan program mendekati rakyat dan bukannya hanya ketika pilihan raya sudah semakin hampir.

Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan menegaskan rakyat sentiasa berpeluang menyertai program anjuran BN kerana parti itu kerap menganjurkan majlis ramah mesra bersama rakyat.

“Kita buat majlis sepanjang masa dan ada macam-macam program. Saya sendiri pun buat program setiap minggu di Pontian selama lima tahun ini,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Ahmad Maslan juga yakin BN mampu menang 160 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) kerana sokongan rakyat terhadap BN semakin kuat saban hari.

“Kita bukan takbur tapi kita yakin kita dapat menang dua pertiga. Saya dah pergi ke banyak tempat dan saya nampak sokongan terhadap BN semakin meningkat.

“Kami buat apa yang kami cakap dan tepati janji walaupun apa yang BN tunaikan tiada dalam manifesto parti,” jelas beliau.

Sementara itu, Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali menyifatkan PR akan terus mengadakan majlis bertemu rakyat sehingga pilihan raya berlangsung.


Menurutnya, program bersama rakyat dijalankan secara berterusan selepas pilihan raya bersedia 2008 dan bukan hanya secara berkala.

“Momentum sekarang semakin meningkat kerana sudah hampir dengan PRU13. Saya rasa lebih banyak majlis akan berlangsung selepas ini,” ujarnya.

Ketika ditanya persiapan PR menjelang PRU13, Mustafa berkata persiapan mereka sudah lengkap dan PR yakin dapat menewaskan BN.

“Rakyat sekarang mahu tengok perubahan. Saya yakin PR boleh mencapai kemenangan tetapi tidaklah sampai dua pertiga, mungkin majoriti mudah,” katanya.