SPECIAL ADS

9 November 2012

Siapa Yang Perlu Bertaubat?

Jika Nurul kena taubat, Harussani juga kena - Ketua Ulamak

Harakahdaily,15 Nov 2012
KOTA BHARU: Ketua Dewan Ulamak PAS, Datuk Harun Taib berpendapat, jika Mufti Perak, Datuk Harussani meminta Nutul Izzah Anwar bertaubat kerana kenyataannya, dia (Harussani) juga harus bertaubat juga.

"Bagi saya dia (Nurul Izzah) tidak perlu (taubat) kerana taubat kalau buat kesalahan besar. Jika itu kena bertaubat, Harussani juga kena taubat kerana dia tak sokong perjuangan Islam," kata Ustaz Harun Taib (gambar).

Ustaz Harun berkata demikian ketika ditanya oleh wartawan tentang kenyataan Harussani yang meminta Nurul Izzah bertaubat kerana berkata, tidak ada paksaan dalam agama.

Bagi Harun, isu ini perkara biasa sahaja, "kita tak ambil berat isu itu, itu perkara biasa sahaja."

"Tanyalah benda yang lebih besar lagi misalnya yang (Tun Dr) Mahathir buat yang (Datuk Seri) Najib buat," kata Harun ketika diasak oleh wartawan mengenai isu itu dalam sidang media selepas perasmian Muktamar Dewan Ulamak PAS hari ini.

Menurutnya, Nurul Izzah membuat kenyataan, kebebasan itu tidak terhad kepada orang tertentu sahaja tetapi kepada semua bangsa.

"Misalnya orang Melayu sebelum masuk Islam dia bebas tetapi yang sudah masuk Islam, dia tidak bolehlah nak masuk Kristian ke," jelas Ustaz Harun.

Ketika ditanya kenyataan Nasharudin Mat Isa yang dikatakan meminta Nurul Izzah juga bertaubat, Ustaz Harun berkata, "Nasharudin dia punya pasal...Nurul Izzah nak bertaubat, apa kesalahan dia. Cuba nyatakan apakah dia kesalahan Nurul Izzah yang nyata."

Dasar PAS

(Ustaz Harun bertemu dengan para perwakilan muktamar)

Dalam sidang media itu, Ustaz Harun Taib juga menegaskan dasar perjuangan PAS tidak pernah berubah dengan Islam sejak dahulu, kini dan akan datang dengan izin Allah SWT.

Ini kerana, katanya asas rujukan parti PAS yang tertinggi adalah al-Quran, Hadis, Ijma’ Ulamak dan Qias.

“Insya Allah, PAS akan terus dipimpin oleh ulamak kerana dasar PAS tidak berubah iaitu Islam. Rujukan PAS tertinggi adalah al-Quran, Hadis, Ijma’ dan Qias.

“Itu (Islam) adalah undang-undang tubuh PAS, perlembagaan PAS, dasar PAS sejak dahulu, sekarang dan di masa akan datang, Insya Allah,” tegasnya.

Ketika ditanya peranan Mursyidul Am PAS dalam urusan kepartian, Ustaz Harun menjelaskan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai pemantau serta penasihat parti.

“Mursyidul Am, itu dia duduk di atas sekali dan memantau parti supaya parti tidak lari dari landasannya (Islam).

“Dia (Nik Aziz) memantau sama ada yang dijalankan oleh Presiden parti (Ustaz Abdul Hadi) dan Ahli Jawatankuasanya itu betul-betul mengikut lunas Islam atau tidak dan jika tidak, dia akan memberi teguranlah,” ujarnya kepada pihak media.

Beliau yang juga bekas Pesuruhjaya PAS Terengganu mendakwa secara umumnya Pakatan Rakyat menerima syariat Islam dilaksanakan.

Katanya, apabila PAS berjaya mendapat keyakinan rakyat bagi memimpin negara syariat Islam akan dilaksanakan mengikut lunas-lunas demokrasi.

“Dalam PAS tidak ada yang menolak hudud dan semuanya sepakat.  Bila kita (PAS) berjaya untuk mendapat keyakinan rakyat untuk memimpin Malaysia.

“Tapi syariat Islam itu akan dilaksanakan mengikut lunas-lunas demokrasi. Jika kita (PAS) majoriti dalam Parlimen, kita kena kemukakan undang-undang berkaitan dan jika mendapat sokongan parlimen akan diluluskan. Maka, dengan sendirinya akan jadi undang-undang negara,” jelasnya.

Namun begitu, kata Ustaz Harun, parti-parti dalam Pakatan Rakyat mempunyai dasar masing-masing dan tidak menjejaskan parti lain.

Tambahnya, permuafakatan PAS dengan parti lain telah berjaya memperkenalkan Islam serta sistem Islam kepada parti-parti lain.



PKR menyifatkan serangan menggila terhadap Naib Presidennya, YB Nurul Izzah Anwar umpama tindakan 'menunda najis yang hanyut'.


Ini kerana, tindakan ini adalah langkah terbaru Umno dalam percubaan mengembalikan sokongan dan kepercayaan rakyat yang semakin terhakis.



Demikian kata Ketua Penerangannya, Dr Muhammad Nur Manuty (gambar) dalam kenyataan medianya.

Kenyataan beliau ini mengulas serangan terhadap Nurul Izzah selepas kenyataan berhubung kebebasan beragama yang dinyatakan beliau. 
"Sesungguhnya, kenyataan spontan dan bersahaja YB Nurul Izzah pada majlis 
berkaitan adalah secara umum dan memang boleh mengundang pelbagai persepsi dan tafsiran.  

"Namun, kekeliruan yang timbul telahpun diperjelaskan sendiri oleh beliau kemudiannya dengan tegas dan jelas," beritahu Dr Muhamad Nor.

Beliau memetik ayat al-Quran surah Al-hujurat: 6 untuk menjelaskan isu ini.

“Wahai orang-orang yang beriman! jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini - Dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa Yang kamu telah lakukan.” 

"Ayat di atas mengajar kita agar berhati-hati dalam menerima berita dari orang-orang fasik," katanya.

Ayat ini, katanya, menceritakan kisah seorang Muslim Al Walid bin Uqbah bin Abi Mu’id yang diutuskan oleh Nabi Muhammad saw melakukan suatu tugasan ke Kampung Bani Mustaliq.  

Al Walid menyangkakan mereka sudah murtad lalu segera pulang ke Madinah melaporkan kepada Baginda Nabi apa yang ditanggapinya. 

Hasilnya, baginda mengarahkan Khalid al Walid bersama anggota tenteranya bertindak terhadap kampung tersebut. Namun, selepas melakukan risikan, Khalid Al Walid mendapati bahawa mereka tidaklah murtad sebagaimana didakwa. 

Ini dilaporkan kepada Rasulullah. Diketika inilah ayat ini diturunkan sebagai teguran dan panduan buat orang beriman dalam menerima khabar berita dari orang fasik, katanya.

Menurutnya, media-media utama tertentu milik pemerintah UMNO dan Barisan Nasional  telahpun kerap didapati bersalah oleh mahkamah kerana melaporkan berita yang tidak tepat, berunsur  fitnah dan sengaja diputar belitkan.
  
Pemimpin-pemimpin organisasi berita ini, katanya, sendiri mengesahkan bahawa harus diputarbelit sesuatu berita demi mendokong aspirasi parti yang menjadi pemiliknya. 

Bagi beliau, media milik mereka dengan sengaja membentuk persepsi yang tidak betul mengenai apa yang dinyatakan oleh YB Nurul Izzah.  
Kemudiannya, dengan sengaja pula komen-komen berdasarkan persepsi yang salah ini disebar dan dijajakan, ujarnya.

"Amatlah jelas, UMNO sedang begitu tertekan dan desperado.  UMNO gagal menghakis  tanggapan buruk rakyat terhadap dirinya dalam pelbagai jenayah dan pengkhianatan terhadap rakyat dan Negara – penyelewengan SPR, NFC, Lynas, BERSIH, Kugan, Teo Beng Hock dan sebagainya," katanya.

Menurutnya, isu terbaru yang paling menekan adalah skandal RM40 juta yang melibatkan beberapa menteri kanan UMNO. Ia begitu hangat diperkatakan ketika ini. 

"Disaat kritikal inilah, kenyataan YB Nurul Izzah yang diputarbelitkan itu dijadikan isu besar untuk mengalih perhatian rakyat," katanya.

Peliknya, kata Muhamad Nor, penjelasan lanjut itu dengan sengaja ditenggelamkan demi mengelakkan rakyat mengetahui hakikat dan apa sebenarya yang diperkatakan.

"KEADILAN ingin menjelaskan bahawa, YB Nurul Izzah sendiri adalah seorang yang komited kepada agamanya - Islam.  

"Beliau merupakan antara pemimpin harapan generasi muda negara, merentasi semua agama dan kaum.  

"Latarbelakang keluarga dan penampilan yang sederhana jelas menzahirkan ketrampilan diri yang berpaksikan jiwa yang tauhidiq pada Ilahi dan agama Islam yang syumul," tegasnya.

Sesungguhnya, tambah beliau, seluruh lapisan kepimpinan PKR dan Pakatan Rakyat sedang terus mara mengemudi kebangkitan rakyat demi masa depan Malaysia yang lebih gemilang.  
"Dengan kehendak Ilahi, tiada apa yang dapat menggugatnya, InsyaAllah," tegasnya.

Antara lain, Mursyidur Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat telah mengulas mengenai kenyataan kontroversi Nurul Izzah Anwar telah memberi komen kepada isu yang digembar-gemburkan oleh konservatif Islam dalam Umno yang mendakwa telah menjatuhkan maruah Islam dan sokongan murtad. "Bagi saya, dalam isu ini Izzah adalah malang kerana dia adalah pembangkang, apabila dia melakukan sesuatu yang kecil walaupun kata-kata beliau benar boleh mengelirukan tetapi ia dimainkan,"





Dalam pada itu, Bekas Mufti Perlis, Profesor Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, berdasarkan pemerhatian beliau menerusi rakaman video, kenyataan Nurul Izzah mengatakan tidak boleh memaksa mana-mana pihak dalam beragama.

Menurutnya, kenyataan seumpama itu mungkin boleh memberi pelbagai reaksi. “Beliau mengulas soalan mengenai kebebasan beragama. Di situ, mungkin berlaku salah tafsiran kerana ia tidak diterangkan dengan mendalam.



“Kerana itu, beliau telah menghubungi saya untuk menjelaskan maksud kenyataan tersebut. Selepas menonton video tersebut, boleh dirungkaikan kepada dua perkara iaitu pertama dari segi beragama dan kedua penghayatan agama Islam di mana tidak ada paksaan,” katanya kepada

Sementara itu, Mujahid Yusof Rawa, Ahli Parlimen Parit Buntar menyifatkan, kenyataan Nurul Izzah Anwar telah diputarbelitkan untuk kepentingan pihak tertentu yang desperado.


Bagi beliau, “Tiada paksaan dalam agama” adalah prinsip kemuliaan Islam tetapi ini bukan bermakna ia menggalakkan kemurtadan. 

Bagi beliau, mengaitkan prinsip ini dengan rela pemurtadan menunjukkan kecelaruan pemikiran golongan sempit agama termasuklah sesiapa yang mengulangnya tanpa fahaman.  

“Saya ada dalam majlis itu sebagai pembicara,” katanya mengulas serangan Utusan terhadap Nurul Izzah. Kenyataan itu dibuatnya dalam laman facebooknya hari ini.  Mujahid,  turut berada dalam forum bertajuk “Islamic State: Which version? Whose responsibility? bersama Nurul Izzah.


Nurul Izzah Anwar bertepatan dengan pepatah ‘kembali kepada kebenaran lebih baik daripada kekal di dalam kebatilan’, kata AJK PAS Pusat, Idris Ahmad.   Selepas timbulnya polemik disuatu   isu ucapan Nurul Izzah di Gereja Full Gospel Tabernacle, Subang Jaya lalu.

“Beliau menjelaskan ‘sekiranya seseorang itu telah memeluk Islam maka dia tertakluk dengan syariat Islam’, kenapa orang terus bising,” ujarnya dalam satu kenyataan.


Dalam pendapat lain, Juara program realiti Imam Muda musim pertama, Muhammad Asyraf Ridzuan berkata, ada pihak sengaja memperbesarkan isu murtad dan kebebasan beragama supaya nampak teruk dan dijadikan topik hangat, sedangkan ia perkara biasa yang sering dibincang dalam majlis ilmu.
“Isu ini jadi menarik dan sensitif kerana ia telah dimanipulasi, dibesar-besarkan sehingga kita rasa perkara ini sangat teruk dan perlu untuk dibincangkan,” katanya merujuk kenyataan Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar berhubung kebebasan beragama yang diputar belit oleh Utusan dan media pro-BN.
Beliau berkata demikian dalam forum ‘Kebebasan beragama atau murtad?’ di Dewan Himpunan Cina Kuala Lumpur-Selangor malam tadi.
Dalam Islam, Asyraf berkata, tiada tuntutan untuk memaksa orang lain percaya dengan keyakinan dan pendapat seseorang.
“Setiap individu bebas untuk memberi pendapat, melahir dan bertukar pandangan, bebas untuk masuk agama Islam tanpa paksaan. Namun, apabila berada dalam Islam, ikutlah syariah sebetulnya,” katanya.
Pendakwah, Wan Ji Wan Hussin pula berkata, dalam agama tidak perlu ada unsur memaksa untuk melahirkan penganut yang berkualiti.
“Dalam bercintapun kita kena telus apatah lagi dalam beragama, kita tidak perlu menghukum murtad, tapi berdakwahlah,” katanya yang dikenali sebagai Ustaz Wan Ji.
“Ubat kepada penyakit murtad adalah keyakinan, dan keyakinan diperoleh melalui kebebasan,” jelas beliau.
Wan Ji turut mempersoal tindakan pihak yang cuba mengkritik isu murtad dan agama walhal tidak mendalami isu tersebut.
“Ini yang (saya) nak komen Saifuddin Abdullah, Khairy Jamaluddin, Perkasa, jangan jadikan pemikiran rakyat itu semakin sempit,” tegasnya.
Panelis lain dalam forum itu adalah penulis lirik, Hasmi Hashim dan bekas Setiausaha Akhbar Ketua Pembangkang, Eekmal Ahmad.
Mengulas sama serangan terhadap Izzah, Hasmi berkata, Umno BN gunakan isu agama sejak 50 tahun lalu sebagai ancaman untuk takutkan orang Melayu.
“(Kerajaan) menggunakan elemen politik ketakutan sebagai senjata politik mereka untuk menakut-nakutkan orang Melayu. Dan ketakutan itu boleh dinamakan atas nama agama, bangsa ataupun raja-raja,” katanya.
Ketua Cabang KEADILAN Parit Sulong itu mempersoal sikap kerajaan yang hanya berminat menjadikan isu agama sebagai polemik dan bukan mencari jalan penyelesaian.
“Kenapa tidak diadakan debat atau forum seperti ini di media arus perdana? Hanya membesarkan isu tanpa yang dituduh diberi sedikit peluang pun untuk membela diri,” tegasnya.
Justeru kata Hasmi, perbincangan seperti itu perlu diadakan di media massa dan semua pihak wajar diberi ruang.
Beliau menyeru generasi muda memikirkan semula sama ada strategi itu masih relevan untuk diaplikasi pada masa kini.




Tiada ulasan: