KUALA LUMPUR 30 Mac: Manifesto Pakatan Rakyat menawarkan kaedah mengurangkan kadar defisit fiskal kerajaan persekutuan yang sememangnya tidak pernah kurang dari 5% sejak 2008, kata Ahli Parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail.
Menurut Azan, kaedah yang diguna Pakatan bagi memperbaiki defisit adalah dengan memotong perbelanjaan berlebihan dan menambah pendapatan.
“Dalam tempoh 5 tahun Pakatan memerintah nanti, defisit akan capai tahap terbaik dengan sasaran penurunan 2% setiap tahun, kita yakin akan dapat belanjawan seimbang seperti 15 tahun lalu, iaitu kali terakhir pada 1997, selepas itu defisit kian meningkat,” katanya.
“Ia adalah kiraan paling mudah kita sampaikan kepada rakyat, jika perbelanjaan dipotong, pendapatan ditambah, tidakkah ia akan mengurangkan defisit sekurang-kurangnya 1%? Ia adalah cara terbaik dan saya hairan mengapa BN tidak pernah buat selama ini,” kata Azan ketika dihubungi.
Azan mengulas kenyataan Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah kononnya manifesto pembangkang bakal meningkatkan defisit fiskal kerajaan persekutuan kepada 11.5 peratus daripada empat peratus yang disasarkan tahun ini.
“Beliau (Husni) sepatutnya bercakap sebagai Menteri Kewangan, bukan ahli Umno, dia tahu sepanjang lima tahun dia menjadi menteri, belanjawan Kerajaan Persekutuan tidak pernah kurang dari 4 hingga 5% defisit,” kata Pengerusi Azan.
“Husni juga tahu setiap tahun pasti ada dua kali belanjawan tambahan setiap bulan Mac dan Jun yang menambah lagi jumlah defisit sedia ada. Pertambahan itu juga mencecah sehingga 11%,” jelasnya yang juga Pengerusi KEADILAN Terengganu.
Jelasnya, sejak 2009, belanjawan tambahan menyebabkan defisit kian bertambah dari 7% sehingga 11% pada 2012.
“Jadi Husni janganlah buat lupa dengan angka-angka itu.Sebagai Menteri Kewangan beliau sepatutnya bersikap neutral, jangan keluar kenyataan yang kelirukan pelabur asing,” katanya.
“Kita yakin dengan manifesto yang kita tawarkan defisit akan dapat diperbaiki, buktinya di Selangor dan Pulau Pinang, Pakatan berjaya menghasilkan belanjawan seimbang. Malah jika BN terus memerintah defisit 11.5% itulah yang akan terjadi,” katanya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan