SPECIAL ADS

12 November 2012

Istiharkan Harta: Ketelusan dan Kebertanggungjawaban?




Sebelum menjelang pilihanraya yang ke 13, memang wajar calun-calun dan ahli-ahli politik terutama yang memegang jawatan dalam Kerajaan mahupun agensi-agensi Kerajaan membuat pengistiharkan harta terlebih dahulu. Dengan mengadakan tindakan demikian akan membuatkan seseorang ahli politik itu mempunyai sifat kebertanggungjawaban dan ketelusan.
Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah telah  mencadangkan supaya salinan fail pengisytiharan harta anggota pentadbiran persekutuan termasuk anggota Kabinet, disimpan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM). 


Pengerusinya, Puan Sri Zaitun Zawiyah Puteh, berkata selain mencerminkan ketelusan, usaha itu memudahkan siasatan jika berlaku dakwaan rasuah. 
"Jadi kita cadangkan kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak) supaya apa yang diisytiharkan di Jabatan Perdana Menteri, satu salinan dipanjangkan kepada kita untuk disimpan di bawah Pejabat Ketua Pesuruhjaya SPRM," katanya beliau dalam  sidang media.

Zaitun berkata, pengisytiharan harta itu meliputi anggota keluarga terdekat iaitu isteri, suami dan anak, serta perlu dibuat secara akuan berkanun untuk memudahkan tindakan diambil jika berlaku penipuan dalam pengisytiharan. 

"Kalau pengisytiharan hanya membabitkan individu itu seorang sahaja, tidak termasuk anggota keluarga, harta atau aset miliknya boleh dipindahkan kepada nama anak, isteri atau suami," katanya yang berharap cadangan terbabit dapat dilaksanakan secepat mungkin. 

Berhubung dengan pembiayaan politik dibuat atas nama parti dan bukan akaun individu, Zaitun Zawiyah berkata, saranan itu dipersetujui dan dibentangkan di Parlimen. 

"Diharap semua parti politik akan ambil serius cadangan itu demi kebaikan semua, baik parti pembangkang mahupun kerajaan," katanya.
Adalah menjadi kemahuan rakyat supaya semua  pemimpin politik samada daripada pihak Kerajaan mahupun pembangkang perlu membuat pengistiharan HARTA. Ini kerana rakyat  mahukan pemimpin  yang bersih dan mempunyai integriti. Dengan itu kepada pemimpin yang tidak berani membuat pengistiharan harta, ini bermakna mereka sudah tidak relevan sebagai seorang pemimpin dan biar rakyat membuat penilaian dan mengadili mereka.

Rakyat berpendapat dan  merasakan tindakan itu adalah satu kewajaran yang boleh membentuk persepsi masyarakat melalui slogan 'Kepimpinan Melalui Tauladan' dan bahasa paling mudah diistilahkan adalah pemimpin bersih.

Dengan pengisytiharan ini juga akan dapat memperlihatkan ketelusan dan kebertanggungjawaban sebagai seseorang pemimpin di dalam menjaga amanah yang dipertanggungjawabkan oleh rakyat.


Rakyat perlu mempunyai seseorang pemimpin yang ada integriti yang cukup tinggi dan penuh bersedia untuk memimpin rakyat.  Bakal calon yang berintegriti, bersih dan berwibawa kerana wakil yang ditonjolkan itu adalah mewakili sebuah parti yang hebat.

Justeru, rakyat memang mengharapkan supaya pihak YAB Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, ahli jemaah menteri kabinet berserta pimpinan Umno dan Barisan Nasional di semua peringkat mahupun para pemimpin pembangkang supaya dapat melakukan pengisytiharan harta masing-masing secara terbuka untuk membuktikan kepada rakyat bahawa Kerajaan adalah bersih dari gejala-gejala atau unsur-unsur yang membelakangkan prinsip dan etika sebagai pemimpin.

Tiada ulasan: