KUALA LUMPUR 30 Mac: Ketua Umum KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak menyimpan dendam terhadap bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, meskipun pernah dipenjara dan diaibkan lebih 15 tahun.
Namun, beliau memberi peringatan agar Dr Mahathir tidak lagi mencampuri urusan ekonomi dan pentadbiran negara sebaik Pakatan Rakyat mengambil alih Putrajaya.
“Saya nak beritahu Dr Mahathir. Saya tak dendam dengan dia. Walaupun dia serang saya setiap hari, tapi saya tak fikir dia wajar diambil tindakan oleh kerajaan baru (Pakatan Rakyat).
“Saya tak mau jentera Pakatan ganggu dia. Jangan ganggu. Dia umur dah 87 tahun. Bagi dia rehat. Tapi dia kena ingat, saya kena pertahankan prinsip.
“Kalau fikir dendam, sampai bila nak habis? ,” kata Anwar dalam ceramah Merdeka Rakyat di PPR Bandar Baru Sentul malam tadi.
Kata Anwar, Mahathir sebagai penasihat Petronas memainkan peranan dalam agihan kontrak yang menyebelahi keluarga dan kroni, dalam masa yang sama melupuskan hutang syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
Antaranya skandal kerugian Perwaja yang didedahkan pada 1999 berjumlah RM10 bilion oleh Tan Sri Eric Chia dan pendedahan Bank Swiss mengenai simpanan RM 76 juta dalam akaun rahsia dipercayai sebagai wang haram.
Menurut Anwar, Mahathir kini menjadi penasihat Petronas dengan gaji ratusan ribu ringgit di bawah pentadbiran perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Manakala anaknya, Datuk Mokhzani merupakan individu ke 15 terkaya di Malaysia dengan kekayaan RM2.2 bilion seperti dilapor majalah Forbes.
“(Sebaik) kita ambil alih, anak kamu tak dapat kontrak. Tapi, adakah Najib berani berhentikan kontrak. Tidak!, kata Anwar di hadapan lebih 3,000 hadirin.
Beliau turut mengingatkan rakyat tentang arahan Mahathir dan bekas Menteri Kewangan Daim Zainuddin kepada bekas pengerusi MAS, Tajuddin Ramli untuk memperoleh pegangan 32 peratus di dalam MAS pada 1994.
Tajuddin kemudian dipersalah atas kerugian RM8 bilion MAS menyebabkan dia menyaman semula kerajaan dan 24 pihak lain. Namun ia diselesaikan di luar mahkamah apabila kerajaan melupuskan RM589 juta hutang Tajuddin pada Mac 2012.
“Yang nak diubah ialah sistem nilai. Ini soal akhlak. Bila kamu memimpin, harta negara bukan harta bapa kamu. Prinsip keadilan mesti ditegakkan.
“Jangan sebut wasatiyah, tapi baling batu, simbah cat. Bila sebut wasatiyah, permit teksi, duit lembu pun disapu. Orang bukan Islam – Kristian, Buddha Hindu tengok pun menyampah. Malu kita sebagai umat Islam,” kata Anwar.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan