SPECIAL ADS

30 November 2012

PAU Medan Belasah Pakatan Rakyat



KUALA LUMPUR: “Seperti dijangka Umno akan jadikan persidangan Umno kali ini sebagai peluang untuk membelasah Pakatan Rakyat. Maklumlah parti yang sedang hendak menuju ajal, menggelupur seperti lembu yang hendak mati,” kata AJK PAS Puat, Ustaz Idris Ahmad.


Katanya, Umno terpaksa berlakon sebagai pejuang Melayu dan agama walau pun hakikatnya pengkhianatan berlaku angkara 55 tahun Umno memerintah.

Umno sekarang, ujarnya sudah hilang ideologi dan idealisma perjuangan dan ereka sudah kehilangan sokongan Melayu yang celik maklumat dan celik agama.


“Cuma Umno disokong oleh ahli yang ada kepentingan projek sahaja,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, pemimpin Umno tahu bahawa Melayu akan mengundi dengan emosi, maka ini yang menjadi strategi Umno.

“Ucapan pemimpinnya penuh dengan emosi bahawa Melayu akan hilang jika Umno tumbang. Pada hal yang mengkhianat sesama Melayu ialah Umno,” ujarnya lagi.

Beliau menambah, mereka diberi kuasa, dengan kuasa mereka menindas Melayu yang terlalu banyak jika hendak disenaraikan dosa Umno kepada Melayu.

“Tetapi Umno membaling batu sembunyi tangan atau pun seperti pencuri menjerit pencuri,” katanya.

Katanya lagi, Umno fikir dengan bersandarkan Melayu maka ia boleh menipu rakyat.


“Andaiannya Umno boleh membuat  apa sahaja kerana dia Melayu. Seolah-olah Melayu maksum, walaupun perasuah, penindas sesama Melayu, asalkan daripada kelompok Umno,” ujarnya.

Beliau berkata, Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin membaca doa ketika merasmikan Persidangan Pemuda, Wanita dan Puteri agar jauhkan Umno daripada menjahanamkan sesama sendiri walau pun hakikatnya Umno hanya pandai berdoa, tetapi pemimpin merekalah menjahanamkan sesama bangsa dan agama.


Katanya lagi, penafian hak kepada Kelantan, mematikan institusi masjid dengan melantik mereka yang bukan ahli masjid, menukar guru yang tidak sokong Umno contoh suami Cikgu Normala Sudirman, menyekat projek kepada orang tidak sealiran dengan Umno.

“Apakah ini bukan menjahanam sesama sendiri?” tanya Idris.

Umno Kian Pulih - Ku Li



Veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah berkata, walaupun Umno telah pulih selepas kejutan pilihan raya umum (PRU) 2008, transformasi parti perlu diteruskan bagi memastikan Umno kekal relevan sepanjang zaman.

Ahli Parlimen Gua Musang itu berkata. dalam sebuah parti politik seperti Umno, transformasi adalah sesuatu yang perlu dilakukan secara konsisten bagi memastikan kesinambungan yang berterusan.

"Melihat semangat dan kepimpinan Umno kini yang rajin turun padang mendekati serta menyelami jiwa rakyat, tidak lupa sokongan generasi muda meningkat, jadi betul kita sudah pulih.

"Tetapi kita jangan alpa, kita kena terus lakukan transformasi seperti melatih pemimpin muda menggantikan kita bagi menjadikan Umno kekal kukuh pada masa depan," katanya kepada Bernama di luar Persidangan Agung Umno 2012, di sini hari ini.

Semalam, Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Umno telah pulih selepas kejutan PRU 2008, dan kini cukup bersedia menghadapi PRU ke-13.

Mengulas mengenai sokongan generasi muda, Tengku Razaleigh berkata, walaupun ada generasi muda pada masa ini dilihat berada atas pagar, perkara itu perlu diambil secara positif oleh Umno.

"Ini berbeza dengan PRU lepas yang banyak pendapat mengatakan orang muda ini banyak sokong pembangkang, jadi sekarang bila banyak orang muda atas pagar maknanya sokongan itu sudah mula condong ke arah kita.

"Ia suatu perkara positif, namun kita jangan mendabik dada sekarang. Usaha perlu dilakukan bagi menarik terus golongan ini ke arah kita, di sini jentera Umno terutamanya Pemuda dan Puteri memainkan peranan penting," katanya.

Beliau berkata, kekangan terhadap kebebasan generasi muda, terutamanya untuk berpolitik merupakan satu masalah yang perlu ditangani secara halus oleh kepimpinan Umno.

"Generasi muda ini bila mereka dikongkong akan memberontak, jadi kita kena beri kebebasan pada mereka. Tetapi bila terlalu banyak kebebasan dikhuatiri perkara lain terjadi, maka suatu mekanisme yang 'berjalan di tengah' perlu dicari, kebebasan tapi masih ada nilai murni orang kita," katanya.

Tengku Razaleigh yang mengakui perlu ada lebih ramai pemimpin muda dalam Umno, menekankan pada masa yang sama harus ada keseimbangan antara jumlah pemimpin muda dan yang berpengalaman.

"Perlu ada satu sistem seperti 'check and balance'...bila orang muda mahu lakukan ini orang berpengalaman mesti tengok apa kesannya, bila orang berpengalaman buat ini orang muda kena tengok selari atau tidak dengan aspirasi mereka," katanya.

Fakta Pencapaian Najib dan Anwar




Azmin Ali Timbalan Presiden PKR telah mengemukakan fakta sebagai perbandingan bagi menjawab siapa sebenarnya lebih bijak mengurus kewangan negara antara Datuk Seri Najib Abdul Razak dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Fakta berupa angka pertumbuhan Kadar Domestik Negara Kasar (KDNK) kedua-dua zaman Anwar dan Najib menjadi menteri kewangan itu di kemukakan Timbalan Presiden PKR Azmin Ali.
Menurut Azmin, ketika Anwar menteri kewangan, negara mencatatkan pertumbuhan KDNK yang kukuh pada kadar 8.8 peratus pada tahun 1992,  9.9 peratus (1993), 9.2 peratus (1994), 9.8 peratus (1995), 10 peratus (1996) dan 7.3 peratus pada 1997 apabila krisis ekonomi bermula.

Sebaliknya, di bawah Najib, KDNK negara merosot sebanyak 1.5 peratus pada 2009, dengan pertumbuhan berikutnya sebanyak 7.2 peratus pada 2010 dan 5.1 peratus pada tahun 2011.

Pendedahan secara perbandingan itu dipercayai bagi menyangkal kenyataan Najib ketika berucap di perhimpunan agung Umno semalam bahawa beliau (Najib) mampu menguruskan ekonomi negara lebih baik daripada Anwar.

"Sejak menjadi Menteri Kewangan, pencapaian ekonomi Datuk Seri Najib Tun Razak tidak pernah sekali pun mengatasi pencapaian Datuk Seri Anwar Ibrahim. 

"Pada kala Datuk Seri Anwar berjaya memacu pertumbuhan ekonomi negara sehingga mencecah 9% - 10% hampir sepanjang beliau menjadi Menteri Kewangan, tahun pertama Datuk Seri Najib (2009) mengemudi ekonomi negara menjunamkan negara ke kancah kegawatan ekonomi, sedang negara jiran seperti Indonesia kekal berkembang pesat," katanya.

Beliau turut mengemukakan angka perbandingan belanjawan defisit dan jumlah hutang negara yang memperlihatkan hutang negara pada zaman Najib ketika ini melonjak sehingga RM456 bilion berbanding zaman Anwar yang menunjukkan trend penurunan setiap tahun dari 1992 sebanyak RM97 bilion kepada RM89 bilion pada 1997.

28 November 2012

Pemilikan Tetap Untuk Penghuni Tanah Kampung



Kerajaan Negeri tidak lagi mengeluarkan sebarang Lesen Menduduki Tanah Sementara (TOL) kepada penghuni yang mendirikan penempatan di atas tanah milik kerajaan.
Sebaliknya, Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, Kerajaan Negeri lebih berminat untuk memberikan status pemilikan kepada mereka.
“Oleh sebab itu kita mengarahkan Pejabat Daerah untuk memastikan jika benar-benar mereka tinggal di situ, maka kita akan beri hak pemilikan.
“Amalan ini dilihat lebih baik untuk jangka masa panjang jika dibandingkan dengan amalan mengeluarkan TOL seperti yang diamalkan sebelum ini,” jelas Abdul Khalid.
Beliau menjawab soalan lisan daripada Adun Paya Jaras, Datuk Muhammad Bushro Mat Johor mengenai status pemilikan tanah Kerajaan Negeri di kampung-kampung tradisional.
Mengulas isu pertindihan pemilikan tanah, Abdul Khalid menjelaskan Kerajaan Negeri akan menggantikan tanah dalam kes-kes pemilikan bertindih.
Namun, penggantian tanah tersebut adalah tertakluk kepada arahan yang diputuskan Mahkamah Tinggi yang mengarahkan penggantian dibuat hanya jika kesilapan berlaku di peringkat Kerajaan Negeri.
“Jika pertindihan berlaku kerana ‘fraud’ atau penipuan, maka tanggungjawab tersebut (menggantikan tanah) terlepas daripada Kerajaan Negeri,” tegasnya.

27 November 2012

PRU 13 Tahun Depan



Datuk Seri Najib Tun Razak dikatakan telah mengesahkan bahawa Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) tidak akan diadakan bulan depan meskipun dalam temu bual sempena Perhimpunan Agung Umno (AGM) 2012, yang disiarkan kelmarin, beliau ada mengatakan musim hujan bukan halangan untuk memanggil pilihan raya.
Perdana Menteri yang juga Presiden Umno mengatakan perkara ini kepada ahli-ahli Umno pada majlis Taklimat Presiden yang diadakan di Dewan Merdeka, petang ini sempena AGM kali ini.
"Datuk Seri Najib sudah mengatakan dengan jelas PRU13 bukan bulan depan. Beliau berkata 'oleh kerana ini majlis tertutup, saya boleh memberitahu (anda) pilihan raya bukan bulan Disember'... jadi, pasal pilihan raya, ini bayangan yang jelas, yang disampaikan oleh Datuk Seri Najib," kata seorang pemimpin parti kepada Sinar Harian Online.
Majlis Taklimat Presiden merupakan sesi tradisi menjelang AGM parti.
Pemimpin yang enggan namanya didedahkan menambah, Najib secara berseloroh ada menyebut bahawa "PRU13 akan diadakan tahun depan" sambil merujuk kepada tempoh sama ada antara Januari atau April, atau "dalam tempoh dua bulan selepas itu."

"Kita ada antara Januari dan April dan tambahan 60 hari lagi... itu kata Datuk Seri Najib," kata seorang lagi pemimpin bahagian merujuk kepada tempoh dua bulan yang diberikan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menentukan tarikh pilihan raya.
"Bukan bulan Disember, pastinya tahun depan," kata seorang seorang lagi pemimpin memetik Najib.
Sementara itu, ahli Majlis Tertinggi Umno, Dr Puad Zarkashi berkata, tidak perlu berteka-teki lagi berhubung tarikh PRU13 kerana ia sah tidak akan diadakan bulan hadapan.
"Perdana Menteri kata jangan tunggu lagi, pilihan raya pasti tahun depan," kata Puad yang juga Timbalan Menteri Pelajaran.
Dalam pada itu, seorang lagi ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Mustapa Mohamed turut mengesahkan apa yang diberitahu Presiden Umno itu berhubung tarikh PRU13.
"Kita perlu rapatkan perpaduan bersiap sedia untuk PRU13.
"Cabaran kita adalah bersatu  dan kerja kuat... yang penting kita dapat majoriti dua pertiga  dalam PRU tahun hadapan," kata Mustapa yang juga Pengerusi Umno Kelantan.
Dalam pada itu, Exco Pemuda Umno, Datuk Muhd Khairun Aseh berkata, Najib ada memberi gambaran tentang PRU13.
"Semua nantikan pilihan raya tahun depan bukan tahun ini," katanya.
Mandat semasa Kerajaan Pusat akan berakhir 28 April depan. Parlimen akan terbubar secara automatik selepas itu jika Perdana Menteri tidak memutuskan untuk berbuat demikian sebelum tarikh tersebut.
Pilihan raya umum terdahulu telah diadakan pada 8 Mac 2008.
Sinar Harian Online juga difahamkan agensi-agensi kerajaan juga telah menarik balik arahan membekukan cuti hujung tahun ini, yang dikeluarkan sebelum. Maklumat terbaru diterima menunjukkan notis terbaru dikeluarkan meminta semua cuti dibekukan selepas minggu kedua bulan Februari.
Penganalisis dan pemerhati menjangkakan PRU13 akan diadakan awal Mac depan selepas sambutan Tahun Baru Cina.
Dalam temu bual terbaru dikeluarkan kelmarin, Najib berkata, "kalau bulan Disember tak ada 'election', tahun depanlah. Melainkan kita buat bulan Disember ini. Kalau hujan atau banjir, boleh naik sampan, naik bot."
Sebelum ini beberapa tarikh ramalan pilihan raya umum sudah pun tersasar. 

Najib pada mulanya mencetuskan teka-teki apabila menyebut angka 11 begitu signifikan dalam hidupnya sehingga mengundang tafsiran PRU13 akan diadakan pada tanggal 11.11.11. Tarikh itu sudah jauh meninggalkan kita.

Ada pula yang menjangkakan Parlimen akan dibubarkan Jun tahun ini dengan mengambil kira musim cuti persekolahan, namun ramalan itu juga meleset. 

Kemudian, timbul pula ura-ura kononnya pilihan raya akan diadakan sebelum Ramadan. Sekali lagi jangkaan itu silap.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof sebelum ini berkata, agensi itu sedia untuk melaksanakan pilihan raya pada bila-bila masa termasuk dalam keadaan cuaca yang buruk. 

Bercakap dalam wawancara khas bersama Sinar Harian Online bulan lalu, Aziz berkata, SPR akan mencari tarikh  “paling cantik dalam keadaan yang buruk” jika perlu berbuat demikian. 

Lima negeri dikatakan bakal terjejas teruk apabila angin monsun timur laut melanda iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang, Perak, Johor termasuk Sabah dan Sarawak.

Jabatan Pengairan dan Saliran memberi amaran kepada orang ramai, negara bakal berhadapan risiko banjir besar antara November hingga Mac tahun hadapan.
Negara tidak pernah menyaksikan pilihan raya umum pada bulan Disember. Hanya Pilihan Raya Umum 1999 diadakan 29 November.
Pilihan Raya Umum 1959 diadakan pada 19 Ogos, 1964 (25 April), 1969 (10 Mei), 1974 (24 Ogos), 1978 (8 Julai), 1982 (22 April), 1986 (3 Ogos),  1990 (20 dan 21 Oktober),  1995 (24 dan 25 April), 1999 (29 November), 2004 (21 Mac) dan 2008 (8 Mac).

26 November 2012

Mahathir Ramal Umno Tewas?



Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad meramalkan bahawa Umno mungkin tewas sekiranya jentera peringkat bahagian masih belum bergerak aktif kerana menunggu calon diumumkan.

Dalam satu wawancara disiarkan Utusan Malaysia hari ini, Mahathir berkata jentera berkenaan sepatutnya sudah digerakkan walau pilihan raya umum mungkin akan diadakan dalam tempoh enam bulan lagi.

"Saya dapati hanya Najib nampak aktif, di peringkat bahagian mereka masih tunggu siapa yang bakal jadi calon sebelum mereka mahu bergerak (untuk pilihan raya). Sifat macam ini kalau berleluasa mungkin kita akan kalah. 

"Sepatutnya mereka aktif dari sekarang. Tidak perlu peduli siapa nak jadi calon. Kita nak bagi parti menang," katanya seperti dipetik akhbar itu.

Mahathir berkata demikian apabila ditanya sama ada Umno sudahpun melakukan persediaan mencukupi memandangkan persidangan Umno yang bermula esok merupakan persidangan terakhir sebelum pilihan raya.

Tambahnya, Umno masih lagi mengalami masalah memandangkan ahli parti menurutnya hanya mahu individu tertentu dipilih sebagai calon pilihan raya.

"Masalah Umno ialah mereka mahu si polan si polan yang jadi calon. Kalau tak dapat orang dia, biar kalah pun tak apa. 

"Tapi kalau orang itu menang tetapi parti kalah, akhirnya tidak boleh wujudkan kerajaan. Perkara mudah begini pun takkan mereka tak faham," kata Mahathir. 

Sementara itu, ditanya sama ada sayap Umno sudah menjalankan perubahan yang diharapkan, beliau berkata, ia masih belum memuaskan. 

Beliau juga melihat, Pemuda Umno tidak begitu aktif berbanding Wanita dan Puteri yang dilihatnya lebih bersemangat. 

Selain itu, dalam wawancara itu juga, Mahathir turut menyatakan sokongannya terhadap Presiden Umno Datuk Seri Najib Abdul Razak dengan kesediaan untuk berkempen untuk parti jika dibenarkan. 

Katanya, dengan berkempen, ia merupakan masa unyuk membayar balik melalui parti selepas beliau dipilih menjadi presiden parti seterusnya perdana menteri. 

"Kali ini jika Najib tidak membantah, saya akan terus berkempen. Ini adalah masa untuk saya membayar balik kerana melalui parti inilah saya berupaya menang dan kemudian dipilih sebagai presiden dan kemudian perdana menteri. 

"Sudah sampai masa untuk saya membalas balik jasa kepada parti," katanya. 

Dalam pada itu, Mahathir turut meramalkan bahawa BN akan memenangi semula negeri yang telah tewas pada pilihan raya umum ke-12. 

Bagaimanapun katanya, kemenangan itu juga terpulang kepada Umno itu sendiri. 

"Saya fikir terdapat kemungkinan besar tiga negeri ini iaitu Pulau Pinang, Kedah dan Selangor mampu dimenangi semula. Malah ada kemungkinan yang kuat- kita mampu menawan semula Pulau Pinang dan Kelantan. 

"Namun itu semua terpulang kepada Umno itu sendiri," katanya sambil menambah, sabotaj dalaman merupakan faktor utama yang menyebabkan kekalahan Umno.

Peguam Perancis Taklimat Scorpene di Singapura


Taklimat Scorpene oleh dua peguam Perancis – William Bourdan dan Joseph Breham akan diadakan esok di Singapura, menurut Naib Presiden PKR, Tian Chua.

“Mereka tidak ke Malaysia. Taklimat akan dibuat di Singapura,” katanya ketika ditemui di Parlimen hari ini.

Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan lokasi dan pihak yang dijemput mendengar taklimat tersebut.

“Kita akan keluarkan kenyataan dalam masa terdekat,” tambah Ahli Parlimen Batu itu sebagaimana dilaporkan oleh Keadilan Daily hari ini.

Perkara tersebut turut disahkan Pengarah Eksekutif Suara Rakyat Malaysia (Suaram), Cynthia Gabriel.

“Ya, taklimat tersebut akan diadakan di Singapura esok,” katanya kepada Keadilan Daily.

Ditanya mengapa tidak dibuat di Malaysia, Cynthia berkata, kemasukan peguam terbabit dihalang oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Speaker Dewan Rakyat, Pandikar Amin Mulia.

Khamis lalu, Ahli Biro Politik PKR, Sivarasa Rasiah memberitahu, taklimat yang sepatutnya diadakan pada Khamis lalu ditunda dan dijadual berlangsung di bilik taklimat, bangunan Parlimen esok.


William dan Breham akan memberi maklumat terperinci mengenai perbicaraan Scorpene di Mahkamah Perancis.

Surat jemputan rasmi kepada mereka diserahkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 7 November lalu.

Sebelum ini, Hishammuddin menyatakan peguam terbabit akan ditahan jika hadir ke Malaysia dan meminta mana-mana pihak tidak mempolitikkan ‘keputusan yang dibuat’.

Pada Julai 2011, kerajaan bertindak menghantar pulang William ketika tiba di KLIA untuk memberi taklimat pada majlis makan malam Suaram di Petaling Jaya.

Kapal selam Scorpene yang dibeli dari DCNS di Perancis – melibatkan komisen lebih RM500 juta dibayar kepada Perimekar Sdn Bhd, syarikat milik rakan baik Perdana Menteri – Abdul Razak Baginda.

Skandal ini dikatakan turut berhubung kait dengan pembunuhan warga Mongolia, Altantuya Shaaribuu yang dibunuh mengguna bom C4 dari Kementerian Pertahanan pada 2006.

Hakim Roger Le Loire dan Serge Tournaire kini sedang meneruskan siasatan terhadap kes berkenaan di Mahkamah Tribunal deGrande Instance Perancis.

Tujuh saksi dinamakan termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Zahid Hamidi; penyiasat persendirian, P Balasubramaniam, Abdul Razak Baginda, isteri Razak, Mazlinda Makhzan, pembantu kanan beliau, Jasbir Singh Chahl serta Ahli Perniagaan, Lodin Wok Kamaruddin.

Debat Antara Pemimpin Adalah Pendekatan Terbaik




Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPP) mencadangkan pemimpin tertinggi Umno berdebat secara terbuka dengan pemimpin tertinggi PAS daripada terus menjadikan Perhimpunan Agung umno (PAU) sebagai medan memburuk-burukkan PAS dan Pakatan Rakyat.

Ketua Penerangan DMPP, Aiman Athirah Al-Jundi berkata, ucapan perasmian Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin, ucapan dasar ketua-ketua sayap pemuda dan wanita hinggalah ucapan dasar Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak tidak memberi fokus kepada hala tuju parti itu.

Sebaliknya mereka mengambil peluang tersebut untuk memburuk-burukkan Pakatan rakyat semahu-mahunya.

"Ucapan dasar Datuk Seri Najib menjadi ucapan nanar yang sasarannya ialah Pakatan Rakyat khususnya PAS.

"Muslimat mencadangkan Presiden Umno berdebat dengan Presiden PAS, Timbalan Presiden berdebat dengan Timbalan Presiden PAS dan naib-naib presidennya dengan Naib Presiden PAS.

"Tidak guna mereka menggunakan perhimpunan sendiri untuk mengutuk pihak lawan," kata beliau kepada Harakahdaily hari ini.

Tambah Aiman lagi, debat tersebut bukan untuk mencari siapa menang dan siapa kalah sebaliknya mahu rakyat menilai sendiri ketokohan semua pimpinan kedua-dua parti.

"Kita bukan mahu mencari pemenang tapi kita mahu debat yang harmoni, penuh fakta, menunjukkan intelektual pemimpin supaya rakyat dapat menilai sendiri.

"Sebaik-baiknya debat ini diadakan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-13 sebelum rakyat memilih pemimpin yang dirasakan layak," katanya.

Beliau juga yakin wanita dan generasi muda mahu melihat pemimpin yang lebih matang dan mempunyai matlamat yang jelas daripada pemimpin yang hanya tahu memburuk-burukkan pihak lewan di medan sendiri.

"Muslimat juga mewakili generasi muda mahu melihat politik yang lebih matang dengan gagasan pemikiran yang dibawa, bukan politik kutuk-mengutuk kerana zaman politik begitu sudah berakhir," katanya.



Najib telah cuba menumpang kejayaan Obama  mempertahankan kerusi Presiden Amerika Syarikat dalam pilihanraya Presiden baru-baru ini. Najib telah meminta rakyat mengambil contoh rakyat Amerika dengan mengekalkan kerajaan penyandang di negara ini. Saya telah menulis tentang isu ini dan kali ini saya ingin menulisnya sekali lagi.

Baiklah, kita ikut bagaimana Obama mengekalkan kuasa di Rumah Putih di Washington. Jika itu kehendak Najib maka kita lakukan apa yang dilakukan oleh Amerika Syarikat (AS). Pertamanya oleh kerana pilihanraya kita sudah hampir maka Najib patut bersetuju untuk melakukan perdebatan terbuka dengan Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim seperti perbahasan di antara Obama dengan Roomney dari Republican semasa pilihanraya Presiden tidak berapa lama dahulu.

Kalau hendak mengikut jejak langkah rakyat AS, kita ikut betul-betul. Tentu ramai bersetuju jika perbahasan ini diadakan secara ‘live’ melalui TV3, RTM, ASTRO dan lain-lain saluran TV yang boleh di lihat di negara ini. Tentukan yang saluran-saluran TV yang besar seperti CNN, Aljazeera dan yang lain-lain menyiarkan secara ‘live’ ke seluruh dunia.

Dalam perbahasan itu Najib boleh membuktikan keburukan Anwar dan Pakatan Rakyat dan biarkan semua masyarakat dunia tahu keadaan sebenarnya. Saya rasa Najib akan mendapat lebih kredibiliti jika semua manusia menonton perbahasan ini dan buktikan segala tuduhan beliau terhadap PR dan Anwar itu betul dan benar.

Najib selalu berkata akhir-akhir ini yang beliau sahaja yang mampu melakukan perubahan, maka tunjukkan bukti dan yakinkan kepada semua pihak melalui perbahasan itu. Sekarang ruang telah terbuka untuk Najib membuktikan kebenaran dan kemampuan beliau dari berkata dan mencemuh Pakatan Rakyat dari belakang dan secara tertutup.

Dalam perbahasan itu Najib boleh buktikan yang beliau tidak terlibat langsung dalam isu Altantuya serta isu-isu lain seperti komisyen Scorpene dan banyak lagi yang dikaitkan terhadap beliau dan telah terbenam menjadi persepsi dan stigma buruk terhadap beliau.

Dalam perbahasan itu Najib boleh buktikan yang isu NFC tidak kena mengena dengan unsur rasuah dan unsur salahguna kuasa dan sebagainya. Seorang pemimpin yang telah berucap bergegar-gegar selama ini dan akan berucap dengan gegaran dalam Perhimpunan Agung UMNO pada 27hb November ini tentunya berkemampuan untuk mempertahankan kewibawaannya melalui perdebatan itu. Seorang yang benar tidak mungkin takut berhadapan dengan rakyat dalam perdebatan ini, malahan perdebatan ini sepatutnya menjadi cadangan beliau untuk menunjukkan apa yang disebut oleh pembangkang itu fitnah semata-mata.

Najib sepatutnya menerima cabaran ini dengan senang hati dan tunjukkan semua program transformasi beliau itu adalah hebat dari mendengar cerita karut-marut dari dirinya sendiri tentang kehebatan program transformasi beliau itu. Najib selalu mengaku yang kerajaan kita telah menjadi contoh bagi banyak negara di dunia ini, maka perdebatan itu akan menaikkan lagi imej dan ‘dignity’ beliau seperti yang beliau mengakui selama ini.

Najib boleh juga mengambil kesempatan ini untuk membuktikan yang kerajaan pimpinan beliau terhindar dari kegiatan rasuah besar-besaran. Dalam perdebatan itu juga Najib boleh memberikan penerangan bagaimana rakyat negara kita ini akan memperolehi pendapatan yang tinggi menjelang tahun 2020 seperti yang beliau war-warkan ke mana-mana beliau pergi.

Najib tidak perlu gentar berhadapan dengan Anwar. Jika beliau gentar dan menolak cabaran ini, maka jelaslah yang Najib mempunyai banyak perkara yang beliau hendak sorokkan. Jika Najib tidak mahu berdebat dengan Anwar kerana Anwar terlalu tinggi untuk beliau menghadapinya, Najib boleh memilih siapa sahaja  dari pihak pembangkang. Rasa-rasanya saya pun berani dan tidak akan berundur jika mendapat cabaran dari pihak Najib itu. Sedap juga jika anak korporal Polis seperti saya berhadapan dengan pemimpin yang dianggap teragung oleh gulungan seperti ini.

Jika begitu keadaannya maka tidak payah kita berfikir panjang. Terus sahaja kita berikan sokongan kepada parti-parti pilihan selain dari BN dan UMNO. Menarik diri dari cabaran ini bermakna apa yang di tuduh oleh rakyat dan pembangkang selama ini tidak ada yang lain selain dari kebenaran belaka.

Apabila kebenaran sudah terbukti maka rakyat sepatutnya tahu apa yang hendak dilakukan dalam pilihanraya yang akan datang. Tidak payah lagi pemimpin-pemimpin pembangkang ke hulu ke hilir untuk menyaingi media perdana yang menyebelahi kerajaan yang berkuasa sekarang ini. - http://aspanaliasnet.blogspot.com

25 November 2012

Doa Kehancuran Dibolehkan Jika Ditindas



KOTA BHARU - Umat Islam boleh memohon doa kehancuran jika merasa diri mereka ditindas dan juga dizalimi.


Bekas Mufti Perlis, Prof Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, secara umumnya sesiapa sahaja boleh memohon doa kehancuran sekiranya merasakan diri dizalimi.

“Kita ada beberapa perkara yang perlu dipisahkan, isu politik dan fakta, jangan kerana kerana kita berpolitik, kita menafikan fakta.

"Pertama, persoalannya, adakah boleh kita mendoakan orang yang menzalimi kita agar ALLAH SWT mengambil tindakan kepadanya, itu persoalan yang biasa, jangan letak pada Pas atau Umno.


“Misal kata ada orang menganiaya atau menzalimi kita, boleh ke kita berdoa kepada mereka?

"Jawapannya boleh, tidak timbul isu tidak boleh mendoakan kehancuran sesama Islam,” katanya kepada Sinar Harian pada Program Kembara Ilmu Bersama Dr Maza di kediaman rasmi Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas isu doa kehancuran yang dibacakan adik Mursyidul Am Pas, Nik Razi Nik Mat semasa mengimamkan solat hajat sempena muktamar tahunan parti itu minggu lalu.

Asri berkata, doa memohon kehancuran ini bukan suatu yang baru, malah wujud sejak zaman Rasulullah lagi apabila terjadi kepada para sahabat, tetapi dilakukan secara berkias (berlapik).

Bagaimanapun mengakui kurang bersetuju dengan pendekatan doa tersebut yang dilihat keluar dari kesantunan, Asri berkata, ia sepatutnya mengikut adab- adab berdoa dan mengetepikan rasa amarah.


“Kadang-kadang tak nampak macam doa, dari segi adab-adab yang lain seperti terlalu menjerit, nampak macam terkeluar dari kesantunannya, kita boleh berdoa kepada orang yang menzalimi, bukan doa kerana marah perbezaan parti, tetapi doa kerana kezaliman,” katanya.

Dalam pada itu, mengulas mengenai ulama Umno, Asri berkata, parti itu memerlukan suatu panduan untuk memandu pergerakan dan perjuangannya, dan satu majlis yang terdiri daripada golongan ulama perlu diwujudkan.

“Pas sebenarnya antara benda yang meletakkan kepercayaan orang ramai terhadapnya adalah Majlis Syura Ulama yang memandunya dalam banyak perkara,” katanya.

“Ulama tidak semestinya menjadi pemimpin atau presiden, jadi ahli dewan yang memandu, itu perlu diambil kira supaya Umno juga ada pemandu dari satu majlis yang bukan untuk mempolitikkan agama tetapi membimbingnya supaya semua parti dikawal oleh elemen agama,” katanya.


Dalam pandangan lain, berdoa untuk menghancurkan sesebuah organisasi tidak salah, jika ia membawa kebaikan.

Pengerusi Pertubuhan Muttaqa Asatizah dan Pendakwah Malaysia (Murshid), Dr Zaharuddin Abdul Rahman berkata, doa yang menjurus kepada organisasi, bukan individu, tidak melanggar adat berdoa.

Bagaimanapun, katanya, lebih baik mendoakan agar individu atau sesebuah organisasi itu mendapat petunjuk, dan ampunkan kesalahan mereka.

Beliau berkata, dalam keadaan rakyat sedar sesebuah organisasi itu dianggotai oleh ahli beragama Islam dan bukan Islam, doa ke arah kehancuran tidak menjadi masalah.

“Sekiranya doa itu dari individu yang dizalimi, maka doa untuk menghancurkan organisasi tertentu (yang bertanggungjawab) dibenarkan.

“Doa seperti menunjukkan mangsa meluahkan kekecewaan yang sudah sampai ke puncak akibat sering dizalimi,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Menurut Zaharuddin, doa kepada individu agar dimusnahkan tidak digalakkan.

Beliau berkata, sebagai contoh, terdapat individu mendoakan kemusnahan kilang Lynas (nadir bumi) supaya tidak mendatangkan keburukan kepada penduduk setempat dan oleh itu, ia harus.

“Mereka (penduduk) sedar kehadiran kilang tersebut boleh membawa bencana dan kemudaratan terhadap kesihatan serta alam sekitar.

Kejatuhan ini dilihat sebagai membawa kebaikan dan menjamin keselamatan penduduk di situ,” katanya

20,000 Orang Sertai Himpunan Hijau Anti Lynas





KUALA LUMPUR: Himpunan Hijau Anti Lynas mencapai matlamat apabila kumpulan pejalan kaki Stop Lynas berjaya tiba di Dataran Merdeka kira-kira jam lima petang tadi.



Hampir 20,000 orang berjaya tiba di hadapan Dataran Merdeka. Mereka duduk di atas jalan raya mendengar ucapan Pengerusi  Himpunan Hijau, Wong Tack.

Wong Tack dalam ucapannya berkata, kumpulan yang berjalan kaki dari Kuantan, Pahang akan duduk di Dataran Merdeka sehingga pagi esok bagi menunjukkan bantahan mereka.

"Kita berada di sini kerana sayangkan negara kita".. "Kita akan tidur di sini dan kita minta ahli parlimen datang jenguk kita kerana mereka menaiki kenderaan, cuma tiga minit sahaja sedangkan kita sudah jalan jauh," katanya.

Perjalanan sejauh 300 kilometer itu bermula sejak 13 November lalu. Mereka tiba di Tol Gombak, jam 3 petang semalam sebelum berarak ke Kolej Universiti Islam Dr. Zulkifli Mohamed ((KUIZM), di Taman Melewar pada jam 4 petang.

Ketibaan mereka disambut PAS kawasan Batu dengan Yang DiPertua PAS Batu, Cikgu Ishak Surin yang turut bersama-sama berjlan kaki dari Tol Gombak ke Taman Melewar.

Pagi tadi, kumpulan tersebut bergabung dengan kumpulan dari Kuala Lumpur mula berarak dari KUISM ke Sentul Pasar.



Mereka seterusnya berarak ke Maju Junction sebelum bergabung dan berarak ke Dataran Merdeka.

Cikgu Ishak turut bersama-sama ke Dataran Merdeka bersama kaum Cina, Melayu dan India dari pelbagai peringkat umur.

Mereka duduk di Dataran Merdeka kira-kira sejam sebelum sebahagiannya beransur pulang.

Antara pimpinan Pakatan Rakyat yang turut serta ialah Presiden PKR, Datuk Wan Azizah Wan Ismail, Naib Presiden, Tian Chua dan Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh.

Tiada kejadian yang tidak diingini sepanjang perarakan.  Sementara itu, Dataran Merdeka ditutup sejak pagi tadi atas alasan kerja-kerja menaik taraf kawasan berkenaan.


Media melaporkan, hampir 100  pegawai DBKL termasuk anggota polis dilihat mengawasi kawasan bersejarah dan tumpuan warganegara itu.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Ahmad Phesal Talib turut mengeluarkan notis larangan kepada orang awam berkumpul di lokasi tersebut.

Himpunan Hijau Anti Lynas berjaya menyerahkan tiga resolusi kepada Ahli Parlimen Pakatan Rakyat selepas "mesyuarat rakyat" di Dataran Merdeka pagi tadi.

Tiga resolusi tersebut adalah:

1. Menuntut pembatalan segera Loji Nadir Bumi Lynas Advanced Materials Plant (LAMP).

2. Penghentian atau penilaian projek-projek memudaratkan di Malaysia seperti di lombong emas Bukit Koman, pemasangan kabel voltan tinggi di Rawang, projek insinerator di Cameron Highland, projek bijih besi Lumut, projek Rapid, pembinaan serta perampasan tanah orang Asal di mana kerajaan perlu melakukan perundingan awal dengan masyarakat awam dan sesiapa sahaja yang terbabit dalam hal alam sekitar.


3. Memastikan segala rancangan pembangunan adalah mapan dan sejajar dengan prinsip-prinsip piagam bumi.

Ia dibacakan oleh Zamri yang menyertai perjalanan sejauh 300 kilometer dari Kuantan ke Kuala Lumpur.

Pengerusi Himpunan Hijau, Wong Tack sewaktu berucap dalam 'persidangan rakyat', menyeru golongan itu memilih kerajaan yang mendengar suara rakyat.

"Kami memerlukan kerajaan yang bersih dan adil. Kerajaan yang mengambil berat dan mendengar suara rakyat. Kerajaan yang bersama-sama dengan rakyat," katanya sambil diiringi dengan laungan slogan 'Hidup rakyat' dan 'Rakyat bangkit' oleh peserta perhimpunan.

Antara ahli parlimen dan Adun Pakatan yang kelihatan bersama-sama berhimpun ialah Ahli Parlimen Ipoh Timur, Lim Kit Siang, William Leong (Selayang), Tan Kok Wai (Cheras), Fong Poh Kuan (Batu Gajah), Dr D Jeyakumar (Sungai Siput) dan Chong Eng (Bukit Mertajam).

Wong yang mengetuai perarakan berjalan kaki sejauh 300 kilometer dari Kuantan ke Kuala Lumpur bermula 13 November lalu bermalam di sekitar Dataran Merdeka selepas tiba di situ kira-kira jam lima petang semalam.

Mereka nekad menyuarakan bantahan terhadap operasi Loji Nadir Bumi Lynas, di Kuantan, Pahang.

Mereka berhimpun sehingga jam 10 pagi tadi dan bersurai selepas menyerahkan resolusi.

Himpunan Hijau turut mendapat sokongan daripada beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain seperti Jawatankuasa Membantah Sianida Raub, Gabungan NGO Pengerang, dan NGO anti empangan Murum.


Selepas kejayaan kumpulan pejalan kaki Stop Lynas tiba di Dataran Merdeka, semalam, mereka akan meneruskan perjuangan mereka di Kuantan, Pahang.

Biarpun masih belum ada tarikh khusus diputuskan, mereka sedang merangka untuk mengadakan program 'benteng manusia' atau 'barricade' bagi menghalang kemasukan bahan-bahan mentah ke kilang Lynas di Gebeng, Kuantan.

Ketua Publisiti Himpunan Hijau, Lee Chean Chung, berkata biarpun rakyat tidak mampu menutup kilang Lynas dari beroperasi, kerajaan yang enggan mendengar suara rakyat perlu ditunjukkan kebangkitan rakyat.

"Kita sedar, kilang itu tidak akan ditutup kerana kerajaan yang ada tidak mendengar suara rakyat.  Jadi, kita akan menyekat kemasukan bahan mentah ke kilang terbabit dengan program 'barricade' kebangkitan rakyat ," tegas beliau ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.

Tambah beliau, selain program tersebut, pihaknya juga akan memulakan 'roadshow' perkongsian tentang kesan pembinaan dan penggunaan bahan-bahan berbahaya kepada alam sekitar.

Jelajah perkongsian itu, kata Lee akan dijalankan dalam tiga bahasa, iaitu Bahasa Melayu, Cina dan Inggeris kepada seluruh rakyat Malaysia.

Biarpun beranggapan rakyat sudah semakin sedar dengan isu alam sekitar ini, Lee masih mengharapkan lebih ramai lagi rakyat yang akan menyokong usaha ke arah persekitaran yang sihat dan harmoni.

Semalam, Himpunan Hijau Anti Lynas mencapai matlamat apabila kumpulan pejalan kaki Stop Lynas berjaya tiba di Dataran Merdeka kira-kira jam lima petang.

Hampir 20,000 orang berjaya tiba di hadapan Dataran Merdeka dan duduk di atas jalan raya mendengar ucapan Pengerusi Himpunan Hijau, Wong Tack.

Wong Tack juga mengetuai kumpulan pejalan kaki dari Kuantan ke Kuala Lumpur dalam usaha memberi tekanan kepada kerajaan untuk menutup kilang Lynas, di Kuantan.

Perjalanan sejauh 300 kilometer itu bermula sejak 13 November lalu.



24 November 2012

Murtad: Faktor Kemiskinan




Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata isu murtad dalam kalangan umat Islam di Selangor antara lain berpunca daripada kemiskinan dan usaha menanganinya perlu dilaksanakan dengan bijaksana.
    
Selaku Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Islam Negeri, beliau berkata beliau akan melihat langkah menggabungkan perkhidmatan bantuan Tabung Amanah Islam dan Lembaga Zakat Selangor supaya kebajikan umat Islam lebih terjaga.
    
Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan Datuk Dr Hasan Mohamed Ali (Bebas-Gombak Setia) yang bertanya mengenai usaha memurtadkan umat Islam  di Selangor, pada persidangan Dewan Undangan Negeri.
    
Abdul Khalid berkata agensi penguatkuasaan agama Islam di Selangor juga perlu memantau cara pendakwah agama lain menarik umat Islam serta mengkaji kaedah untuk menyelamatkan akidah umat Islam.
    
Menjawab soalan Ng Suee Lim (DAP-Sekinchan) yang bertanyakan 
jumlah umat Islam yang dimurtadkan sejak Pakatan Rakyat memerintah Selangor, Abdul Khalid berkata beliau tidak mempunyai datanya memandangkan isu murtad merupakan isu individu dan keluarga yang tidak dihebahkan.
    
Bagaimanapun 10 kes berkaitan murtad masih dalam proses mahkamah.

23 November 2012

Pas Masih Relevan




PAS adalah parti yang sentiasa terbuka untuk menerima teguran dan kritikan sama ada daripada dalam atau luar parti. Dalam muktamar baru-baru ini, ahli diberikan hak seluas-luasnya untuk menegur pimpinan. Isu penolakan terhadap Kepimpinan Ulama, penstrukturan semula Harakah, ketegasan dalam perlaksanaan undang-undang Islam  dan lain-lain telah menjadi fokus para perwakilan untuk menegur pimpinan. Ia jauh sekali berbanding parti Umno yang menutup pintu ahlinya untuk menegur.

Pas juga bersedia untuk menerima teguran daripada luar. Bahkan Pas menjemput mereka untuk berdialog dan menegur secara direct dalam majlis yang dianjurkan oleh Pas sendiri walaupun ada orang yang sehingga sekarang tidak memberikan tarikh setelah bersetuju untuk datang.

Doktrin yang perlu ditolak:

Menjawab teguran bukan bermakna tidak menerima teguran tersebut. Kadang-kadang jawapan perlu diberikan sebagai satu penjelasan. Doktrin bahawa teguran yang dijawab dianggap tidak diterima harus ditolak. Di samping itu, ada yang menuduh bahawa jawapan yang diberikan adalah reaksi melenting dan melatah. Perlu diingat bahawa senyap, tidak menjawab tidak semestinya bermakna menerima teguran kerana kadang-kadang ia ditolak kerana malas menjawab.

Keras atau lembut dalam menjawab pula adalah berdasarkan teguran yang diberikan. Ini kerana kadang-kadang teguran yang dibuat bukan untuk membaiki tetapi lebih untuk membina persepsi yang buruk terhadap orang yang ditegur. Justeru, tidak pelik jawapan yang diberikan kadang-kadang agak keras. Lihat sahaja kata-kata Saidina Abu Bakar yang keras terhadap Urwah bin Mas'ud, wakil musyrikin Makkah dalam peristiwa perjanjian Hudaibiyyah: "Kamu ini manusia yang menghisap kelentik kemaluan berhala al-Latta." Jawapan keras ini dihamburkan oleh Abu Bakar r.a. apabila Urwah menegur Rasulullah s.a.w. yang dilihat ingin menghapuskan dan memusuhi bangsa sendiri (Lihat Sofiy ar-Rahman, 1991).

Undang-undang Islam adalah prinsip dan perjuangan Pas:

Pas sebagai sebuah gerakan Islam sentiasa menjaga prinsip dan anjal dalam perkara cabang. Inilah yang diajar oleh Islam dan ditegaskan oleh Muhammad Iqbal, seorang pujangga India bahawa tajdid dan perubahan adalah mesti bertolak daripada keteguhan prinsip dan turathnya. Perkara-perkara yang baik daripada pemikiran baru boleh diambil setelah ditapis dan tidak berlawanan dengan prinsip Islam (Muhammad Iqbal wa manhajuhu fi tajdid al-fikri al-Islami, 2000).

Prinsip dan perjuangan Pas adalah untuk menegakkan Islam termasuk undang-undang-undangnya. Ia adalah syariat ALLAH yang tidak ada kompromi dalam perlaksanaan. Ia adalah prinsip dan perjuangan Pas yang tidak pernah berubah daripada dahulu sehinggalah sekarang.

Semua negara memerlukan undang-undang. Tidak ada negara yang tidak ada undang-undang. Cumanya undang-undang apakah yang hendak dipakai. Pas sebagai sebuah parti yang memperjuangkan Islam ingin melihat undang-undang Islam dilaksanakan dalam negara ini kerana yakin terhadap keberkesanannya untuk menghapuskan jenayah. Ia adalah undang-undang yang datang daripada ALLAH yang menciptakan manusia. Dia tahu apa yang baik dan buruk untuk manusia dan Dia tahu bagaimana cara untuk menyelesaikan masalah manusia.

Orang Islam perlu meyakini bahawa undang-undang Islam adalah terbaik untuk mencegah manusia melakukan kesalahan dan jenayah. Ia akan memberikan keadilan kepada semua. Rasuah, salah guna kuasa, memerah harta negara dan kezaliman yang menghiasi politik dunia Muslim akan dapat diatasi dengan undang-undang tersebut. Rakyat yang membenci pemerintahan zalim sekian lama akan merasa aman dengan terlaksananya undang-undang tersebut dan merasai keadilannya.

Keberkesanan undang-undang Islam akan memberikan hak kepada orang yang dizalimi kerana Islam tidak membenarkan berlakunya kezaliman. Orang yang miskin dan melarat akan terjaga kebajikannya dengan diberikan makanan dan keperluan asasi. Harta negara dibahagi secara adil dan kerajaan diurus dengan penuh amanah di bawah undang-undang Islam. Bahkan bandar yang kotor akan menjadi menjadi bersih dan pengurusan yang buruk menjadi terurus. Rakyat diberikan ilmu dan pendidikan. Ini semua kerana Islam telah dilaksanakan secara menyeluruh termasuk undang-undangnya.

Jangan bina persepsi yang buruk terhadap undang-undang Islam:

Rakyat tidak seharusnya dibina dengan persepsi yang buruk terhadap undang-undang Islam. Jangan ditanam persepsi bahawa perlaksanaan undang-undang Islam akan menjadikan negara tersebut negara Mullah. Adalah silap jika berpandangan demikian kerana Rasulullah s.a.w. juga melaksanakan undang-undang Islam di Madinah dan Madinah bukan negara Mullah.

Kesilapan Taliban ketika memerintah Afghanistan dengan undang-undang Islam tidak boleh menafikan keindahan undang-undang tersebut. Ini kerana mereka terlalu jumud dengan mazhab Hanafi, tanpa melihat mazhab yang lain sehingga dilihat terlalu keras melaksanakan undang-undang Islam. Wanita dipaksa memakai purdah dan dilarang bekerja.

Pas berbeza dengan Taliban kerana Pas mengemukakan undang-undang Islam yang meraikan kepelbagaian pandangan mazhab dalam Islam dengan melihat realiti semasa. Contohnya, Pas mengambil ketetapan bahawa hudud tidak akan dilaksanakan ke atas orang bukan Islam. Wanita akan terus dibenarkan bekerja dan dibela. Justeru, jangan jadikan kesilapan Taliban untuk menafikan keindahan undang-undang Islam.

Persoalannya, kenapa perlu dipilih untuk menanam persepsi buruk terhadap undang-undang Islam sedangkan kita ada pilihan untuk membina persepsi yang baik terhadap undang-undang ini. Kenapa perlu dibina persepsi bahawa undang-undang Islam hanyalah membawa mimpi buruk kepada rakyat. Tangan rakyat akan dipotong, ataupun wanita akan direjam dengan batu, ataupun wanita dipukul kerana tidak bertudung dan seterusnya.

Jangan ditiru cara Umno yang membina persepsi buruk terhadap undang-undang Islam. Undang-undang ini jika dilaksanakan akan menghalang pembangunan kerana batu-batu telah digunakan untuk merejam, berlakunya kekacauan dan pengangguran, rakyat boleh makan sup tangan dan lain-lain lagi yang memburukkan undang-undang Islam.

Kita ada pilihan untuk menanam persepsi yang baik kerana undang-undang Islam membawa rahmat dan kebaikan. Tidak akan ada rakyat yang akan dipotong tangannya, disebat dan direjam dengan batu kerana tidak ada lagi orang yang akan sanggup mencuri dan berzina disebabkan gerun terhadap hukuman ALLAH. Ia adalah pencegahan daripadaNya. Orang-orang yang dizalimi pasti gembira terhadap hukuman ALLAH ini. Hanya orang yang zalim sahaja tidak senang dengan hukuman ALLAH.

Pas sentiasa segar dengan ijtihad baru:

Walaupun Pas sebagai gerakan Islam sentiasa tegas dengan prinsipnya memperjuangkan undang-undang Islam, Pas sentiasa menilai pendekatannya. Pas memperkatakan tentang ijtihad-ijtihad baru mengenai politik termasuklah ijtihad tahalluf siasi. Pas telah lama berijtihad bahawa pilihanraya adalah syari'e walaupun sebahagian gerakan Islam yang lain baru terlibat dengannya. Begitu juga Pas membenarkan wanita bertanding dalam pilihanraya. Pas sentiasa memahami teks dalam kerangka konteks kerana sedar politik terdedah kepada perubahan.

Atas kesedaran tentang hakikat politik Islami dan memahami tabiat baru politik Malaysia, Pas menggunakan pelbagai pendekatan baru. Slogan-slogan yang menakutkan tidak pernah digunakan.

Slogan-slogan Islam yang lebih memberikan harapan telah lama dilaungkan. Pas melaungkan slogan kebajikan dan khidmat masyarakat sejak sekian lama dan dipertegaskan lagi dalam muktamar yang berakhir baru-baru ini dengan konsep negara berkebajikan. Pas memberikan khidmat kepada rakyat. Menambat hati mereka dengan janji yang selaras dengan cita dan cinta rakyat.

Di negeri Kelantan sebagai contoh, kerajaan Pas telah memberikan pelbagai servis kepada rakyat seperti projek Al-It'am (kupon beras percuma), Az-Ziwaj (bantuan perkahwinan), Ladang Rakyat, bantuan armalah (ibu tunggal) dan sebagainya. Kebajikan rakyat sentiasa dijaga di samping penerangan kepada masyarakat tentang Islam dan undang-undangnya sentiasa berjalan dan mendapat sambutan yang baik. Semua yang dilakukan ini adalah untuk mewujudkan suasana yang kondusif bagi perlaksanaan undang-undang Islam di negeri tersebut.

'Arab Spring' tidak merubah prinsip gerakan Islam:

Perlu dijelaskan bahawa walaupun 'Arab Spring' berlaku kerana tidak puas hati dengan pemerintah yang zalim tetapi rakyat memilih gerakan Islam untuk menggantikan pemerintahan tersebut. Ini kerana mereka yakin terhadap Islam dan undang-undangnya sebagai alternatif walaupun pilihanraya yang diadakan turut disertai oleh parti-parti yang berbentuk sekular, nasionalis dan sosialis.

Gerakan Islam yang memerintah di negara Arab sekarang ini tidak pernah mengubah prinsip perjuangan mereka. Dr. Moursi selaku Presiden Parti al-Hurriyyah wal 'Adalah selepas 'Arab Spring' sebelum menjadi Presiden Mesir menegaskan hasrat menegakkan undang-undang Islam ketika muktamar pertama partinya. Setelah menjadi Presiden Mesir, dia juga menyatakan keinginannya untuk melaksanakan undang-undang Islam apabila ditanya dalam satu majlis bersama rakyatnya.

Akhirnya, nasihat dan teguran saya kepada penulis artikel 'Relevankah Pas dalam realiti baru?" supaya jangan menggunakan agama supaya orang ramai makin jauh daripada agamanya. Jangan tanam persepsi buruk di kalangan rakyat terhadap undang-undang Islam atas nama agama sehingga orang takut kepadanya. Penulis artikel tersebut perlu terbuka untuk menerima nasihat dan teguran ini sebagaimana beliau inginkan orang lain menerima tegurannya. Pun begitu, saya tidak lupa untuk mengucapkan terima kasih atas nasihat dan teguran yang beliau berikan.







SAYA pernah mengkritik Umno dalam tulisan saya sempena Perhimpunan Agung Umno yang lepas dan sebelum. Ketika itu saya tetamu parti tersebut di perhimpunan mereka. Orang Umno tidak menzahirkan kemarahan atas kritikan itu.


Perasaan mereka, saya tidak tahu.

Muktamar Pas baru sahaja berlalu. Kali ini saya ingin sedikit melontarkan persoalan untuk berkongsi dengan Pas. Maaf, bagi saya Pas merupakan parti politik yang agar sukar menerima teguran. Sekalipun tidak dinafikan ada juga pimpinan Pas yang bersikap terbuka.


Pemuda Pas merupakan sayap yang sepatutnya menggambarkan 'open-mindedness', tapi menzahirkan reaksi yang agak keras setiap kali menerima kritikan. Pembaca boleh membaca reaksi timbalan ketuanya dalam memberi pandangan balas terhadap saya ketika saya melontar pandangan agar jangan tiru pendekatan Taliban dan jangan wujudkan negara mullah.



Dalam wacana di Sinar baru-baru ini mengenai ulama dan pemerintah, banyak kritikan saya tertumpu kepada Umno, tetapi pihak Pemuda Pas yang begitu melenting hanya kerana pandangan sepintas lalu agar Pas jangan nanti membentuk negara mullah.



Umno tidak sangat melantah. Saya mula risau tentang masa depan hak bersuara rakyat terhadap kerajaan jika Pas direzekikan ALLAH menguasai Putrajaya. Apakah pendekatan Ummno sebelum PRU-12 akan dihidupkan semula? Atau lebih parah, atas nama Tuhan rakyat dilarang berbicara? Harapnya tidak begitu.



Berubah

Gerakan Islam di seluruh dunia terpaksa akur bahawa mereka perlu berubah jika ingin memastikan mereka terus relevan.  Bukan sahaja gerakan Islam, bahkan apa sahaja gerakan dalam dunia ini terpaksa akur bahawa cuaca baru yang sedang dihayati oleh umat manusia memerlukan satu kerangka baru dalam pemikiran dan perlaksanaan.
Politik adalah satu bidang yang membabitkan persoalan menguruskan manusia. Manusia itu terdedah kepada pengaruh tempat dan masa. Budaya dan cara berubah disebabkan persekitaran yang berbeza. Sudah tentu, iklim politik pada zaman Nabi s.a.w dan al-Khulafa al-Rasyidin tidak sama dengan zaman selepasnya.
Sudah pasti budaya dan cara politik pada zaman Umawiyyah dan ‘Abbasiyyah tidak sama dengan yang selepas itu. Demikian politik dalam era ‘nation states’ tidak sama dengan era empayar sebelum itu.
Globalisasi dan era ledakan maklumat telah mencetuskan pelbagai fenomena baru dalam kehidupan manusia.
Sesiapa yang cuba melaksanakan secara literal ataupun mengadaptasikan sepenuhnya teks politik zaman lampau ke zaman kini, maka dia seorang yang naïf dan dangkal dalam memahami tabiat politik (naturalness of politics) , sekaligus rasional dan tabiat Islam (naturalness of Islam) itu sendiri.
   

Retorik

Semasa awal kebangkitan Islam, gerakan Islam khususnya yang banyak bercakap tentang politik banyak melaungkan slogan-slogan yang belum diuji keberkesanannya.
Sebahagian slogan itu didokong oleh sebahagian mereka dengan penuh 'dogmatic' dan 'rhetoric'.
Padahal, sebahagian besarnya hanyalah ijtihad ataupun tafsiran yang dibuat dengan pengaruh tertentu. Sedangkan Islam lebih luas dan terbuka dibandingkan dogma dan retorik tersebut.
Kesempitan beberapa pegangan mereka khususnya apa yang dikaitkan dengan teori ‘daulah Islamiyyah’ ataupun ‘Islamic State’ telah menghalang mereka maju ke hadapan. Slogan mereka menakutkan sebahagian rakyat. Islam yang menjadi agama rahmat, diungkap dan dilaungkan secara yang menggusarkan.
Fokus terhadap menghukum rakyat dengan ‘hukuman syariah’ lebih banyak dari bicara tentang memberikan 'service' dan hak-hak rakyat yang dibela oleh syariah.


Pendekatan sebahagian slogan Islam itu seakan ingin menjadikan rakyat ‘robot patuh shariah’ bukan sebagai manusia merdeka yang taat kepada Tuhan dengan penuh pilihan.



Nilai Semula

Setelah melalui beberapa pengalaman, akhirnya banyak gerakan Islam mula menilai semula. Dalam kalangan mereka mula memperkatakan tentang ijtihad-ijtihad baru mengenai politik. Mereka juga mula membahaskan betapa perlunya memahami teks dalam kerangka konteks.
Mula sedar betapa politik terdedah kepada perubahan. Islam hanya menetapkan dasar-dasar umum. Derita Dunia Muslim bukan kerana soal tiada hudud ataupun pemimpin tidak berserban, tetapi derita Dunia Muslim disebabkan 'bad governance', rasuah, salah guna kuasa, pecah amanah dan lain-lain penyakit yang men’jahanam’kan negara.
Memalukan Dunia Muslim dibandingkan Barat yang sering mereka kutuk. Jika dilihat di sudut Islam agama yang mempentingkan kebersihan dan peraturan pun, malang sekali negara-negara umat Islam kebanyakan kotor, pengurusan yang buruk dan segala kemunduran hidup.


Sedangkan Barat yang meninggalkan agama itu jauh lebih bersih, kemas pengurusan mereka dan maju. Islam tidak salah, tetapi umatnya bersalah kerana meninggalkan ajaran Islam dalam hal-hal berkenaan.

Datang gerakan Islam pulak memberikan fokus yang tidak menggambarkan sifat Islam yang memberikan 'service' kepada kemaslahatan manusia. Maka, perubahan ataupun tajdid dalam gerakan Islam itu amat diperlukan.


Rakyat muslim mula muak dengan pemerintah-pemerintah mereka yang ada. Rasuah, salah guna kuasa,  memerah harta negara dan kezaliman menghiasi politik Dunia Muslim. Rakyat membenci pemerintah mereka sekian lama.



Era teknologi telah membuka peluang besar untuk kebangkitan yang lebih berkesan. Kombinasi antara teknologi dan hasrat perubahan politik menampakkan hasilnya. ‘Arab Spring’ menjadi bukti bahawa era baru mampu melakar politik gaya baru.

Siapakah yang akan menjadi harapan rakyat?
Gerakan Islam yang terlibat dengan politik cuba tampil ke hadapan sebagai satu alternatif baru. Persoalannya, apakah yang rakyat mahukan? Apakah mereka mahu keluar dari cengkaman golongan 'secularist' kepada cengkaman golongan mullah (clerics)?
Apakah mereka mahu kerakusan kuasa atas nama dunia ditukar kerakusan kuasa atas nama Tuhan dan agama? Sudah tentu tidak! Mereka mahukan hak, keadilan dan kenikmatan hidup sebagai insan yang bermaruah dan merdeka. Mereka sudah rimas dengan cengkaman penguasa. Islam yang rahmat diharapkan dapat menawarkan khidmat yang mereka idamkan. Mereka ingin melihat orang yang miskin dan melarat diberikan makan.
Bandar yang kotor menjadi bersih. Pengurusan yang buruk menjadi terurus. Rakyat diberikan ilmu dan pendidikan. Harta negara dibahagi secara adil dan kerajaan diurus dengan penuh amanah.
Mereka bukan bermimpi untuk melihat tangan rakyat dipotong, ataupun wanita direjam dengan batu, ataupun wanita dipukul kerana tidak bertudung dan seterusnya. Itu bukan mimpi mereka. Itu juga bukan mimpi Islam yang penuh rahmat ini. Mereka mengharapkan gerakan Islam menghilangkan sengsara mereka, bukan sekadar untuk menghukum mereka.


Mendapat Tempat

Atas kesedaran tentang hakikat politik Islami dan memahami tabiat baru dunia kini, banyak gerakan Islam mula membuat pendekatan baru. Slogan-slogan yang menakutkan telah cuba ditinggalkan.
Pendekatan ‘haram’, haram, haram mula ditukarkan dengan mencari dan memberi alternative halal yang lebih baik kepada rakyat.
Slogan-slogan Islam yang lebih memberikan harapan mula dilaungkan. Mereka mula memberikan khidmat kepada rakyat. Menambat hati mereka dengan janji yang selaras dengan cita dan cinta rakyat. Al-Ikhwan al-Muslimin juga mencari pendekatan baru di Mesir.
Demikian al-Nahdah di Tunisia. Turki dilihat mengepalai hal ini. Walaupun kerajaan Turki berasaskan secularism, tapi tokoh-tokoh Islam Turki tidak menjerit perlembagaan kufur atau ingin menghapuskan perlembagaan, sebaliknya bekerja dalam kerangka yang ada.
Ini sama dengan apa yang dibuat oleh Ashamah, Najashi di Habshah yang mengepalai negaranya yang Kristian. Dia menganut Islam secara senyap dan berhubungan dengan Nabi s.a.w melalui utusan dan surat menyurat. Nabi s.a.w tidak pernah menyuruhnya meletakkan jawatan, sebaliknya dia bekerja dalam kerangka yang ada dan termampu.
Maka, pemikiran tajdid dalam memahami realiti baru amat diperlukan oleh Pas.
Usahanya itu adalah bagi membolehkan Pas terus relevan dan mencapai maqasid politik yang dikehendaki oleh syarak. Usaha seperti ini amatlah penting, walaupun biasanya ia akan dikritik oleh penganut dogma lama. Pas itu sendiri hari ini hakikatnya telah cuba berubah dalam menangani persekitaran yang ada. Apakah Pas akan berjaya menawar khidmat islami yang relevan dengan kemanusiaan hari ini?


* Prof Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin, pensyarah USM dan bekas Mufti Perlis