SPECIAL ADS

25 November 2012

Doa Kehancuran Dibolehkan Jika Ditindas



KOTA BHARU - Umat Islam boleh memohon doa kehancuran jika merasa diri mereka ditindas dan juga dizalimi.


Bekas Mufti Perlis, Prof Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, secara umumnya sesiapa sahaja boleh memohon doa kehancuran sekiranya merasakan diri dizalimi.

“Kita ada beberapa perkara yang perlu dipisahkan, isu politik dan fakta, jangan kerana kerana kita berpolitik, kita menafikan fakta.

"Pertama, persoalannya, adakah boleh kita mendoakan orang yang menzalimi kita agar ALLAH SWT mengambil tindakan kepadanya, itu persoalan yang biasa, jangan letak pada Pas atau Umno.


“Misal kata ada orang menganiaya atau menzalimi kita, boleh ke kita berdoa kepada mereka?

"Jawapannya boleh, tidak timbul isu tidak boleh mendoakan kehancuran sesama Islam,” katanya kepada Sinar Harian pada Program Kembara Ilmu Bersama Dr Maza di kediaman rasmi Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas isu doa kehancuran yang dibacakan adik Mursyidul Am Pas, Nik Razi Nik Mat semasa mengimamkan solat hajat sempena muktamar tahunan parti itu minggu lalu.

Asri berkata, doa memohon kehancuran ini bukan suatu yang baru, malah wujud sejak zaman Rasulullah lagi apabila terjadi kepada para sahabat, tetapi dilakukan secara berkias (berlapik).

Bagaimanapun mengakui kurang bersetuju dengan pendekatan doa tersebut yang dilihat keluar dari kesantunan, Asri berkata, ia sepatutnya mengikut adab- adab berdoa dan mengetepikan rasa amarah.


“Kadang-kadang tak nampak macam doa, dari segi adab-adab yang lain seperti terlalu menjerit, nampak macam terkeluar dari kesantunannya, kita boleh berdoa kepada orang yang menzalimi, bukan doa kerana marah perbezaan parti, tetapi doa kerana kezaliman,” katanya.

Dalam pada itu, mengulas mengenai ulama Umno, Asri berkata, parti itu memerlukan suatu panduan untuk memandu pergerakan dan perjuangannya, dan satu majlis yang terdiri daripada golongan ulama perlu diwujudkan.

“Pas sebenarnya antara benda yang meletakkan kepercayaan orang ramai terhadapnya adalah Majlis Syura Ulama yang memandunya dalam banyak perkara,” katanya.

“Ulama tidak semestinya menjadi pemimpin atau presiden, jadi ahli dewan yang memandu, itu perlu diambil kira supaya Umno juga ada pemandu dari satu majlis yang bukan untuk mempolitikkan agama tetapi membimbingnya supaya semua parti dikawal oleh elemen agama,” katanya.


Dalam pandangan lain, berdoa untuk menghancurkan sesebuah organisasi tidak salah, jika ia membawa kebaikan.

Pengerusi Pertubuhan Muttaqa Asatizah dan Pendakwah Malaysia (Murshid), Dr Zaharuddin Abdul Rahman berkata, doa yang menjurus kepada organisasi, bukan individu, tidak melanggar adat berdoa.

Bagaimanapun, katanya, lebih baik mendoakan agar individu atau sesebuah organisasi itu mendapat petunjuk, dan ampunkan kesalahan mereka.

Beliau berkata, dalam keadaan rakyat sedar sesebuah organisasi itu dianggotai oleh ahli beragama Islam dan bukan Islam, doa ke arah kehancuran tidak menjadi masalah.

“Sekiranya doa itu dari individu yang dizalimi, maka doa untuk menghancurkan organisasi tertentu (yang bertanggungjawab) dibenarkan.

“Doa seperti menunjukkan mangsa meluahkan kekecewaan yang sudah sampai ke puncak akibat sering dizalimi,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Menurut Zaharuddin, doa kepada individu agar dimusnahkan tidak digalakkan.

Beliau berkata, sebagai contoh, terdapat individu mendoakan kemusnahan kilang Lynas (nadir bumi) supaya tidak mendatangkan keburukan kepada penduduk setempat dan oleh itu, ia harus.

“Mereka (penduduk) sedar kehadiran kilang tersebut boleh membawa bencana dan kemudaratan terhadap kesihatan serta alam sekitar.

Kejatuhan ini dilihat sebagai membawa kebaikan dan menjamin keselamatan penduduk di situ,” katanya

Tiada ulasan: