PAS adalah parti yang sentiasa terbuka untuk menerima teguran dan kritikan sama ada daripada dalam atau luar parti. Dalam muktamar baru-baru ini, ahli diberikan hak seluas-luasnya untuk menegur pimpinan. Isu penolakan terhadap Kepimpinan Ulama, penstrukturan semula Harakah, ketegasan dalam perlaksanaan undang-undang Islam dan lain-lain telah menjadi fokus para perwakilan untuk menegur pimpinan. Ia jauh sekali berbanding parti Umno yang menutup pintu ahlinya untuk menegur.
Pas juga bersedia untuk menerima teguran daripada luar. Bahkan Pas menjemput mereka untuk berdialog dan menegur secara direct dalam majlis yang dianjurkan oleh Pas sendiri walaupun ada orang yang sehingga sekarang tidak memberikan tarikh setelah bersetuju untuk datang.
Doktrin yang perlu ditolak:
Menjawab teguran bukan bermakna tidak menerima teguran tersebut. Kadang-kadang jawapan perlu diberikan sebagai satu penjelasan. Doktrin bahawa teguran yang dijawab dianggap tidak diterima harus ditolak. Di samping itu, ada yang menuduh bahawa jawapan yang diberikan adalah reaksi melenting dan melatah. Perlu diingat bahawa senyap, tidak menjawab tidak semestinya bermakna menerima teguran kerana kadang-kadang ia ditolak kerana malas menjawab.
Keras atau lembut dalam menjawab pula adalah berdasarkan teguran yang diberikan. Ini kerana kadang-kadang teguran yang dibuat bukan untuk membaiki tetapi lebih untuk membina persepsi yang buruk terhadap orang yang ditegur. Justeru, tidak pelik jawapan yang diberikan kadang-kadang agak keras. Lihat sahaja kata-kata Saidina Abu Bakar yang keras terhadap Urwah bin Mas'ud, wakil musyrikin Makkah dalam peristiwa perjanjian Hudaibiyyah: "Kamu ini manusia yang menghisap kelentik kemaluan berhala al-Latta." Jawapan keras ini dihamburkan oleh Abu Bakar r.a. apabila Urwah menegur Rasulullah s.a.w. yang dilihat ingin menghapuskan dan memusuhi bangsa sendiri (Lihat Sofiy ar-Rahman, 1991).
Undang-undang Islam adalah prinsip dan perjuangan Pas:
Pas sebagai sebuah gerakan Islam sentiasa menjaga prinsip dan anjal dalam perkara cabang. Inilah yang diajar oleh Islam dan ditegaskan oleh Muhammad Iqbal, seorang pujangga India bahawa tajdid dan perubahan adalah mesti bertolak daripada keteguhan prinsip dan turathnya. Perkara-perkara yang baik daripada pemikiran baru boleh diambil setelah ditapis dan tidak berlawanan dengan prinsip Islam (Muhammad Iqbal wa manhajuhu fi tajdid al-fikri al-Islami, 2000).
Prinsip dan perjuangan Pas adalah untuk menegakkan Islam termasuk undang-undang-undangnya. Ia adalah syariat ALLAH yang tidak ada kompromi dalam perlaksanaan. Ia adalah prinsip dan perjuangan Pas yang tidak pernah berubah daripada dahulu sehinggalah sekarang.
Semua negara memerlukan undang-undang. Tidak ada negara yang tidak ada undang-undang. Cumanya undang-undang apakah yang hendak dipakai. Pas sebagai sebuah parti yang memperjuangkan Islam ingin melihat undang-undang Islam dilaksanakan dalam negara ini kerana yakin terhadap keberkesanannya untuk menghapuskan jenayah. Ia adalah undang-undang yang datang daripada ALLAH yang menciptakan manusia. Dia tahu apa yang baik dan buruk untuk manusia dan Dia tahu bagaimana cara untuk menyelesaikan masalah manusia.
Orang Islam perlu meyakini bahawa undang-undang Islam adalah terbaik untuk mencegah manusia melakukan kesalahan dan jenayah. Ia akan memberikan keadilan kepada semua. Rasuah, salah guna kuasa, memerah harta negara dan kezaliman yang menghiasi politik dunia Muslim akan dapat diatasi dengan undang-undang tersebut. Rakyat yang membenci pemerintahan zalim sekian lama akan merasa aman dengan terlaksananya undang-undang tersebut dan merasai keadilannya.
Keberkesanan undang-undang Islam akan memberikan hak kepada orang yang dizalimi kerana Islam tidak membenarkan berlakunya kezaliman. Orang yang miskin dan melarat akan terjaga kebajikannya dengan diberikan makanan dan keperluan asasi. Harta negara dibahagi secara adil dan kerajaan diurus dengan penuh amanah di bawah undang-undang Islam. Bahkan bandar yang kotor akan menjadi menjadi bersih dan pengurusan yang buruk menjadi terurus. Rakyat diberikan ilmu dan pendidikan. Ini semua kerana Islam telah dilaksanakan secara menyeluruh termasuk undang-undangnya.
Jangan bina persepsi yang buruk terhadap undang-undang Islam:
Rakyat tidak seharusnya dibina dengan persepsi yang buruk terhadap undang-undang Islam. Jangan ditanam persepsi bahawa perlaksanaan undang-undang Islam akan menjadikan negara tersebut negara Mullah. Adalah silap jika berpandangan demikian kerana Rasulullah s.a.w. juga melaksanakan undang-undang Islam di Madinah dan Madinah bukan negara Mullah.
Kesilapan Taliban ketika memerintah Afghanistan dengan undang-undang Islam tidak boleh menafikan keindahan undang-undang tersebut. Ini kerana mereka terlalu jumud dengan mazhab Hanafi, tanpa melihat mazhab yang lain sehingga dilihat terlalu keras melaksanakan undang-undang Islam. Wanita dipaksa memakai purdah dan dilarang bekerja.
Pas berbeza dengan Taliban kerana Pas mengemukakan undang-undang Islam yang meraikan kepelbagaian pandangan mazhab dalam Islam dengan melihat realiti semasa. Contohnya, Pas mengambil ketetapan bahawa hudud tidak akan dilaksanakan ke atas orang bukan Islam. Wanita akan terus dibenarkan bekerja dan dibela. Justeru, jangan jadikan kesilapan Taliban untuk menafikan keindahan undang-undang Islam.
Persoalannya, kenapa perlu dipilih untuk menanam persepsi buruk terhadap undang-undang Islam sedangkan kita ada pilihan untuk membina persepsi yang baik terhadap undang-undang ini. Kenapa perlu dibina persepsi bahawa undang-undang Islam hanyalah membawa mimpi buruk kepada rakyat. Tangan rakyat akan dipotong, ataupun wanita akan direjam dengan batu, ataupun wanita dipukul kerana tidak bertudung dan seterusnya.
Jangan ditiru cara Umno yang membina persepsi buruk terhadap undang-undang Islam. Undang-undang ini jika dilaksanakan akan menghalang pembangunan kerana batu-batu telah digunakan untuk merejam, berlakunya kekacauan dan pengangguran, rakyat boleh makan sup tangan dan lain-lain lagi yang memburukkan undang-undang Islam.
Kita ada pilihan untuk menanam persepsi yang baik kerana undang-undang Islam membawa rahmat dan kebaikan. Tidak akan ada rakyat yang akan dipotong tangannya, disebat dan direjam dengan batu kerana tidak ada lagi orang yang akan sanggup mencuri dan berzina disebabkan gerun terhadap hukuman ALLAH. Ia adalah pencegahan daripadaNya. Orang-orang yang dizalimi pasti gembira terhadap hukuman ALLAH ini. Hanya orang yang zalim sahaja tidak senang dengan hukuman ALLAH.
Pas sentiasa segar dengan ijtihad baru:
Walaupun Pas sebagai gerakan Islam sentiasa tegas dengan prinsipnya memperjuangkan undang-undang Islam, Pas sentiasa menilai pendekatannya. Pas memperkatakan tentang ijtihad-ijtihad baru mengenai politik termasuklah ijtihad tahalluf siasi. Pas telah lama berijtihad bahawa pilihanraya adalah syari'e walaupun sebahagian gerakan Islam yang lain baru terlibat dengannya. Begitu juga Pas membenarkan wanita bertanding dalam pilihanraya. Pas sentiasa memahami teks dalam kerangka konteks kerana sedar politik terdedah kepada perubahan.
Atas kesedaran tentang hakikat politik Islami dan memahami tabiat baru politik Malaysia, Pas menggunakan pelbagai pendekatan baru. Slogan-slogan yang menakutkan tidak pernah digunakan.
Slogan-slogan Islam yang lebih memberikan harapan telah lama dilaungkan. Pas melaungkan slogan kebajikan dan khidmat masyarakat sejak sekian lama dan dipertegaskan lagi dalam muktamar yang berakhir baru-baru ini dengan konsep negara berkebajikan. Pas memberikan khidmat kepada rakyat. Menambat hati mereka dengan janji yang selaras dengan cita dan cinta rakyat.
Di negeri Kelantan sebagai contoh, kerajaan Pas telah memberikan pelbagai servis kepada rakyat seperti projek Al-It'am (kupon beras percuma), Az-Ziwaj (bantuan perkahwinan), Ladang Rakyat, bantuan armalah (ibu tunggal) dan sebagainya. Kebajikan rakyat sentiasa dijaga di samping penerangan kepada masyarakat tentang Islam dan undang-undangnya sentiasa berjalan dan mendapat sambutan yang baik. Semua yang dilakukan ini adalah untuk mewujudkan suasana yang kondusif bagi perlaksanaan undang-undang Islam di negeri tersebut.
'Arab Spring' tidak merubah prinsip gerakan Islam:
Perlu dijelaskan bahawa walaupun 'Arab Spring' berlaku kerana tidak puas hati dengan pemerintah yang zalim tetapi rakyat memilih gerakan Islam untuk menggantikan pemerintahan tersebut. Ini kerana mereka yakin terhadap Islam dan undang-undangnya sebagai alternatif walaupun pilihanraya yang diadakan turut disertai oleh parti-parti yang berbentuk sekular, nasionalis dan sosialis.
Gerakan Islam yang memerintah di negara Arab sekarang ini tidak pernah mengubah prinsip perjuangan mereka. Dr. Moursi selaku Presiden Parti al-Hurriyyah wal 'Adalah selepas 'Arab Spring' sebelum menjadi Presiden Mesir menegaskan hasrat menegakkan undang-undang Islam ketika muktamar pertama partinya. Setelah menjadi Presiden Mesir, dia juga menyatakan keinginannya untuk melaksanakan undang-undang Islam apabila ditanya dalam satu majlis bersama rakyatnya.
Akhirnya, nasihat dan teguran saya kepada penulis artikel 'Relevankah Pas dalam realiti baru?" supaya jangan menggunakan agama supaya orang ramai makin jauh daripada agamanya. Jangan tanam persepsi buruk di kalangan rakyat terhadap undang-undang Islam atas nama agama sehingga orang takut kepadanya. Penulis artikel tersebut perlu terbuka untuk menerima nasihat dan teguran ini sebagaimana beliau inginkan orang lain menerima tegurannya. Pun begitu, saya tidak lupa untuk mengucapkan terima kasih atas nasihat dan teguran yang beliau berikan.
SAYA pernah mengkritik Umno dalam tulisan saya sempena Perhimpunan Agung Umno yang lepas dan sebelum. Ketika itu saya tetamu parti tersebut di perhimpunan mereka. Orang Umno tidak menzahirkan kemarahan atas kritikan itu.
Perasaan mereka, saya tidak tahu.
Muktamar Pas baru sahaja berlalu. Kali ini saya ingin sedikit melontarkan persoalan untuk berkongsi dengan Pas. Maaf, bagi saya Pas merupakan parti politik yang agar sukar menerima teguran. Sekalipun tidak dinafikan ada juga pimpinan Pas yang bersikap terbuka.
Pemuda Pas merupakan sayap yang sepatutnya menggambarkan 'open-mindedness', tapi menzahirkan reaksi yang agak keras setiap kali menerima kritikan. Pembaca boleh membaca reaksi timbalan ketuanya dalam memberi pandangan balas terhadap saya ketika saya melontar pandangan agar jangan tiru pendekatan Taliban dan jangan wujudkan negara mullah.
Dalam wacana di Sinar baru-baru ini mengenai ulama dan pemerintah, banyak kritikan saya tertumpu kepada Umno, tetapi pihak Pemuda Pas yang begitu melenting hanya kerana pandangan sepintas lalu agar Pas jangan nanti membentuk negara mullah.
Umno tidak sangat melantah. Saya mula risau tentang masa depan hak bersuara rakyat terhadap kerajaan jika Pas direzekikan ALLAH menguasai Putrajaya. Apakah pendekatan Ummno sebelum PRU-12 akan dihidupkan semula? Atau lebih parah, atas nama Tuhan rakyat dilarang berbicara? Harapnya tidak begitu.
Berubah
Gerakan Islam di seluruh dunia terpaksa akur bahawa mereka perlu berubah jika ingin memastikan mereka terus relevan. Bukan sahaja gerakan Islam, bahkan apa sahaja gerakan dalam dunia ini terpaksa akur bahawa cuaca baru yang sedang dihayati oleh umat manusia memerlukan satu kerangka baru dalam pemikiran dan perlaksanaan.
Politik adalah satu bidang yang membabitkan persoalan menguruskan manusia. Manusia itu terdedah kepada pengaruh tempat dan masa. Budaya dan cara berubah disebabkan persekitaran yang berbeza. Sudah tentu, iklim politik pada zaman Nabi s.a.w dan al-Khulafa al-Rasyidin tidak sama dengan zaman selepasnya.
Sudah pasti budaya dan cara politik pada zaman Umawiyyah dan ‘Abbasiyyah tidak sama dengan yang selepas itu. Demikian politik dalam era ‘nation states’ tidak sama dengan era empayar sebelum itu.
Globalisasi dan era ledakan maklumat telah mencetuskan pelbagai fenomena baru dalam kehidupan manusia.
Sesiapa yang cuba melaksanakan secara literal ataupun mengadaptasikan sepenuhnya teks politik zaman lampau ke zaman kini, maka dia seorang yang naïf dan dangkal dalam memahami tabiat politik (naturalness of politics) , sekaligus rasional dan tabiat Islam (naturalness of Islam) itu sendiri.
Retorik
Semasa awal kebangkitan Islam, gerakan Islam khususnya yang banyak bercakap tentang politik banyak melaungkan slogan-slogan yang belum diuji keberkesanannya.
Sebahagian slogan itu didokong oleh sebahagian mereka dengan penuh 'dogmatic' dan 'rhetoric'.
Padahal, sebahagian besarnya hanyalah ijtihad ataupun tafsiran yang dibuat dengan pengaruh tertentu. Sedangkan Islam lebih luas dan terbuka dibandingkan dogma dan retorik tersebut.
Kesempitan beberapa pegangan mereka khususnya apa yang dikaitkan dengan teori ‘daulah Islamiyyah’ ataupun ‘Islamic State’ telah menghalang mereka maju ke hadapan. Slogan mereka menakutkan sebahagian rakyat. Islam yang menjadi agama rahmat, diungkap dan dilaungkan secara yang menggusarkan.
Fokus terhadap menghukum rakyat dengan ‘hukuman syariah’ lebih banyak dari bicara tentang memberikan 'service' dan hak-hak rakyat yang dibela oleh syariah.
Pendekatan sebahagian slogan Islam itu seakan ingin menjadikan rakyat ‘robot patuh shariah’ bukan sebagai manusia merdeka yang taat kepada Tuhan dengan penuh pilihan.
Nilai Semula
Setelah melalui beberapa pengalaman, akhirnya banyak gerakan Islam mula menilai semula. Dalam kalangan mereka mula memperkatakan tentang ijtihad-ijtihad baru mengenai politik. Mereka juga mula membahaskan betapa perlunya memahami teks dalam kerangka konteks.
Mula sedar betapa politik terdedah kepada perubahan. Islam hanya menetapkan dasar-dasar umum. Derita Dunia Muslim bukan kerana soal tiada hudud ataupun pemimpin tidak berserban, tetapi derita Dunia Muslim disebabkan 'bad governance', rasuah, salah guna kuasa, pecah amanah dan lain-lain penyakit yang men’jahanam’kan negara.
Memalukan Dunia Muslim dibandingkan Barat yang sering mereka kutuk. Jika dilihat di sudut Islam agama yang mempentingkan kebersihan dan peraturan pun, malang sekali negara-negara umat Islam kebanyakan kotor, pengurusan yang buruk dan segala kemunduran hidup.
Sedangkan Barat yang meninggalkan agama itu jauh lebih bersih, kemas pengurusan mereka dan maju. Islam tidak salah, tetapi umatnya bersalah kerana meninggalkan ajaran Islam dalam hal-hal berkenaan.
Datang gerakan Islam pulak memberikan fokus yang tidak menggambarkan sifat Islam yang memberikan 'service' kepada kemaslahatan manusia. Maka, perubahan ataupun tajdid dalam gerakan Islam itu amat diperlukan.
Rakyat muslim mula muak dengan pemerintah-pemerintah mereka yang ada. Rasuah, salah guna kuasa, memerah harta negara dan kezaliman menghiasi politik Dunia Muslim. Rakyat membenci pemerintah mereka sekian lama.
Era teknologi telah membuka peluang besar untuk kebangkitan yang lebih berkesan. Kombinasi antara teknologi dan hasrat perubahan politik menampakkan hasilnya. ‘Arab Spring’ menjadi bukti bahawa era baru mampu melakar politik gaya baru.
Siapakah yang akan menjadi harapan rakyat?
Gerakan Islam yang terlibat dengan politik cuba tampil ke hadapan sebagai satu alternatif baru. Persoalannya, apakah yang rakyat mahukan? Apakah mereka mahu keluar dari cengkaman golongan 'secularist' kepada cengkaman golongan mullah (clerics)?
Apakah mereka mahu kerakusan kuasa atas nama dunia ditukar kerakusan kuasa atas nama Tuhan dan agama? Sudah tentu tidak! Mereka mahukan hak, keadilan dan kenikmatan hidup sebagai insan yang bermaruah dan merdeka. Mereka sudah rimas dengan cengkaman penguasa. Islam yang rahmat diharapkan dapat menawarkan khidmat yang mereka idamkan. Mereka ingin melihat orang yang miskin dan melarat diberikan makan.
Bandar yang kotor menjadi bersih. Pengurusan yang buruk menjadi terurus. Rakyat diberikan ilmu dan pendidikan. Harta negara dibahagi secara adil dan kerajaan diurus dengan penuh amanah.
Mereka bukan bermimpi untuk melihat tangan rakyat dipotong, ataupun wanita direjam dengan batu, ataupun wanita dipukul kerana tidak bertudung dan seterusnya. Itu bukan mimpi mereka. Itu juga bukan mimpi Islam yang penuh rahmat ini. Mereka mengharapkan gerakan Islam menghilangkan sengsara mereka, bukan sekadar untuk menghukum mereka.
Mendapat Tempat
Atas kesedaran tentang hakikat politik Islami dan memahami tabiat baru dunia kini, banyak gerakan Islam mula membuat pendekatan baru. Slogan-slogan yang menakutkan telah cuba ditinggalkan.
Pendekatan ‘haram’, haram, haram mula ditukarkan dengan mencari dan memberi alternative halal yang lebih baik kepada rakyat.
Slogan-slogan Islam yang lebih memberikan harapan mula dilaungkan. Mereka mula memberikan khidmat kepada rakyat. Menambat hati mereka dengan janji yang selaras dengan cita dan cinta rakyat. Al-Ikhwan al-Muslimin juga mencari pendekatan baru di Mesir.
Demikian al-Nahdah di Tunisia. Turki dilihat mengepalai hal ini. Walaupun kerajaan Turki berasaskan secularism, tapi tokoh-tokoh Islam Turki tidak menjerit perlembagaan kufur atau ingin menghapuskan perlembagaan, sebaliknya bekerja dalam kerangka yang ada.
Ini sama dengan apa yang dibuat oleh Ashamah, Najashi di Habshah yang mengepalai negaranya yang Kristian. Dia menganut Islam secara senyap dan berhubungan dengan Nabi s.a.w melalui utusan dan surat menyurat. Nabi s.a.w tidak pernah menyuruhnya meletakkan jawatan, sebaliknya dia bekerja dalam kerangka yang ada dan termampu.
Maka, pemikiran tajdid dalam memahami realiti baru amat diperlukan oleh Pas.
Usahanya itu adalah bagi membolehkan Pas terus relevan dan mencapai maqasid politik yang dikehendaki oleh syarak. Usaha seperti ini amatlah penting, walaupun biasanya ia akan dikritik oleh penganut dogma lama. Pas itu sendiri hari ini hakikatnya telah cuba berubah dalam menangani persekitaran yang ada. Apakah Pas akan berjaya menawar khidmat islami yang relevan dengan kemanusiaan hari ini?
* Prof Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin, pensyarah USM dan bekas Mufti Perlis
Tiada ulasan:
Catat Ulasan